Disini kami ingin berkongsi sedikit pengalaman kami memburu ikan tapah bersama pembaca Majalah Umpan.
Ikan tapah memang sukar untuk dijinakkan ada kalanya kami balik dengan tangan kosong juga. Namun itu sudah menjadi kebiasaan bagi setiap para pemancing.
Kami telah pergi ke beberapa spot dan sentiasa ingin meluaskan spot wallago hunter kami.
Pada awal bulan Januari lalu trip wallago hunter kami mencuba nasib di Sungai Pasai Siong.
Kawasan Sungai Pasai Siong terletak 20km dari bandar Sibu yang menjadi tempat tinggal kami.
Di Pasai Siong ini kami akan bertemu dengan Tekong Wilson Pilo. Tekong Wilson pilo merupakan seorang yang sangat berpengalaman.
Kami sebenarnya kesuntukan masa untuk memburu tapah kerana musim yang sesuai untuk memburu ikan ialah waktu ikan tapah bertelur dari bulan Jun hingga Januari.
Air pasang surut turut memainkan peranan dan musim ikan ini aktif ialah musim menetas telurnya di hulu sungai.
Ads
Teknik untuk memburu ikan tapah ialah casting dan untuk memikat si tapah memang sukar jika air tidak sesuai tapi semangat mesti kenta.
Gewang yang digunakan ialah Halco dan sungai tersebut memang berpontensi untuk kami mencipta rekod.
Spot yang kami tujui memakan masa selama dua jam dari jeti rumah panjang tekong kami Wilson Pilo dengan menggunakan bot.
Perjalanan kami bermula seawal jam 6.30 pagi dan sampai ke lokasi pada 830 pagi dan di situlah kami memulakan teknik casting.
Setelah berberapa jam kami mencuba, joran tekong kami disentap dengan rakusnya dan gewang Halco yang digunakan membuah hasil dengan mendaratkan sang tapah seberat 6kg.
Ads
Kami tidak menyangka bahwa ikan ini aktif pada air pasang besar. Ikan ini bersembunyi di sekitar rumput-rumpai dan di celah celah pokok kayu mati.
Situasi menjadikan kami semakin bersemangat untuk mengilat sang tapah.
Selepas berberapa jam selepas itu joran Pashaa Oo pula disentap juga oleh sang tapah seberat 2kg.
Trip kami pada hari itu amat membanggakan kami dan ia membuktikan bahawa sungai tersebut masih berpontensi dan masih banyak spesis ikan tapah di situ.
Ads
Walaupun membuahkan hasil namun kami masih mencari spot yang lain. Kawasan dan keluasan sungai tersebut sepanjang Sungai Rejang.
Air kekuning-kuningan dan kehitaman di hulu sungai merupakan spot kegemaran ikan tapah.
Ikan ini memang padu tarikannya apatah lagi saiz yang mencecah 10kg ke atas. Boleh putus tali kita dibuatnya.
Ikan ini memang rakus dengan sambarannya membuatkan kita menggeletar kaki tangan apabila strike yang kita tidak jangkakan.
Ikan tapah memang hidup di kawasan air tawar dan air paya. Ikan ini lebih aktif bila waktu malam namun kami belum mencuba pada malam hari di kawasan tersebut kerana terlalu jauh dari kawasan rumah panjang.
Jika diberikan kesempatan kami ingin mencuba teknik troling pada malam hari.
Ikan ini boleh mencecah berpuluh kilogram beratnya jika terkena pasti anda akan tersenyum jika boleh mendaratkan saiz idaman.
Namun trip kali ini hanya saiz 2kg dan 6kg yang kami daratkan namun kami syukur trip Wallago Hunter Sibu 2019 membuahkan hasil yang tak mengecewakan kami.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setelah bersarapan di jeti awam, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan.
Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot.
Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
Kami menaiki boathouse Sahabat Alam untuk masuk ke Royal Belum. Sebanyak 3 bot fiber ditempah oleh penganjur untuk keluar memancing.
Selesai meletakkan barang masing-masing, ahli trip sibuk mempersiapkan kelengkapan sambil bersuai kenal sesama mereka.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas.
Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini.
Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan.
Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing.
Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing.
Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju.
Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan keempat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain.
Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook.
Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong.
Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut.
Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa pula sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot.
Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka.
Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper.
Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah.
Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman.
Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi.
Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan
sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran.
Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali. Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa.
Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun.
“Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku.
Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan.
Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik.
Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot.
Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang.
Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya.
Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut.
Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain.
Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau.
Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini.
Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram.
Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung.
Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ.
Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan.
Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat.
Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
PENUTUP
Trip kali ini dianggap berjaya dan menyeronokkan. Kebanyakan ahli trip berpuas hati dan gembira dengan perjalanan program yang diatur.
Tekong-tekong dari boathouse Sahabat Alam amat mesra dan penginapan juga selesa.
Semua yang hadir ingin datang lagi ke sini malah ada yang telah berkira-kira tarikh yang sesuai pada masa akan datang. Jika ada kesempatan, saya juga ingin ke sini lagi.
Ramai yang suka makan sotong tak kira masak apa sekali pun. Tapi tak ramai yang betul-betul tau bagaimana nak menyiang sotong dengan cara betul. Sebenarnya tidaklah susah mana nak siang sotong dengan cara yang betul.
Langkah 1
Pegang badan sotong dengan satu tangan dan kepala di tangan lainnya. Dengan lembut tarik tentakel menjauh dari badan. Bahagian dalam sotong harus ditarik keluar. Kantung dakwat berwarna putih mutiara dengan salutan kebiruan, boleh dibuang atau biarkan saja korang ingin memasak sotong dengan dakwat tersebut.
Langkah 2
Potong tentakel pada bahagian kepala serapat yang mungkin pada bahagian matanya.
Langkah 3
Pusing bahagian dan tekan mulut seperti paruh dengan ibu jari anda. Buang paruh tersebut dan simpan tentakelnya. Paruhnya sangat keras dan tajam tidak sesuai untuk dijadikan hidangan.
Langkah 4
Gunakan pisau untuk mengikis dari hujung runcing tubuh ke hujung tubuh, untuk menyiat keluar kulit arinya yang melekat pada tubuh. Ini mungkin akan menghilangkan sebahagian dari kulit ungu, yang perlu dihilangkan.
Langkah 5
Di hujung terbuka badan sotong anda dapat merasakan hujung tulang (seperti sepotong plastik jernih) Sepit dengan hujung jari dan pisau dan tarik keluar tulang itu dari tubuhnya.
Langkah 6
Badan sotong memiliki kulit ungu dan pada dua sirip yang perlu dihilangkan. Dengan menggunakan jari dan ibu jari, remas salah satu sirip dari dan dan usapkan jari anda di bawah kulit untuk menghilangkan kulit ungu lainnya. Tarik kulit dari tubuh.
Langkah 7
Badan sotong dan tentakel yang siap dibersihkan sepenuhnya dan sedia untuk dimasak.
Perancangan awal kami ingin menduga Hulu Tembeling, Pahang tetapi disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan maka kami menukar perancangan ke utara tanah air.
Saya terpaksa menjadi ‘backpacker’ menaiki bas dari Selatan menuju ke Klang sebelum bertemu dengan sahabat-sahabat dan meneruskan perjalanan ke Utara dengan pacuan
empat roda bagi memudahkan kami memasuki kawasan yang sukar dilalui dengan kenderaan biasa.
Tempoh trip yang sama dengan perancangan awal di buat selama 4 hari agar nafsu memancing dapat dipuaskan memandangkan Cuti Hari Malaysia jatuh pada pertengahan minggu.
Bagi Negeri Johor kesempatan cuti bagi hari Jumaat dan Sabtu hanya perlu tambahan pada hari Khamis memandangkan 16 September jatuh pada hari Rabu.
Hari Pertama
Kami tiba awal di kawasan tempat yang dituju sekitar pukul 5.00 pagi dan mengisi perut di kedai mamak sebelum terus ke tepi sungai.
Seawal pukul 6.30 pagi kami telah berada di gigi air mempersiapkan senjata sementara menunggu remang matahari muncul.
Spesies sasaran sebarau kebiasaannya galak mencari makan pada sebelah pagi. Kelihatan air agak keruh dan dalam menandakan hujan di sebelah hulu sebelum kedatangan kami ke sini.
Apabila bias cahaya matahari menerangi sungai kami terus melontarkan gewang ke lubuk yang diberi nama Lubuk Putus.
Sejarahnya sebelum trip ini berlangsung, Amin telah meneroka lebih awal kawasan ini dan satu larian yang diyakini sang sebarau telah melarikan gewang dan berjaya memutuskan tali.
Tapi pada pagi ini kami lebih banyak menggunakan popper untuk menarik perhatian sebarau kerana imaginasi kami merasakan mungkin sebarau menyangka popper seperti anak ikan yang bermain di atas permukaan air sekali gus akan menghentamnya.
Hampir setengah jam mencuba menggunakan teknik popper langsung tiada sambaran dan saya menukar kepada gewang sinking hot tiger.
Balingan di celah kayu membuahkan hasil namun akibat terlupa sistem drag kekili di kunci maksima dan ketika itu sang sebarau membuat pecutan membuatkan ia rabut dari mata kail.
Amin yang memancing dalam jarak 200 meter daripada saya juga menukar kepada gewang Senses warna oren mendapat sambaran spesies sang baung.
Kelihatan selain dari spesies sebarau, spesies baung juga mendominasi sungai ini.
Apabila matahari semakin meninggi, tiada lagi sambaran yang kami terima dan mata mula pedih akibat mengantuk kerana perjalanan dari ibu kota yang mengambil masa empat jam.
Kami memilih untuk menyewa homestay yang berdekatan kerana trip selama 4 hari memerlukan tidur yang cukup dan kemudahan yang baik seperti dapur dan mesin basuh untuk membasuh pakaian.
Pada sebelah petang kami mencuba di hulu lubuk kerana di kawasan hulu terdapat lebih banyak tunggul kayu dan pokok mati di dalam sungai.
Hafiz Omar yang lebih mesra dipanggil Apek segera bergegas ke tepi sungai melontarkan gewang ke tebing seberang dan menarik di alur sebatang kayu yang tumbang melintang merentasi air sungai.
Dengan sekali balingan apek berjaya mengawal larian ikan sasaran dan terus mendaratkan spesies ini dengan jayanya.
Pada sebelah malam kami mengambil keputusan untuk memasak hasil yang diperolehi. Kami hanya membeli keperluan asas di kedai yang berhampiran dan selepas itu kami lena akibat kepenatan dan kesejukan aircond homestay.
Hari Kedua
Air kelihatan mula jernih dan paras sedikit menyusut. Kami terus menuju lubuk-lubuk pada hari pertama.
Disebabkan saya masih belum mempunyai lesen sebarang tangkapan, Amin menunjukkan lubuk yang pasti ada ikan.
Cuma lontaran gewang perlu tepat ke sasaran dan karauan mestilah mampu melintasi dua tunggul untuk mendaratkan sebarang spesies di lubuk ini.
Dengan sekali balingan dan karau sahaja akhirnya gewang saya tersangkut Amin dengan lesen sebarau di lubuk pasti dapat.
Akibat tidak mahu ikan culas dan menyedari kehadiran kami maka giliran Amin pula membuat balingan.
Dengan sekali balingan kelihatan ada sesuatu melekat pada mata kail. Memang benar kata Amin lubuk ini sentiasa didiami spesies sebarau cuma saya yang pertama kali bertandang masih belum mendapat rentak dan cara karauan mengikut lubuk.
Azrul yang turun ke hulu secara bersendirian juga berjaya membawa pulang lesen pertamanya sambil tersenyum.
Saya bersama Amin meneruskan aktiviti memancing naik ke kawasan hulu. Beberapa kali kes rabut berlaku ikan menghentam gewang tetapi tidak lekat.
Mungkin saiz atau culas dengan kehadiran kami.
Saya yang keletihan dan hampir putus asa hanya memerhati gelagat sahabat lain yang tidak jemu melontar gewang.
Bosan menunggu mereka bergerak menukar lubuk saya menuju 100 meter dari jarak Amin memancing.
Tiga kali lontaran dibuat, tiba-tiba gewang Senses disambut dengan kasar dan terus mengenjut ke hilir sungai.
Keadaan yang cukup kelam kabut mengawal larian daripada memasuki reba dan saya mengetatkan drag dan membuat karauan menentang larian ikan.
Amin datang membantu memegang joran dan saya terpaksa terjun keranasaiznya agak mustahil untuk didaratkan menggunakan rod terus ke darat kerana tebing yang cukup tinggi.
Semasa ikan masih di dalam air kami sempat berteka-teki spesies yang hanya menampakkan sirip belakang.
Kelihatan seperti sebarau tetapi tiada belang, ada juga seperti kelah tetapi warna silvernya amat terang.
Setelah saya terjun memegang ikan barulah spesies ini dapat dikenal pasti seekor jelawat sungai berjaya didaratkan.
Apabila ditimbang beratnya 2 kilogram sepanjang 52cm dan ukur lilit perutnya 30cm menandakan ia membesar dengan cukup makanan di sungai ini.
Daripada hasil pemerhatian spesies ini semakin sukar diperoleh. Spesies jelawat sungai Pahang mampu mencecah RM250 hingga ke RM350 sekilogram mengatasi harga ikan kelah.
Spesies ini tidak sepopular ikan kelah kerana ia semakin kurang lalu menjadi spesies minoriti dan terpaksa bersaing dengan spesies pemangsa lain untuk hidup.
Anggaran harga spesies yang berjaya saya daratkan sekitar RM500 dan ia berakhir dengan menjadi santapan malam jelawat pais bakar tempoyak.
Memang meleleh air liur dibuatnya ditambah lagi dengan pucuk paku masak lemak yang dipetik di tepi sungai.
Hari ketiga dan keempat kami meneruskan aktiviti memancing. Air sungai masih lagi berwarna kekeruhan meskipun tidak hujan dan semakin surut.
Pada hari keempat, sebelum kami berangkat pulang, pada sebelah paginya kelihatan sebarau menghentam anak ikan dan gelombangnya membuatkan kami terkejut.
Puas memujuk namun sebarau yang bersaiz kasar tidak sudi menjamah umpan.
Rezeki kami setakat 8 ekor sebarau, 3 ekor baung, 3 ekor lampam dan seekor jelawat sungai sudah cukup memuaskan hati walaupun perjalanan ke sini bagi saya amat jauh dan memerlukan belanja yang cukup besar.
Kenangan sepanjang trip 4 hari akan sentiasa dalam ingatan kami.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...