Tidak lama dahulu penulis berkesempatan berkunjung ke Sungai Perak di sekitar Gerik yang dikatakan antara lokasi yang masih banyak spesies daripada keluarga ikan kap ini. Bagi pemancing tempatan, memancing tenggalan cukup berkesan ketika musim kemarau di mana air sungai sedikit turun berbanding paras biasa.
Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing. Di Gerik, memancing tenggalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
Sebelum ke sini, rakan penulis telah mencuba ‘riki’ tenggalan di sini selama 3 minggu berturut-turut. Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tenggalan masih tinggi.
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan. Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Ads
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi. Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tenggalan di Gerik ini. Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Ads
Sekitar jam 7.00 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas rakan penulis menyentap dan berjaya menaikkan tenggalan pertama. Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Ads
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tenggalan bersaiz sekitar 600 gram. Menurut Pak Andak, saiz tenggalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tenggalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan. Cuma kateh saja.
Istilah kateh digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tenggalan juvenil atau tenggalan yang bersaiz kecil. Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tenggalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Tekong
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
INFO TRIP
Jumlah ahli : 9 orang
Jumlah sampan : 3 orang (kapasiti 5 termasuk boatman, jurumudi dan 3 pemancing)
Kos keseluruhan: RM 13,000
Tempoh: 4 hari 3 malam
Sasaran: Kelah merah, kejor, sebarau, baung
Tip: Tubuh badan perlu sihat, mampu mengharungi air dan merentas denai.
Sudah sekian lama saya mengidam ingin mencuba memancing di Tuas, Yan, Kedah. Kekangan kerja dan tarikh memancing yang tak sama dengan rakan menyebabkan, ia kerap tertangguh.
Hinggalah musim tenggiri tiba lagi baru-baru ini. Kata sepakat akhirnya berjaya juga diambil apabila tekong yang rakan saya selalu hubungi, mengatakan tenggiri dah lama
masuk dan mengusulkan kami cepat-cepat datang. Akhirnya kata sepakat dapat diambil juga.
Disebabkan kami berbeza lokasi tempat kerja, saya mengambil keputusan menaiki bas dari Shah Alam pada waktu pagi sebelum tiba hentian bas Bagan Serai, Perak pada sebelah petangnya. Jam 8 malam, kami berkereta menuju jeti Kuala Sala, Yan Kedah dan tiba pada jam 2 pagi.
Selepas berkenalan dengan tekong, Abang Mat Kangkung kami kemudiannya bersiap menuju ke tuas.
Di atas bot aku, Kadok dan Pendek hanya melayan olakan ombak di alam mimpi. Hanya Rafi yang setia menunggu dan menemani tekong sehingga ke tempat kejadian.
Kira-kira jam 6 pagi, kami tiba di lokasi dan bersiap untuk ‘casting time’. Tanpa banyak bicara kami memulakan sesi casting dengan menggunakan bulu.
Tak sempat panjang lengan bercasting, Pendek mendapat strike yang pertama. Air yang jernih pada ketika itu membuatkan kami dapat melihat dengan lebih jelas larian sang tenggiri dalam usahanya mengejar umpan.
Ia akan cuba memintas bulu yang dikarau dengan laju dan menghentamnya dari depan. Pertarungan berakhir 5 minit kemudian dengan naiknya seekor tenggiri berskala 3.2kg.
Puas… tangan pun agak menggigil selepas berjaya menaikkan ikan tenggiri melalui teknik casting seumur hidup.
Tidak lama kemudian, giliran Kadok pula mendapat strike, dan kami dapat melihat sifat tenggiri di sini (mungkin berbeza mengikut tempat) yang cuba memintas umpan dan melakukan serangan dari depan bulu yang di karau laju.
Hasil dari pertarungan selama 5 minit menyaksikan seekor lagi tenggiri berskala 2kg berjaya didaratkan oleh Kadok.
Wajah Kadok betul-betul menunjukkan kepuasan, kerana berjaya menaikkan tenggiri pertama dalam kariernya sebagai pemancing.
Setelah penat ‘membulu’, kami cuba mendapatkan ikan umpan pula dengan kaedah apollo kerana dapat dilihat wujudnya kehadiran kumpulan ikan tersebut.
Manalah tahu sekiranya sang tenggiri lebih berminat dengan umpan hidup. Namun usaha kami menghampakan kerana tiada seekor pun ikan umpan yang sudi menghentam apollo.
Kata tekong, mungkin kerana warna apollo kami yang tidak sesuai dengan perairan ini. Tambah beliau lagi apollo hijau sahaja yang praktikal digunakan di sini.
Kami cuba juga menyelongkar pek mata apollo yang kami ada namun malangnya, warna ‘killer’ yang disebutkan oleh tekong tiada dalam kelengkapan kami. Kekecewaan membawa kami kepada teknik asal… `Membulu’!
Sebelah petang, ikan agak kurang, dan hanya Mat Rapi sahaja berjaya mendapatkan lesen.
Lewat petang, ketika kata putus diambil ingin menamatkan sesi casting tenggiri (selepas berjaya menaikkan 7 ekor tenggiri), tiba-tiba tekong menjerit sambil menunjukkan sesuatu yang gelap terapung di tengah laut berhampiran bot kami.
Sampah!!! Tanpa berlengah, aku dan Mat Rapi menukar kepada set bottom, berumpankan ikan kembong yang kami bawa dipotong empat.
Kami cuba meletakkan umpan sehampir mungkin dengan sampah yang terdiri daripada jaring lama, kayu pallet, dan beberapa pelepah nipah yang terkumpul sehingga menjadi hampir sebesar bot dan hanyut ke lautan luas.
Ikan sasaran ketika ini sudah tentulah pecah periuk atau siakap batu atau lebih dikenali sebagai patipuk di kampungku di Perak. Ternyata sampah ini memang banyak penghuninya.
Seekor demi seekor patipuk berjaya didaratkan dan sejumlah 48 ekor patipuk berjaya dinaikkan dengan purata skala 1kg hingga 2kg sehinggalah sampah hanyut itu menjauhi kami.
Walaupun hanya berjaya menaikkan tujuh ekor tenggiri, trip ini boleh dianggap berbaloi, lebih-lebih lagi terjumpa kumpulan patipuk. Puas!!!
Setelah berkenalan dengan Abang Zul, penyelia REP, ketika beliau rancak bercerita perihal kolam-kolam yang ada di REP, penulis cukup tertarik dengan sebuah kolam larangan yang menjadi lubuk ikan-ikan tradisi seperti sepat, puyu, selat, terbol dan haruan.
Apabila dinyatakan penulis boleh memancing di kolam larangan tersebut dengan kebenaran pihak pengurusan, tanpa berlengah penulis menetapkan tarikh untuk kembali ke REP.
Tiga minggu kemudian penulis kembali ke REP bersama beberapa orang rakan untuk turut mengimbau kenangan memancing sepat dan puyu ketika zaman kanak-kanak.
Serasi dengan perubahan zaman, peralatan memancing dan umpan turut sama berubah. Namun teknik tetap sama.
Jika dulu menggunakan batang buluh atau nipah, kini menggunakan joran teleskopik. Jika dulu menggunakan getah selipar untuk dijadikan pelampung, kini menggunakan pelampung sepenuhnya.
Dan jika dulu menggunakan cacing atau lumut untuk dijadikan umpan, kini boleh menggunakan umpan buatan.
Apatah lagi tatkala musim panas kering begini memang sukar untuk mencari lumut atau mencari cacing pokok pisang.
Umpan alternatif yang penulis hasilkan adalah campuran dedak ayam, dedak 929, serbuk perisa cacing tanah dan tepung umpan gam.
Campuran bahan-bahan ini akan diuli sehingga lembut dan kenyal. Kemudian ia digentel kecil pada mata kail yang juga bersaiz kecil.
Pada awalnya Abang Zul yang sudah biasa memancing sepat berumpankan lumut seperti sukar untuk percaya umpan alternatif yang penulis hasilkan ini akan dijamah ikan.
Setelah seekor demi seekor sepat berjaya naikkan, barulah beliau percaya dan sedar tidak bersusah payah lagi untuk mencari lumut untuk dijadikan umpan sepat.
Jika benar memancing itu dapat melatih kesabaran maka memancing sepat adalah contoh terbaik. Kesabaran pertama yang perlu dihadapi adalah menahan panas.
Apatah lagi jika memancing di kawasan lapang tanpa sebarang kanopi untuk berteduh. Ditambah lagi dengan tabiat sepat waktu panas terik itulah ia rancak bermain air.
Seterusnya sabar menanti kemunculannya memasuki radius pancingan. Maklum sajalah saiz kolam larangan tersebut bukanlah kecil malah hampir sebesar kolam pancing komersial.
Menggentel umpan pada mata kail juga perlu sabar. Umpan tidak boleh terlalu kecil atau besar dan melekap kemas pada mata kail.
Dan status kesabaran paling maksimum diperlukan tatkala mahu menyentap. Sentapan tidak boleh dilakukan terlalu awal atau terlalu lewat kerana akan berakhir dengan kegagalan.
Selain dari sepat Siam yang merupakan spesies target, kolam larangan ini turut dihuni sepat ronggeng.
Boleh dikatakan sepat ronggeng lebih banyak bilangannya berbanding sepat Siam. Sepat tempatan yang saiznya lebih kecil berbanding sepat Siam inilah yang benar-benar menguji kesabaran kami.
Ia akan terlebih dahulu menggetu dan menghabiskan umpan pada mata kail.
Biar pun menggunakan mata kail bersaiz paling kecil namun cukup sukar untuk melekat pada mulutnya yang lebih kecil berbanding sepat Siam.
Dalam pada seronok menyentap sepat dan umpan sepat alternatif yang penulis adunkan terbukti efektif, kami mula beralih kepada umpan konvensional seperti cengkerik dan anak udang untuk memvariasikan hasil tangkapan.
Melalui teknik apung yang sama, anak udang yang menggantikan umpan dedak berjaya menaikkan beberapa ekor selat. Manakala cengkerik yang digunakan untuk pancingan apung dan dasar pula berjaya menaikkan beberapa ekor puyu.
Seekor keli tempatan atau keli kampung bersaiz agak kasar hampir berjaya didaratkan sekiranya ada penyauk atau tangguk.
Melihat pada kelibat keli kampung dengan saiz luar biasa itu membenihkan ilham kepada penulis untuk kembali lagi ke kolam larangan Rantau Eco Park untuk pancingan keli kampung pula.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...