
Berikut adalah lima tip asas untuk menjaga joran anda, mungkinkah anda menggunakan cara yang berbeza?
Rajin Bersihkan Joran
Bersihkan joran sebelum disimpan. Sesetengah kaki pancing suka bertangguh untuk membersihkan joran. Sekiranya anda memancing di air masin, membersihkan joran dengan air tawar dan menggunakan sabun adalah paling utama bagi menjamin ketahanan joran. Terutamanya bahagian guide atau cincin joran. Bahagian ini paling mudah bergaram sekaligus mereputkannya.
Jangan Lupa Lap Joran
Sebelum menyimpan joran anda, pastikan ia sudah dikeringkan sepenuhnya. Gunakan kain bersih untuk mengelap joran selepas dibersihkan. Sebaiknya juga ia dibiarkan kering dalam suhu bilik sebelum ia disimpan di dalam almari atau sarung khas.
Sapu Minyak Pada Cincin
Sapukan minyak pada cincin dan lapkan lebihan minyak. Sekiranya tak mampu nak beli minyak yang mahal-mahal, guna minyak Singer pun boleh. Minyak memainkan sedikit peranan bagi menghalang pembentukan garam atau dijangkiti fungus.
Cara Penyimpanan Joran
Dapatkan beg atau rak khas untuk menyimpan joran atau letakkan joran anda di tempat simpanan yang sepatutnya. Jangan sesekali menyandarkan joran secara condong pada dinding kerana ia akan menyebabkan joran melengkung.
Jauhi Panas Terik Matahari
Jika mahu menyimpan joran, pastikan ia tidak terkena panas secara langsung dan bahang panas seperti meletakkannya di dalam kenderaan. Suhu panas berbahang boleh merosakkan joran anda terutamanya joran jenis grafit.
Ketahui Risiko Eging Di Dalam Air

Sebenarnya kaedah mencandat sotong mengabang secara mengharung air ini telah lama dipraktikkan oleh pencandat di kawasan Pantai Timur. Malah ada yang mengharung air laut sehingga ke paras dada untuk mencandat. Mengikut tanggapan ketika itu, sotong besar paling banyak berada jauh ke tengah laut.
Bagi yang tiada bot untuk ke lokasi berkenaan, mereka memilih kaedah ini untuk mendapatkan hasil lebih lumayan.
Sebenarnya kaedah ini sangat bahaya kepada pencandat. Risiko lemas cukup tinggi. Jika ombak datang secara tiba-tiba, peluang untuk menyelamatkan diri sangat rendah.
Kekili dan peralatan memancing juga lebih mudah terkena air masin dan cepat rosak. Jika pencandat tidak memakai kasut yang sesuai, risiko untuk disengat ikan depu yang beracun sangat tinggi. Duri ikan seperti ikan pari dan belangkas juga boleh menjadi ancaman kepada pecandat.
Kebiasaannya, pencandat akan meletakkan sotong yang dipancing di dalam jaring atau bekas yang kemudiannya digantung pada pinggang. Sotong selalunya akan melepaskan dakwat hitam walaupun sudah mati. Dakwat ini selalu menarik perhatian ikan-ikan pemangsa seperti ikan jerung. Jerung yang kelaparan boleh bertindak secara agresif jika ia mengesan kehadiran makanan.
Semasa sotong cuba untuk dinaikkan, pancutan dakwat sotong boleh mengenai mata pencandat. Peratus terkena dakwat di muka lebih tinggi disebabkan aras kedudukan muka pencandat hampir menyamai paras kedudukan sotong. Dakwat yang terkena mata boleh menyebabkan mata menjadi kabur dalam beberapa minit. Jika berlaku kecemasan ketika ini, tentu sukar untuk pencandat menyelamatkan diri.
Penggunaan lampu suluh untuk menyuluh umpan dan hasil tangkapan di tengah laut juga boleh mendedahkan tubuh pencandat kepada serangan mengejut ikan todak. Ikan todak yang terkejut boleh melukakan pencandat dan boleh juga membawa maut.
Ketika air jernih dan musim obor-obor, pencandat juga akan mudah terkena bisa dan disengat. Walaupun ada yang berkata sudah biasa dengan sengatan obor-obor, pencandat baru mungkin tidak biasa dan tentu akan menderita jika terkena.
Jika candat pemancing terkena obor-obor dalam jarak yang dekat dan ketika cuba melepaskan obor-obor itu… percikan tubuhnya boleh mengenai mata pencandat. Ia sungguh berbahaya. Walau sekadar membayangkannya sahaja sudah ngilu, inikan pula kalau betul-betul terjadi!
(Sumber: Abe Din)
Trip Trobek – Memancing Sepit Biru Di Lubuk Sang Bedal!!

Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang. Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun. Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal. Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang. Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Hasil seharian memancing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni. Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan memasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera. Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga. Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
Mengenal Suku Sakat Ikan Bayan

Taksonomi
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Superclass: Osteichthyes
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Labroidei
Family: Labridae (Rafinesque, 1810)
Genus
Bolbometopon
Calotomus
Cetoscarus
Chlorurus
Cryptotomus
Hipposcarus
Leptoscarus
Nicholsina
Scarus
Sparisoma
Walaupun ia berasal dari dua keluarga yang berbeza iaitu dari jenis wrasse dan parrotfish, ikan ini lebih dikenali sebagai ikan bayan oleh kebanyakan pemancing dan nelayan untuk kedua-dua keluarga spesies yang mempunyai pelbagai bentuk, warna, saiz dan sekurang-kurangnya 90 spesies.
Taburannya amat ketara dan boleh dijumpai hampir kesemua kawasan perairan negara terutama persisiran pantai yang berpulau. Ikan ini lebih popular dipanggil ketarap di Johor. Kedua-dua spesies ini adalah dari jenis hidupan marin laut yang gemar tertumpu pada kawasan terumbu karang sama ada perairan cetek hinggalah yang lebih dalam.
Bayan jarang ditemui berlegar di kawasan terbuka yang berpasir jauh dari kawasan batu karang. Bayan adalah spesies yang tidak ganas dan tidak merbahaya kepada manusia.
Spesies bayan ini menjadikan seorang rakyat Malaysia telah berjaya mencipta rekod International Game Fishing Associasion (IGFA) pada April 1997. Vincent Yeo berjaya memancing spesies maori wrasse atau lebih dikenali dengan panggilan napoleon berbadan hijau seberat 19.8 kg di kepulauan Seychelles.
Bayan wrasse ini mempunyai warna badan yang cantik dengan pelbagai bentuk dan saiz. Badan lebih memanjang dan tidak begitu gempal berbanding bayan parrotfish.
Mulut adalah sederhana besar dengan bibir yang tebal dan agak keras. Bergigi kapak dan besar di barisan hadapan serta gigi-gigi kecil di bahagian dalam yang berlapis. Gigi kapak kebanyakannya menonjol keluar sedikit.
Sirip dorsal ikan bayan jenis ini agak memanjang manakala sirip ekor pelbagai bentuk dan corak warna. Sejumlah 20 jenis spesies bayan ini ditemui.
Warna juga berubah mengikut pembesaran dan perubahan pada jantina. Ikan bayan yang paling popular di kalangannya ialah bumphead atau napoleon yang mempunyai bonggol di atas bahagian kepala yang boleh membesar sehingga hampir 100kg.
Ia dipercayai adalah yang terbesar di kalangan keluarga bayan. Jenis kepala benjol ini mempunyai gigi kapak yang tajam dan mampu memutuskan tali pemancing dengan mudah.
Ia mengunakan kelebihan benjol di kepala untuk memecahkan cengkerang dan karang sebelum mengunakan gigi yang kuat untuk proses seterusnya.
Dikatakan banyak terdapat di Pulau Terumbu Layang-layang dan Sipadan di Sabah dan tidak merbahaya kepada penyelam. Malah penyelam biasanya senang dikelilingi oleh spesies ini.
Profil ringkas
Nama umum: Wrasse dan parrotfish
Nama Lain: Bechok, nuri-nuri, batu, ilahan, ketarap, kakak tua, tabok, tagih untung, nila-nila, perencong, kalat
Ciri Fizikal: Kedua-dua jenis keluarga bayan mempunyai kombinasi warna yang cantik dan gigi hadapan yang lebih besar dan menonjol keluar. Badan, corak warna saiz adalah pelbagai.
Diet: Hidupan sekitar batu karang seperti ketam,cengkerang, karang, sotong,udang dan anak ikan.
Habitat: Kawasan batu karang dan berpasir persisir pantai yang berbatu.
Taburan: Hampir seluruh Asia Pasifik, Laut Merah, Utara Afrika dan Australia hingga French Polynesia