HARI yang dijanjikan sudah tiba. Semua ahli komplot sudah bersedia dengan alatan dan senjata masing-masing. Dalam kotak fikiran hanya terbayang habuan ikan yang besar dan bergred A dan besar akan memenuhi tong yang dibawa. Trip kali ini dirancang oleh tiga orang sahabat iaitu Jaafar, Tahir dan Rostam.

Hampir sebulan perancangan dibuat dan akhirnya menjadi juga. Dalam sebulan itu jugalah mereka asyik berbual dan berbincang tentang trip kali ini. Lokasi yang dituju ialah Lubuk Mat Anjing. Bagaimana lubuk ini mendapat nama tidaklah diketahui. Apa pun lubuk yang airnya dalam sentiasa keruh ini memang diketahui dihuni oleh ikan yang bagak-bagak saiznya. Boleh dikatakan pada siang hari lubuk ini sentiasa sahaja dikunjungi kaki pancing termasuk orang luar. Cuma pada waktu malam sahaja lubuk ini kurang dikunjungi.

Dengan bot fiber 10 kaki dan enjin 15 kuda, Jaafar memacu bot dengan laju menuju Lubuk Mat Anjing. Perjalanan yang mengambil masa 45 minit dari jeti hanya di isi dengan berbual-bual kosong sambil menyiapkan kelengkapan dalam bot. Walaupun menaiki bot pada waktu malam, Jaafar amat arif dengan selok belok sungai ini. Dengan hanya berpandukan lampu kepala kecil, dia mampu mengenal pasti laluan mana yang selamat untuk botnya. Maklumlah dia anak jati kampung ini.

Sauh terus sahaja dijatuhkan sebaik sahaja sampai di lokasi. Jam menunjukkan 10 malam dan masing-masing kelihatan tidak sabar mencampak umpan. Kelihatannya hanya mereka sahaja yang memancing di situ. “Elok juga tiada orang lain, kita bolot semua ikan yang ada kat lubuk ini,” teriak Tahir sambil diikuti tawa dua orang rakannya.

Umpan yang baru dibaling tidak menunggu lama untuk diragut ikan. Rostam orang pertama yang beraksi. Setelah 5 minit bertarung seekor baung dalam skala 1 kilogram berjaya dinaikkan. Tidak lama selepas itu, joran Jaafar pula ditarik dengan kuat. Dia mengambil masa yang agak lama untuk menaikkan ikan itu. Tahir dan Rostam berteriak memberi semangat.

Akhirnya seekor belida yang agak besar saiznya berjaya ditumpaskan. Begitulah mereka begitu asyik melayan ragutan ikan sehingga bekalan yang dibawa masih belum diusik dan dijamah lagi. Banyak betul ikan malam tu. Naik lenguh tangan mereka dibuatnya. Ada baung, patin, tapah dan bermacam lagi.

Jam menunjukkan tepat pukul 12.00 malam. Ragutan ikan yang galak tadi tiba-tiba terhenti. Ikan seperti tidak lagi berminat dengan umpan mereka. “Mana pulak perginya ikan ni. Nak kena tuba kot lubuk ni” kataTahir geram. “Aku rasa elok kita balik. Lagipun dah banyak ikan kita dapat ni,”cadang Jaafar.

Dia dari tadi tidak sedap hati. Dirasakan olehnya telinganya seolah-olah ditiup sesuatu. Macam bunyi nafas yang mendengus kuat. Cadangannya ditolak mentah-mentah oleh rakannya. Ingin diberitahu takut kalau dikatakan pengecut pula. Baru sebentar tadi dia terlihat kelibat putih atas pokok Ara yang memayungi lubuk itu.

Namun dia hanya mendiamkan diri. Tahir dan Rostam terus berbual. Sesekali terdengar tawa mereka yang agak kuat dan terbahak-bahak memecah kesunyian malam. Entah apa yang dibualkan.

Tiba-tiba bot yang mereka naik seakan bergoyang. Mulanya agak perlahan tapi semakin lama semakin kuat goyangnya. Terkejut tiga sahabat itu. Mereka berpegang dengan kuat pada bot takut terjatuh. “Kenapa pulak ni?” tanya Rostam dengan suara yang terketar-ketar. Dalam pada itu, Tahir terlihat sesuatu muncul di permukaan sungai dengan jelas apabila lampu kepalanya dihalakan kepadanya.

Hanya kepalanya sahaja yang jelas kelihatan. Itu pun setakat mulut sahaja. Dengan matanya merah Rambutnya panjang dan matanya merenung tajam ke arah mereka bertiga. Jaafar dan Rostam juga sedar dengan kehadiran makhluk itu yang kira-kira 10 meter dari bot mereka.

Dalam suasana kaget tersebut, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara perempuan mengilai nyaring diselang seli dengan tangisan bayi. Seram dan naik bulu roma mereka. Tanpa membuang masa tali sauh terus dipotong dan bot terus dihidupkan dan dipacu dengan laju meninggalkan lubuk itu.

Mujur enjin bot dapat dihidupkan dengan mudah. Pucat lesi wajah tiga sahabat itu. Dari jauh jelas kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan sedang memandang mereka sambil mendukung sesuatu seperti bayi.

Sampai sahaja di jeti, ketiga orang sahabat tadi senyap membisu tanpa suara. Mereka bagaikan tidak percaya, kejadian mistik yang sering didengar dari orang lain benar-benar berlaku kepada mereka bertiga. Terketar tangan Tahir ketika menambat tali bot.

Kejadian itu telah menggemparkan penduduk Kampung Kuala Hilir. Kebanyakan penduduk tidak berani menghampiri kawasan lubuk itu lagi. Rupanya terdapat kisah lama tentang lubuk itu. Menurut Pak Anjang iaitu orang lama di kampung itu beberapa tahun dahulu, seorang gadis pernah membunuh diri bersama bayinya di situ. Ini kerana dia melahirkan anak luar nikah dan teman lelakinya tidak mahu bertanggungjawab. Disebabkan malu dan tertekan dia mengambil jalan mudah dengan menamatkan hayatnya di situ.

Akibat kejadian itu juga Rostam demam hampir seminggu dan sejak dari itu juga, tiga orang sahabat itu mengambil keputusan untuk tidak sesekali turun memancing di lubuk berkenaan dan mereka juga serik untuk keluar memancing pada waktu malam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI