Masih dengan objektif yang sama seperti musim lepas, FunBattleBelida V2 anjuran Merong Fishing Community adalah untk mengeratkan dan merapatkan hubungan antara pemancing yang meminati teknik casting atau mengilat menggunakan umpan artifisial atau umpan tiruan.
Pada masa yang sama ia bertujuan untuk mempromosi Kubang Sepat sebagai tempat atau lapangan untuk memburu spesies ikan belida dengan mempraktikkan teknik mengilat umpan tiruan sahaja. Dan yang paling utama tentu saja FunBattleBelida ini dijadikan acara tahunan untuk semua pemancing.
Hadiah FunBattleBelida pada kali ini kebanyakannya sumbangan dari LureMaker handmade dan jenama barang produk tempatan yang terdiri daripada IkanzClothing, DouxCraft, Boytep, ZulCraft, BobbySpinerbait, LangbuanaLuremaker, EpolCraft, AtokLure serta BlackWaterSyndicate.
Tidak ketinggalan sumbangan gewang dari kenalan caster bagi memeriahkan lagi acara ini. Score atau jumlah tangkapan pada tahun ini hanya 13ekor dan hanya seekor sahaja yang mati. Selebihnya berjaya dilepaskan semula.
Pada battle kali ini kami menitikberatkan tentang keadaan ikan supaya tidak tercedera dan boleh dilepaskan semula. Untuk itu pihak urus setia dan marshall menyediakan beg plastik bagi urusan menghantar hasil tangkapan masing-masing dengan selamat.
(Laporan oleh : Zamrie Azizan )
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dah hampir setahun kat sekolah baru. Suasana baru, rakan-rakan baru. Perlu masa untuk biasakan diri dengan persekitaran yang baru. Tahun lepas, asalnya sekadar berbahasa basi dengan kawan-kawan baru kat sini tentang hobi memancing. Tak sangka dorang memang pun ada plan yang sama. Terus tetapkan trip dan tarikh untuk ke rumah rakit.
Kami 10 orang nekad untuk jayakan trip rumah rakit ni. Akhirnya 9 orang sahaja yang berjaya teruskan. Sorang tarik diri kerana sebab yang tak boleh dielak dah.
Rumah Rakit To’ Wan ni ada 4 buah kalau tak silap la. Yang kami sewa ni tak tahu pulak apa namanya. Kalau tak silap, dorang sebut rakit 4 je. Macamana nak ke sini? Berapa harga? Jauh tak naik bot? Apa yang nak di bawa? Ok2… Aku ceritakan kat sini serba sedikit la.
Memang orang kata, tak berbaloi bayar mahal-mahal (sorang bayar RM100), tapi dapat ikan kecik-kecik je, baik pergi pasar. Dengan jumlah tu dah dapat ikan besar-besar dan bagus-bagus. Hahaaaa…. betul. Aku setuju dengan pendapat camtu. Sememangnya kalau betul nak makan ikan dan cari lauk, trip macam ni tak berbaloi. Pergi pasar lagi bagus.
Baik… dengan bayaran RM100, apa yang aku dapat? Aku dapat naik bot. Dapat makan kambing bakar… isi masa dengan kawan-kawan. Ada jugak yang bukan kaki pancing pun join sama semata-maga nak isi masa lepak-lepak.
Kadang nilai RM100 tu tak dapat dibeli dengan pengalaman-pengalaman baru. Bermalam di tengah-tengah sungai. Hayati perubahan air pasang surut, derasnya arus dan ada masanya arus tenang. Dapat nikmati perubahan angin, alunan air. Deruan bot. Masing-masing ada cara menikmati hobinya. Yang penting, wife bagi lesen la.
Kalau nak tempah, boleh cari je kat Facebook Rakit To’ Wan. Nombor phone ada sekali kat sana. Rumah rakit yang kami sewa ni harga rm500 untuk 12 jam. Maksudnya kami boleh masuk start jam 4 petang dan keluar jam 10.30 pagi esoknya.
Persiapan rapi dah dibuat awal-awal lagi. Arang, kambing perap, ayam perap, segala peralatan BBQ, air mineral. Kat sana memang dah sediakan dapur gas dan pinggan mangkuk. Bekalan air bersih pun ada tapi kena la berjimat.
Beli umpan umpun-umpun (umpan ni je paling laku malam tu), udang hidup (tak disentuh langsung dari malam sampai esoknya), sotong pasar dan udang pasar (udang kopek boleh jugak la slow-slow). Umpun-umpun ni ada jual kat kedai area jeti.
Oleh sebab aku sekolah sesi petang, terpaksa la aku bertolak malam lepas solat maghrib. Nasib la ada sorang lagi yang follow aku gerak malam. Tak la aku sorang-sorang terkebil-kebil cari jalan ke Klang. Yang lain dah bertolak petang tadi. Waze tuju ke Jeti Nelayan Teluk Nipah Klang dalam 50km lebih dari rumah aku Puchong Utama.
Sampai kat jeti, tambah beli umpan umpun-umpun RM50. Kemudian, kena cari Pak Abu. Pak Abu ni boatman yang bawak kami ke rumah rakit. Call tak masuk. Ahhhh sudah… tanya-tanya orang kat situ. Katanya mungkin Pak Abu hantar orang kot, kena tunggu. Ishhh tak jadi ni, lama tunggu, rugi masa.
Tangan dah gigil nak baling umpan. Aku try ke hujung jeti, dalam gelap-gelap malam macam tu, nampak bot-bot terikat di jeti. Ada orang dalam bot leka membersihkan botnya.
“Cari siapa?” terkejut aku dengar sapaan dari bot. Nasib baik awal2 tadi aku dah perasaan ada orang kat bot.
“Pak Abu ade?”
“Yeee… sy Pak Abu..” Alhamdulillah ade jugak Pak Abu. Mantap Pak Abu. Dah lama aku tak naik bot.
Naik bot tengah malam dalam jam 9.30…. syahdu wehhhhh! Tak jauh pun rumah rakit ni. naik bot pun tak sampai 5 minit. Bot kayu, besar jugak. Tak puas naik bot. Sampai kat rumah rakit, dorang tengah melayan gelama… laaaa gelama je dari tadi. Tapi takpe la dari takde ikan langsung. Kambing pun siap bakar. Join dorang ni, seolah dah lama kenal. Yang belum kenal, time ni la nak kenal-kenal. Bagus team ni.
Malam tu, kami hanya melayan gelama, tak la besar sangat. Selain tu, ade ikan duri. Tetanda ade seekor je yang naik. Buntal pun ade sekali. Rupanya buntal ni ade gunanya. Petua orang lama, tanam buntal ni kat area sarang anai-anai, Insyaallah hilang la anai-anak. Gitu rupanya. Tapi bukan la bermaksud aku gigih untuk pancing buntal.
Malam tu aku tak tidur pun. Kami bertiga je yang gigih mancing tak tidur. Yang lain dah tewas bila ikan dah slow jamah umpan. Ade jugak kes lucu sebelum masuk waktu subuh. Sangkanya dapat ikan besar, rupanya setelah puas melawan, yang naiknya baldi dan sekor anak gelama.
Matahari mula terbit. Cantiknya suasana macam ni. Takkan dapat suasana macam ni kat pasar. Indah sungguh alam ni. Sarapan la apa yang ada. Mancing mesti diteruskan. Baru nampak macam mana keadaan sekitar. Rumah rakit ni tak jauh pun dari tebing. Banyak rumah rakit kat sini.
Cuma rezeki untuk dapat ikan-ikan besar tu belum ada. Mungkin lain kali boleh datang lagi. Ada yang datang dengan anak kecil ke rumah-rumah rakit kat sini. Mungkin itu cara mereka isi masa dengan family. Family day mereka buat kat sini, aktiviti santai. Pupuk hobi anak-anak memancing. Tak la mereka asyik mengadap gajet tiap waktu. Insyaallah nanti bawak family pulak ke sini.
Jam 10.30 lebih jugak baru kelibat Pak Abu datang ambil kami. Maka tamat la sesi trip rumah rakit kali ni. Ura-ura nak ke Pulau Pangkor pulak lepas ni hahaaa…. Harap-harap jadi la trip team ni bawak family masing-masing.
Selepas Asar kami menyusur membelah ombak mencari spot sotong untuk dijadikan umpan hidup di Redang pada keesokan hari nanti.
Spot sotong mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai dari jeti. Ketika bot menuju spot sempat kami membuat perambut candat dan melelapkan mata seketika untuk berehat.
Kelibat bot #2 sudah tidak kelihatan, masing-masing mencari spot sendiri mana la tahu dapat kandang sotong boleh la ‘calling-calling’ untuk sama-sama mencari umpan.
Ternyata malam itu sotong tidak seberapa mewah. Hanya yang hidup ada 30 ekor sahaja. Tekong Din menghubungi tekong bot #2.
Ternyata hasil sotong hidup bot #2 pun kurang pada malam tersebut. Memandangkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, satu perbincangan kecil antara saya dengan Tekong Din agar
meneruskan perjalanan menuju ke Redang. Perjalanan ke Redang membolehkan kami tidur sepuasnya.
Pukul 7 pagi kami sampai satu spot kapal karam. Bayang Pulau Redang sudah kelihatan tetapi masih jauh nak dituju. Labuh dulu umpan mana tahu ada rezeki kami.
Set kekili elektrik dan multiplier menjadi taruhan kali ini. Set multiplier Banax Tracker 30 dipadankan dengan rod Lemax PE#2-4 berumpan sotong hidup menjadi pilihan ikan bagi pembuka tirai.
Balan, selaku orang baru yang mengikuti trip ini menggigil mengarau kudrat jenahak. First strike dengan spesimen 7 kg membuatkan beliau tersenyum lebar dan membuatkan rakan lain berasa geram, tercabar dan tak senang duduk.
Lantas, kemudiannya, seekor demi seekor pelbagai spesies dinaikkan daripada rakan lain. Ada juga mencuba nasib dengan kaedah jigging.
Faez berjaya mendaratkan sagai berskala 2 kg dengan menggunakan setup light jig. Padanan rod Major Craft Go Emotion PE#0.4-0.8 dengan kekili Shimano Stradic CI4 – 2500FA, serta tali sulam Extreme Spectra 10 lb memang karan melayan.
Pindah lubuk
Jam 9 pagi kami berpindah menuju ke karang Redang. Kelihatan bot #2 baru sampai mencari spot karang dan lopak.
Set yang sama digunakan, umpan sotong hidup menjadi taruhan. Strike!!! Hanya menekan button ON kemudian bertahan dengan batang rod sahaja.
Mudah dengan adanya khidmat ‘bangla’. Kudrat Miya command X6 memang tidak dinafikan akan kekuatannya. Jangan putus perambut sudah. Spesimen 4 kg ebek berjaya didaratkan oleh saya.
“Gancu…! Gancu…! Dia mai dah,” jerit Didi yang menjadi DJ di atas bot #1. Ada sahaja celoteh beliau di atas bot yang membuatkan kami tidak sunyi. Tahniah, ebek seberat 6 kg berjaya menjadi milik Shahrul Amin.
Petang kami masih di karang Redang. Melayan karenah ikan bersaiz 500 gram sehingga 2 kg. Saiz sebegini memang sedap untuk lauk. Hari semakin senja, umpan hirisan sotong dipertaruhkan.
Tiba-tiba isyarat loceng berbunyi, lenturan joran kelihatan. Spesies apakah ini? Skrin Miya Command X6 menunjukkan bacaan 54 meter terus memuntahkan tali hingga 70 meter.
Drag diperketat sedikit lagi agar tali tidak terus keluar. Sedang asyik melayan kudrat yang tidak tahu spesies apakah ini, ada juga rakan lain sudah berjaya mendaratkan ikan.
Pertarungan masih berlaku, akhirnya muncul jua memperkenalkan diri. Satu spesies yang diberi nama yu kemejan.
Memang spesies ini kuat kudratnya sehinggakan memerlukan dua batang gancu untuk menaikkannya di atas bot. Satu kepuasan bagi saya kerana dapat menjinakkan yu kemejan ini yang berskala 13 kg.
Sebelah malamnya, kami masih dengan seisi bottom menggunakan hirisan juraian sotong. Teknik jig juga dipertaruhkan. Dengan menggunakan jig luminous pasti dapat menarik perhatian spesies pelagik.
Cupak bersaiz remaja banyak terpedaya dengan aksi unjunan jig luminous ini. Sesekali alu-alu juga membaham jig ini yang membuatkan putus tali perambut.
Geram juga jika spesies ini menyerang. Tetapi hendak buat macam mana memang itu rezeki kita. Layan je la.
Dikendalikan oleh tekong Pok Pa dan seorang pembantu bernama Meso. Para pemancing terdiri daripada Faizul (penganjur), Zarmali, angah, Asu, Jett, Amirul Yusrizal, Remy dan Hj Kasim.
Saya mendapat maklumat daripada organiser iaitu Faizul, mereka mencari umpan sotong sehingga jam 4 pagi kemudian baru meneruskan perjalanan ke perairan Redang.
Bekalan sotong hidup mereka juga agak kekurangan. Pada malam pertama pencarian sotong lebih gemarkan memakan umpan ikan.
Mujur mereka ada membawa sedikit umpan ikan yang dibeli di pasar.
Jam 9 setengah pagi baru mereka sampai di Redang. Bermulalah misi mereka mencari spesies monster.
Ada yang mengunjun jig dan bottom sebagai teknik untuk mendapatkan hasil tangkapan. Spot mereka berjaya mendapat 4 ekor jemuduk, 4 ekor ebek, dan pelbagai spesies ikan lauk.
Difahamkan Jett mendapat ragutan kasar oleh sang layaran. Hanya mendapat melihat aksi akrobatik layaran sahaja.
Tetapi apakan daya set ringan jignya tidak mampu menahan kudrat sang layaran sehinggakan beliau terpaksa memotong tali set pancingnya.
Pada sebelah petang Faizul mendapat strike seekor tenggiri seberat hampir 5kg dengan teknik drift.
Set yang digunakan terdiri daripada kekili Shimano Aernos 8000, rod Asuka 10-20lb, tali utama 25lb Power Pro sudah cukup untuk membuatkan sang tenggiri menyerah kalah.
Misi Selesai
Keesokan hari kami memancing sehingga pukul 10 pagi sahaja memandangkan perjalanan pulang ke jeti yang masih jauh. Bot mula meninggalkan lubuk menuju ke daratan yang mengambil masa 7 jam untuk sampai ke jeti.
Kesempatan ini kami ambil untuk membersihkan bot dan mengemas peralatan memancing. Jika diikutkan kerja membersihkan bot adalah tugas awak-awak, tetapi apa salahnya membantu tugas mereka.
Dialah yang menurunkan dan menaikkan sauh, membantu gancu ikan, menyediakan makanan, menolong memancing malah turut berkongsi teknik tangkapan ikan.
Walaupun hasil kurang memuaskan disebabkan faktor umpan tetapi kami puas kerana sudah buat antara yang terbaik.
Alhamdulillah itulah rezeki kurniaan daripadaNya. Kesemua pemancing yang turun ke laut mempunyai satu tujuan dan satu matlamat.
Tujuannya untuk mencari rezeki untuk keluarga dan mencari pengalaman.Matlamat sudah tentulah mencari ikan-ikan yang bernilai tinggi dan dapat bertarung dengan ikan yang besar dan ganas.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
“Belida di tali air? Biar betul ni?” Itulah antara hasil perbualan dengan sahabat baik saya baru-baru ini. Bagaikan tidak percaya ikan pemangsa ini boleh berada di tali air. Tetapi itulah hakikat sebenar di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.
Mendengar sahaja perkhabaran ini, saya terus merancang untuk mengadakan trip memancing di sana. Iyelah, bukannya senang nak mendengar berita yang belida menghuni di tali air. Oleh sebab ini saya berasa sungguh teruja hendak ke sana. Apatah lagi member asyik Whatsapp gambar-gambar belida yang berjaya dinaikkan di sana. Hati siapa yang tak terbakar.
Kunjungan saya di Tikam Batu disambut gembira oleh Addin, sahabat saya dan keluarganya. Bagaikan menyambut ketibaan VVIP pula rasanya. Hati pula semakin berkobar-kobar hendak memancing apabila makan tengah hari pada hari itu di sajikan dengan hidangan ikan belida goreng.
Nak diklasifikasi ikan belida ini sebagai spesies yang enak dimakan itu memanglah jauh sekali. Iyelah, dengan tulang yang banyak dan isi yang tawar ia bukanlah suatu pilihan utama di meja makan. Namun begitu, apabila ia dihidangkan panas-panas, ditambah pula dengan ulam-ulaman dan sambal belacan sesiapa saja pun boleh terliur!
Setelah berehat sehari, keesokan paginya awal-awal lagi saya mengatur misi memancing belida. Misi mencari belida disertai Addin, Hasmida dan ahli keluarganya. Sebelum menuju ke lokasi ban yang pertama, kami terlebih dahulu mencari umpan yang dikatakan amat efektif untuk belida di sini iaitu anak ikan seluang. Rupanya begitu mudah mendapatkan anak ikan seluang di sini. Hanya perlu gunakan penyauk dan sauk sahaja di tepi-tepi rumput di tepi tali air yang ada di sini.
BAN KAMPUNG POKOK KABU
Sebelum keluar memancing pagi ini, saya sempatlah meminta tip memancing belida daripada Pak Hassan iaitu bapa kepada Hasmida. Menurut Pak Hassan, untuk memancing belida di sini, perlu gunakan mata kail bersaiz kecil.
Jika menggunakan mata kail yang lebih besar, langsung tidak mahu dijamahnya.Tambahnya lagi, teknik yang biasa digunakan adalah bottom ataupun menggunakan pelampung. Kedua-dua teknik ini memang berkesan dipraktikkan di sini.
“Waktu yang terbaik untuk memancing belida di sini adalah pada awal pagi, lewat petang dan pada sebelah malam,” katanya.
Lokasi pertama kami pagi ini ialah di Ban Kampung Pokok Kabu. Lokasi ini dikatakan antara spot terbaik menjerat belida. Jelas Hasmida, di sinilah kawasan yang menyambungkan air dari Sungai Muda ke ban-ban yang ada di sekitar Tikam Batu ini.
BELIDA PERTAMA
Pada awal kedatangan kami lagi kami sudah disambut meriah penghuni ban ini. Mana tidaknya, kami disajikan dengan satu persatu kocakan air yang menandakan ikan sedang aktif di sini. Tanpa membuang masa, kami terus mempersiapkan peralatan memancing kami.
Setelah melabuhkan umpan, kami terus dengan sabar menunggu ikan menjamah umpan. Belum pun 10 minit menunggu, umpan telah disambar. Namun nasib tidak menyebelahi kerana spesies yang dipercayai belida itu bijak melarikan umpan anak seluang yang dihulurkan.
Tidak lama selepas itu satu persatu joran disentuh sang ikan. Namun, kejadian sama masih berulang, iaitu ikan lebih pantas melarikan umpan. Tertanya-tanya juga di mana silapnya? Namun, kami tetap tidak berputus asa.
Menjelang 10 pagi kami dikejutkan oleh jeritan Nana, anak Pak Hassan yang memancing berhampiran jambatan. Meliuk lentuk rod teleskopik yang kerap digunakan untuk mengail ikan puyu ditarik sang belida. Pak Hassan yang ada berhampiran tampil memberikan bantuan. Akhirnya tewas seekor belida berskala 600 gram.
Menjelang tengah hari, ikan semakin culas memakan umpan. Oleh sebab yang demikian kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah berehat dan kami merancang untuk menyambung semula aktiviti kami pada sebelah malam.
MISI MALAM PERTAMA
Setibanya di lokasi yang sama seperti pagi tadi kami dikejutkan dengan jaring yang dipasang merentasi ban tersebut. Bukannya satu sahaja jaring yang dipasang, malah di sepanjang ban ada sahaja kelibat pelampung jaring. Sakitnya hati melihat kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memasang jaring di sini.
Bukannya apa, bagi penulis, baik ban, sungai, mahupun pantai, semuanya untuk kita kongsi bersama. Janganlah kerana dek ketamakan menjadikan manusia itu hilang kewarasan untuk mengaut semua hasil yang ada.
Disebabkan jaring itulah, ikan dikhuatiri telah menjadi culas. Hingga ke jam 12 tengah malam langsung tiada getuan sang ikan, meskipun kami melabuhkan joran agak jauh dari lokasi jaring tersebut.
LOMPATAN AKROBATIK BELIDA
Keesokan pagi, awal-awal lagi kami dikhabarkan dengan berita ada penduduk kampung yang berjaya menaikkan 6 ekor belida berskala 1 – 3kg pada malam tadi! Terpinga-pinga kami dibuatnya. Iyalah, mana sahajalah lubuk yang diteroka oleh penduduk kampung ini? Kami yang kumpau teruk semalam terus membayangkan masih ada sinar untuk kami mendapatkan belida
Hari kedua, saya bersama rakan cuba untuk meneroka ban-ban lain yang ada di sini. Berbekalkan lubuk rahsia yang diberitahu penduduk kampung, kami terus mengatur perjalanan ke sana sambil mencari potensi lubuk yang lain. Lepas Maghrib kami sekali lagi mencuba ke lokasi yang dimaksudkan.
Di sini, setelah hampir 2 jam menunggu, hanya getuan-getuan daripada ikan kecil sahaja yang mengganggu. Namun tetap gagal dan ada kalanya langsung tiada getuan yang diterima dalam tempoh yang agak lama. Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk bertukar lokasi.
Kali ini kami memilih lokasi betul-betul di atas jambatan. Pak Hassan yang awal-awal lagi tiba di lokasi ini terus menghulurkan tali koyan yang menggunakan pelampung dan berumpankan anak seluang. Belum sampai 5 minit di situ, kami dikejutkan dengan jeritan Pak Hassan yang menyuruh kami mengambil tangguk. Rupa-rupanya pelampung yang dihulurkan betul-betul di bawah jambatan telah dilarikan sang ikan.
Tanpa membuang masa Pak Hassan terus menyentap tali koyan itu. Apa lagi sang belida terus menarik tali itu ke tengah. Tidak lama selepas itu dapatlah kami saksikan ikan itu melakukan lompatan akrobatik di tengah ban.
Melihat kelibatnya sahaja kami sudah tahu ia belida bersaiz besar! Namun begitu, ekoran daripada lompatan itu akhirnya ikan tersebut berjaya memuntahkan kembali mata kail yang mungkin tidak tertancap kemas di mulutnya. Hampa kami dibuatnya.
Namun, menjelang tengah malam, berjaya jugak rakan saya Addin menaikkan seekor belida berskala hampir sekilogram di sini.
“Jadilah, daripada takde langsung”, kata Pak Hassan berseloroh.
BELIDA MALAM TERAKHIR
Ekoran trip sebelum ini yang hampir menemui jalan buntu, kami masih tidak berputus asa untuk mencari lubuk berpotensi. Akhirnya setelah recce punya recce, kami jumpa satu lubuk yang agak berpotensi untuk pancingan belida. Pada petang itu, kami saja-saja mencuba nasib untuk memancing di lokasi itu.
Di sini kami masih lagi membawa bekalan anak seluang hidup, di samping cengkerik dan dedak untuk memancing lampam. Saya yang hanya cuba-cuba mengail lampan merasa juga menaikkan seekor lampam bersaiz juvenil.
Menjelang lewat petang kami dikejutkan lenturan kuat pada joran yang berada betul-betul di tepi empangan. Athirah yang berada berhampiran terus menyentap dan dapat kami lihat lenturan yang agak kuat di hujung jorannya. Namun, belum sempat berbuat apa-apa ikan tersebut berjaya meloloskan diri.
Oleh sebab yang demikian, kami bercadang untuk repeat lagi pada malam ini. Pada malam ini kami amat berharap tuah menyebelahi kami. Kami sedikit kecewa apabila tiba di lokasi dan mendapati pintu empangan dibuka dengan luas. Disebabkan ini arus di ban ini akan menjadi lebih kuat. Jadi kami mengambil keputusan untuk memancing di kawasan yang jauh sedikit dengan empangan itu.
Ternyata nasib kami berubah pada malam ini apabila joran Pak Hassan disambar kuat penghuni ban. Tanpa membuang masa beliau terus menyentap joran yang ada di sisinya. Serentak dengan sentakan itu, dengan jelas kami nampak kelibat belida melompat dari air untuk meloloskan diri. Kali ini kami lebih bersedia. Pak Hassan berhati-hati melayani spesies yang terkenal dengan daya juang yang tinggi ini.
Setelah hampir 5 minit melayan, akhirnya ikan dengan skala 2 kg ini berjaya juga disauk. Terpancar kegembiraan di wajah semua. Di lubuk ini sahaja lebih banyak sambaran yang kami terima. Ternyata ikan belida ini terlalu bijak melarikan umpan terutamanya daripada sang juvenil. Menjelang jam 3 pagi akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan aktiviti memancing.
LUBUK BERPOTENSI
Pada pagi itu, sebelum penulis berangkat pulang ke Shah Alam, sempat juga penulis mencuba untuk mengail puyu dan haruan yang ada di sekitar sawah padi yang ada di sini. Sepadan dengan nama negeri Jelapang Padi Malaysia, memang banyak lubuk mengail puyu dan haruan yang ada di sini. Jika kena lubuknya memang tidak menang tangan kami dibuatnya. Saiz puyu dan haruan di sini juga sihat-sihat belaka. Sungguh teruja penulis melihatnya.
Apa yang penulis dapat simpulkan melalui trip kali ini ialah memang terbukti terdapat banyak lubuk yang berpotensi di kawasan Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ini. Tidak terhad kepada belida sahaja, kawasan di sini juga dihuni oleh pelbagai spesies lain seperti lampam, terbul, baung, keli dan udang galah bersaiz besar! Pada kunjungan penulis sebelum ini, penulis sendiri pernah menaikkan jenggo dengan skala lebih 200 gram ketika memancing di bawah jambatan Sungai Kuala Muda.
Namun begitu, saya sedikit terkilan kerana tidak berpeluang merasai tarikan kerana belum lagi dapat merasai tarikan belida di sini. Mungkin aplikasi casting boleh di cuba di ban tali air ini. Terima kasih juga kepada keluarga Pak Hassan yang sudi melayan kunjungan di sana. Saya berharap akan dapat menjejakkan kaki lagi di sini untuk mencari lesen menewaskan penghuni licik di sini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...