
Menjadi kelaziman apabila memancing di sekitar pelantar minyak di perairan pantai timur, antara acara awal yang dilakukan adalah mencari umpan dengan kaedah menunda atau trolling sabiki (apollo) yang biasanya dibuat sendiri oleh tekong atau awak-awak. Sementara ikan yang diburu dengan kaedah ini adalah ikan tongkol atau ikan aya. Dan proses ini dipanggil ngolok ikan aya.
Apollo umpan yang berwarna-warni diikat ke mata kail biasanya 40-50 bentuk mata kail digunakan. Jarak di antara satu perambut ke satu perambut yang lain sepanjang 30-50cm. Bulu apollo tersebut diperbuat daripada tali rafia biasanya berwarna hijau yang racik halus.
Awak-awak akan menurunkan set ngolok sepanjang 15-18 meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam. Setelah mendapat isyarat daripada tekong perambut ngolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadang-kala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan aya akan menyambar bulu sabiki yang umpama ikan bilis yang diseret di permukaan laut. Apabila terasa berat, awak-awak akan meminta tekong memperlahankan bot. 2-3 orang diperlukan untuk menarik 30-40 ekor ikan aya yang tersangkut di mata kail.
Ikan-ikan aya yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam raga. Apabila raga penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing. Isi ikan aya yang mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik ngolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan aya.
Panduan penting memancing udang galah!!

Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menentukan lokasi terbaik udang galah antaranya, kenali struktur dasar sungai tempat di mana kita memancing. Selalunya dasar sungai berbentuk liku-liku dan beralun-alun.
Kedua, lihat pada keadaan arus sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras. Jika arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.
Cara memakan umpan
Apabila udang galah beratnya lebih 300gram, maka umpan akan langsung dilarikan dan hujung joran akan langsung melentik atau melengkung.
Bagi udang ukuran biasa dan kecil, biasanya sewaktu umpan dimakan, umpan akan dipegang dan ditarik-tarik menggunakan sepitnya sehingga hujung joran akan melentik beberapa kali seperti ikan kecil yang makan.
Memancing udang galah haruslah sabar dan toleransi. Pada saat umpan dimakan oleh udang, joran akan melentik atau melengkung, yang perlu kita lakukan tahan saja jangan
disentap kerana ia akan menjadikan mulut udang koyak dan pastinya udang galah akan terlepas.
Jika udang sudah mengena, angkat joran perlahan-perlahan sambil mengarau kekili dengan posisi hujung joran mendongak ke atas sehingga line tegak lurus dengan permukaan air.
Udang biasanya jika terkena pancing akan mundur ke belakang dan membengkokan tubuhnya, jika disentap atau ditarik terlalu kuat akan membuat mulutnya koyak terkena kail.
Jadi pancinglah dengan atau situasi yang tenang dan santai. Kadang-kadang juga udang galah makan tanpa ada gerakan, jadi untuk 10-15 minit sekali perhatikan keadaan umpan dengan karau perlahan lebih kurang 1 kaki karauan.
Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Cara memancing di atas sampan
Untuk memancing di atas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12-17 kaki. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan.
Tidak menghairankan jika ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
Susunan joran di atas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya
hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
Melontar umpan sehingga batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian karau tali dikekili sehingga tegang.
Seterusnya diletakkan joran di tepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu.
Jika sudah pasti udang telah menelan umpan lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali.
Memancing udang galah di tebing (menebing)
Pilih kawasan tebing yang lapang dan tidak terlalu bersemak untuk mengelakan gangguan haiwan atau binatang seperti ular dan sebagainya.
Ia juga untuk memudahkan untuk membuat lontaran dan karauan pancing. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan dan mencukupi.
Susunan joran di tepi tebing juga penting semasa memancing mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya.
Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri. Pastikan juga menggunakan pancang atau rod holder bagi mengelakkan joran terjun ke dalam sungai.
Jenis Penipuan Dalam Memancing!!

Penipuan dalam pertandingan memancing yang telah dibincangkan itu sebenarnya hanyalah salah satu penipuan yang terdapat dalam dunia memancing.
Masih banyak lagi jenis penipuan yang ada dan di sini kami senaraikan beberapa jenis penipuan yang telah dikesan.
Umpan tipu
Sama ada anda setuju atau tidak, hanya dengan menggunakan gewang, ia secara tidak langsung menjadikan anda seorang penipu. Iyalah, nama pun dah umpan tipu.
Namun, penipuan jenis ini tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan dan sama sekali tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kecuali ikan sahaja.
Tipu umpan
Tipu umpan tidak sama dengan umpan tipu. Jika umpan tipu itu gewang, tipu umpan juga turut melibatkan gewang.
Tipu umpan yang dimaksudkan ialah pemancing yang tidak menyatakan umpan sebenar yang digunakan ketika memperoleh tangkapan bonus.
Terutamanya pemancing kolam air tawar yang begitu taksub pada sesuatu umpan dan sama sekali akan mendedahkan umpan sebenar yang digunakan.
Tipu lubuk
Rasanya semua pemancing sudah faham dengan maksud tipu lubuk. Jika dibuat perbandingan, pemancing yang paling kuat menyembunyikan atau berbohong tentang kedudukan sesuatu lubuk ialah para caster atau pengilat.
Jarang sangat nak jumpa caster yang beritahu secara tepat dan jujur lubuk yang mana dia memperoleh kelah atau sebarau monster.
Tipu tangkapan
Tipu tangkapan ni memang banyak dilakukan oleh para pemancing. Ada yang mengaku pernah mendaratkan sesuatu spesies itu sedangkan tak pernah dapat strike.
Sejenis lagi ialah yang jenis suka bergambar dengan ikan orang lain tetapi claim ikan tu dia yang berjaya tangkap.
Tipu saiz
Tipu saiz ikan ini lebih kurang macam tipu hak milik tangkapan jugaklah. Ia berlaku dalam dua keadaan juga.
Yang pertama, dapat ikan saiz curut je tapi sembang kat orang lain macam dapat monster.
Dan yang kedua, jenis yang suka nak menampakkan ikan macam besar melalui teknik fotografi. Rasanya, penipu jenis ini memang banyak jumlahnya.
Tipu jual beli
Jenis kaki menipu dalam jual beli barangan pancing ini pun tidak kurang jumlahnya.
Para penipu dari jenis ini bukan saja bijak menipu bahkan juga cekap menghilangkan diri apabila kantoi. Tau-tau hilang begitu saja.
Tipu bini
Hahahaha… ada tak sesiapa yang tidak pernah menipu isteri untuk pergi memancing? Baguslah kalau tak pernah tipu bini.
Tapi, tipu bini untuk pergi memancing itu lebih bagus daripada tak pergi memancing kerana takut bini.
Jenis-Jenis Mata Kail & Kegunaannya (Siri 1/3)

Mata kail merupakan salah satu alat kelengkapan yang perlu ada untuk kegunaan aktiviti memancing.
Untuk mendapat hasil yang diidamkan ketika memancing, pemancing haruslah ada sedikit pengetahuan memilih mata kail yang tepat.
Pada asasnya nama-nama mata kail kail ini ditentukan oleh reka bentuk point (mata jarum), barb (duri pandan), eye (cincin), shank (teras), bend (lingkar) atau saiznya.
Kebanyakan mata kail yang ada di pasaran diperbuat daripada high-carbon steel, steel alloyed with vanadium atau stainless steel.
Sementara nombor saiznya pula tidak standard dan bergantung kepada jenama produk.
1) OCTOPUS HOOKS
Mata kail octopus salah satu mata kail yang mempunyai bentuk bengkok pada hujung mata kailnya sehingga proses hook up akan terjadi dengan cepat apabila umpan dimakan.
Ia dibentuk dengan lubang cincin yang 45 darjah dari teras batang. Ia membolehkan perambut atau tali utama yang diikat pada teras akan selalu lurus dengan mata kail tersebut sehingga keberhasilan hook up akan lebih tinggi.
Ia sesuai untuk pemancing yang menyukai pancingan dasaran dan lain lain. Mata kail yang terkenal dengan ketahanan dan kekuatannya. Ia hampir boleh digunakan untuk semua bentuk pancingan.
2) O’SHAUGHNESSY HOOKS
Mata kail tradisi untuk pancingan air masin. Sesuai untuk menyangkut banyak jenis umpan. Ini juga antara salah satu mata kail kegemaran pemancing negara kita.
Ia tersedia dalam jenis stainless ataupun carbon steel dalam teras batang panjang atau pun pendek. Teras yang panjang lebih baik untuk cangkutan umpan yang besar seperti potongan sotong dan hirisan ikan.
Ia juga bagus untuk pancingan ikan bergigi tajam seperti tenggiri dan alu-alu.
3) BAITHOLDER HOOKS
Mata kail yang popular untuk kegunaan menyangkut atau memegang umpan terutamanya cacing, perumpun ataupun katak.
Mata kail jenis baitholder ini popular untuk pemancing pantai. Mata kail jenis ini mempunyai 2 duri pandan pada bahgian terasnya.
Duri pandan ini akan berfungsi sebagai pencangkuk kepada umpan yang menghalang umpan dari melurut jatuh.
Balingan yang jauh untuk pancingan pantai biasanya memberi kesan kepada umpan yang kadang kala akan tercabut.
Dengan menggunakan mata kail jenis baitholder ini, ia akan lebih terjamin umpan kekal pada mata kail.
4) LIVEBAIT HOOKS
Mata kail yang sering digunakan untuk pancingan laut menggunakan umpan hidup. Juga boleh digunakan untuk memancing toman menggunakan umpan hidup.
Mata kail ini biasanya mempunyai saiz yang lebih pendek daripada mata kail lain. Mata kail ini datang dalam reka bentuk tetap dan kebulatan.
Memandangkan ia datang dalam bentuk teras yang pendek, maka penggunaan dawai atau kabel diperlukan terutamanya jika memancing ikan bergigi tajam seperti tenggiri dan toman.
5) WEEDLESS HOOKS
Mata kail kalis sangkut yang sesuai untuk pancingan haruan atau toman sama ada menggunakan umpan katak.
Selain itu ia juga boleh digunakan untuk menggantikan mata kail biasa pada gewang bagi tujuan bebas dari sangkut.
Malah ia boleh digunakan untuk apa-apa tujuan memancing khususnya bagi mengelak umpan yang digunakan tersangkut pada objek seperti samai dan sebagainya.
6) SIWASH HOOKS
Mata kail siwash kelihatan seperti mata kail yang asas, tetapi ia berbeza dari yang lain. Cangkuk siwash biasanya mempunyai teras panjang dan mata lurus yang terbuka.
Dengan teras yang panjang ia amat sesuai untuk digunakan bagi memancing ikan yang mengambil makanan secara menyambar.
Atas sebab itulah ia biasa digunakan menghasilkan perambut apollo. Ia juga sesuai digunakan untuk menggantikan mata tiga pada sesudu.
7) WALLEYE WIDE GAP HOOKS
Mata kail yang ringan tapi ditempa untuk kekuatan tambahan. Bukaan atau gap yang luas amat sesuai untuk memburu ikan yang bermulut luas seperti ikan tongsan sisik halus (pancingan air tawar) dan kerapu (pancingan air masin).
Namun mata kail ini kurang sesuai digunakan bagi menewaskan ikan-ikan kuat memberikan tentangan ketika dipancing.
8) SINGLE EGG HOOKS
Mata kail berduri pandan pada teras yang sesuai untuk umpan mudah tanggal daripada mata kail.
Mata kail yang ringan ini direka khusus bagi mengapungkan umpan di dalam air disamping dapat membenam atau tersembunyi dengan baik di dalam umpan.
Namun mata kail ini tidak banyak diguna pakai dalam hampir kesemua teknik memancing yang ada di negara kita.
9) SOI HOOKS
Mata kail berteras pendek yang kuat khusus untuk pancingan ikan yang menyedut umpan dan tidak bergigi tajam.
Mata kail ini ini mempunyai gape yang luas dan kedua-dua belah teras yang selari kecuali pada point atau hujung mata kail yang sedikit melengkung.
Ia semakin digemari oleh pemancing berikutan kekuatan dan sukar lucut apabila tertancap pada mulut ikan.
Baca juga –> https://www.umpan.com.my/jenis-jenis-mata-kail-kegunaannya-siri-2-3/