Ikan kenerak adalah spesies ikan bermisai (catfish) bergigi tajam dan juga merupakan ikan permangsa. Ia cukup popular di kalangan pemancing tempatan di negeri Pahang. Antara daerah yang popular dengan populasi ikan kenerak ialah Kuala Lipis, Jerantut dan Temerloh.
Habitat bagi spesies ini pula ialah kawasan sungai yang berarus deras. Spesies ini juga mampu hidup bertahun-tahun sehingga mencecah berbelas kilogram atau berpuluh kilogram. Kenerak juga mendiami kawasan sungai yang berarus deras Ini termasuk kawasan berbatu jeram, batang-batang kayu, tiang-tiang jambatan.
Ikan kenerak mempunyai kepala yang besar serta bergigi tajam mendatar ke bawah hingga ke bahagian mulutnya. Bahagian kepala memiliki tengkorak yang agak keras untuk melindungi kepalanya. Badannya mempunyai bentuk agak memanjang.
Bahagian badannya mempunyai warna yang agak kekuningan bercorak seperti coloreng. Bagi yang tidak pernah melihat ikan kenerak mereka mengatakan ikan bandaraya.
Kenerak merupakan spesies yang mempunyai barbell atau misai yang digunakan untuk memburu. Mereka mengesan mangsa atau makanan melalui filament barbel ini dan tidak menggunakan mata terutama dalam keadaan air yang keruh.
Kenerak yang mempunyai bentuk badan yang mampu melekat di batu dan kayu-kayu duduk mengendap mangsa di kawasan berarus deras atau jeram berbatu dan berkayu.
Teknik Pancingan
Teknik bottom dan juga casting selaman arus deras. Teknik bottom menjadi pilihan saya. Saya lebih suka mengunakan teknik bottom sebab baling dan tunggu sambaran. Bagi kawasan yang deras haruslah menggunakan batu hidup atau ladung yang bersaiz 7 ke atas.
Set pancing yang tahan lasak, bergantung pada kederasan air. Bagi saya umpan ikan kenerak adalah sangat mudah hanya menggunakan cengkerik. Adakala saya mengunakan anak ikan keli dan juga ulat lundi. Cengkerik yang disangkut penuh pada mata kail dibaling di kepala jeram. Kepala batang-batang kayu, kepala tiang-tiag jambatan atau pun bawah jambatan.
Apabila umpan telah dimakan pertarungan bermula tiada tarikan manja hanya tarikan yang kuat. Tali perambut juga harus la kasar dan kuat kerana gigi kenerak sangat tajam. Bukan senang untuk mendaratkan ikan kenerak kerana tarikan yang kuat malah faktor air yang deras menyukarkan untuk didaratkan.
Ibarat tarik batang kayu yang hanyut. Bagi setengah orang tidak berani atau geli dan juga takut untuk memakan ikan kenerak. Saya sangat menggemari ikan ini kerana mempunyai isi yang sedap. Bagi orang-orang Pahang gulai masang kenerak dan gulai gulai asam rom menjadi pilihan utama untuk memasak ikan ini.
Kredit: Mohd Iqbal
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Cara untuk menyimpan ketam yang mati supaya ia akan selalu segar adalah untuk membungkusnya dengan kertas seekor demi seekor dan menanamnya ke dalam ais yang dihancurkan. Lagi bagus ketam dibekukan terlebih dahulu.
Sekiranya bot yang anda naiki itu mempunyai tempat menyimpan umpan hidup maka bolehlah anda menyimpan ketam hidup di dalamnya.
Sekiranya bot tidak mempunyai tempat menyimpan umpan hidup, anda boleh menyimpannya di dalam kotak dengan memasukkan air masin sedikit dan pastikan simpan di tempat yang teduh dan elakkan dari pancaran matahari secara terus.
Untuk perjalanan yang jauh masukkan ais sebesar dua penumbuk dalam plastik dan ikatkannya, kemudian masukkan ais ini ke dalam tempat simpan ketam bersama ketam
hidup tersebut. Siramkan sedikit air setiap 4 jam supaya badan ketam tersebut tidak kering.
Terdapat beberapa cara untuk mencangkuk ketam tersebut, apa yang penting adalah cara kita mencangkuknya perlu mengambil kira beberapa faktor.
Mata kail memainkan peranan yang amat penting semasa mengguna umpankan ketam hidup kerana sekira kail itu terlalu besar dan berat maka ia akan membunuh umpan tersebut. Anda perlulah menyesuaikan kail dengan umpan.
Bagi saya mata kail bersaiz antara 1/0 hingga 4/0 adalah yang paling sesuai sekali terutama yang diperbuat daripada aloi atau carbon steel kerana sangat ringan tetapi kuat.
Jenis perambut yang digunakan juga memainkan peranan yang penting kerana ia akan menentukan sekiranya umpan dapat bergerak secara semula jadi.
Sekiranya wire leader digunakan, cubalah menggunakan yang paling halus sekali. Bagi saya, wire leader yang saya selalu gunakan adalah dari jenis 15lb hingga 60lb.
Dan sekiranya tidak menggunakan wire Leader, saya menggunakan perambut mono antara 40lb hingga 80lb.
Selepas kita mengkaji faktor di atas maka terdapat beberapa cara untuk mencangkuk umpan ketam yang hidup. Sekiranya ketam itu terlalu besar maka kita bolehlah memotongnya atau menggunakan sebahagian dari ketam tersebut.
Untuk mencangkuk kail pada ketam kita boleh mencangkuknya pada bahagian antara kaki ketam. Saiz yang sesuai digunakan sekiranya memancing dengan menggunakan ketam seekor bergantung pada saiz ikan yang dipancing.
Saya syorkan saiz ketam tidak melebihi 3 inci garis lentang.
Kita boleh juga mencangkuk ketam tersebut secara sekerat, bahagian isi badan, atau secara mengumpulkan beberapa kaki ketam dan mencangkuknya pada mata kail atau menggunakan sepitnya dengan mencangkuk pada bahagian tengah penyepit.
Bagi umpan yang segar atau mati pula maka kita boleh menggunakan kaedah di atas atau mencangkuk melalui se ekor ke badan ketam tersebut atau beberapa ekor sekali sekiranya ia kecil.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kejadian kapal melanggar bot-bot kecil jarang kita dengar namun kes ini memang ada berlaku apabila bot-bot kecil ini memancing di alur laluan kapal dagang pada waktu malam terutamanya di perairan Selat Melaka.
Sebenarnya tekong mampu mencegah dari ia berlaku kerana keselamatan diri dan kaki pancing lain adalah perkara utama yang perlu di titik beratkan. Dalam kes tersebut, kebiasaannya kes berlaku disebabkan tekong dan juga pemancing tertidur.
Justeru, jangan terlalu mengambil risiko memancing berada tepat di laluan kapal kerana kapal-kapal yang besar akan melalui laluan yang telah ditetapkan sepertimana kapal terbang yang terbang mengikut laluannya.
Sentiasa peka dengan kehadiran kapal-kapal besar sekiranya memancing di tengah. Jika tidak, jangan ambil risiko dan adalah lebih selamat sekiranya bot kecil hanya memancing pada siang hari atau lebih dekat dengan kawasan pantai.
Menggunakan lampu amaran adalah salah satu cara untuk menunjukkan kehadiran nelayan. Selain itu penggunaan sportlight yang cerah boleh menjadi penanda kepada sampan lain di sekitar supaya pelanggaran tidak berlaku.
Sekiranya memancing pada waktu malam pastikan jarak selamat dari laluan kapal dan jangan leka dan tidur ‘mati’ sehingga tidak sedar kehadiran benda asing di sekeliling. Adalah lebih baik, anda memancing bersama rakan-rakan bot yang lain, agar sekiranya berlaku apa-apa boleh saling membantu.
Pastikan juga enjin bot dalam keadaan yang baik dan paling penting sentiasa perhatikan juga keadaan cuaca. Jangan ambil risiko sehingga membahayakan diri dan nyawa.
Kebiasaannya kapal dagang akan membunyikan hon yang nyaring tanda ia sedang melalui kawasan berkenaan sekiranya kapten kapal menyedari terdapatnya nelayan sedang memancing atau melabuhkan pukat.
Tetapi bayangkan saiz bot yang kecil berbanding dengan saiz kapal yang besar dan ada kalanya setinggi bangunan 10 tingkat membuatkan bot kecil begitu kerdil dan terdedah kepada bahaya. Saiz yang kecil membuatkan ia lebih sukar dilihat.
Ombak lintasan kapal juga amat merbahaya kerana ia mampu mencecah 2 meter jika terlalu dekat. Walaupun kapal dagang mempunyai alat pengesan benda asing di laluannya ia bukanlah menjadi lesen besar kepada bot kecil kerana masa yang diambil untuk berhenti secara mengejut tidak mungkin berlaku kerana kapal tidak akan membuat brek kecemasan seperti kenderaan di jalan raya!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...