Setiap kali tibanya musim mencandat sotong, saya dan beberapa rakan lain sememangnya tidak akan melepaskan peluang tersebut untuk mencuba nasib. Boleh dikatakan, ia juga acara wajib bagi kumpulan kami yang mula aktif memancing ke mana sahaja sama ada pancingan air tawar dan laut.
Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.
Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.
Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.
IKLAN
Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.
Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.
IKLAN
Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.
Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.
Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.
IKLAN
Apa lagi, kami pun menurunkan set apollo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.
“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.
Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.
Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.
Kawasan kepulauan di Kedah tidaklah kurang hebatnya dibandingkan dengan lain-lain kepulauan di Malaysia. Ini termasuklah gugusan kepulauan di Daerah Yan Kedah.
Jika disebut daerah Yan, pasti ramai akan menyangka trip pancingan kami adalah untuk menjerat ‘sukhoi’ yakni tenggiri di Tuas. Namun kali ini pendekatan kami adalah berbeza.
Trip balik hari ini adalah trip memancing ikan dari spesies Giant Trevally (GT), namun bukanlah bersaiz belasan kilo, cuma saiz sekitar 1-2 kg sahaja.
Ini kerana kepulauan yang terbentuk dari 4 buah pulau berbeza iaitu Songsong, Telur, Bidan dan Pulau Bunting adalah berdekatan dengan daratan sahaja dan tidak sesuai didiami ikan bersaiz mega.
Lantaran itu kaki casting otai di daerah ini telah mencipta sejenis umpan casting diperbuat dari ladung dan bulu ayam putih,umpan ini digelar bulu sahaja oleh mereka.
Selalunya kami akan bergerak keluar dari muara Sungai Yan pada awal pagi bagi mengelak bot tersangkut di beting pasir kerana faktor pasang surut air.
Perjalanan ke pulau-pulau ini cuma memakan masa 15-20 minit sahaja, dan sesi pancingan boleh terus dilakukan sebaik bot merapat ke tepian pulau.
Tepian pulau yang berbatu dan dihentam oleh alunan ombak menjadi nurseri yang sesuai buat anak-anak GT. Ini juga termasuklah spesies talang, baracuda dan sekali sekala tenggiri mencelah untuk mendapatkan bekalan makanan yakni anak ikan bilis dan temenung.
Dan trip kami pada kali ini dirasakan amat bertuah kerana mendapat seekor tenggiri sesat berumpankan anak temenung selebar 2 jari.
Ini kerana stok anak ikan umpan pada hari itu adalah sangat kurang dan yang bersaiz 2 jari sahaja yang ada dan digunakan sebagai umpan. Sudah menjadi rezeki, ikan tetap berjaya dijinakkan.
Walaupun tidak banyak anak GT dinaikkan, namun ia tetap menjadi kepuasan bagi kami menjinakkan spesies ini kerana isinya amat sedap jika digulaikan. Umpan bulu ciptaan anak tempatan memang boleh dibanggakan sebagai umpan killer untuk spesies pelagik ini.
Beberapa hari lepas admin ada up pasal sesirat… aku tak faham sangat, min. Aku baru lagi mancing… tu pun suka-suka je tak pernah main laut lagi? Jadi, apa masalah dengan sesirat ni? Kat tempat aku ia dipanggil belin.
JAWAPAN:
Ikan sesirat yang juga dipanggil belin di sesetengah tempat merupakan antara tangkapan yang tidak dikehendaki oleh sesiapa pun. Ia dianggap sebagai ikan pengacau umpan sebagaimana ikan buntal.
Jika dibandingkan dengan buntal, saya memilih biarlah buntal yang tersangkut pada mata kail dan bukannya sesirat. Itu pun kalau buntal hanya memakan umpan, tapi kalau buntal menggigit dan memutuskan tali utama, kedudukannya samalah macam sesirat jugak. Sama-sama mendatangkan kerugian.
Ikan sesirat ini mempunyai sejenis lendir berbau serta toksik yang menjadi alat pertahanan diri untuk ikan tersebut.
Apabila ia tersangkut pada mata kail ia akan bertindak bagi melepaskan diri dengan cara membelit dan bergumpal pada dan lendir akan dikeluarkan membuat perambut berbelit serta hanyir.
Walau pun tiada bukti saintifik menyatakan perambut dan mata kail yang terkena lendir sesirat akan menyebabkan ikan akan datang dekat kepada perambut tersebut, adalah disarankan ganti sahaja perambut dan mata kail yang baru. Ia ibarat petua memancing yang diperturun oleh pemancing-pemancing terdahulu.
Jika difikir secara logiknya pula, ada sumber mengatakan lazimnya lubuk yang dihuni oleh sesirat ini tidak akan dihuni oleh ikan-ikan bergred tinggi.
Kalau ada pun cuma belukang atau duri. Dikatakan juga kehadiran sesirat itu boleh menyebabkan ikan-ikan lain lari sesuatu lubuk, begitulah jugalah dengan kesan lendirnya pada perambut yang berkemungkinan besar akan menyebabkan ikan-ikan lain tidak akan mendekatinya.
Bagi pemancing tegar yang gemarkan aktiviti casting, Sungai Merbok satu lokasi yang ideal untuk diterokai.
Sarat dengan tinggalan sejarah zaman dahulu, sungai ini juga terdapat khazanah spesies yang masih boleh diperoleh dengan baik, jika kena dengan waktu terbaiknya.
Menggunakan bot adalah satu langkah yang bijak kerana dapat meninjau dan menduga lebih banyak lokasi berbanding pancingan dari tebing.
Di sini, terdapat beberapa lubuk istimewa untuk menaikkan ikan-ikan pemangsa seperti siakap merah, siakap putih, kerapu dan juga bulan.
Kami mengaplikasikan umpan gewang tiruan sebagai senjata untuk mencari spesies-spesies Ini.
Semestinya, gewang-gewang yang memiliki warna-warna killer, kuat dan renangan yang baik serta menggunakan mata kail yang tajam telah kami sediakan bagi memburu spesies ini.
Mata kail yang tajam dapat membantu mempercepatkan proses pendaratan ikan. Lebih-lebih lagi jika saiznya bersaiz bagak atau mega.
Pancingan menggunakan gewang memberi kepuasan lain dari yang lain, ia diakui sendiri oleh ramai kaki casting yang selalu berkunjung di Sungai Merbok ini.
Walaupun lapangan ini tidak kerap kami kunjungi, namun sesekali keseronokan mencari ikan pemangsa, terutamanya siakap merah atau juga digelar MJ (mangrove jack) menyebabkan kami sentiasa berkobar apabila ada trip bertandang ke sini.
Ketibaan kami disambut dengan cuaca yang baik. Tidak menunggu lama, Elvi Ching memulakan rentak terawal dengan membuat balingan casting menggunakan gewang jenis
minnow iaitu dari siri gewang tiruan Strike Pro Aquamax Minnow yang miliki ketumpatan berat 6.4g dan panjang 6.5cm.
Karauan dilakukan secara jerking, ada kalanya dikarau laju dan diselang-seli dengan karauan yang perlahan.
Tiba di satu reba kayu bakau yang timbul di permukaan air, terasa gewang berkenaan dipagut rakus sekali gus tali menegang tanda sang pemangsa sedang melarikan gewang berkenaan.
Terus sahaja, Ching mengayuh tombol kekili membuat karauan sekali gus menarik naik ke permukaan.
Namun, kami terkejut kerana bukanlah spesies idaman yang diperolehi, tetapi seekor ikan belacak bersaiz besar.
Sambil ketawa, ujar Elvi Ching, ini merupakan kali pertama dia memperoleh ikan ini.
Casting Alu-Alu
Menuju ke pertengahan trip, kami teruskan niat untuk mencuba casting ikan alu-alu bersaiz matang.
Lontaran demi lontaran dibaling ke kawasan spot ‘panas’ alu-alu mencari makan dan bergerak aktif.
Setelah cubaan lontaran gewang ke beberapa spot yang dikehendaki, akhirnya berlaku henjutan oleh si pemangsa.
Lim Kim Peng terus sahaja menahan asakan. Akhirnya sang alu-alu yang dicari berjaya juga diperolehi.
Mujur tacapan kemas mata kail terkena pada mulutnya. Selagi lagi tuah mengiringi kami, kerana alu-alu cukup terkenal di kalangan kaki casting ataupun jigging sebagai spesies yang cukup handal memotong tali.
Mujur, tali sulam dan perambut Ajiking yang digunakan begitu kuat mampu menahan larian ikan berkenaan.
Walaupun tidak besar, secara tidak langsung juga, dengan tangkapan alu-alu ini juga membuktikan keadaan air Sungai Merbok ini berkualiti dan dalam keadaan yang bebas dari pencemaran.
Teruskan Perjalanan
Kami meneruskan perjalanan mencari spot-spot lain yang menarik. Cuaca yang baik sedikit sebanyak menyumbang kelancaran perjalanan kami untuk mencari siakap merah.
Kata putus diambil, dengan kami mencuba untuk casting di kawasan berdekatan dengan pulau-pulau kecil berhampiran.
Kami cuba casting dengan sebaik mungkin, namun nasib masih belum menyebelahi kami.
Walaupun ada getuan yang diperolehi, namun tidak lekat. Elvi Ching turut menerima strike, namun spesies yang kami percayai siakap merah berjaya menyelinap masuk ke di dalam reba sekali gus memutuskan tali perambut.
Akhirnya tuah mengiringi Lim Kim Peng lagi, apabila lontaran gewang Strike Pro miliknya berjaya memperdayakan seekor siakap merah yang telah lama dicari.
Sekalipun spesies ini cuba untuk melepaskan diri dengan memasuki reba kayu, tetapi Kim Peng berjaya mengelakkannya.
Kami masih lagi mencuba, namun siakap merah, kerapu dan juga siakap putih gagal di cari.
Lewat petang, kami mempraktikkan casting menggunakan mikro jig untuk mencari spesies bulan pula.
Lontaran mikro jig dilakukan ke setiap boiling bulan yang kami temui. Karauan secara jerking dan laju berjaya memperdayakan beberapa ekor bulan.
Setidak-tidaknya ia sebagai penghibur buat kami apatah lagi memang asyik melihat sang bulan melakukan akrobatik di udara dalam usaha melepaskan diri.
Melihatkan keadaan ketika sudah dua kali trip ke sini, kami mendapati Sungai Merbok mempunyai keunikan sendiri.
Pemancing tegar yang ingin lari dari kesibukan kota dan merasai kudrat spesies ikan lapangan air tawar seperti siakap merah, siakap putih, bulan dan juga alu-alu cubalah mengilat di sini pasti menarik.
(Muhammad Safuwan Zakaria)
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...