Petang itu selepas asar, aku membonceng motor Yamaha Sukan lama Acik Hasnan ku itu menuju ke lokasi yang dikhabarkan. Perjalanan kira-kira 40 minit itu tidak terasa dan seakan terlalu lambat bagi kami kerana terlalu semangat untuk sampai ke lubuk baharu itu.

 

Lubuk itu agak jauh ke dalam hutan dan perjalanan kami perlu menelusuri jalan denai yang mana biasanya digunakan oleh penoreh getah untuk masuk ke kawasan ini.

 

Sampai sahaja ke kawasan dituju, terbentang di hadapan kami takungan sungai kecil yang mengalir tenang airnya. Sungai ini merupakan anak sungai yang akan bercantum ke Sungai Perak yang lebih besar.

Airnya agak keruh ketika itu. Mungkin hujan pada awal pagi tadi. Tanpa membuang masa, dengan lafaz Bismillah pakcik ku itu terus menjala di kawasan yang sering diperkatakan oleh rakan-rakannya itu.

 

Kebetulan pula hanya kami sahaja yang ada disitu. Setelah setengah jam menjala di kawasan sekitar tiada seekor pun ikan yang kami peroleh. Wajah pakcikku, ku lihat sudah tidak seceria seperti tadi. Tapi kami terus menjala secara bergilir-gilir dan setelah sejam kami hanya mendapat seekor sahaja lampam bersaiz remaja.

 

Kami berehat sebentar dek kepenatan menjala, apatah lagi hasilnya yang sangat sedikit menambahkan lagi kepenatan kami walaupun cuaca petang itu sangat elok dan berangin.

 

“Pelik jugak Acik ni Wan, baru semalam Pak Hamid kamu turun menjala sini. Banyak betul ikan dia dapat,” keluhnya.

 

Aku hanya mendiamkan diri sahaja sambil memerhati sekitar tempat kami menjala. Sedang kami berehat, tiba-tiba terdengar bunyi salakan anjing. Semakin lama, semakin dekat. Seolah-olah menghala ke arah kami.

IKLAN

 

Jelas kelihatan di hadapan kami susuk tubuh seorang perempuan muda yang sangat ayu dan cantik wajahnya sedang berjalan sambil ditemani seekor anjing yang berada di hadapannya. Dengan memakai baju kurung kedah dan berkain batik ia memandang kami. Dia memberikan kami senyuman yang sangat manis.

 

Alam seperti terhenti seketika dan kami tidak berkelip melihat perempuan itu terus berjalan melalui kami. Perempuan itu terus melalui denai ke dalam hutan di sebelah kami. Aku dan pakcikku berpandangan setelah kelibat perempuan itu tidak kelihatan.

 

“Ke mana perempuan tadi pergi Acik?” tanyaku setelah dirasakan suasana hening seketika.

“Ntahlah Wan, rasanya macam ada jalan je kalau lihat pada denai yang perempuan tadi lalu. Mungkin juga lubuk yang kita jala ni salah. Mungkin ada lubuk lain atas sana,”kata pakcik ku.

 

Kami membuat keputusan untuk mengikuti laluan perempuan itu tadi. Motor kembali dihidupkan. Dengan hanya satu kerdipan mata setelah laluan tadi kami lalui, secara tiba-tiba kami rasakan sekeliling kami begitu asing.

 

IKLAN

Kami berada di sebuah kawasan kampung seperti kampung dahulu kala. Rumah kayu yang tersusun cantik dan pokok-pokok bunga kelihatan sangat cantik tersusun ditanam di halaman rumah. Udara sangat segar sekali. Kami terbuai dengan pemandangan dan suasana yang dilihat.

 

“Wan, perasan tak? Dari tadi kita tak jumpa orang pun kat sini,” pertanyaan pakcikku menyedarkan ku.

 

Aku lihat mulutnya terkumat-kamit seakan-akan membaca sesuatu. Wajahnya juga gelisah dan aku seakan tersedar yang kami berada di dunia yang sebenarnya memang asing. Dunia yang sepatutnya tidak ada di dalam hutan ini.

 

Akibat Salah Lubuk Memancing!!

 

Aku mengikut pakcikku membaca Ayat Kursi dan beberapa surah yang ku hafal. Peluh mula menitik di dahiku.

IKLAN

 

“Ya Allah, bantulah kami keluar dari kawasan yang bukan tempat untuk kami ini,” ku dengan suara pakcikku berteriak kecil.

 

Selang beberapa minit kemudian aku rasakan kami dibasahi sesuatu. Hujan yang agak lebat membasahi kami. Aku baru tersedar yang jalan di hadapan kami adalah jalan pulang untuk ke kampung kami.

 

Kawasan sekitar bertukar gelap dan hanya cahaya malap lampu motor membantu kami mencari jalan keluar ke jalan besar. Syukur, kami sampai ke jalan besar dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah pakcikku kami hanya diam membisu.

 

Sebaik sampai, ku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Rasanya baru sahaja kejadian tadi berlaku. Sudah terlalu lewat untuk kami pulang. Isteri pakcikku sudah kelihatan risau menunggu di hadapan rumah. Peristiwa ini kami rahsiakan untuk mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku.

 

Sesungguhnya kita berkongsi dengan makhluk lain yang menghuni bumi Allah ini dan terlalu banyak misteri yang kadang-kadang tidak terfikir oleh logik akal pemikiran yang waras. Kejadian ini memang memberikan kesan kepada kami.

 

Selepas itu kami hanya menjala dan mencari ikan di kawasan yang biasa sahaja bagi kami. Aktiviti mencari lubuk baharu kami lupakan buat seketika.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI