Dalam perjalanan kami semua terasa macam ada orang yang sedang berjalan tidak jauh di hadapan kami seramai tiga empat orang.
Saiz orang tu paras pinggang kami je! Tiba-tiba seorang demi seorang kawan kami ni menegur dan suluhkan lampu, terus makhluk tu lari sambil memekik. Kami pun lari terus ke arah kem. Sampai di kem hujan pun turun beserta angin kuat.
Rupanya dalam kelam-kabut itu salah seorang kawan hilang entah ke mana. Malam itu kami tak senang duduk memikirkan nasib kawan yang hilang.
Namun kami tak dapat nak pada malam itu. Kami plan nak cari pada esok hari dan memohon pertolongan Allah yang tau nasib dia pada malam tu.
Pada keesokan pagi sekitar jam 5.40 kami laungkan azan dan berdoa agar kawan tu ditemukan dan kami pun bergerak untuk mencarinya.
Setelah beberapa jam mencari, sekitar jam 9.00 pagi akhirnya bertemu juga. Kami terlihat kawan kami ini duduk di banir pokok ara yang sangat besar dan menyeramkan. Kawan kami tu langsung tak bersuara.
Ads
Kami lihat keadaan sekeliling pokok tu agak bersih. Aķar pokok sebelah belakang tu bentuknya seperti buaian. Memang seram gila.
Kami terus papah dia ke kem dan kemas barang untuk balik ke Tenom. Sepanjang perjalanan dia langsung tak bersuara… mukanya pucat semacam je.
Setelah hampir 6 jam kami tiba di Tenom, kami pun bawa kawan kami itu berjumpa dengan seorang ustaz untuk berubat.
Ads
Pada malam itu barulah dia sedar dan boleh bercakap. Dia beritahu time kami jumpa orang yang saiz paras pinggang tu lalu dan lari, dia terlihat ada perempuan tua sedang duduk di atas dahan merenungnya.
Dia cuba untuk teriak panggil kami tapi suaranya tak dapat keluar dan badan jadi kaku. Kami terus lari dan dia rasa punyalah seram time tu.
Perempuan terus turun dan berkata kau ikut aku. Dia pun dibawa ke tempat di mana kami menemuinya. Perempuan tu duduk di buaian sambil mengilai.
Ads
Rupanya tempat tu memang keras. Dah ada dua orang pekerja kem balak yang hilang sehingga kini. Orang kem balak yang beritahu kami selepas kejadian itu.
Asal je senja orang kem tak berani nak lalu kat situ biar pun guna kenderaan. Ada satu perempuan tua selalu kat pokok ara dekat sungai tu. Sana memang banyak kelah mega tapi orang tak berani nak pergi ke Lubuk Magung tu.
Lubuk di sungai tersebut sememangnya tumpuan orang setempat sama ada untuk memancing atau sekadar menontok orang lain memancing. Matahari sudah terbenam dan lubuk tersebut hanya tinggal kami berdua, namun joran kami masih belum terusik.
Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?” bisik hati aku.
“Sabar…” tiba-tiba saja pak cik aku bersuara seolah-olah mendengar suara hati aku. Mungkin juga dia dapat membaca bahasa gerak tubuh aku.
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam.
Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai. Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cik aku yang tadi berada tidak jauh dari aku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut.
Lembaga tersebut mengerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arah aku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut. Tiba-tiba aku rasa seluar aku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Man! Man oii…! Kau tengok apa tu?”
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur. Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekeliling aku. Pak cik aku terus memanggil-manggil nama aku.
Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku tidak ingat apa-apa lagi. Apabila kembali membuka mata, aku dapati sedang terbaring di ruang tamu rumah. Bukannya di lubuk sungai. Kelihatan ibu duduk tidak jauh dari tempat aku terbaring.
“Mana pak cik?” spontan aku bersuara.
“Pak cik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah.
Pak cik aku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
“Kau kena sampuk semalam agaknya…” Pak cik aku bersuara sambil tergelak kecil. Aku sekadar terkebil-kebil memandangnya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam walaupun bukan di lubuk tersebut. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting.
Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api.
Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ.
Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah.
Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat.
Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat.
Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga.
Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya.
Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal.
Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
“Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Peristiwa yang tidak dapat dilupakan ini sudah agak lama juga terjadi kepada saya. Namun sehingga ke hari ini ia masih bermain dalam fikiran.
Memang susah nak lupakan apatah lagi jika saya pergi atau melalui kawasan tersebut. Secara sendirinya ia akan membuatkan saya teringat kembali sekaligus membuatkan bulu roma meremang.
Pengalaman mistik ini berlaku ketika kami menjala udang di bawah jambatan sekitar Pulau Indah, Port Klang. Waktu tu dah tengah malam dah.. saya dan abang cuma berdua.
Tiada orang lain lagi di tempat itu pada waktu itu.
Pada asalnya kami menjala di tiang bawah jambatan yang ada banyak lampu dan ada restoran seafood.
Dengan adanya restoran dan tiang lampu itu jadinya keadaan bercahaya la jugak. Takde la gelap-gulita sangat.
Namun, sebab takde udang langsung kat kawasan itu maka kami beralih ke tiang sebelah yang mana di situ agak gelap.
Ketika berjalan ke kawasan tu saya jadi tukang pegang touch light, abang saya jadi yang tukang tebar jala.
Ketika tengah berjalan itulah tiba-tiba saya ternampak sesuatu yang agak aneh dan menghairankan.
Saya nampak objek seperti pasu tembikar tanah liat yang bentuknya macam tempat simpan abu mayat.
Mungkin disebabkan rasa pelik itu mulut ini boleh jadi ringan pulak terlepas tegur benda tu kat abang saya. Tapi dia buat tak tau ajelah.
Langsung tak layan pertanyaan saya itu. Ia membuatkan saya seperti tidak puas hati kerana tidak dapat jawapan.
Sambil menyuluh kawasan abang menebar jala, saya turut menyuluh ke arah sekeliling.
Selang beberapa minit saya suluh-suluh semula kawasan yang saya nampak tembikar abu mayat tu.
Tidak semena-mena bulu roma saya berdiri. Secara tiba-tiba saya perasan ada sesuatu tengah perhati kami dari belakang.
Masa tu tak terfikir apa pun. Lampu pulak saya tak suluh kat kawasan tu lagi sebab fokus kat abang yang tengah tebar jala.
Dalam pada masa yang sama saya mencuri pandang ke arah objek yang sedang perhatikan kami itu.
Lama-lama tenung barulah perasan objek yang saya nampak tu sedang berdiri. Berpakaian serba putih… sosoknya macam orang tua tengah pandang kami yang sedang menjala.
Jaraknya kira-kira 15 kaki dari kami tapi muka tak nampak sebab gelap.
Masa tu jantung pun apa lagi macam nak gugur beb! Pada masa tu pulak bila saya toleh ke arah abang, saya dapati abang dah tak ada. Rupanya dia dah gerak nak balik.
Apa lagi menggelupur la saya berlari dalam lumpur tu kejar abang saya.
Saya terus beritahu apa yang saya alami itu kepada abang. Abang saya kata dia tak nampak apa-apa pun. Cuma dia pun ada cakap masa tu roma dia tiba-tiba naik.
Sebab tu dia ajak balik terus tu. Dan saya langsung tidak dengar waktu dia ajak balik tu.
Akibatnya, selepas balik dari menjala tu 3 hari saya demam. Hahahaha… Sehingga kini, tembikar abu mayat dan orang tua berpakaian putih itu terus menjadi misteri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...