Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Nak bagi terang kawasan memancing situlah kan.
Walaupun belum gelap lagi tapi takkan dah gelap baru nak pasang api kan… betol tak?
Aku plak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yg mencurigakan.
Uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……
Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Huh! Hampeh betul.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu.
Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis.
Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan.
IKLAN
Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tgk balik dah takde.
Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?!
Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh… baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. Adeh… siot betul.
IKLAN
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam.
Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau..bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la.
Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari puncak bukit tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu mmg dah gelap.
Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
IKLAN
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia.
Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, HIJAU beb Hijau…!
Orang yang bawak teksi tu warna hijau… nasib baik aku yang jeling tengok dia. Bukan dia yang menjeling tengok aku… kalau tak kompom 180kmj turun bukit tu… hahaha.
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku di area Ampang. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina.
Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak.
Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan sembahyang. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Inilah salah satu cerita seram aku dalam dunia sebagai pemancing tegar… hehe. Agak menyeramkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Rakan baik saya Syamil ajak menjala di Tasik Teja, sebuah tasik yang masih belum tercemar dan terletak di kawasan pedalaman di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kami pergi berempat dengan ditemani Zarim dan Chak.
Pakcik Mat, pemilik bot sudah sedia menunggu di jeti. Rupa-rupanya Syamil telah merancang semua aktiviti menjala dan memancing dengan penuh teliti.
Perjalanan dari jeti ke port pertama memakan masa hampir 45 minit. Spot yang dipilih ini betul-betul terletak di sebuah kuala sungai yang menganjur masuk ke dalam tasik dan kami merancang akan bermalam di situ.
Syamil menyuruh kami memasang khemah dan mencari kayu api untuk persediaan memasak dan membuat unggun api. Saya pula ditugaskan untuk memasak. Memandangkan hari sudah beransur petang, saya terus membasuh beras untuk ditanak.
Lauk untuk malam itu ringkas sahaja. Sambal sardin, telur dadar berulamkan timun Jepun yang dibekalkan oleh isteri saya. Saya juga membancuh air kopi O satu cerek besar yang bakal diminum untuk menahan mata daripada mengantuk. Siap semuanya, barulah saya mengeluarkan jaring dan mula membetulkannya dengan dibantu oleh Chak.
Ketika meranduk tebing sungai sedalam paha untuk mengambil wuduk, saya dikejutkan dengan kehadiran tujuh jenis bunga yang mengalir tenang di hadapan saya. Bunga melur, mawar, kenanga, kekwa kuning, dan tiga jenis lagi yang tidak saya ketahui namanya seolah-olah cuba menarik perhatian saya untuk terus memandang hingga hilang dibawa arus.
Sesaat itu juga saya tercium bau limau purut yang sangat menyegarkan menusuk masuk ke hidung. Saya beristiqfar seketika sebelum meneruskan hajat mengambil wuduk. Tidak saya ceritakan kepada kawan-kawan peristiwa yang baru berlaku itu.
Malam itu saya memasang jaring di beberapa lokasi yang dicadangkan oleh Syamil dengan menaiki bot. Aktiviti menjala tidak dapat dilakukan kerana kawan-kawan berasa letih dan mengantuk. Malam itu saya bermimpi jaring yang saya pasang berjaya ‘menangkap’ seorang puteri jelita yang sedang mandi-manda di sungai itu bersama beberapa dayangnya.
Tuan puteri itu menangis-nangis merayu agar saya melepaskan dia. Katanya, andai saya membantu dia, dia berjanji akan memberikan saya sesuatu yang berharga.
Saya tersentak daripada tidur dan terus mengucap dan beristiqfar. Sempat saya memandang jam. Tepat jam dua pagi. Saya mengambil keputusan untuk mengambil wuduk kembali dan saya memberanikan diri memeriksa dua jaring yang saya pasang.
Saya mendayung perlahan bot dengan bantuan lampu suluh. Pada jaring pertama, kosong. Tiada langsung ikan mengena. Pada jaring kedua pula, saya temukan seekor ikan kecil bersisik emas yang tidak meronta lagi. Seolah-olah sudah pasrah dengan nasib yang menimpa dirinya. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan ikan kecil bersisik emas itu.
Keesokan harinya, saya terkejut apabila melihat dua jaring yang saya pasang penuh dengan ikan kelah, sebarau dan baung. Kami seolah-olah berpesta ikan hingga penuh tong ikan yang kami bawa.
Saya juga menjumpai sebentuk cincin berbatu hijau di dalam perut ikan kelah yang saya bersihkan untuk dijadikan hidangan makan tengah hari. Lebih mengejutkan cincin itu memang sesuai dengan jari manis saya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sepanjang perjalanan macam-macam topik tentang ikan yang kami bualkan, maklumlah semuanya kaki pancing.
Paling menarik adalah pengalaman Pak Andak ketika memancing di Jeram Tujuh Tingkat yang terletak di utara tanah air.
Cerita Pak Andak, ketika berkhemah dan memancing di situ selama dua hari satu malam, beliau selalu didatangi oleh seorang wanita cantik yang mengajaknya berkahwin.
Wanita cantik itu memberitahu bahawa beliau merupakan puteri yang menjaga kawasan Jeram Tujuh Tingkat itu. Dia menyukai Pak Andak yang dianggapnya sebagai manusia jujur dan baik hati.
Setiap kali Pak Andak menangkap ikan-ikan kecil, dia pasti akan melepaskannya kembali ke sungai. Puas
Pak Andak menegaskan bahawa itu perkara biasa dalam dunia memancing namun puteri itu tetap mengatakan bahawa dia sangat terpaut dengan keluhuran hati Pak Andak.
Akhirnya, trip memancing itu terpaksa Pak Andak singkatkan kerana risau dengan masalah mistik yang menimpa dirinya.
Akhirnya Kami sampai juga di Lombong Batu Geliga tepat jam dua petang. Saya bersiap-siap untuk memulakan balingan mata kail.
Begitu juga dengan Iddin, Nasha dan Pak Andak. Sebenarnya, Lombong Batu Geliga ini merupakan satu kawasan lombong terbiar yang telah dihentikan segala aktivitinya sejak 15 tahun yang lalu.
Pemandangan di sini sangat cantik. Air lombong berwarna kehijauan kerana banyak rumpair yang hidup bebas di dalamnya. Ikan yang ditangkap juga tidak berbau kerana airnya bersih dan mengalir ke luar anak sungai yang berdekatan.
Setiap kali hari cuti, kawasan lombong ini menjadi pilihan kaki pancing untuk mencuba nasib. Jarang mereka pulang dengan tangan kosong. Jika bernasib baik, patin dan rohu juga dapat ditangkap dengan saiz XL.
Namun pada petang itu, kawasan lombong agak sepi. Saya mengambil tempat berdekatan dengan sebatang pokok hutan yang redup. Cuaca petang itu agak suram. Di dada langit, awan gelap sarat berisi air menunggu masa untuk turun ke bumi.
Saya melabuhkan sebatang joran berumpankan anak ikan dan sebatang lagi casting menggunakan katak hidup. Di permukaan air anak-anak ikan bermain dengan bebas dan riang.
Geram pula saya tengok aksi-aksi mereka. Kalau ada tangguk, rasanya mahu saja saya menangkap anak-anak ikan yang cantik itu.
Guruh sudah berbunyi tetapi cuaca masih mendung. Kami sudah berjanji sekiranya hujan belum turun aktiviti memancing akan diteruskan sehinggalah hujan turun lebat.
Saya memandang ke arah Pak Andak, Nasha dan Iddin. Joran masing-masing sudah mula dimakan ikan.
Hanya saya yang termenung menunggu mangsa membaham umpan anak katak di mata kail. Guruh berbunyi agak kuat juga berserta deruan angin yang kuat.
Pokok-pokok di kawasan sekitar bergoyang. Namun saya merasa menggigil setiap kali deruan angin itu menyentuh tubuh saya. Iya, badan saya sekarang berpeluh laju dalam keadaan menggigil kesejukan.
Saya memandang ke tengah lombong. Kalau tadi, pemandangannya adalah deretan bunga dan daun teratai yang cantik terapung, kini ia telah bertukar menjadi sebuah istana yang tersergam indah.
Saya menggosok mata beberapa kali untuk memastikan bahawa saya tidak bermimpi. Benar, di hadapan saya sekarang tersergam sebuah istana besar yang sungguh cantik berwarna hijau!
Saya seperti terpukau melihat keindahan istana itu. Tiba-tiba keluar seorang wanita yang bersisik hijau di seluruh badannya di bahagian balkoni istana tersebut.
Di kepalanya ada mahkota yang menyerupai ikan-ikan kecil dengan pelbagai warna yang indah dan menarik. Wanita itu merenung tajam ke arah saya sambil tersenyum.
Saya cuba membalas senyuman itu namun sebaik sahaja ternampak deretan gigi taring yang tajam pada wanita itu, senyuman saya mati.
Badan saya mula menggigil dan rasa seram sejuk. Saya cuba membaca Al Fatihah atau ayat Qursi namun bacaan saya menjadi tunggang langgang seolah-olah saya seperti tidak pernah menghafaz ayat-ayat ini!
Saya melihat wanita bersisik hijau itu melayang turun dari balkoni. Dia menunggang seekor ikan raksasa yang menyerupai haruan. Pandangannya masih tepat ke arah saya.
Saya mengagak tentu wanita itu mahu datang ke tempat saya duduk sekarang. Saya cuba bangun untuk melarikan diri tetapi badan saya seolah-olah sudah terlekat pada permukaan tanah tempat saya duduk itu.
Saya cuba menjerit untuk memberitahu Pak Andak, Nasha dan Iddin tentang keadaan saya sekarang namun suara saya seperti tersekat di halkum.
Wanita bersisik hijau dan haruan tunggangannya semakin menghampiri saya. Akhirnya, saya pasrah, reda dan tawakal dengan apa yang bakal berlaku.
Saya cuba tenangkan diri dan akhirnya saya dapat mengucap dua kalimah syahadah dengan tenang di dalam hati.
Saya serahkan diri saya yang kerdil ini kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa. Tiba-tiba, terasa bahu saya ditepuk dari belakang. Pak Andak tersenyum sambil menunjukkan jam tangannya mengajak pulang. Saya seperti orang mamai.
Di sebelah, kotak putih yang saya bawa penuh dengan haruan, keli, tilapia dan juga belida. Entah bila saya menangkap ikan-ikan itu, saya sendiri tidak sedar. Di permukaan lombong masih dipenuhi dengan kelopak bunga teratai yang berkembang mekar.
Saya tidak tahu apakah yang saya alami sebentar tadi. Adakah ia realiti atau mimpi, soalan ini masih tidak berjawab hingga sekarang!!!
Bila saya bertanyakan pada Pak Andak, Nasha dan Iddin, mereka hanya melihat saya memancing seperti biasa, sedangkan saya mengalami peristiwa aneh.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...