Pengalaman selama 15 tahun menyertai pertandingan memancing, Hashim Musa (49) dari Sentul yang lebih dikenali Botak Sentul, akhirnya berjaya juga dinobatkan sebagai juara pada Siri Akhir Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang berakhir di Taman Tasik Ampang Hilir, Ahad lalu.
“Inilah pertama kali saya berjaya menduduki podium juara setelah enam tahun mengikuti JPKL,” ujar Hashim yang berjaya mendaratkan spesies patin seberat 13.850kg pada jam 10.06 pagi sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 berserta produk Oishi, Igloo dan Tackles.
Berikutan kemenangan ini, Hashim merancang untuk menggunakan ganjaran yang diperoleh bagi keperluan keluarga, membeli peralatan memancing dan belanja rakan-rakan yang sentiasa menyokong beliau dalam industri ini.
Ads
Ads
Beliau turut berharap JPKL anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan memandangkan inilah waktu terbaik dapat berkumpul dan merapatkan silaturahim sesama kaki pancing.
Sementara itu, lebih manis bagi tempat kedua dan ketiga disandang oleh peserta yang sama. Muhammad Fadzlan Ayob berjaya mendaratkan hasil tangkapan berupa ikan patin seberat 4.705kg dan 3.720 kg sekali gus membawa pulang RM5,000 bagi hadiah tempat kedua dan ketiga.
Ads
Lebih 1,000 kaki pancing menyertai pertandingan kali ini yang bermula pada jam 8.20 pagi dan berakhir pada 12.20 tengah hari.
Dalam majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Pengurus Besar Biro Pelancongan DBKL, Khairul Anuar Mfd Juri, beliau berbangga dengan penglibatan para peserta dari seluruh negeri selain kehadiran keluarga masing-masing yang memeriahkan kawasan persekitaran Taman Tasik Ampang Hilir.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ini kali pertama saya menjejaki Sungai Rompin. Itu pun selepas termakan `racun’ dan pujukan Zaidi, anak jati Rompin. Zaidi beria mengajak saya bertandang ke lubuk permainan sebaraunya di Sungai Rompin.
Sempena cuti umum yang jatuh pada hujung minggu, saya bersama Andy dan Azlan bertolak menuju ke Rompin dari Lembah Kelang.
Seawal jam 6 pagi kami tiba di Rompin. Selepas solat subuh, kami bertemu dengan Zaidi dan bersarapan di gerai kampung di Rompin.
Bersama Zaidi, rakannya Sidek, Zaini dan Ayie juga turut serta. Sebenarnya, untuk trip ini, saya telah pun merancang untuk berkhemah satu malam dan sebelum bergerak ke Sungai Rompin, kami singgah di kedai runcit berhampiran bagi melengkapkan keperluan untuk berkhemah.
Hari Pertama
Tepat jam 8 pagi, kami tiba di jeti perkampungan orang Asli dan memulakan final camping checking iaitu memastikan peralatan untuk berkhemah cukup dan lengkap.
Perjalanan menyusuri Sungai Rompin ke camp site menggunakan tiga buah bot milik Zaidi dan rakannya. Ia mengambil masa kira-kira setengah jam dari jeti.
Sepanjang trip ini, spesies sebarau menjadi sasaran utama kami. Ini kerana menurut kata Zaini, Sungai Rompin masih banyak menyimpan lubuk yang dihuni spesies sebarau.
Setelah tapak perkhemahan telah siap dipasang, bermula lah aktiviti survivor kami, iaitu misi mencari lauk tengah hari.
Untuk permulaan, kami hanya melakukan aktiviti casting tidak jauh dari kawasan tapak perkhemahan.
Alhamdulilah, cuaca pada hari kejadian cukup baik. Saya menggunakan gewang untuk melontar ke seberang sungai betul-betul di celah reba kayu. Ada miss call tetapi rabut.
Selepas beberapa kali percubaan keadaan sunyi sepi. Rakan saya yang berada tidak jauh dari saya telah pun berjaya memperoleh lesen sebarau.
Selepas menapak beberapa minit, saya melihat deburan air menandakan ada pemangsa sedang mengejar sesuatu, betul-betul di bawah sepohon dahan yang rendang.
Saya menukar kepada spoon AXZ. Dua lontaran sahaja, hujung joran saya disergap kuat, tanda ada sebarau telah menyambar.
Sebaik sahaja melayannya, akhirnya sebarau yang saya anggarkan bersaiz lebih sekilogram berjaya diperolehi.
Cukup puas hati bertarung dengan sebarau sungai bersaiz begini. Lebih-lebih lagi sebarau sungai yang begitu kuat kudratnya.
Tiba di camp site, kami semua berjaya memperoleh 3 ekor sebarau bersaiz memuaskan dan semuanya dijadikan hidangan makan tengah hari.
Selepas makan tengah hari, aktiviti casting disambung semula sehingga lewat petang. Hasilnya beberapa ekor sebarau juvenil bersaiz 200 – 400g berjaya diperolehi .
Tidak ada spesies yang kasar diperolehi sebagaimana pagi tadi. Hanya Andy yang berjaya memperoleh saiz melebihi sekilogram.
Mana-mana sebarau bersaiz kecil, kami lepaskan semula selepas hanya bergambar dengannya.
Aktiviti Malam
Malam hari, kami menikmati menu masakan yang simple sahaja, iaitu masakan dalam ikan sardin dalam tin, ayam goreng, sayur kubis goreng dan ikan kering ia tetap menu yang terhebat buat kami.
Apatah lagi Zaini menyediakan sambal tempoyak dan jering muda sebagai ulam. Fuhh terangkat, apatah lagi sambalnya cukup pedas.
Sebagai persediaan, kami telah pun memasang unggun api besar berdekatan khemah di mana sejak awal petang tadi juga kami telah mencari banyak bangkar kayu untuk dijadikan unggun api.
Malam melabuhkan tirai, kami memulakan aktiviti pancingan dasar berhadapan khemah. Sasaran utama, sudah pastilah ikan baung. Umpan cacing dan sedikit umpan tapa menjadi umpan terbaik untuk dipertaruhkan.
Namun aktiviti membaung berlangsung selama 4jam berakhir dengan hasil yang tidak memberangsangkan.
Kami berpendapat lubuk di hadapan khemah ini bukanlah spot terbaik mencari spesies baung. Jam 11 malam, kami semua selamat memasuki khemah dan tidur.
Hari Kedua
Hari kedua, kami memutuskan untuk naik ke bahagian hulu sungai. Iaitu memasuki kawasan anak sungai yang lebih cetek airnya dan boleh diharungi separas pinggang.
Teknik casting sambil meranduk air memang memerlukan kesabaran, ketahanan fizikal dan mental.
Anak sungai di sini dipenuhi spot-spot menarik, bangkar-bangkar kayu sangat mudah ditemui. Mungkin ia kesan banjir besar pada musim tengkujuh yang melanda Disember lalu.
Di setiap selekoh sungai pasti ada sahaja spot-spot yang menarik. Memang berbaloi dengan hasil tangkapannya.
Strike demi strike diperolehi oleh semua ahl trip. Cuma tiada kelibat bersaiz 800 gram ke atas. Rata-rata saiz yang diperolehi 200-600 gram sahaja yang berjaya diperolehi.
Sekitar jam 4 petang, kami menamatkan trip ini. Walaupun trip ini singkat, namun bagi saya dan rakan-rakan yang datang dari ibu kota, menganggapnya ia trip yang memberi kenangan seribu makna.
Memandangkan masih ada ahli komplot yang kumpau dan lose control sekali gus belum merasai pecutan sang sebarau Sungai Rompin, kata putus diambil, satu trip susulan akan diadakan lagi selepas Aidilfitri nanti. Sungai Rompin, mu tunggu aku datang semula.
Dalam pencarian spot belida, penelitian yang tinggi amat diperlukan. Cara kuakan air perlu diperhatikan betul-betul untuk memastikan ikan yang menguak itu tadi merupakan spesies yang diburu.
Saya mengenal kuakkan ini berdasarkan dari tunjuk ajar arwah ayah saya semasa pergi memancing dengan arwah beberapa tahun lepas.
Bunyi yang kuat sahaja belum cukup untuk memastikan ikan yang menguak itu ialah belida. Tapi, kita juga perlu melihat libasan ekornya yang kelihatan di permukaan air. Spot pertama dikesan oleh saya ialah di sepanjang Sungai Tambun Tulang, Perlis, semasa dalam perjalanan pulang ke UiTM Arau.
Melihat banyak kuakan-kuakan besar di sepanjang sungai tersebut, hujung minggu tiada kuliah, saya menuju ke spot berkenaan. Berbekalkan umpan udang paya dan anak ikan seluang, saya menjengah spot berkenaan. Lima belas minit kemudian, kelihatan lenturan joran saya terhasil.
Mengingatkan pesanan arwah ayah saya, biarkan joran melentur lebih lama agar ikan belida berkenaan betul-betul menelan umpan tersebut. Setelah menunggu lenturan ketiga, saya menyentap joran berkenaan. Ternyata teknik yang saya gunakan amat berkesan.
Pertarungan bermula dengan ikan belida membenam ke dasar sambil ia bergelut menerjah ke permukaan air untuk melepaskan diri. Waktu itu, debaran kian terasa apabila ikan berkenaan menggelupur di atas permukaan air.
Mujurlah drag mesin telah dibuka sedikit agar memudahkan tali joran mengikut gerakan ikan tersebut. Hampir sepuluh minit melayannya, akhirnya ikan berkenaan berjaya didaratkan. Walaupun tidak terlalu besar,sudah cukup memuaskan hati saya kerana buruan pertama membuahkan hasil.
Memancing belida sini memberikan kepuasan yang tinggi kepada saya. Jumlah tangkapan yang terhasil amat memuaskan setiap kali misi pemburuan dilakukan. Dalam tempoh dua jam sahaja, saya berjaya menumpaskan empat ekor belida. Walaupun spesies berkenaan hanyalah anggaran satu kilogram ke atas, tapi pertarungan yang diberikan begitu sengit.
Peristiwa yang paling sukar dilupakan apabila saya terlepas spesimen yang paling besar yang pernah saya lihat. Anggaran berat ikan belida tersebut ialah melebihi 6 kilogram.
Pertarungan selama 30 minit berjaya meletihkan ikan tersebut. Oleh kerana tebing sungai berkenaan terlalu tinggi,saya terpaksa meminta tolong seorang remaja berdekatan untuk membantu saya mengangkat ikan tersebut.
Dengan menggunakan tangguk,saya mengarahkan remaja berkenaan untuk memasukkan ikan tersebut di dalam tangguk tersebut.
Akibat mengambil masa terlalu lama, ikan tersebut kembali pulih. Dengan membuat satu libasan kuat, tali perambut saya putus Terasa ingin terjun sahaja pada ketika itu. Melihatkan tebing yang tinggi dan tanah yang berlumpur,saya mematikan hajat tersebut.
Walaupun hal tersebut sukar dilupakan, saya berpuas hati kerana dalam tempoh dua bulan, saya berjaya mendaratkan 26 ekor ikan belida di sepanjang sungai berkenaan sehinggakan digelar ‘Raja Belida’ oleh sahabat-sahabat kaki pancing saya.
Hasrat untuk mencuba dan merasai sendiri keunikan pancingan ketam yang kian popular ini sebenarnya sudah lama terpendam. Jaring-jaring ketam pemberian seorang rakan pengusaha jaring ketam juga sudah berbulan-bulan tersimpan dalam bekas peralatan memancing.
Justeru, apabila peluang itu menjelma, kami bertiga segera bertolak dari Shah Alam ke Teluk Gong, Melaka. Dalam perjalanan ke Teluk Gong itu masing-masing dah pasang macam-macam angan-angan. Paling tak sabar nak rasa kemanisan ketam BBQ.
Setibanya di Teluk Gong, hari sudah lewat senja. Berikutan kesuntukan masa untuk mencari spot berpotensi mendorong kami untuk memilih spot yang boleh diakses dengan kenderaan paling hampir dengan pantai.
Ia bagi memudahkan urusan logistik kerana kami mendirikan khemah, barbeku dan memancing ketam hingga ke pagi. Lagi pun kalau kenderaan jauh dari tapak perkhemahan nanti jiwa macam tak tenteram pulak sepanjang tempoh memancing.
Hampir jam 8.30 malam kami mula melontar jaring ketam dengan berumpankan ikan selayang sejauh yang mampu ke laut. Kira-kira 15 minit kemudian mula mengarau pancing walaupun tiada sebarang petanda pada hujung joran. Tiada sebarang ketam yang tersangkut pada jaring.
Tidak lama kemudian kami tarik pula pancing kedua. Kali ini dapat dirasakan jaring sedikit berat dan ternyata beberapa ekor ketam tersangkut pada jaring. Namun kesemuanya bukan ketam sasaran, sebaliknya ketam kuning atau ketam ragi.
Setelah beberapa kali sekadar mendaratkan ketam ragi dan menghadapi kesulitan untuk meleraikannya daripada jaring serta merasai sendiri kepaduan kuasa sepitnya, hampir saja membuatkan kami hilang rasa teruja. Namun kami segera belajar. Kami beranjak tempat dan melontar umpan lebih jauh.
Tidak lama kemudian barulah dapat melihat getaran pada hujung joran dan apabila ditarik, dua ekor ketam bunga betina tersangkut kemas pada jaring. Seronok melihat ketam bunga melekat pada jaring memang sukar untuk digambarkan. Seolah-olah misi dah tercapai sepenuhnya.
Baru beberapa ekor ketam bunga didaratkan, air laut pula surut sepenuhnya. Memburukkan lagi keadaan, spot pilihan kami rupanya kawasan berbeting. Hendak berpindah spot terasa malas pula untuk berkemas segala peralatan pancing dan perkhemahan.
Sementara menanti air kembali pasang, kami teruskan juga memancing sambil tidur-tidur ayam. Sekitar jam tiga pagi barulah ketam bunga muncul kembali apabila kawasan berbeting dipenuhi air pasang.
Biarpun hasil memancing ketam dalam percubaan pertama kami ini tidaklah seberapa namun banyak perkara yang dapat kami pelajari. Selain dari harus lakukan tinjauan spot ketika air laut surut, peralatan yang lebih sesuai untuk memancing ketam, kami juga baru tahu ketam kuning atau ketam ragi yang anggap sebagai pengacau, walaupun tidak banyak isinya tapi rasanya agak manis.
Agak banyak juga dapat dan kesemuanya dicampak kembali ke laut kecuali seekor sahaja yang kami ambil dan dibakar begitu sahaja. Saat itu barulah rasa menyesal pulak buang ketam-ketam ragi itu tadi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...