Apa kejadah semua ini?! Apa dah takde tempat lain nak pesta dadah? Kenapa jadikan medium pemancing untuk berpesta memancing lampam sebagai pusat berpesta dadah. Dan pengusaha boathouse atau rumah bot memancing kenapa tergamak mengotorkan industri memancing dengan membenarkan perkara ini berlaku. Ikuti sumber yang kami petik dari Berita Harian Online ini.
Tindakan sekumpulan lelaki dan wanita menjadikan sebuah rumah bot di Tasik Kenyir sebagai tempat berpesta dadah di kawasan air terjun Sungai Sepat, Tasik Kenyir, membawa padah apabila bot terbabit diserbu pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu bersama pasukan Gerakan Marin Tasik Kenyir.
Katanya, siasatan mendapati 39 orang berada dalam rumah bot terbabit dan ujian air kencing mendapati 35 orang positif dadah jenis amphetamine manakala empat lagi negatif dadah.
Ads
“Daripada 35 orang yang positif dadah, 28 adalah lelaki manakala tujuh lagi perempuan.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun dan berdasarkan alamat mereka berasal dari Marang serta Kuala Terengganu.
“Selain itu, pemandu dan seorang kru rumah bot terbabit turut positif dadah,” katanya.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam apabila mendapati sekumpulan lelaki dan wanita menjadikan sebuah rumah bot di tasik itu sebagai tempat melepaskan gian dan melakukan aktiviti tidak bermoral.
Ads
Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat atas rumah bot itu yang mempunyai beberapa bilik menemui seorang lelaki yang memiliki satu botol lutsinar mengandungi cecair kehitaman disyaki dadah yang disimpan dalam beg galas.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat narkotik IPD Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Ads
“Hasil siasatan mendapati kumpulan terbabit sedang mengadakan pesta untuk meraikan hari jadi salah seorang rakan yang turut ditahan bermula sejak jam 11 pagi, kelmarin.
“Kesemua yang ditahan mengaku mengambil dadah jenis eramin 5 serta ekstasi dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Menurutnya, pihak polis sentiasa membuat pemantauan bagi tujuan keselamatan di kawasan Tasik Kenyir, dan memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak mencemarkan kawasan itu dengan kegiatan tidak bermoral.
Katanya, sekiranya berlaku aktiviti yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang terbabit.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sambil berseloroh, pelawaan sahabat untuk memancing dua tahun dalam satu trip menjadi kenyataan apabila berjaya mengumpul kaki pancing berdekatan dalam masa yang suntuk. Sambil memancing dapat melihat ragam kapal dagang menyambut tahun baru dengan ledakan api pistol kecemasan.
Walaupun dengan bekalan umpan yang tidak mencukupi serta cuaca yang tidak menentu, kami meneruskan impian dicelah kegelapan malam pada jam 9 malam tanggal 31 Disember. Dengan berbekalkan semangat juang tinggi, kami tiba di spot pertama.
Oleh kerana umpan yang dibawa tidak mencukupi, peringkat permulaan hanya jejari sotong kurita digunakan. Spot pertama adalah kawasan agak terlindung dari tiupan angin barat yang sedang bertiup sederhana.
Tumpuan malam akhir tahun tersebut ialah ikan dasar tanpa mengira spesies asalkan ia menjadi rekod akhir tahun. Setelah umpan dilabuhkan, semua set pancing di biarkan sahaja kerana sesi mengalas perut kosong sejak petang tadi tanpa menjamah makanan.
Selepas kami berlima selesai menjamu nasi bungkus berlauk kari special, satu persatu joran diperiksa. Dari 6 joran dilabuhkan, lima umpan licin dikerjakan si mengkerong. Hanya Izuan tersengih membuka bicara ikan terakhir tahun beliau dengan seekor tetanda.
Melihat detik jam semakin getir, kami kemudian beredar ke tengah lagi di kawasan lebih terbuka, tambahan pula deruan angin semakin perlahan.
Walau bagaimanapun, sehingga tepat jam 12 malam tetanda tangkapan Izuan menjadi ikan terakhir kami menjelang tahun baru. Langit tidak selalu gelap apabila sebaik sahaja percikan api merah di udara berserta hon-hon kapal kedengaran di serata kawasan kapal dagang berlabuh menandakan tirai tahun baru sudah bermula.
Tak semena-mena tiga joran milik Jamsuri, Hiddayad dan saya membongkok serentak. Jam 12.01 iaitu seminit selepas tahun baru, Jamsuri terlebih dahulu bergambar dengan jenahak pertama tahun baru dan diikuti penulis. Hiddayad pula gagal dalam usaha memujuk ikan setelah tali pancing beliau tersangkut di dasar.
Tidak lama selepas itu Izuan sekali lagi membuka tirai dengan bergaya apabila turut memperolehi jenahak. Maka, tercapailah hasrat kami melihat telatah kapal dagang menyambut tahun baru di samping misi utama juga membuahkan hasil setelah kiraan 3 ekor jenahak berjaya di pancing buat permulaan.
Nampaknya dalam kiraan detik 12 malam kami bertuah kerana waktu tersebut keadaan air pada peringkat hujung surut, salah satu puncak ikan galak dengan umpan. Dari jejari sotong, kali ini masing-masing terus sahaja seekor kurita dicangkok tanpa mempedulikan umpan yang susut.
Terlena dalam kesejukan malam, kami terjaga di awal pagi 1 Januari dalam keadaan laut tenang. Kemudian sauh dibongkar untuk bergerak ke arah boya mencari umpan yang hampir kehabisan. Setiba di boya terdapat 6 biji sampan pemancing yang berkerumun di satu-satunya boya yang produktif di kawasan ini.
Maka, masing-masing pun bergilir melabuhkan set apollo untuk mendapatkan anak selar dan ikan tamban. Apabila umpan agak-agak cukup, sampan terus dikemudikan ke arah selatan menuju spot ikan merah untuk semangat tahun baru.
Bergerak dalam keadaan laut agak tenang kurang dari 40 minit kami tiba di spot ikan merah Setibanya di lubuk, satu persatu umpan ikan tamban di dilabuhkan ke dasar. Set kekili manual dan elektrik yang dibawa dipertaruhkan untuk mencari rekod awal tahun. Dari paparan skrin kedalaman bermula 110 kaki sebelum ia menjunam ke aras 190 kaki.
Lopak sebegini agak terlindung dan dikenal pasti tempat ikan berehat di siang hari. Lama juga menunggu sehingga air sudah hampir mencapai 90% surut barulah kami menerima sentapan. Di lokasi ini 7 ekor ikan dinaikkan tapi semuanya jenahak! Merah kat mana?
Setelah air mula bergerak pasang tidak menampakkan sebarang hasil ikan merah. Rata-rata jenahak saja yang sudi. Yang lucunya, sampan bersebelahan berjaya menjinakkan ikan merah hanya beberapa meter dari tempat kami memancing.
Perairan Sedili merupakan lokasi pemburuan ikan tenggiri tersohor buat kaki-kaki pancing di selatan Malaysia.
Pada trip kali ini kami telah memilih khidmat tekong Pak Mahmod. Tekong Pak Mahmod memang berpengalaman luas lebih 30 tahun.
Antara lain kelebihannya, beliau mempunyai lubuk unjamnya sendiri lebih kurang dua jam perjalanan dari jeti.
Setibanya kami di lubuk unjam darat milik Pak Mahmod, umpan hidup dilabuhkan belakang bot.
Kami memastikan drag kekili ditetapkan agar tidak terlalu ketat atau terlalu longgar bagi memudahkan umpan direntap ikan tenggiri.
Ikan umpan dilepaskan lebih kurang 20 hingga 30 meter jauh dari bot.
Penggunaan perambut yang disarankan adalah mata kail saiz 1.0/2.0 berkembar menggunakan perambut dawai sejengkal dan disambungkan dengan perambut halimunan flourocarbon kira-kira lima hingga tujuh depa panjang berkekuatan 15-20 lb.
Manakala tali utama tekong menyarankan agar menggunakan tali mono tanpa warna (tangsi) atau tali sulam berwarna hijau gelap sahaja yang berdiameter halus.
Setelah hampir satu jam menanti, saat yang ditunggu telah tiba, umpan yang dilabuhkan telah disambut ikan, rod pancing kami telah melendut akibat ditarik ikan tenggiri kasar,
drag menjerit dan kekili memuntahkan tali dibawa lari oleh sang Tenggiri berskala 9-10 kilogram dan setelah 15 minit bertarung akhirnya ikan dapat didaratkan ke dalam bot.
Kemudian satu per satu joran kami disambar dan ditarik ikan Tenggiri. Memang seronok dan riuh bot dibuat.
Kami berpendapat bahawa, tenggiri di Sedili mungkin semakin bijak. Apa tidaknya ia cukup pandai dan sensitif terhadap cubaan menjeratnya.
Kalau menggunakan set pancing kasar umpan tidak akan diusiknya. Oleh yang demikian kami menggunakan set ultra ringan dan halus untuk memperdayakan tenggiri agar menyambar umpan.
Perlu mempunyai ilmu untuk berhadapan dengannya, jika salah teknik melayan akan berlaku rabut, putus dan ia mudah culas, diludahkan semula umpan dengan mudah dan akhirnya pemancing akan melopong dan berputih mata.
Beberapa panduan atau tip untuk menduga tenggiri Sedili ialah pastikan tali sentiasa tegang semasa melayan larian tenggiri, drag terlalu longgar boleh menyebabkan tenggiri melepaskan diri.
Ada ketikanya bila tengah bertarung dengan ikan, tiba-tiba tali rasa ringan seperti terlucut, kemungkinan besar ikan tenggiri telah memecut ke arah bot, ketika ini anda perlu
bertindak pantas dengan mengarau dengan kadar laju supaya ikan tidak dapat memutuskan tali utama, perkara begini perlu diberi perhatian kerana sering terjadi.
Gabungan idea dan konsep melancong sambil memancing amat menarik minat kumpulan saya berdasarkan cerita-cerita daripada rakan pemancing yang sudah berpengalaman memancing di Pulau Aur.
Lokasi memancing di sini yang terkenal dengan keindahan pantai dan taman laut menguatkan semangat kami untuk mengalami pengalaman memancing sedemikian.
Maka bot Tuna Biru menjadi pilihan kami untuk merealisasikan hajat kami ke sana. Selepas mendapatkan nombor yang perlu dihubungi, kami pun mengatur jadual dan membuat
tempahan 3-4 bulan awal kerana terlalu banyak permintaan tempahan dengan jadual yang padat dari pemilik bot.
Jika ada pemancing yang ingin menikmati pengalaman memancing sambil bersantai saya berpendapat memancing di Pulau Aur, Mersing adalah pilihan yang paling tepat.
Ini merujuk kepada pengalaman saya memancing di sana baru-baru ini.
Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman.
Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.
Bot Tuna Biru
Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi appollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini.
Appollo kami sering full house di unjam yang singgah. Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami.
Selepas kami tamat sesi appollo, kami mula melakukan teknik trolling.
Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam.
Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.
Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu.
Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan.
Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.
Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar.
Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan. Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang.
Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60lb dan batu ladung bersaiz 14.
Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg.
Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg.
Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.
Santai Pulau Aur
Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum.
Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.
Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur.
Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan. Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut.
Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.
Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan.
Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.
Lubuk Merah dan Kerapu
Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.
Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan.
Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.
Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain.
Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama.
Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.
Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.
Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing.
Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing.
Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Next Trip
Selepas mengalami pengalaman yang begitu mengujakan, ia telah menjelaskan kepada diri saya kenapa Mersing dan Pulau Aur menjadi pilihan terbaik untuk memancing.
Memancing sambil bersantai di Pulau Aur yang indah selama 3 hari 2 malam merupakan pengalaman terbaik sepanjang menceburi dunia memancing ini.
Walaupun tidak dapat merasai pengalaman memancing pada waktu malam di Pulau Aur seperti trip-trip lain sebelum ini, ia tidak memberi kesan kepada kumpulan kami kerana stok ikan yang kami perolehi sudah lebih daripada mencukupi.
Sikap tekong Sham dan ayahnya yang peramah juga menjadi salah satu faktor kenapa ramai kaki pancing gemar menggunakan khidmat mereka.
Pada saya, trip sebegini amat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak hendak memancing lama di laut.
Atas faktor-faktor tersebut jugalah, kumpulan kami tidak ketinggalan untuk membuat tempahan awal untuk trip akan datang sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...