Semasa umur dalam 17 tahun iaitu sekitar tahun 80-an, ketika baru pertama kali memancing mengikut abang dan arwah abang ipar mengail di tebing sungai.
Kawasan Sungai Redan,Ulu Tiram di dalam kebun kelapa sawit, berhampiran kuil Hindu yang terpencil.
Sewaktu itu tidak pernah saya lihat ikan sembilang dikail begitu senang didaratkan, hanya berumpankan udang kopek sahaja.
Sehinggalah dirasakan umpan udang hampir kehabisan dan waktu masih lagi awal sekitar jam 5.00 petang saja, lalu arwah abang ipar menyarankan saya membeli lagi umpan udang di pekan berhampiran.
Pekan berhampiran bukanlah dekat, hampir 5 km juga jauhnya. Memandangkan saya baru pertama kali ke tempat itu, jadi berpandukan tempat belakang kuil Hindu sahaja yang boleh saya ingat kedudukan pancingan kami.
Setelah puas mencari dari satu kedai ke satu kedai akhirnya dapat juga umpan yang dicari. Lalu bergegas membawa motosikal menuju ke tempat pancingan kami tadi.
Ads
Waktu pula menunjukkan sekitar 6.00 petang dan waktu dulu pukul 6.00 petang adalah waktu hampir Maghrib, dan saya masih dalam perjalanan mencari tempat yang dituju.
Suasana di kebun kelapa sawit hampir sama sahaja, dan lorong tanah merah juga membuatkan kita keliru.
Jam menunjukkan pukul 6.30 petang akhirnya sampai juga saya di kuil Hindu yang dicari. Lalu saya mengikuti lorong kanan belakang kuil tersebut. Saya rasakan perjalanan begitu jauh sekali!
Ads
Tiba-tiba saya perasan yang saya masih lagi berada di hadapan kuil Hindu tersebut lagi.
Dalam fikiran mungkin saya silap jalan, lalu saya ulangi jalan tersebut lagi dan berteriak memanggil abang-abang saya tetapi tiada sahutan, dan saya masih lagi tidak temui tempat abang2 saya mengail.
Hati mula gelabah dan hampir nak menangis kerana dah hampir 4 kali saya berpusing-pusing melalui kuil Hindu tersebut.
Belok kanan jumpa kuil itu, belok kiri juga jumpa kuil itu, waktu pula makin gelap dan tak nampak.
Ads
Akhirnya saya teringat pesan orang tua-tua, kalau sesat di hutan cuba-cubalah azan. Lalu saya pun azan sebanyak 3 kali sekuat hati!
Tiba-tiba… saya dengar suara abang saya memarahi saya kerana lambat dan melaungkan azan di tengah-tengah hutan pada waktu maghrib!
Fuhh… lega dapat juga saya bertemu dengan abang-abang saya setelah melalui peristiwa yang mendebarkan.
Yang peliknya abang-abang saya tidak mendengar bunyi motosikal saya (sedangkan ekzos motosikal saya jenis yang membingitkan telinga) dan tidak dengar saya memanggil nama-
nama mereka, sedangkan kedudukan kuil Hindu dengan tebing sungai terlalu hampir… pelik bukan?
(Sumbangan artikel dari zulkiffleeh.blogspot.my)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Si Daus yang baru sampai tiba-tiba menerpa bila aku sebut sahaja nak pergi memancing kat kolam tinggal dalam kebun Pak Ucop.
Sebenarnya aku dan rakan lain, Buden, Din, Abe dan Naim sedang duduk minum-minum di warung dalam kampung kami ni.
Seperti satu kezaliman, boleh dikatakan setiap hari minggu jika tiada aral melintang, kami berlima akan melepak, sembang sambil minum-minum pada hari Jumaat malam Sabtu.
Biasalah, sebab esoknya masing-masing cuti. Perbincangan selalunya berkisar mengenai dunia hanyir kami. Sebab hobi ini jugalah kami berlima menjadi sahabat baik sekarang.
Hasil dari ‘melepak’ inilah timbul idea dan perbincangan untuk menerjah mana-mana lubuk pada cuti Sabtu atau Ahad nanti.
Kadang-kadang tu dua-dua hari kami keluar memancing, tertakluk kepada ‘lesen’ dari isteri bagi mereka yang telah berkahwin. Naim yang dari tadi asyik gelak mula membuka kata,
“Eh kau ni Daus, cerita apa? Ni ha… Bell ajak diorang cari haruan kat kolam tinggal Pak Ucop tu. Kau nak ikut ke?”.
Kalau ikutkan hati, aku sendiri yang nak tanya soalan tu. Tapi dah Naim dulu yang buka mulut, aku pun cuma tunggu sahajalah cerita yang ingin disampaikan.
“Pakcik aku kena badi ular,” jawab Daus ringkas. Jawapan ringkas itu juga membuatkan semua jadi tak senang duduk, termasuk aku.
Mula-mula kami ingat Daus cuma nak melawak. Tapi sambungan ceritanya jadi makin serius.
Wajah masing-masing yang dari tadi berseringai sebab ketawa mula susut ke senyuman pudar dan diakhiri dengan muka serius.
Menurut Daus, seminggu lepas, Pakcik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Ucop tu untuk memancing. Pak Ucop jenis tak kisah.
Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ.
Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.
Sebelum menyambung cerita, Daus berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut.
Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Zafirah anak Pak Zam Kay tokey warung tersebut.
Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya. Jurusan Pengurusan Sistem Maklumat.
Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Ucop terdapat sebuah kolam tinggalyang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli.
Disebabkan Pak Ucop pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga.
Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.
Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut.
Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga.
Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Ucop.
Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Ucop tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang.
Pak Ucop kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu.
Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.
Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Ucop tu lah yang dituju.
Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali. Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai.
Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Daus ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular.
Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.
Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil.
Tetapi menurut Daus, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular.
Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.
Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga.
Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.
“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Daus habiskan ayatnya.
Naim bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?” Jawab Daus, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”
Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.
Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya.
Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Daus kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat.
Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.
Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang merbahaya ni.
Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.
Dalam tak sedar, Pak Zam Kay dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter.
Pak Zam Kay cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.
Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah Badi Ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.
Saya ingin menceritakan tentang satu pengalaman seram yang saya alami sewaktu pergi memancing bersama bersama teman rapat iaitu Asmadi, Nizam dan Along tidak lama dahulu. Kami berempat memang kaki pancing. Pantang ada keluangan masa dan cerita-cerita tentang port menarik, kami mesti ingin mencuba nasib di sana.
Kebetulan, saya terjumpa dengan Ipin yang baru sahaja balik daripada memancing di sebuah tempat di daerah Ayer Tawar. Kata Ipin, port di situ kaya dengan ikan ketutu, sejenis ikan yang biasanya menghuni di kawasan air sejuk, berdaun dan jauh dari hiruk piruk bunyi. Senang cerita, ikan ketutu ini gemar tempat yang sunyi dan airnya sejuk di tengah hutan.
Bila saya ceritakan tentang keinginan untuk memancing ikan ketutu ini, isteri sayalah yang paling suka. Ikan ini memang sedap dimasak lemak cili api. Letak pulak terung telunjuk dan belimbing buluh… fuh, memang power gila. Kalau mak mertua lalu pun memang tak perasan punya dek penangan masak lemak cili api ini.
Pada hari yang dijanjikan, kami berempat menaiki motosikal saja ke sana. Kami bertolak jam lima petang, setelah selesai solat Asar. Selain membawa alat-alat memancing, saya juga membawa bekalan makanan berupa satu termos kopi ‘O’ panas dan biskut kering. Hajat kami ingin memancing sehingga jam sepuluh malam sahaja.
Ikan ketutu ini memang aktif pada waktu malam. Bila siang, ia bagaikan tunggul mati. Memancing dengan menggunakan umpan yang power pun, ia tak akan makan. Kerana sifatnya yang begitu, kami mengambil keputusan untuk memancing dari senja hingga jam sepuluh malam. Itu pun bergantung juga dengan rezeki yang bakal diperolehi. Andai kata hasilnya lumayan, masa memancing akan dipanjangkan sedikit. Andai kata rezeki kurang, kami akan angkat kaki untuk pulang awal.
Setelah menunggang motosikal hampir setengah jam, kami sampai di lokasi yang diceritakan oleh Ipin. Kawasan di dalam ladang kelapa sawit itu mempunyai sebatang anak sungai yang sudah terpecah menjadi beberapa lopak yang dalam akibat hujan lebat dan banjir yang berlaku di kawasan tersebut. Lopak-lopak itu membentuk lubuk yang agak dalam. Nizam mencadangkan kami memancing di kawasan lubuk yang berdekatan dengan rimbunan pokok mengkuang kerana kebiasaannya ketutu memang suka dengan habitat begitu.
Kami melabuhkan joran tepat jam enam petang. Di dalam kawasan ladang kelapa sawit, cuaca memang cepat gelap. Tidak sampai lima belas minit menunggu, joran Along mula melentur. Seekor ikan ketutu dengan anggaran beratnya 150 gram menggelepar lemah. Walaupun saiznya kecil, namun ianya cukup untuk memberi semangat kepada kami untuk terus mencuba nasib.
Menjelang jam lapan malam, kami berempat bagaikan berpesta ketutu di situ. Betul kata Ipin, lubuk di kawasan itu memang kaya dengan ikan ketutu. Walaupun saiznya agak sederhana dengan yang paling berat hanyalah anggaran 1.5 kilogram namun ia cukup meriangkan hati kami. Kami bagaikan tidak cukup tangan menarik joran yang pantang dicampakkan ke dalam lubuk.
Dalam keadaan berpesta itu, kami berempat terlupa untuk menunaikan solat Maghrib. Kami bagaikan ‘sayang’ untuk melepaskan aksi menarik joran yang sedang rancak padahal kami sepatutnya melakukan perkara yang wajib dahulu. Saya sendiri sudah memasang niat untuk menqada sahaja solat Maghrib yang tertinggal.
Menjelang jam 8.45 malam, hujan renyai-renyai turun dengan tiba-tiba. Tiada tanda guruh atau petir di dada langit. Walaupun hujan turun dengan agak kasar, kami semua seolah-olah tidak peduli dengan situasi yang berlaku. Kami meneruskan juga pesta menarik joran yang kini bagaikan tidak menang tangan dibuatnya.
Sebenarnya, sudah terdetik di dalam hati saya dengan ‘keganjilan’ yang berlaku di situ. Saya jadi tertanya-tanya mengapakan ikan ketutu di dalam lubuk ini seolah-olah bagaikan menyerah diri kepada setiap umpan yang kami lontarkan. Mana tak peliknya, umpan yang sekecil anak mancis di mata kail pun rakus dibaham ikan ini. Namun, rasa tidak sedap hati itu saya campak jauh-jauh mengenangkan rezeki kami pada malam itu memang lumayan.
Hujan masih turun dalam keadaan renyai-renyai sewaktu jam di tangan saya menunjukkan angka sepuluh malam tepat. Kalau ikut perancangan asal, inilah masa untuk kami bergerak pulang. Namun keriuhan dan pesta menarik ketutu masih rancak. Masing-masing sibuk dengan joran yang ditarik setiap lima minit dan perkara untuk angkat kaki seolah-olah terlupa begitu sahaja.
Salakan anjing yang sayup dan mendayu-dayu tiba-tiba kedengaran dari hutan kecil berdekatan. Bulu roma saya meremang tiba-tiba. Badan menjadi seram sejuk. Sejenak itu juga saya mendongak ke atas. Bulan kelihatan mengambang penuh. Salakan anjing tadi seperti semakin hampir dengan tempat kami memancing.
“Aku rasa cukuplah. Jom kita balik,” ajak Asmadi tiba-tiba sambil memberikan kami isyarat tentang sesuatu. Di kalangan kami berempat, memang Asmadi yang biasa masuk hutan untuk memancing dan memburu ayam hutan. Mungkin Asmadi juga sudah berasa sesuatu yang ganjil di situ.
Ketika aku sedang mengemas kelengkapan memancing, aku terasa seperti ada mata yang memerhatikan kami dari celah-celah belukar. Sepasang mata merah itu bagaikan mengikuti setiap pergerakan kami berempat. Aku cuba membaca Ayatul Qursi apabila perasaan seram sejuk semakin terasa dengan bulu roma yang semakin meremang.
“Allahuakbar!!!” Nizam tiba-tiba menjerit. Serentak kami bertiga memandangnya. Jelas di pandangan mata saya, sesusuk tubuh berkain kafan dengan bahagian atas dan bawah terikat sedang terloncat-loncat menuju ke arah kami berempat. Ketika itu, otak terasa beku, bibir terasa kelu. Saya jadi blur dan tak tahu nak buat apa.
Cuma apabila melihat Asmadi dan Along sudah berlari menuju ke motosikal, barulah kaki saya turut melangkah sama. Nasib baiklah Asmadi dan Along sudah menghidupkan enjin motosikal. Sebaik sahaja saya melompat duduk di bahagian belakang, motosikal itu terus dipandu laju meredah jalan merah yang sudah becak akibat hujan yang turun tadi. Saya tidak berani menoleh ke belakang. Hanya mulut saya terkumat-kamit membaca Ayatul Qursi dengan susunan yang agak lintang pukang.
Hanya apabila tiba di halaman rumah saya, barulah saya dapat menarik nafas lega. Kami duduk di atas pangkin kayu di bawah pokok rambutan yang rendang. Masing-masing hanya diam dengan nafas sedikit termengah-mengah. Saya mengeluarkan sisa kopi `O` panas dan kami minum tanpa berbual.
Malam itu, saya sukar untuk memejamkan mata. Peristiwa seram itu terbayang di ruang mata. Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seram dan aneh begini. Nasib baiklah tiada perkara buruk yang berlaku pada kami berempat.
Sehingga kini, kejadian ini kami rahsiakan daripada pengetahuan orang lain. Tempat itu juga tidak kami kunjungi lagi. Kami ingin mencuba pot lain pula. Serik memancing? Ah, langsung tidak ada. Saya percaya pengalaman itu akan lebih membuatkan kami lebih berhati-hati. Paling penting, hubungan dengan ALLAH SWT juga perlu dijaga. Solat perlu diutamakan, Insyaallah.
Kisah bermula apabila ada geng yang racun ajak mancing kat satu tasik yang kononnya memang cendol dan banyak ikan. Tanpa fikir panjang terus set tarikh dan cari setup.
Dulu mancing bottom je, kira benda paling pentung cari umpan yang killer la. Lepas tu sebelum mancing macam biasa google dulu tempat tu sebab kalau dengar sembang ikan jaws pun boleh ada dalam tasik. Bila google banyak kisah seram dari kisah orang strike ikan kat tempat tu. Paling femes pocong atas tasik!
Sampai tarikh yang dijanjikan, kami berenam bergerak ke port yang cendol tersebut. Acara camping 2 hari 1 malam dijanjikan untuk trip kali ini. Kisah-kisah seram yang dibaca kat google tolak tepi. Dalam kepala otak dah terbayang ikan-ikan best kat hujung pancing.
Dari rumah bertolak sampai la ke tasik hujan lebat sepanjang jalan. Kereta park tepi jalan, masuk pulak semak samun cari port yang paling dekat dengan tasik. Bila dah hujan lebat unggun api memang tak boleh buat la nak bakar dengan apa.
Dari petang membangau tepi tasik satu patuk pun tak ada. Masing-masing dah menung dalam sejuk. Bila malam menjelma, ramai member yang dah tumbang dek kerana kenyang bantai nasik dengan sardin yang dimasak dengan dapur portable.
Semua berdengkur dalam khemah, joran terbiar tepi tasik sebab dari petang tadi takde patuk langsung. Bila dah ramai-ramai tidur dalam khemah, macam-macam bunyi ekzos ada dari kawan-kawan yang lena.
Dek kerana bingit telinga, aku keluar khemah dan mancing sorang-sorang dalam pukul 2 pagi. Dengan takde unggun api, kekuatan cahaya hanyalah lampu daripada HP Nokia torchlight. Suluh la kat hujung joran kot-kot ada getuan dari pemangsa.
Bila dah dalam gelap tepi tasik sorang-sorang, kepala otak mula la terbvayang pocong atas tasik, pontianak mengilai, hantu terbang dan macam-macam lagi. Tapi macam biasa la buat-buat berani sebab kalau dia muncul pun nak lari mana. Nak lari pergi kat kereta pun bukan dekat.
Sayup di tengah tasik ternampak kelibat putih sama-sama seperti rupa bentuk sesuatu. Walaupun muka macam Aaron Aziz tapi kalau nampak benda camtu pukul 3 pagi tepi tasik dalam hutan kecut juga telur. Tapi benda putih statik je tak bergerak macam cerita yang dibaca dalam Google. Kisah yang dibaca pocong akan timbul di tengah tasik dan berdesup ke tebing dengan keadaan tegak terikat.
Suluh dengan HP memang tak jadi apa la, cahaya tak kuat. Masuk dalam khemah ambik torchlight gedabak member, lepas tu suluh dekat benda putih tu. Sekali mak tergelak dalam hati, kayu pacak rupanya. Kena balikan cahaya bulan memang nampak kaler putih. Buat saspen je.
Tengah sambung mancing sorang-sorang terdengar suara orang menyembang dari dalam hutan. Kali ni betul-betul jelas memang suara orang bercakap dan berjalan. Lepas beberapa ketika memerhati, ternampak cahaya api dalam ketinggian 1 meter terbang dalam celah-celah hutan.
Berderau darah sekejap, peluh mula membasahi pipi, mata mula terkebil-kebil tengok kelibat cahaya api tersebut dari hutan. Sekali tengok ada orang trekking pukul 3 pagi dalam hutan. Mungkin cari haiwan-haiwan liar untuk dijadikan lauk. Dua kali telur masuk dalam… sekali sebab pocong dan sekali sebab api terbang. Memang kurang ajar sungguh port ini!
Sampai la ke Subuh duk tepi tasi. Bila dah mula cerah boleh la acah-acah berani ke hulu ke hilir konan macam takde apa-apa berlaku. Member-member pun dah start bangun sarapan roti dengan sardin lebihan semalam.
Terdetik dalam hati, nasib baik la malam tadi tak kena usik. Kalau tak sampai pagi menggigil dalam khemah. Kompem berdarah telinga kena bahan dengan member. Port yang member cakap cendol tu pulak memang cendol sungguh, sampai sudah takde patuk. Nasib baik bawak lauk untuk memasak, kurang-kurang takde la kebulur.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...