Seorang isteri, Chong Yoke Lin, 34, menarik nafas lega apabila suaminya yang dikhuatiri hilang selepas turun ke laut sejak pagi kelmarin, ditemui selamat.
Suaminya, Chang Chee Hoe, 36, bersama dua lagi rakan, Loh Chong Young, 60 dan lelaki dikenali sebagai Ah Kiong, 50-an, turun ke laut untuk memancing dan memasang bubu kira-kira jam 11.30 pagi.
Mereka menaiki sebuah bot gentian kaca menuju ke arah Pulau Tenggol dan terputus hubungan kira-kira 30 jam selepas Bot dinaiki mengalami kerosakan enjin dan hanyut dalam jarak 30 batu nautika dari arah Pulau Tenggol ke perairan Kemaman.
Ketiga-tiga mereka bernasib baik apabila diselamatkan nelayan di perairan kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Tidak pulang hingga lewat malam
Menceritakan kejadian, Yoke Lin berkata, dia mula resah apabila suaminya tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah lewat malam.
Menurutnya, usaha menghubungi suami melalui telefon juga gagal.
Ads
“Suami saya bekerja sebagai tukang baiki bot dan enjin di jeti Rajawali. Dia selalu juga pergi ke laut untuk memancing dan menangkap ikan.
“Biasanya kalau pergi ke laut, sebelah petang dia sudah pulang ke rumah tapi kali ini tidak. Pukul 12 tengah malam dia tidak pulang dan gagal dihubungi,” katanya.
Menurut Yoke Lin, memandangkan suaminya gagal dihubungi hampir 24 jam, dia membuat laporan polis pada sebelah pagi.
“Saya ke jeti tapi dia tiada di situ dan hanya kereta yang ada. Rakan-rakannya pergi cari menggunakan bot tetapi masih tidak jumpa.
Ads
“Dalam kepala memang sangat serabut dan bimbang kejadian tidak diingini menimpanya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana suaminya ditemui selamat dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.
“Dia sendiri menghubungi saya menggunakan telefon orang lain kira-kira 3.30 mengatakan dia selamat dan dibantu nelayan di Kemaman.
“Esok hari lahirnya dan saya sangat gembira dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Terima kasih nelayan, pihak polis dan APMM yang membantu suami saya dan rakan-rakannya,” katanya.
Ads
Elak turun ke laut ketika tengkujuh
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaccob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau menasihati nelayan dan orang ramai supaya tidak turun ke laut pada musim sekarang kerana keadaan ombak bergelora serta mengancam nyawa.
“Kelmarin sebuah bot dilaporkan terbalik dihempas ombak dan kali ini bot rosak. Kita ingatkan kepada nelayan, pemancing dan sesiapa saja supaya tidak turun ke laut ketika musim tengkujuh atau air pasang kerana risikonya amat tinggi.
“Elakkan aktiviti di laut pada musim sekarang bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
(Sumber: Sinar Harian)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Trip yang dianjurkan oleh seorang kenalan dari sebuah kilang bersebelahan dengan Kompleks Kumpulan Karangkraf boleh disifatkan trip mengejut juga setelah notis pelawaan agak singkat. Geng pancing ini rata-rata baru belajar memancing dan peralatan yang digunakan adalah banyak ‘cap ayam’.
Soal peralatan bukanlah ukuran asalkan keinginan memancing adalah perkara pokok. Memandangkan tiada perancangan lain dalam waktu tersebut, persetujuan diberikan kerana trip ini boleh balik kampung sekali.
Kami berlima menggunakan khidmat tekong Othman yang berpangkalan di kampung Geliga berdekatan dengan Kuala Kemaman. Bot kayu uzur ini bersaiz 36 kaki memadai untuk grup yang kecil.
Malah kabin tidur hanya muat 2 orang pemancing kerana kabin bot tersebut disumbat dengan enjin generator. Yang tidur di kabin akan berdendangkan enjin generator sepanjang malam sambil menikmati bau asap yang sesekali menyelubungi ruang pernafasan.
Bergerak dari jeti selepas sarapan ringkas ke lubuk pancing kegemaran tekong yang memakan masa lebih dari 2 jam. Lubuk ini adalah kawasan tapak unjam berdasar keras di mana banyak bot pancing lain turut berada di sekitar lubuk.
Setelah membuat hentian sementara di unjam untuk mencari bekalan umpan, tekong meneruskan perjalanan untuk mencandat sotong terlebih dahulu.
Kami disarankan untuk mencandat sotong kerana kawasan tersebut sotong galak di siang hari. Sambil mencandat, aktiviti memancing sampingan turut dilakukan. Kerana ramai kurang berpengalaman mencandat sotong pada siang hari, tidak banyak yang kami perolehi tetapi sudah memadai untuk dijadikan umpan sepanjang malam.
Lewat petang sauh dibongkar menuju ke lokasi utama setelah hentian pertama tiada tanda-tanda ikan pemburu berkeliaran. Tak payah tunggu lagi kata tekong. Waktu kami tiba belum nampak lagi kelibat bot nelayan berhampiran, rasa was-was bermain di fikiran.
Ikan dah habis ke? Bila tanya ikan apa yang biasa dipancing di kawasan tersebut, tekong Othman yang sentiasa sengih selamba memberitahu ‘macam-macam ada’ kat sini.
Seperti biasa hirisan sotong segar dan ikan selayang menjadi pertaruhan. Dalam leka memancing layan akan-anak ikan kerisi dan tambak, sekali sekala sentapan mengejut mengena joran aksi sederhana.
Awal malam kehadiran kumpulan aruan tasik pula sering melenturkan joran. Puas melayan penangan aruan tasik lepas seekor demi seekor sampai kami kecoh dalam ruang bot yang sempit.
Tidak lama selepas itu spesies cobia ini mula menyepi walaupun dihidangkan dengan sotong cumit segar malah hidup lagi.
“Nak tengok pari besar?” suara awak-awak tekong memberi cadangan sambil memasang kepala sotong jarum yang paling besar.
Kami berehat sambil melihat sahaja awak-awak tekong menyediakan peralatannya memancing pari. Sambil menunggu elok juga alas perut dengan kari sotong ala kadar.
Tidak sampai 20 minit menunggu, tangsi koyan yang diselitkan pada kaki pembantu tekong Othman menegang keluar. Barulah nampak beliau membuka langkah bersilat menahan larian pari berkenaan.
Tekong Othman datang membantu, 2 lawan 1. Elok juga saranan untuk dipasang pada joran kami ditolak kerana pari bukanlah buruan utama kami bertandang ke mari.
Melihat cara mereka berdua bergilir melayan pari, masing-masing melonjak untuk melihat saiz pari yang memerlukan kederat 2 tenaga manusia. Hampir setengah jam mereka berdua layan barulah kelibat di permukaan.
‘Besornya’, bunyi yang terpacul dari mulut seorang dari rakan penulis. Nasib baik tak kena pada joran medium action, kalau kena jenuh mengepam pari ke atas.
Masalah kedua ialah untuk menaikkan pari ke bot. Tekong kemudian menarik perlahan-lahan pari ke arah hadapan bot tempat simpanan ikan bagi memudahkan ia dinaikkan dan di simpan. Tengok saiz kami anggarkan lebih dari 60 kg. Kalau saya pasti putuskan je pari kerana cukup faham masalah untuk menyimpan dan proses menyiang juga rumit.
Setelah selesai urusan mereka berdua, kami mengambil alih aktiviti memancing. Namun aktiviti memancing terpaksa berhentikan dahulu apabila hujan mula berderai.
Elok juga hujan memberikan waktu rehat walaupun dalam keadaan yang cukup tidak sempurna. Janji dapat berteduh dari kebasahan. Sakit badan bersesak dalam tirisan hujan sampai ke pagi.
Seawal pagi hujan kembali reda memberi peluang untuk kami memancing semula menghabiskan sisa-sisa waktu sebelum berangkat pulang. Sedang menyiapkan perambut baru, kedengaran beberapa ekor ikan meloncat dari permukaan air dari jauh.
Tenggiri! Dengan cepat perambut tenggiri dipasang berumpankan sotong jarum malam tadi yang di candat.
Dua kali sotong dilontar ke arah lokasi tenggiri meloncat, sambaran diterima tidak lama selepas umpan jatuh. Sayang ikan bijak dan mudah memutuskan perambut dawai 40lb yang digunakan.
Sambaran kedua mengalami masalah sama, beberapa saat larian, tali tiba-tiba sahaja kendur. Umpan hidup ketika itu tiada, jig juga tiada dalam list, terpaksa guna umpan mati yang ada. Tenggiri memilih sedikit pasal umpan di kawasan ini, hanya sotong yang masih bercahaya sahaja digunakan.
Sambaran ketiga turut membuatkan kami buntu apabila tidak semena-mena perambut boleh putus. Mungkin seekor yang melarikan umpan dan yang lain turut mengejar umpan yang sama sebab itu perambut dan juga perambut tangsi menjadi mangsa.
Kali keempat barulah dapat solid hook up dan akhirnya tenggiri 8 kg menjadi milik kami. Masa galak umpan pula sukar, kalau dapat umpan hidup pasti cepat disambar. 1 berjaya ditewaskan dalam 6 kali rabut dan putus perambut. Nasib baik apabila tenggiri senyap, joran dasar pula bersilih ganti melentur.
Kali ini ebek pula menyerang berselang seli dengan haruan tasik. Terpaksa umpan dihulurkan jauh sedikit dari dasar. Ketika yang di belakang tertumpu pada tenggiri, 2 orang pemancing haluan bot pula fokus pada pengumpanan dasar.
Senyap tenggiri, geng haluan terus mendapat sambaran rakus. Kedua-dua joran menerima sambaran dalam selang 2 minit. Strike pertama berjaya ditangani tidak lama selepas itu manakala strike kedua terpaksa menerima bantuan awak-awak untuk menarik tali secara manual setelah joran tidak mampu mengepam.
Pari ketiga terpaksa ditewaskan dalam perlawanan berat sebelah 2 lawan 1. Selepas pari dinaikkan ebek masih lagi berkeliaran di kawasan kami berada. Selepas itu silih berganti kami setiap orang merasai penangan ebek Kemaman sebelum mengakhiri trip semalaman memancing.
Paus pembunuh atau orca (Orcinus orca) adalah spesies terbesar dari keluarga lumba-lumba.
Paus pembunuh merupakan predator puncak di lautan, kebanyakan populasi memakan ikan, sementara populasi lainnya memakan mamalia laut seperti singa laut, anjing laut, walrus hingga paus besar.
Mamalia pembunuh ini lazimnya menggemari perairan sejuk dan persisir pantai. Justeru itu ia adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila muncul di perairan tropika sebagaimana yang dilaporkan di akhbar Sinar Harian.
Sepasang Paus Orca atau Killer Whale muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh pada Selasa.
Kemunculan paus itu disedari beberapa kakitangan Petronas dan video berdurasi 30 saat dan detik bersejarah itu berjaya dirakam kakitangan pelantar itu.
Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa mamalia itu adalah Paus Orca atau nama saintifiknya Orcinus Orca.
“Mengikut rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang, Jabatan Perikanan Malaysia, Paus Orca tidak pernah muncul di Terengganu dan tarikh 16 Julai 2019 adalah rekod pertama paus itu muncul di perairan ini.
“Kami percaya kedua-dua mamalia marin itu adalah sepasang paus jantan dan betina yang menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka,” katanya.
Saiz paus itu dianggarkan antara enam hingga lapan meter dengan anggaran berat 5,000 hingga 6,000kg setiap satu. Mengulas lanjut, beliau berkata Paus Orca itu sangat digeruni
kerana ia adalah pemangsa teratas dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dengan memakan sotong, penyu, burung laut, jerung serta mamalia marin lain termasuk anjing laut dan ikan lumba-lumba.
“Ada kalanya paus ini juga menyerang manusia seperti kejadian yang sering berlaku di luar negara. Paus ini mula menjadi perhatian umum dan dibela dalam kurungan bermula tahun 1960an sehingga hari ini.
“Sesetengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Jepun, mereka melatih paus ini supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan dan pertunjukan,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Perikanan Malaysia sentiasa melindungi spesies ikan marin terancam ini melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia
Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019.
“Sesiapa sahaja yang menemui spesies marin terancam (masih hidup atau telah mati) perlu menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri atau Institut
Penyelidikan Perikanan terdekat dengan segera kerana ini boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam itu,” katanya. – Bernama
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Sebagaimana namanya, Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam merupakan pusat sehenti bagi penggemar dunia permotoran berikutan banyak tersedia premis aksesori dan modifikasi kenderaan. Sementara bagi kaki-kaki pancing sekitar Lembah Kelang dan Shah Alam khususnya, Dataran Otomobil Seksyen 15 menjadi lokasi pilihan kerana di sinilah letaknya sebuah premis atau kedai pancing popular, Fisher Tackles.
Antara pemancing yang sering berkunjung ke Fisher Tackles ialah Suffian Mahmud yang memiliki kemahiran menyelenggara dan membaik pulih kekili memancing. Berikutan kekangan masa untuk melayan permintaan pelanggan bagi membaik pulih kekili, Loh Mun Seng (pemilik Fisher Tackles) atau lebih dikenali Ahseng memberi kepercayaan kepada Suffian untuk membaik pulih kekili pelanggannya. Bermula dari situlah tertubuhnya Under15Roof – kios muafakat anglers.
“Saya mengamalkan konsep direct services,” ujar Suffian tentang kelebihan servis perkhidmatan yang beliau tawarkan.
“Maksudnya, pemancing boleh bawa kekili dan lihat sendiri apa yang saya lakukan pada kekili tersebut. Apa-apa kerosakan pelanggan boleh lihat sendiri dan boleh pilih sendiri alat ganti yang ingin digunakan.”
“Pelanggan juga boleh melihat sendiri cara-cara kerja saya, alat ganti dan kualiti minyak atau gris yang saya gunakan. Kalau pelanggan kesuntukan masa untuk menunggu dan perlu meninggalkan barang (kekili), saya tiada sebarang masalah untuk menerimanya.”
Menurut Sufian lagi, sudah lebih setahun beliau mengusahakan khidmat servis membaik pulih kekili ini hampir setiap malam bermula dari jam sembilan malam sehinggalah jam tiga atau empat pagi.
Pada mula beliau hanya bersendirian dan bermula dengan sebuah meja sahaja. Hari ini, tapak tersebut turut menjadi sumber pendapatan sampingan rakan-rakan lain sama ada menjadi pembantu beliau atau menawarkan perkhidmatan lain yang bersangkut dengan dunia memancing seperti jualan baju memancing terpakai dan mengecat semula kekili.
Sementara bagi Mohamad Zufayri Azmi, beliau sama sekali tidak menyesal meninggalkan kerjaya sebagai chef di bahagian artistik dan duduk di bawah bumbung Under15Roof dengan menawarkan khidmat mengecat semula semula atau modifikasi kekili.
“Setakat ini saya berjaya memperoleh pelanggan dari Surabaya dan Singapura. Saya percaya custom painted reels ini akan menjadi fenomena di negara kita sebagaimana di Jepun suatu hari nanti.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...