Ada yang memanggilnya jenak, ada yang menggelar unga, tetapi lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai jenak – si golden snapper bernilai emas. Selaku pemancing rekreasi, saya sudah memburu spesies dari selatan tanah air sehinggalah ke melepasi sempadan tanah air.
Anehnya, perairan Sungai Besar yang terletak di Lembah Kelang, yang merupakan padang pancing yang dianggap berdekatan tidak pula dikunjungi. Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru dalam dunia pancingan jenak.
Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan kaedah tradisional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu. Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju fiber, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan.
Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini. Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Klang, waktu terbaik untuk memburu jenak di perairan Sungai Besar adalah ketika arus lemah.
IKLAN
Atau menghampiri air mati. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan. Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
IKLAN
Di perairan ini juga jig-jig aksi perlahan bersaiz 200 gm dan ke atas, dengan pelbagai warna yang telah banyak mengorbankan nyawa jenak di perairan lain seperti hilang taring. Sebaliknya jig yang lebih ringan dari 40 gm hingga 100 gm dengan warna asas keperakan ternyata lebih berkesan.
Bukan jenak saja yang menggemarinya, kerapu-kerapu saiz hidangan meja juga berselera membahamnya. Malah bapak tenggiri bersaiz 10 kg turum sama menggonggongnya.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, panorama memancing pada hari dipenuhi dengan kilauan emas yang mempersonakan.
IKLAN
Pesta menuai jenak dimulakan oleh tekong sendiri. Setelah lebih dari sekali tekong menaikkan jenak dan spesies lain dengan jig ringan, kami tidak tertangguh lagi menyimpan jig-jig berat. Selain menukar kepada jig yang lebih ringan, aksi dan gaya tekong berjigging turut kami copy & paste.
Tatkala kebanyakan trip jigging perlahan kebelakangan ini amat kurang hasilnya dan menghampiri kumpau, maka kejayaan kami mendaratkan 8 ekor jenak (tidak termasuk spesies lain), bolehlah dianggap sebagai satu pesta!
Kami telah memilih boatman dari Kampung Permatang, Faizal kerana beliau sangat memahami kehendak pengilat. Mengilat ke sekeliling pulau sambil menghidupkan enjin menjadi teknik memancing di sana.
Faizal juga pandai memilih spot yang didiami GT iaitu di hujung tanjung yang berombak dan berbatu.
Ramai boatman tidak berani mendekatkan bot ke tepi pulau seperti Faizal. Justeru apabila gewang yang dilontar tidak sampai ke tepian Pulau Lau mengurangkan peluang untuk mendapatkan ikan.
Perjalanan dari jeti ke spot pertama hanya memakan masa 20 minit sahaja. Sampai sahaja kami di pulau Agas balingan dimulakan sambil bot tawaf di sekeliling pulau.
Tidak sampai 10 minit mengilat pancing saya sudah mengena GT. Balingan popper yang hampir dengan pulau memang pantang buat GT.
Hanya dengan beberapa aksi pop dari popper ia terus disambar oleh GT bersaiz sederhana.
Larian Gt biasanya akan membawa tali ke arah karang namun saya berjaya menahannya dengan joran yang Viper Hybrid yang agak keras.
Tali yang baru ditukar juga membuatkan saya begitu yakin menahan dengan mengetatkan drag ke tahap maksimum.
Selain dari GT biasanya banang atau todak sering mengganggu gewang yang dilontarkan. Yang paling tidak digemari pemancing ialah banang sering memutuskan tali perambut.
Bila terpaksa mengikat semula perambut dengan ikatan FG ramai pemancing mengeluh kerana ia boleh menyebabkan mabuk laut.
Kami bergerak dari sebuah pulau ke sebuah pulau. Apabila habis satu pusingan satu-satu pulau dan tidak ada sambaran kami terus berpindah dan jika ada sambaran satu lagi
pusingan di lokasi yang sama akan dilakukan oleh kerana Faizal yakin ada kawanan GT yang lain ada di tempat yang sama.
Apabila sampai di Pulau Batu Putih kami meneruskan teknik mengilat sebanyak dua pusingan kerana ia agak kecil dari pulau lain.
Faizal membawa kami keluar sedikit dari pulau apabila tiada sebarang sambaran dan mula memberi isyarat bahaya sudah tiba masanya untuk menurunkan jig.
Beliau berpandukan sonar dan bot berhanyut sahaja semasa kami jigging. Semasa jigging di Pulau Batu Putih saya berjaya menaikkan jemuduk yang pada awalnya saya sangkakan GT. Jig O-pass yang diunjun dengan laju tiba-tiba disambar dengan agak kasar.
Untuk menambahkan peluang untuk mendapat sambaran biasanya jig harus dilepaskan hingga ke dasar sebelum di karau. Namun begitu pemancing harus berhati-hati kerana ia sering menyebabkan jig sangkut ke karang.
Pulau Lalang
Pulau Lalang merupakan pulau yang berpantai dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas dan bekalan air tawar dari air bukit yang berdekatan.
Jadi ia destinasi wajib yang perlu dilawati pemancing kerana ia sering di jadikan tempat berehat setelah separuh hari mengilat.
Saya mengambil peluang untuk mandi dan menyegarkan badan dengan tidur seketika sebelum menyambung untuk mengilat sesi petang.
Kebiasaannya kami tidak turun terlalu awal selepas berehat, Ini adalah kerana GT biasanya lebih galak menyambar gewang semasa lewat petang.
Daripada kami berpanas dan mengilat tanpa sebarang hasil lebih baik dipanjangkan sahaja masa berehat.
Semasa mengelilingi Pulau Nipis jam di tangan saya sudah menunjukkan angka 6.30 petang dan saya menyangka Faizal ingin terus pulang kerana sudah lewat petang.
Setelah Zali menaikkan GT yang terakhir saya sudah bersiap sedia untuk menyimpan pancing tetapi rupanya sesi mengilat kami masih belum habis.
Faizal berpatah balik ke Pulau Batu putih dan memberi kami peluang untuk mencuba di saat akhir. Kami mengilat sehingga hari betul-betul sudah gelap dan apabila tiada sebarang sambaran barulah Faizal membawa kami pulang.
Percaya atau tidak, kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dua faktor utama menyumbang kepada kepupusan `Raja Sungai’ iaitu spesies ikan kelah. Atau dalam erti kata lainnya, walau apapun alasan yang diberikan, sedikit sebanyak kita sebagai pemancing merupakan penyumbang kepada kepupusan ikan kelah hari ini.
Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, Lembaga Pembangunan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.
Mula diusahakan pada Januari 2006, santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.
Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir. Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.
Sama ada anda datang ke Tasik Kenyir sebagai pemancing atau pelancong, sewajarnya SIK di Lubuk Kejor, Sungai Petang disenaraikan dalam tentatif anda. Pada dasarnya Santuari Kelah Sungai Petang ini dibina dengan objektif mengekalkan sumber akuatik dan bio diversity, menjadikan Sungai Petang sebagai pusat pembenihan ikan, memulihara dan mengggalakkan pembiakkan spesis ikan asli Tasik Kenyir, membangun dan mempertingkatkan produk pelancongan berasaskan eco tourism serta memulihara alam sekitar bagi menentukan habitat ikan tidak tercemar.
Kehadiran kita ke SIK sebenarnya bukanlah tiket untuk memenuhkan tabung pihak yang mengusahakan santuari ini sebaliknya membantu populasi ikan yang kian terancam kepupusannya. Hanya di sini sahaja pemancing atau sesiapa sahaja bukan sekadar dapat melihat malah menyentuh dan bermain-main dengan spesies raja air tawar iaitu kelah merah.
SIK Sungai Petang terletak di Sungai Petang dengan jarak sekitar 21 kilometer dari Pengkalan Gawi. Menaiki bot laju ia memakan masa sekitar 40 minit perjalanan ke Pos Kawalan Santuari Kelah Sungai Petang, seterusnya anda akan dibawa ke Hentian 1. Dari Hentian 1 anda akan merentas denai dan meniti jambatan gantung dengan jarak sekitar 1.7 kilometer sebelum tiba ke lubuk untuk menimba pengalaman yang tak ternilai bermain dengan spesies idaman para pemancing satu Malaysia ini.
Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu. Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21).
Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.
Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari. Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.