
Sebenarnya Malaysia masih kurang kedai yang menjual enjin sangkut ini. Industri memancing yang pesat memacu ke hadapan sepatutnya memerlukan banyak pusat servis atau menjual enjin sangkut yang terpakai.
Bagi yang memilih untuk membeli enjin sangkut terpakai, beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum membelinya sama ada daripada individu ataupun kedai yang menjual enjin sangkut.
Perkara pertama yang perlu diteliti adalah kualiti semasa enjin sangkut tersebut. Bahagian dalaman enjin seperti gasket blok tiada kebocoran, mudah dihidupkan, pusingan sistem penyejuk enjin dalam keadaan baik dan tiada gegaran yang kuat pada enjin ketika dihidupkan. Pembeli ada kuasa untuk meneliti enjin tersebut sebelum membelinya.
Harga juga memainkan peranan dalam pemilihan sesebuah enjin sangkut. Secara amnya, enjin sangkut bukan dinilai dari tahun dikeluarkan seperti kenderaan motosikal atau kereta tetapi ia boleh dinilai dari kualiti keadaan semasa enjin tersebut dari segi luaran dan dalamnya.
Bagaimana ianya boleh dinilai?. Dapatkan harga model yang sama di kedai dan penilaian boleh dibuat berdasarkan harga susut nilai sebanyak 40 hingga 60 peratus. Sebagai contoh enjin 5 hp (kuasa kuda) yang baru bernilai RM3200 Tetapi setelah dikira harga susut nilai semasa pengurangan mungkin boleh mencapai sehingga RM1500 mengikut keadaan semasa enjin tersebut.
Apa yang penting, enjin sangkut tidak mempunyai geran seperti kenderaan darat. Tetapi bukti pembelian resit asal daripada pemilik atau kedai amat penting disimpan kerana enjin sangkut adalah salah satu barang yang sering di curi.
Di perairan pantai barat Malaysia, kecurian enjin sangkut kerap dilaporkan dan pembeli perlu berhati hati agar dapat menghindarkan dari membeli barang curi. Setiap enjin sangkut mempunyai nombor siri casis yang berlainan dan ia direkodkan di dalam setiap surat pembelian enjin baru.
Apa yang penting, fahami segala aspek enjin sangkut ini kerana setiap kuasa kuda berlainan spesifikasinya termasuklah beban berat, badan luaran alat ganti.
Sekiranya pembeli ingin membeli daripada penjualan Internet, sebaik-baiknya lihatlah sendiri keadaan fizikal sebelum membuat keputusan. Buat pertemuan dengan si penjual. Lihat peralatan sampingan seperti tangki minyak serta saluran paip minyaknya dalam keadaan baik. Jika tidak mahir, bawalah rakan yang mahir bertemu dengan penjual berkenaan. Mana tahu anda tertipu atau terbeli enjin curi.
Mengenal Perbezaan Ikan Tengas Dan Kelah!!

Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai tengas batu. Sementara ikan kejor atau tengas kejor ialah Neolissochilus Soroides. Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai Poropuntius Smedleyi. Apabila memperkatakan tentang ikan kelah, lazimnya ia merujuk kepada ikan kelah merah yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Di negara kita ikan kelah merah dikenali sebagai Tor tambra (nama binomial).
Sementara ikan kelah biru jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Manakala ikan kelah hijau adalah panggilan nama merujuk kepada ikan tengas, iaitu satu spesies yang mirip mirip kelah, dan juga digelar sebagai false mahseer.
Ikan Tengas
Ikan tengas memiliki sisik yang lebih jarang berbanding ikan kelah.
Jika ikan tengas diterbalikkan, anda hanya dapat melihat 2 garis di bahagian bawah bibirnya.
Lebihan isi pada bibir ikan tengas amat pendek.
Ikan Kelah
Ikan kelah bersisik rapat. Perbezaan ini sebenarnya agak ketara tetapi ramai yang tidak memerhatikannya.
Ikan kelah memiliki lebihan isi yang panjang pada mulut atau bibir. Ini merupakan identiti khas bagi ikan kelah.
Ikan kelah turut terdapat lebihan di cuping median yang tidak dimiliki oleh ikan tengas.
Jika ikan kelah diterbalikkan, anda boleh perhatikan garis di bawah bibir. Terdapat 3 garis pada bahagian bibir ikan kelah.
Fahami Kegunaan Yang Tepat Batu Ladung

Pemberat atau biasa disebut sebagai batu ladung oleh pemancing merupakan alatan tambahan dalam kelengkapan memancing. Antara fungsi kegunaan pemberat adalah memudahkan umpan dilontar ke posisi lubuk, mengekalkan posisi umpan di dasar atau menghalang umpan daripada timbul di permukaan.
Pemberat lazimnya diperbuat daripada timah kerana ciri utama timah ialah ketumpatan tinggi dan menjadikannya berat, suhu lebur rendah menjadikan kos pembuatan murah, tahan karat dan tahan hakisan air laut. Namun ia juga boleh diperbuat daripada pelbagai jenis logam lain.
Terdapat pelbagai jenis batu ladung yang ada di pasaran masa kini. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi kurang arif mengenai kesesuaian penggunaan batu ladung ini sama ada bentuk, saiz ataupun beratnya.
Batu Ladung Bulat
Pemberat berbentuk bulat (lebih kepada bentuk buah pear) ini juga popular sebagai batu mati atau batu gantung pertama yang dikenali oleh pemancing sebagaimana batu ladung hidup. Pemberat ini sangat sesuai digunakan untuk memancing di kawasan yang pantai atau laut yang landai, berpasir ataupun berlumpur. Tetapi ia tidak sesuai digunakan di kawasan berbatu karang kerana bentuknya yang bulat sememangnya memudahkan batu jenis ini untuk tersangkut.
Cara penggunaan batu ladung ini bergantung pada keadaan air di kawasan anda memancing. Jika kawasan tersebut berarus deras, gunakanlah saiz yang lebih berat agar tali anda tidak hanyut terlalu jauh dari kawasan permainan ikan.
Batu Ladung Hidup (running sinkers)
Boleh dikatakan ia adalah batu ladung pertama yang digunakan atau dikenali oleh pemancing. Sememangnya sejak dari kecil lagi pemancing didedahkan dengan batu ladung hidup atau turut dikenali sebagai batu biji kana.
Batu ladung hidup merupakan sejenis pemberat yang membenarkan tali pancing utamabergerak bebas melaluinya tanpa diikat. Kebiasaannya batu jenis ini sesuai digunakan di kawasan muara dan ia juga sering digunakan untuk memancing di tasik, sungai atau kolam-kolam komersial.
Penggunaan batu jenis ini amat sesuai digunakan untuk memancing ikan siakap di muara-muara sungai kerana bagi sesetengah ikan (seperti siakap) ia akan memuntahkan kembali umpan apabila terasa ‘berat’ dan umpan tersangkut-sangkut pergerakannya. Jenis batu hidup yang popular ketika ini ialah ladung biji kana dan ladung bulat.
Batu Ladung Panjang
Batu Ladung berbentuk seperti silinder panjang juga antara jenis pemberat yang biasa digunakan oleh pemancing tidak kiralah di pantai, kolam mahupun tasik. Batu jenis ini sangat efektif digunakan untuk pancingan tepi pantai ataupun kuala.
Batu ladung jenis ini juga boleh diguna pakai untuk pancingan di kawasan berbatu karang. Bentuknya yang tirus menajam di kedua-dua hujung berpotensi untuk mengelakkan perambut anda dari tersangkut di celah-celah batu karang. Sama seperti batu ladung bulat, saiz batu ladung panjang juga digunakan mengikut kawasan memancing anda.
Batu Ladung Sauh
Pemberat yang dilengkapkan dengan dawai logam umpama kaki labah-labah tetapi kelihatan seperti bentuk jauh ini amat popular digunakan oleh kaki pancing dari Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Terutamanya pemancing pantai. Batu jenis ini amat bersesuaian digunakan di kawasan yang berarus deras terutamanya sewaktu air jalan pasang ataupun jalan surut.
Kegunaan dawai di sekeliling batu sauh ini adalah untuk memastikan batu ini dapat mencengkam dasar laut sekali gus mengelakkan dari perambut kita dihanyutkan arus deras. Walaupun kelihatan seperti lebih mudah tersangkut namun ia dihasilkan untuk ditarik keluar dari kawasan sangkut dengan mudah.
Kisah Seram Memancing – Sesat Di Port Keras!!

BAGI PEMANCING YANG MEMPUNYAI TUGASAN HAKIKI PADA HARI BIASA MENGIKUT ‘OFFICE HOUR’ SEPERTI AKU, HARI MINGGU ADALAH MASA YANG DITUNGGU UNTUK MENERJAH MANA-MANA ‘PORT’ YANG DIINGINI.
Boleh dikatakan setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di UiTM dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Ijal. Rupanya Ijal sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Ijal akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Ijal di perkarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Ijal. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di ‘set-up’ tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Ijal untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Ijal bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Ijal mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh “Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Ijal yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pakcik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Ijal hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Ijal hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Jal!” Tetapi tidak diendahkan oleh Ijal sebaliknya Ijal terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Ijal, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Ijal sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.