Bermacam cara boleh dilihat bagi menunjukkan seseorang itu ialah seorang kaki pancing. Antaranya memakai baju dan topi beridentitikan jenama-jenama peralatan memancing, menjadikan gewang terpakai gewang sebagai keychain dan lain-lain lagi.
Bagi anda pula, apakah ciri-ciri yang boleh diperhatikan pada seseorang individu atau anda sendiri yang menunjukkan kepada umum bahawa anda adalah seorang kaki pancing?
“Bagi saya, saya lebih sukakan dengan gaya tersendiri yang mana baju group memancing saya menjadi lambang bahawa saya seorang pemancing, beg ditampal dengan sticker yang melambangkan saya seorang pemancing dan buckle tali pinggang yang rare berkaitan dengan mancing.”
Mohd Akbar
“Bagi saya la… saya biasanya menampilkan identiti pemancing dengan memakai topi Rapala, baju T90 Anglers Republic kaler hitam kuning (sendiri design la), buff Daiwa, gewang tak payah cakap, guna yang efektif je, beli mahal tapi setahun guna baru seekor yang naik pun takde guna… apa yang penting, bersederhana la.”
FizherRyoshi Man
Ads
“Pakai jenama barangan pancing. Pantang tengok air… mata melilau je. Kalau tak membeli singgah kedai pancing pun jadi la. Pergi mana-mana pun set joran sentiasa ada dalam kereta.”
Melix Syncronism
“Tak susah pun nak kenal kaki pancing ni. Kalau pergi kedai pancing korang boleh tengok muka yang sama pergi kedai pancing… hahaha.”
Deevianis Jali Daniel
“ Ada banyak pengenalan antaranya kereta dan motor ditampal dengan stiker pancing. Paling mudah, pakai topi (cap) produk pancing. Satu lagi paling rare… Subang pakai mata kail no 1/0…. ahahahaha.”
TapauMan
“Bersikap low profile sahaja, janji bila orang tanya bab ikan, port, barang pancing, boleh cerita…!”
Ads
Khairul Izuan
“Tangan hitam… badan putih… kahkahkah! Parut kat muka atau tangan bekas kena gewang… haha.”
Mahi Ngail
“Anting-anting guna gewang… tak pun kalau kat kedai kopi ada aksi mengarau mesin sambil bercakap dengan kawan-kawannya… begitu la nak tau seseseorg tu kaki pancing.”
J’lo Engin
“Asal plan cuti je mesti nak ada tempat mancing, jumpa membr mesti ada cerita port mancing.”
Ads
Lusmays Demahom
“Seorang kaki pancing pantang nampak parit, sungai, lombong… Berhenti kejap survey sambil hisap rokok dan muka tersengih-sengih.”
Nomin NY
“Nampak longkang pun mesti kena tengok ada ikan ke tak… tak kira longkang kecik atau besar. Longkang belakang rumah pun tiap-tiap hari tengok… hahaha.”
Amirul Irfan
“Mostly dari luaran sahaja dah nampak pengaruh memancing, contohnya memakai baju topi jenama reel, rod, lure seperti daiwa, shimano, rapala…”
Eppy Haris
“Salah satu identiti saya adalah baju group mancing… selalu pakai ketika mancing atau masa minum2-minum bersama kawan di kedai.”
Harul Bbk
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebagaimana yang kita sedia maklum, kebanyakan ikan memiliki rasa yang enak dan menyihatkan.
Kaya dengan gizi dan nutrisi yang penting untuk tubuh dan bagus untuk kecergasan minda. Namun begitu ada juga beberapa jenis ikan yang sebaiknya dielakkan dari memakannya.
Menurut satu kajian, terdapat sekurang-kurangnya 6 jenis ikan yang mengandungi zat yang kurang bagus untuk badan. Berikut merupakan ikan yang diperlu dielakkan dari memakannya.
Ikan keli Afrika dapat membesar dengan cepat dan dengan saiz yang besar juga. Untuk mempercepatkan tumbesaran, ada penternak yang mementingkan keuntungan dengan memberi makan ikan ternakan ini dengan hormone tertentu.
Ia menjadikan ikan-ikan tersebut membesar dengan tidak wajar. Walau bagaimana pun ikan-ikan keli Afrika yang hidup di alam semulajadi tetap memiliki kandungan gizi yang baik untuk badan.
Ikan Makerel
Makerel adalah sebutan bagi sekelompok ikan laut luas yang terdiri dari beberapa ahli dari famili Scombridae. Dalam satu kajian didapati ikan ini cenderung mengandungi logam merkuri.
Makerel di Lautan Atlantik dianggap paling banyak mengandungi merkuri. Jadi, ada baiknya anda tidak memakan ikan jenis ini terlalu banyak.
Ikan Tuna
Sebagaimana Makerel, ikan yang memiliki gaya hidup secara berkumpulan ini juga mempunya kandungan merkuri.
Terutamanya tuna sirip hitam dan sirip biru. Ikan ini jenis ini juga tidak boleh dimakan secara berlebihan.
Ikan Tilapia
Di sebalik kelazatan ikan tilapia, rupa-rupanya ia mengandungi konsentrasi lemak yang berbahaya. Menurut kajian terperinci, kandungan lemak berbahaya yang dikandungi ikan tilapia setinggi kandungan lemak pada dagig babi.
Terlalu banyak pengambilan ikan ini akan menambah kadar kolesterol dan membuatkan tubuh menjadi sensitif terhadap alergi.
Ikan Oilfish
Oilfish atau ikan minyak mengandung zat gempylotoxin, sejenis zat yang terkandung dalam lilin. Zat ini sangat sukar untuk dimetabolisme oleh tubuh.
Meskipun racunnya tak begitu membinasakan tubuh, tetapi pengambilan dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan gangguan pencernaan.
Untuk mengurangi kadar gempylotoxin, ikan ini sebaiknya digoreng hingga kering atau dipanggang dalam waktu lama.
Ikan Belut
Belut termasuk dalam kategori jenis ikan yang mengandungi banyak lemak. Belut tersenarai dalam catatan ikan berbahaya karena kebanyakan belut sekarang hidup dengan menyerap sisa industri pertanian.
Spesies belut di Amerika telah dinyatakan mempunyai racun yang tinggi. Sementara, belut Eropah dianggap berbahaya kerana dicemari merkuri dalam jumlah yang besar.
Secara umumnya ikan-ikan yang disenaraikan di atas tidak disarankan untuk pengambilannya kerana rata-rata habitat mereka telah dicemari pencemaran manusia.
Namun ikan-ikan di atas lebih menjurus kepada ikan yang berasal dari perairan Eropah dan Amerika.
Sementara untuk jenis ikan yang sama dan hidup di perairan negara, ikan-ikan tersebut disahkan selamat untuk diambil sebagai makanan.
Memang berbaloi kalau makan ikan terubuk sebab ia bukan saja sedap malah penuh khasiat. Jom kita tengok apa khasiat yang ada pada ikan terubuk.
Telur Berkhasiat Tinggi
Telur terubuk mengandungi tenaga 425 kalori, protein 31gram, karbohidrat 10gram, lemak 28gram, kalsium 50miligram, fosfor 100 miligram, dan zat besi 2miligram. Selain itu di dalam telur terubuk juga terkandung vitamin A sebanyak 600 IU dan vitamin B1.
Kaya Vitamin B12
Kandungan vitamin B12 juga dapat membantu memenuhi keperluan nutrisi tubuh manusia. Vitamin ini sangat berguna untuk membuat tubuh kita lebih bertenaga, dan tidak mudah lelah, letih serta lesu dalam menjalankan aktiviti harian. Dalam seekor ikan terubuk dapat memenuhi 45% keperluan vitamin B12 kita.
Kaya Protein
Di dalam ikan terubuk terdapat kandungan protein yang tinggi. Protein tersebut mampu membekalkan keperluan kebutuhan protein seseorang yang ingin membina otot di dalam tubuh. Jadi, apabila ingin memiliki tubuh ideal dan padat berotot, maka pengambilan ikan ini merupakan salah satu penyelesaian yang tepat.
Mengubati Otitis
Otitis adalah peradangan telinga bahagian luar. Radang telinga dikategorikan berdasarkan lokasi tempat terjadinya peradangan. Apabila jangkitan terjadi di liang telinga bahagian luar maka diklasifikasikan sebagai otitis eksternal.
Kejadian otitis eksternal berlangsung dari peradangan ringan sampai parah yang dikenali dengan otitis nekrotikan eksternal. Ia berlaku disebabkan peluruhan sel kulit yang normal pada saluran telinga bahagian luar pada kondisi kelembapan yang tinggi dan temperatur yang panas. Cubalah manfaatkan ikan terubuk kerana dapat mengubati otitis.
Mempercepat Proses Penyembuhan Luka
Ikan terubuk merupakan ikan yang kaya akan omega 3. Kandungan omega 3 yang terdapat pada ikan terubuk sangat baik untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka pasca pembedahan. Jadi jangan ragu lagi untuk memakan ikan ini.
Kaya Fosfor
Fosfor yang terdapat pada ikan terubuk tergolong tinggi kandungannya. Fosfor bermanfaat dan berkhasiat untuk memberi tenaga dalam metabolisme lemak dan pati, oleh karena itu hal tersebut mampu menunjang kesihatan gusi, tulang dan gigi, serta dapat membantu sistesis DNA.
Mengawal Berat Badan
Ikan terubuk merupakan makanan yang rendah lemak dan sumber lemak berkualiti tinggi. Makan ikan ketika makan malam akan membantu anda merasa kenyang tanpa menghimpun lemak. Caranya dengan tidak digoreng, tapi dikukus, dibakar, dikukus ataupun dibuat sup. Untuk itu cubalah khasiat ikan ini.
Menurunkan Tekanan Darah
Tekanan darah tinggi sangat berbahaya bagi tubuh kita dan dapat menyebabkan kematian. Untuk itu cubalah manfaat ikan terubuk yang mampu menurunkan tekanan darah, kerana di dalam ikan tersebut terdapat asid lemak omega 3 yang berfungsi untuk membantu menurunkan tekanan darah. Selain itu juga dapat membantu menjaga kesihatan kulit, terutama dari ekzema dan dermatitis, serta dapat membantu dalam pembentukan otak.
Mendorong Pembentukan Tulang dan Gigi
Mineral fosfor yang terdapat dalam ikan terubuk merupakan mineral yang sangat diperlukan tubuh. Kekurangan mineral fosfor boleh menyebabkan tulang reput yang pada akhirnya dapat mengalami kelumpuhan jika kekurangan zat mineral ini. Mineral fosfor berperanan aktif pada pembentukan tulang dan gigi.
Boleh dikatakan hampir setiap minggu aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik casting atau pancingan dasar. Teknik melabuhkan umpan dan tunggu merupakan langkah terakhir sekiranya tiada mana-mana geng yang turun atau tiada port yang ingin diterjah kerana casting pilihan utama.
Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di pusat pengajian tinggi dahulu. Rakan-rakan yang lain agak kecewa kerana selalunya akulah yang menjadi mastermind kepada sebahagian komplot yang dibuat.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 12 tengah hari. Dalam hati terdetik “masih awal, ada peluang nak mancing petang ni”. Puas melihat pengantin setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus mencapai telefon bimbit dan menelefon Adnan. Rupanya Adnan sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir dua jam katanya. Racun punya racun, Adnan akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Banting. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku tidaklah terlalu jauh dan tidak terlalu dekat, hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih. Setibanya Adnan di pekarangan rumah, kami bercadang untuk naik satu kereta iaitu kereta aku.
Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini. Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan aku daripada forum memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang.
Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah. Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu. Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya.
Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali. Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Ijal supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada Adnan. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di setup tersebut. Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang.
Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur. Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama. Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Adnan untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi. Adnan bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang-simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul. Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul.
Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa. Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Adnan mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan ‘exit’ ke ‘highway’ telah terlalu jauh. Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan Maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut. Tetapi kini suara azan Isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami.
Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh.
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”. Adnan yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya.
Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut. Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati. Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?”
Pak cik itu kehairanan dan menjawab “Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Adnan hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Adnan hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Nan!” Tetapi tidak diendahkan oleh Adnan sebaliknya Adnan terus memecut laju pulang ke rumah. Malam itu sebelum tidur, aku terima SMS dari Adnan, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan “pasar malam” tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Adnan sahaja yang berada di dalam kereta. Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...