Pernah memancing di Putrajaya, kat sungai tu… saje jer nak try kat situ. Baru dapat sekor, terus kena kacau. Ingat pukul 12.30 tengah hari nak packing dan balik, tapi belum sempat. Tetiba suami cakap, kemas la, jom balik. Dan jangan pandang arah palong air.
Tak tunggu lagi, kukemas barang dan cabuuuuttt…! Nasib baik kereta tak meragam dan senang idup. Kalau x, huishhh… Otw balik tu, kete berat semacam je. Lepas pasang MP3 surah AlQuran, baru ringan.
Ini sungai yang dekat dengan kolam pancing di Presint 20. Sampai umah, baru suami bgtau, dia nampak ada budak kat bawah palong tu.
AlDee Garcia:
Pernah, pancing di Kuala Binsulok, Kuala Penyu, Sabah. Kira-kira jam 9.00 malam. Tempat tu memang keras, tapi time tu ikan dia ganas gila, sekali pancing jatuh jak terus kena sambar.
Tiba-tiba di tengah-tengah muara ada timbul pasir… macam pulau la cuma tak ada pokok kelapa. Lepas tu macam ada bom atom jatuh kat tengah-tengah air bising sangat! Masa tu juak pulau tu hilang, tapi masih buat tak tau, (tapi dalam hati rasa nak cabut jak).
Ads
Tetiba kat tengah air ada mccam kepala orang… cuma ada 2 tanduk. Macam devil la… terus packing barang sambil mulut baca ayat-ayat yang masih ingat belajar dulu. Sekarang tak berani dah pancing malam kat tempat tu.
Bulan & Teleskop:
Aku pernah memancing haruan kat ladang sawit dengan 2 member lain dan kami sumer berpecah. Baru 10 minit mancing, tiba-tiba ada 1 keluarga… ayah, anak, ibu berjalan dekat dengan saya dengan berpakaian cantik tanpa menoleh sedikit pun kat saya.
Terus cabut lari, sebabnya lepas toleh semula diorang dah hilang. Pelik bila fikirkan saper diorang dan pakai cantik-cantik kat tengah ladang.
Ads
Zulk Yusof:
Sebelum mancing, bacalah Bismillah & ucapkan salam. Selalu la baca ayat Kursi. Elak dari memancing sorang lebih-lebih lagi bila hari hampir senja dan juga sewaktu hujan panas turun.
Ameng Syh:
Mancing kat Empangan Sembrong hanya berdua saja. Jam waktu tu 2.00 pagi dan terbau wangian yang sangat wangi berhampiran pokok buluh. Selang 2 minit kemudian terdengar suara mengilai dengan diikuti hujan renyai-renyai secara tiba-tiba.
Ads
Pakat dengan member apa lagi… angkat kaki la. Esoknya demam 2 hari. Kejadian ini berlaku tahun 1997. Lepas tu serik tak nak mancing malam lagi.
Tilan Hunter:
Ambik gambar, tapi tak nampak pun. Kes berlaku kat Johor, mancing waktu Maghrib. Member nampak ada perempuan rambut panjang kat belakang teman, tapi teman sendiri tak nampak… hihihihi.
Pisau Parang:
Mancing tak dapat ikan… tapi mata kail sangkut pada mayat! Sampai pancing pun saya buang. Sampai sekarang saya tak pernah mancing dah… trauma!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Cerita ni terjadi sekitar tahun 2006, aku and the geng dengar ada dengar citer banyak lombong tinggal kat puncak Polo Iskandar. Sebab apa kena tinggal aku tak tahu la pulak tapi yang pasti kebanyakan lombong tinggal tu bekas tapak kolam ikan yang Cina bela. Kebiasaaannya, kalau tempat tu bekas kolam ikan, mesti banyak ikan yang tak habis angkut masa last punya harvest.
Dipendekkan cerita, petang tu aku and the geng berangkat naik ke tempat sasaran. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi. Kira penghujung jalan dan last punya lombong la kan. Sampai tempat tu lebih kurang jam 6.30, aku pun terus parking dan pusing siap-siap kereta pasal senang nak turun balik karang.
Sampai jer terus semua ambil port memancing. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran kawan aku kene sambar, naik seekor jelawat lebih kurang 3 kilo. Wow! sangat lumayan, tunggu tak sampai 15 minit dah kena.
Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Nak bagi terang kawasan memancing situlah kan. Walaupun belum gelap lagi tapi takkan dah gelap baru nak pasang api kan… betol tak?
Aku plak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yg mencurigakan.
Uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……
Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Huh! Hampeh betul. Aku cuba mengamati bunyi tu betul2, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu.
Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis. Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan.
Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tgk balik dah takde. Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?! Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh..baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. adeh.. siot betul.
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam. Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau..bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la. Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari puncak bukit tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu mmg dah gelap. Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia. Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, HIJAU beb Hijau…! Orang yang bawak teksi tu warna hijau… nasib baik aku yang jeling tengok dia. Bukan dia yang menjeling tengok aku… kalau tak kompom 180kmj turun bukit tu… hahaha
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku di area Ampang. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina. Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak. Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan sembahyang. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Inilah salah satu cerita seram aku dalam dunia sebagai pemancing tegar… hehe. Agak menyeramkan.
Pengalaman ketika menjala udang di bawah jambatan sekitar Pulau Indah, Port Klang. Waktu tu tengah malam dah.. saya dan abang cuma berdua.
Pada awalnya kami menjala di kawasan tiang bawah jambatan yang ada banyak lampu dan ada restoran seafood, jadinya keadaan bercahaya la jugak tapi sebab takde udang kat kawasan tu kami beralih di tiang sebelah yang mana di situ agak gelap.
Masa tengah berjalan tu saya tukang pegang touch light abang yang tebar jala. Tiba-tiba masa tengah berjalan tu saya ternampak pasu tembikar tanah liat yang bentuknya macam tempat simpan abu mayat.
Mulut ni boleh pulak terlepas tegur benda tu kat abang saya tapi dia buat tak tau ajelah.
Selang beberapa minit saya saja suluh-suluh kawasan situ… tiba-tiba saya perasan ada sesuatu tengah perhati kami dari belakang. Masa tu tak terfikir apa pun.
Lampu pulak saya tak suluh kat benda tu sebab fokus kat abang yang tengah tebar jala. Lama-lama tenung baru la perasan benda yang saya nampak tu sedang berdiri, pakaian putih, sosoknya macam orang tua tengah pandang kami yang sedang menjala.
Jaraknya kira-kira 15 kaki dari kami tapi muka tak nampak sebab gelap. Masa tu jantung pun apa lagi macam nak gugur beb! Dan-dan lepas tu toleh depan abang saya dah gerak nak balik.
Menggelupur la aku berlari dalam lumpur tu. Abang saya tak nampak cuma dia pun ada cakap masa tu roma dia tiba-tiba naik. Tu dia ajak balik terus tu. Akibatnya tiga hari aku demam beb… haha.
(Catatan: Najib Mohd Said)
TEMAN MEMANCING
Pengalaman ini berlaku ketika saya memancing di tepi sebatang sungai. Agak pelik juga setelah berjam-jam lamanya memancing namun saya langsung tak dapat apa-apa hasil.
Padahal sebelum ini sungai tersebut tidak pernah menghampakan. Paling tidak dapatlah juga ikan kecil-kecil.
Bila dah rasa pelik tu saya perhatilah juga di sekeliling tapi tak nampak apa-apa yang pelik. Tapi saya dapat rasa macam ada sesuatu yang tak kena.
Jadi dengan tawakal dan tenang saya beralih dalam jarak 10 langkah dari tapak. Tak sampai lima minit memancing kat situ barulah saya dapat hasil.
Dalam pada masa yang sama saya baru ternampak kawan saya yang memancing di seberang sungai.
Rupanya kawan memancing di seberang sungai tu dah memberi isyarat. Dia dah nampak kelibat budak duduk sebelah saya dan memancing bersama dengan saya.
(Catatan: Hakunan Matata)
HILANG ATAS BOT
Peristiwa ni berlaku sekitar bulan May 2016. Aku bersama tujuh rakan lain memancing sekitar perairan Tioman.
Dipendekkan cerita, setiba kami di lubuk pertama masing-masing sibuk melabuhkan umpan tanpa peduli antara satu sama lain.
Lima jam berlalu setibanya kami di lubuk kedua aku dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena tapi bila ingatkan pesanan orang tua-tua aku pun tak jadi tegur.
12 Jam berlalu… rupanya apa yang aku rasakan itu turut disedari rakan pancing yang lain juga.
Masuk jam yang ke-18, seorang rakan memancing mula menegur. Tersentak semua orang atas bot.
Rupanya semua perasan ada salah seorang daripada rakan kami telah menghilang. Aku pun bertindak sebagai ketua yang tak dilantik mencari si polan yang hilang.
Dari belakang bot ke depan ke kiri ke kanan masih tak jumpa. Aku pun cuba cari di kabin bot. Terkejut aku melihat sekujur tubuh tak bergerak.
Aku kejutkan dia tapi dia tetap tak bergerak tetapi masih bernafas… ahhh lantak kau la.
Kami pun teruskan aktiviti memancing dan pada masa yang sama masing-masing cuba kejutkan dia namun tetap tak berjaya.
Setelah 23 jam tidur tanpa henti akhirnya si polan tu sedar juga dan terus memancing seperti tiada apa-apa berlaku. Bila ditanya dia diam saja.
Apabila trip selesai kami pun bawa dia jumpa seseorang. Setelah diselidik, dikaji, diserapah.. cisss! Rupanya si polan tu overdose ubat mabuk.
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...