Jeremy Wade merupakan seorang ahli biologi, pemancing ekstrem dan hos bagi rancangan yang tidak asing lagi iaitu River Monsters. Selama 25 tahun, Jeremy telah menghabiskan masanya menjelajah ke sungai-sungai paling terpencil di seluruh dunia.
Sepanjang perjalanan kariernya, dia telah berhadapan dengan pelbagai kejadian yang pelik ketika memancing selain risiko yang boleh mengundang maut. Kesemua risiko terpaksa dilalui oleh Jeremy dalam mendokumentasikan beratus-ratus kisah ikan dan budaya setempat setiap lokasi kunjungannya.
KUNJUNGAN KE MALAYSIA
Dalam jelajah mempromosikan siri River Monsters musim ke-6 lalu, Jeremy sempat singgah di Kuala Lumpur pada 24 Mei 2014 yang lepas. Bertempat di Sunway Hotel, beliau sempat meluangkan masa bertemu peminatnya. Jeremy juga berkongsi cerita pengembaraan terbaru berkaitan River Monsters musim ke-6, pertarungannya dengan gergasi air tawar Asia serta tip dalam menjinakkan spesies gergasi.
Figura yang dibesarkan di Suffolk Stour, England ini menjelaskan keghairahannya terhadap gergasi air tawar bermula sejak tahun 1982 ketika tripnya di India. Sejak itu, dia terus menghabiskan masanya menjejaki ikan gergasi yang mempunyai maklumat yang minimum di seluruh dunia terutama di Congo dan hutan hujan Amazon.
Menurut Jeremy, dia tidak melihat dirinya sebagai pemancing yang handal, tetapi dia mempunyai peluang untuk menjejak lokasi-lokasi terpencil yang sangat jarang dikunjungi. “Mengumpul maklumat daripada penduduk setempat tentang tip dan teknik sangat penting dalam untuk mendaratkan ikan gergasi dan melalui cara ini anda dapat melihat dan mempelajari diversiti budaya setempat,” tambah Jeremy lagi.
IKLAN
PENGALAMAN SEPANJANG RIVER MONSTERS
Musim terbaru, Jeremy lebih tertumpu kepada lokasi Sungai Amazon dengan lokasi yang lebih terpencil selain beberapa lokasi lain di seluruh dunia. Jeremy menjelaskan, selama berdekad dia memancing, Sungai Amazon merupakan lokasi yang tidak pernah puas dikunjunginya.
Selain itu, sepanjang pengembaraan dalam menyiapkan siri River Monsters, pelbagai pengalaman telah dilaluinya. Antaranya termasuklah dijangkiti malaria, disyaki sebagai agen penyamaran, hampir lemas serta mengalami pengalaman pesawat terhempas.
Pada tahun 1992, Jeremy menjadi penulis bersama dalam penghasilan buku yang dianggap penulisan klasik untuk pemancing iaitu Somewhere Down the Crazy River. Dia juga mendokumentasikan sejarah semula jadi dalam pengembaraannya dalam buku terbarunya bertajuk River Monsters: True Stories of the One That Didn’t Get Away yang dihasilkan pada tahun 2011.
IKLAN
BIOGRAFI RINGKAS
Nama : Jeremy John Wade
Tarikh Lahir : 23 Mac 1956
Asal : Suffolk Stour, England
Kelayakan : Ijazah Zoology dari Bristol University
IKLAN
– Sijil kelayakan mengajar bidang Sains Biology dari University of Kent
Setiap kali pergi memancing, kita pastinya sudah tahu tempat nak lepaskan ‘gian’. Kalau bulan ini rezeki lebih, kita ke hutan, mencari sungai-sungai yang jernih airnya. Jika ke laut, laut yang versi bagaimana.
Begitu juga dengan kamera. Jika kita bijak menggunakan kamera, di mana-mana sahaja pun gambar tetap cantik. Yang pasti, mesti kreatif, hasilnya pasti memberangsangkan. Oleh itu pastikan kamera sentiasa anda dalam genggaman.
Bukan setakat itu sahaja, pakaian juga penting. Janganlah ambil mudah mengenai pakaian. Tip di bawah ini mungkin boleh beri kesedaran sedikit betapa cantiknya gambar anda, hanya dengan sedikit perubahan sahaja.
Fesyen Warna Terang
Cuba sesekali memakai pakaian yang bercorak floral atau berwarna terang seperti oren, hijau terang, kuning, merah ketika pergi memancing. Hasil impak dalam gambar pastinya membantu bagi menghasilkan gambar menjadi lebih ‘mahal’.
Jarak Memainkan Peranan
Jangan ambil gambar dengan jarak jauh sangat. Contoh ambil gambar kawan yang berlainan bot. Kesannya: Gambar jadi blur atau bergoyang. Malah, muka kawan kita pun kecil sahaja dalam gambar. Impak lagi besar, kawan jadi panas hati sebab gambar tak memuaskan. Berhati-hati ya.
Kamera Telefon Lebih Sensitif
Ada pemancing nak mudah pakai kamera telefon versi tekan skrin. Akan tetapi, risikonya adalah bila tangan anda basah, skrin yang sensitif boleh menyebabkan telefon anda rosak. Beli atau bawa sahaja kamera kompak. Jika pinjam kamera kawan, nanti kawan lupa nak beri gambar itu pada anda. Lama kelamaan semua lupa. Dah jadi rugi.
Jaket & Seluar Berpoket
Kamera letak dalam jaket yang anda pakai (untuk kamera kompak). Jika kamera DSLR, pastikan anda bawa beg kalis air (drybag) bagi mengelakkan beg dompet & kamera basah. Seluar berpoket sangat sesuai untuk letak barang-barang akan tetapi ia agak berat. Pastikan seluar anda kalis air & tahan lasak.
Ekspresi Muka Rakan-Rakan
Ini sangat penting. Sebabnya, kadang-kadang kalau dah seronok sangat sampai terlupa nak tangkap gambar. Ambil gambar ekspresi mereka dalam apa jua riak secara kandid. Pastinya memori sebegini tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Bersama sepupu rapat iaitu Jimi dan Faiz, kami merancang untuk menjerat burung punai dan menjala ikan di hutan kecil belakang rumah Wan Senah. Hutan Kecil ini masih belum diteroka sepenuhnya oleh pembangunan moden.
Pagi tersebut kami sudah berkumpul di dapur rumah pusaka Wan sambil menghadap nasi lemak panas yang siap Wan Bungkus dan air kopi pekat yang padu rasanya. Inilah yang menyebabkan aku suka berlama-lama di rumah Wan. Walaupun usia Wan sudah menjangkau 80-an namun Wan masih gagah untuk memasak bagi anak cucu cicitnya yang ada di kampung.
Selesai makan dan matahari sudah segalah di atas kepala, kami bertiga sudah mengatur langkah dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kami bercadang untuk menaiki kereta hingga sampai di tepi kebun kelapa sawit ladang Felcra sebelum berjalan kaki merentas denai sejauh setengah jam untuk sampai ke tempat yang dituju.
Jam 11.00 pagi kami sudah sampai ke destinasi yang dituju. Sebatang sungai yang airnya masih jernih menyambut ketibaan kami. Kicauan burung yang galah berbunyi cukup menyakinkan aku bahawa rezeki kami akan pada hari itu.
Paiz mendirikan sebuah khemah manakala Jimi pula sibuk memeriksa jala dan perangkap burung yang dibawa. Aku pula mencari ranting-ranting kayu untuk dikumpulkan bagi dibuat unggun api untuk membakar ikan yang akan kami jala.
Siap semuanya Jimi memberi isyarat dia akan masuk ke belukar berhampiran untuk memasang jerat burung. Jimi memang pakal dalam hal ini. Aku dan Paiz pula mula meranduk anak sungai untuk menjala. Kami memilih bahagian hulu sungai, tempat yang selalu Pak Cu Jai mendapat ikan putih dan baung sebesar lengan minggu lepas.
“Aku hairanlah Jay,” Paiz bersuara sambil memandang mukaku. Ketika itu kami sedang meranduk air separas pinggang sambil membawa jala menuju ke tempat yang dituju.
“Kenapa pula?” tanyaku kembali. Kesejukan air sungai membuatkan aku sedikit terketar.
“Hutan ni sunyi semacam… macam rasa seram pulak,” jawapan Faiz membuatkan aku ketawa kecil.
“Memang sunyi. Sekarang kan musim raya. Siapa yang nak pergi memancing dan menjala time begini?” mahu kena leter dengan isteri atau mak bapak. Kita ni kira bernasib baik kerana masih bujang lagi,” jawabku cuba meredakan kerisauan di hati Faiz. Aku nampak Faiz tersenyum dan mengangguk. Mungkin jawapanku agak bernas di fikirannya.
Memang rezeki kami murah hari itu. Setakat ikan putih, baung dan lampam, semuanya bagaikan menyerah diri setiap kali kami menebar jala. Kami sudah bercadang utuk menyedekahkan ikan-ikan yang ada pada saudara mara yang datang berkunjung ke rumah Wan atau dijadikan lauk pauk utnuk hidangan setiap kali ada tetamu datang. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu Wan mengurangkan perbelanjaan dapurnya sehari dua.
Keasyikan kami menjala membuatkan kami terlupa tentang Jimi yang pergi memasang jerat burung di tepi belukar. Aku hanya teringat akan Jimi apabila terlihat seolah-olah kelibatnya sedang laludi tepi sungai sambil melambai tangannya seolah-olah meminta pertolongan. Ketika itulah aku melihat jam tangan dan terasa terkejut apabila melihat jam sudah menunjukkan angka empat petang. Zuhur hampir habis dan Asar akan menjelma. Ya Allah, betapa pantasnya masa berlalu tanpa kami sedari.
Terkecoh-kecoh kami seketika. Kami bergerak pantas menuju ke khemah dengan harapan semoga Jimi sudah ada di situ. Mungkin sudah menanak nasi dan menunggu ikan kami untuk dibakar. Namun harapan itu hampa. Khemah kami kosong. Jimi tiada.
Hatiku mula dilanda kerisauan. Takkan Jimi mengambil masa yang lama untuk memasang jerat burung. Biasanya hanya sekitar satu jam sahaja dan selepas itu dia akan mula menyertai kami untuk menjala ikan. Itulah kebiasaannya yang biasa kami lakukan.
Aku dan Faiz mula merayau di dalam kawasan belukar berhampiran sambil melaungkan nama Jimi. Hanya jeritan ungka dan kicauan unggas yang terdengar bersahutan. Akhirnya Faiz mendapat satu idea. Kami mendail nombor telefon Jimi dengan harapan akan terdengar bunyi deringan kelak. Usaha itu membuahkan hasil setelah beberapa kali mencuba.
Sayup-sayup terdengar lagu dari siaran radio di dalam kawasan belukar yang mulai redup itu. Kami berdua berlari mencari punca lagu itu dan akhirnya kami terjumpa Jimi yang sedang terbaring dalam keadaan telangkup di bawah pokok duri di tepi belukar. Di tangannya tergenggam telefon yang masih lagi berbunyi ketika kami sampai.
Mulut Jimi berbuih ketika kami menelentangkan badannya. Matanya terbuka terbelalak. Badannya menggigil-gigil seolah-olah dalam keadaan kesejukan.
“Jimi… bangun!” aku cuba menggerakkan Jimi
Keadaan Jimi masih tidak berubah. Akhirnya kami berdua sepakat untuk memapah Jimi balik ke kereta. Hanya ikan yang dijala tadi yag kami bawa pulang bersama. Khemah dan peralatan jala kami tinggalkan saja. Nyawa Jimi lebih penting daripada itu semua. Keadaan rumah Wan kecoh dengan apa yang berlaku.
Imam Asrol dipanggil untuk membantu memulihkan Jimi. Setelah membaca ayat Qursi dan ayat-ayat Ruqyah, barulah Jimi sedar setelah bercakap merepek-repek sebelum itu. Setelah pulih, Jimi bercerita tentang pengalamannya berjumpa dengan sebuah istana besar yang dikelilingi air. Ikan besar-besar melompat-lompat jinak di dalam sungai itu. Begitu juga dengan burung punai, merbah, merbuk, dan burung ayam-ayam.
Di istana besar itulah, Jimi berjumpa dengan seorang lelaki hodoh yang mempunyai dua tanduk di atas dahinya. Lelaki tua hodoh itu memarahi Jimi kerana memasuki kawasannya tanpa kebenaran dan mencuri binatang ternakannya. Sebagai hukuman, Jimi dipukul dengan akar rotan hingga belakangnya berbirat-birat merah. Anehnya kesan itu memang jelas kelihatan di bahagian belakangnya!
Sejak kejadian itu, kami sudah tidak masuk lagi di kawasan hutan simpan itu. Kejadian yang menimpa Jimi menguatkan lagi dakwaan orang-orang kampung yang mengatakan kawasan itu memang keras kerana berpenunggu. Namun hobi menjala dan menjerat burung ini tetap juga kami teruskan tetapi kali ini kami cari tempat yang lebih terbuka dan selamat.
Kekili – Kekili sebaiknya guna siri 4000 dan ke atas. Apa-apa pun brand kekili boleh digunakan. Sebaiknya gunalah kekili khas untuk pancingan air masin dan tahan lasak.
Joran – Batang pancing mesti yang keras! Sebaiknya gunalah joran berkekuatan sekurang-kurangnya PE1-3 atau 15lb-30lb aksi sederhana. Joran bertulang belakang yang kuat amat penting untuk mengekang larian ikan.
Tali utama – Tali benang atau braided berkekuatan 80lb adalah sangat digalakkan. Tali tangsi (mono) atau tali benang yang halus tidak digalakkan kerana mudah putus jika bergesel dengan struktur di bawah sangkar yang berteritip atau siput-siput yang tajam.
Perambut – Perambut tangsi yang keras atau campuran fluorocarbon sehingga 100. Perambut kena kasar dan tahan lasak untuk berhadapan dengan teritip yang banyak terdapat pada tali-tali pengikat sangkar.
Selain perambut batu hidup, boleh juga perambut T (untuk bottom dan berpelampung).
Mata kail – Mata kail yang disarankan ialah 3/0 hingga 6/0.
Ladung – Batu ladung hidup (biji kana) saiz 5, 6, 7 tergantung kepada kelajuan arus.
Umpan – Udang hidup, belanak hidup atau hirisan ikan termenung yang segar.
Teknik
Teknik bottom – Umpan perlu dilabuhkan berhampiran kawasan sangkar. Apabila menunggu, sebaiknya joran dipegang dan drag dikunci agak ketat.
Jangan terlalu longgar kerana kalau kena ikan 4-5kg memang tak sempat nak buat apa-apa. Ikan akan masuk bawah sangkar dan peluang nak dapat naikkan ikan amat tipis.
Drag jangan pulak terlalu ketat kerana kalau tak pegang kemas-kemas, joran boleh terbang di bawa ikan. Kalau dipacak pada rod holder bot pula ada kemungkinan hujung joran akan patah atau tidak sempat nak cabut joran keluar dari rod holder.
Teknik apung
Perambut sepanjang 1 depa dengan pelampung dibiarkan hanyut ke tepi sangkar tetapi perlu tengok keadaan air dulu.
Kalau air jalan lurus baru boleh guna pelampung. Kalau menyerong tak boleh guna pelampung kerana nanti tersangkut tali sangkar.
Teknik hanyut
Perambut sepanjang 1 depa digunakan tanpa pemberat. Teknik ini hanya sesuai digunakan jika tidak ramai pemancing dan arus kurang laju.
Waktu
Waktu yang cun untuk memancing kat sangkar ikut bulan Islam ialah pada tarikh 5, 6, 7, 8, 9, 10, 11, 19, 20, 21, 22, 23, 24 dan 25.
Nasib
Di kawasan sangkar Sungai Udang ini terdapat 204 buah sangkar. Dalam sehari tekong akan meronda dan parking sekitar 10 buah sangkar sahaja.
Dan jika ada sangkar yang pecah dan ikan terlepas keluar ke laut luas maka ia dianggap jackpot kepada pemancing yang bernasib baik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...