Pemancing kita mempunyai pelbagai kecenderungan cita rasa dan minat. Ada yang minat memancing di laut dalam, ada pula yang gemar memancing sungai-sungai pergunungan dan ada pula yang gemar memancing udang galah sahaja. Tidak ketinggalan ada yang suka mencandat sotong. Bagi peminat Moluska cephalopoda ini, paling tidak pun setahun sekali mesti turun mencandat.

 

Di semenanjung Malaysia, bulan April sehinggalah sehingga bulan September/ Oktober (sebelum tibanya musim tengkujuh) dianggap waktu musim mencari sotong atau lebih dikenali sebagai mencandat sotong. Waktu ini, perairan pantai timur (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor) meriah dengan aktiviti mencandat sotong.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Namun mencandat di negeri Terengganu lebih popular sehinggakan tempahan bot akan sentiasa penuh. Kehadiran sotong dalam jumlah yang banyak dengan saiz yang ‘bagak’ menggamit kaki-kaki candat seluruh tanah air berkunjung ke sini.

 

Pada waktu malam, kita boleh melihat betapa meriahnya perairan dari Kemaman, Paka, Dungun, Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik dengan kerlipan cahaya lampu-lampu bot nelayan yang turun mencandat.

 

Perambut yang bersenjatakan gewang candat 4-5 biji sentiasa ‘full house’ dan kita boleh mencandat seratus kilogram atau lebih apabila berada di atas ‘kandang sotong’ atau ‘telor’ kerana sotong yang bersifat garang ketika ini pasti menyerang candat yang memasuki ‘kawasan larangan’, walaupun disiang hari!

 

Sotong torak, jarum/cumit adalah sotong yang biasa di candat di perairan negara kita. Manakala sotong mengabang @ ngabang lebih kerap diperolehi jika memancing di kawasan berstruktur seperti unjam, tukun serta batuan di tepian pulau. Sotong kurita pula ditangkap menggunakan sauk atau menggunakan tangan.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

IKLAN

Sotong torak sentiasa menjadi buruan utama kaki candat kerana saiznya yang besar serta badan yang lebih panjang hingga mencecah hampir 2 kaki berbanding sotong jarum atau cumit.

Sotong boleh dipancing menggunakan candat. Terdapat beberapa jenis candat yang digunakan di Malaysia antaranya:-

 

CANDAT APOLLO

 

Candat berbadan putih manakala kepalanya berwarna merah, hijau, pink dan oren tetapi yang berkepala merah (ultraman) menjadi pilihan kebanyakan pemancing. Bersifat terapung dan cukup efektif walaupun dimainkan pada waktu siang (petang/ awal pagi). Candat ini perlu dihenjut agar beraksi seperti mangsa yang melarikan diri lantas sotong mengejar dan memeluk candat. Biasanya ia dijual dalam peket yang mengandungi 3-5 biji candat. Oleh kerana kerenah dan selera sotong tidak menentu, disarankan kita membawa candat ini dalam pelbagai warna.

 

 

CANDAT UDANG

Candat yang menyerupai bentuk udang ini cukup popular di kalangan pemancing. Banyak dijual di kedai-kedai pancing seluruh negara. Yamashita dan Yo-zuri antara jenama candat udang yang menjadi rebutan pemancing kerana keberkesanannya menjerat si lembut meskipun harga yang tertera ‘sendiri mau ingat’.

Bersifat timbul tetapi diimbangi dengan timah pemberat di dada dalam beberapa saiz. Dihiasi dengan dua helai bulu ayam di kiri dan kanan badannya. Kini candat udang telah diperbaharui dengan pelbagai corak yang menarik dan warna yang lebih striking serta bercahaya mengikut tahap kejernihan air laut dan cahaya bulan. Candat ini menjadi kegilaan para peminat sotong mengabang khususnya untuk mengilat di tepian pulau atau di sekitar kawasan berbatu.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

CANDAT MAYAT

Candat ini mendapat namanya kerana ia dibungkus/dikapan dengan kain seumpama mayat. Ia cukup popular di kalangan nelayan pantai timur. Candat ini ringan, ia diikat 2-3 biji pada tali perambut dan perlu dihenjut agar melambai-lambai memanggil sotong datang menghampiri. Berharga ekonomi dan banyak dijual di sekitar pantai timur. Candat mayat merupakan senjata yang ‘mesti ada’ di dalam tackle box peminat sotong.

 

 

CANDAT PAYUNG

Candat tradisional dan telah digunakan sejak sekian lama. Mendapat nama ‘payung’ kerana pada peringkat awal, candat ini diperbuat dari bahagian hujung besi payung

dan dijalin dengan beberapa bentuk mata kail menggunakan tali tangsi atau benang jala.

Ia juga dikenali sebagai candat umpan. Ikan umpan akan dicucuk pada batang candat ini dari bahagian ekor ke kepala. Tamban, alu-alu, kembung,kunyit dan selayang antara jenis ikan umpan yang sering digunakan tetapi saiz ikan mestilah tidak melebihi panjang besi candat. Batu ladung hidup perlu dimasukkan ke tali utama atau boleh juga menggunakan tanduk.

Ada juga pemancing yang menurunkan candat ini tanpa batu ladung agar umpan ikan melayang-layang memanggil sotong. Candat ini dibiarkan sahaja tanpa perlu dihenjut. Kini candat payung telah dikomersialkan dan dijual dengan harga yang murah. Candat ini sebenarnya ‘wajib dibawa’ dan mesti dimiliki setiap kaki candat.

Mana tahu malam yang anda turun mencandat sotong lebih memilih ikan berbanding yang lain. Sambil mencandat menggunakan joran, hulurkan candat payung dan dibiarkan. Sesekali anda periksa candat ini, pasti ada sotong yang mengena!

 

 

CANDAT TWIST

Candat yang berat ini dikelilingi banyak mata kail. Badan candat ini dibaluti dengan kain berwarna-warni. Penggunaan candat 2 in1 ini adalah sebagai pemberat, sekali gus boleh menjerat sotong berbanding dengan menggunakan batu ladung yang tidak mempunyai mata kail. Candat twist diikat ke hujung tangsi/perambut. Tujuannya adalah untuk memastikan tangsi sentiasa tegang ke bawah.

Manakala 2-3 biji candat mayat atau candat apollo diikat pada tangsi/perambut bahagian atas candat twist ini. Ramai pemancing memilih candat twist siam yang lebih slim agar lebih laju turun ke dasar. Cepat sampai ke dasar bermakna lebih banyak sotong akan menghuni tong yang dibawa.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

CANDAT SP ( SOFT PLASTIK)

Candat ini dihasilkan dari plastik lembut yang bersifat menyimpan cahaya dalam tempoh yang lama. Ia bersifat tenggelam. Rata-rata ahli komplot saya menggunakan candat SP pada trip ini. Walaupun harganya mahal sedikit berbanding candat apollo tetapi berbaloi menggunakan candat SP ini kerana kelebihan ‘super luminos’ nya.