Bot pancing persendirian berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.
Lubuk yang berstruktur tapak unjam sekitar 3 kilometer melepasi sempadan taman laut itu pernah dikunjungi oleh tekong dan hasil yang diperoleh sangat menakjubkan. Menurut tekong, berpuluh ketul jig berkubur di situ dan berbelas ekor tenggiri berjaya dibawa pulang.
Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula. Setelah beberapa kali drift di lubuk tersebut, hasilnya tetap sama. Tiada sebarang sambaran yang berlaku.
Keputusan awal yang agak mengecewakan itu mendorong tekong ke lokasi seterusnya yang semakin menjauhi Pulau Tenggol.
Ads
Ternyata di lubuk ketiga ini berpenghuni. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih. Namun ikan yang didaratkan hanyalah tenggigi (alu-alu) bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah tenggigi bukannya tenggiri. Malah ikan tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.
Ads
“Kalau kacang (alu-alu) dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.
Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.
Ads
Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh. Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka. Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.
Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri. Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.
Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kewujudan ratusan pulau di perairan kepulauan Riau, Indonesia telah lama menarik minat kami. Perairannya yang meliputi kepulauan Jemaja dan Natuna amat kaya dengan hasil gas dan minyak begitu dijaga ketat oleh pihak maritim dan tentera laut Indonesia.
Walaupun kedudukannya amat dekat jika melalui perairan Johor atau Pahang, ia bukan perkara mudah untuk membolosinya kerana pihak berwajib Indonesia menjaganya lengkap dengan peralatan senjata api berat.
Disebabkan kurang dikunjungi, ia telah membuatkan, perairan berkenaan kaya dengan hidupan marin. Di sana terdapat ribuan lubuk atau spot ikan yang masih belum diterokai oleh pemancing.
Justeru selepas kejayaan kami meneroka perairan Pulau Jemaja, Pulau Malang Biru dan Pulau Anambas, satu trip lebih jauh telah dirancang. Selepas berbincang, kami telah memilih Pulau Midai atau Pulau Mida yang terletak di Pulau Natuna.
Selepas memilih hari yang sesuai, seramai 13 orang menuju ke Pulau Bintan sebelum menuju ke Pulau Midai. Perjalanan melalui Pulau Bintan merupakan salah satu opsyen untuk ke Perairan Kepulauan Riau secara sah. Di sana juga terdapat perkhidmatan bot memancing yang bersedia untuk memancing di perairan sekitarnya.
Pulau Midai
Pulau Midai atau Mida merupakan salah satu dari 141 buah pulau di bawah pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau. Secara morfologi pula, Pulau Midai merupakan pulau yang terbentuk dari letusan gunung api, iaitu secara beransur dari dataran pantai yang sempit hingga menjadi daerah berbukit di bahagian tengah pulau.
Ketinggian kawasan berbukit dianggarkan dari beberapa puluh meter hingga dari 140 meter. Pulau Midai hanya berkeluasan 18 km sahaja. Walaupun pulau ini dikelilingi oleh laut, pekerjaan utama penduduk Pulau Midai ialah bertani.
Pulau Midai terkenal dengan pengeluar kopra sejak zaman Kesultanan Riau Tahun 1886. Kopra adalah bahan kering yang terhasil dari isi kelapa yang telah dikeringkan. Selain itu Midai juga terkenal sebagai pengeluar cengkih terbaik di dalam Wilayah Natuna.
Boleh dikatakan, cengkih yang berasal dari Pulau Midai antara yang paling mendapat permintaan tinggi di Indonesia. Pulau Midai diperintah oleh seorang wakil daripada pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau.
Seperti trip-trip yang lalu, kami menggunakan khidmat bot Seastar yang berpangkalan di Pulau Bintan, Indonesia. Kali ini persiapan lebih rapi dibuat oleh pemilik bot memandangkan ini merupakan pertama kali bot Sea Star bergerak jauh hingga ke kawasan kepulauan Natuna.
Kapasiti minyak diesel, makanan dan ais ditambah sebagai persiapan untuk ke sana. Awak-awak bot juga amat teruja dengan trip kali ini kerana mereka juga tidak pernah sampai ke Pulau Midai. Hanya tekong Am sahaja yang pernah ke sana, itu pun 8 tahun lepas!.
Untuk ke sana, kami akan melalui perjalanan yang jauh dan mengambil masa 22 jam untuk tiba ke kawasan Pulau Midai. Kami juga tidak meletakkan harapan tinggi pada trip kali ini kerana trip ini 100% trip eksplorasi ke tempat yang tidak pernah kami jejaki dan tekong Am juga tidak mempunyai sebarang panduan dan lubuk di sana.
Perjalanan yang jauh amat memeritkan kami. Mujur bot Sea Star dilengkapi dengan bilik tidur yang luas serta berhawa dingin. Maka tempoh perjalanan kami hanya dipenuhi dengan aktiviti makan dan tidur. Bot hanya berhenti seketika untuk mengisi minyak dan pemeriksaan enjin sebelum bergerak semula.
Tiba Di Pulau Midai
Selepas mengharungi perjalanan yang sangat lama, akhirnya kami tiba di Pulau Midai. Perkara pertama yang perlu kami lakukan, singgah ke Pulau Midai untuk mendapat kebenaran memancing di persekitaran perairan Pulau Midai daripada wakil pemerintah.
Kami tiba di jeti Pulau Midai pada pukul 10 pagi. Kelihatan banyak bot nelayan yang bersaiz kecil berlabuh di jeti. Kedatangan kami bersama bot Sea Star telah menarik perhatian masyarakat di Pulau Midai.
Kami terus menuju ke Postal Midai iaitu pejabat pegawai pemerintah di pulau berkenaan. Seorang lelaki lengkap berpakaian askar menyambut kedatangan kami. Segala permohonan memancing di Pulau Midai dilakukan oleh tekong Am.
Sementara menunggu dokumentasi siap, kami mengambil keputusan bersiar-siar di sekitar pekan berkenaan. Ia bolehlah dianggap sebagai ‘Pekan Koboi’. Tidak banyak kedai-kedai dan bangunan yang terdapat di sini. Kebanyakan kedai, hanya menjual keperluan asas rumah dan keperluan barangan dapur sahaja.
Walaupun pekan di Pulau Midai ketinggalan dari kemudahan moden, tetapi perairan dan pantai di Pulau Midai amat indah dan terpelihara sekali. Buktinya di jeti kapal kami berlabuh pun kelihatan karang-karang yang cantik serta anak-anak ikan yang banyak.
Kami juga dipelawa penduduk tempatan untuk singgah di sebuah warung yang terletak di jeti. Salah seorang daripadanya, memperkenalkan diri sebagai Pak M.Napirussa dan dia merupakan pengusaha cengkih di pulau ini.
Selain menceritakan sejarah Pulau Midai kepada kami, dia juga memberitahu bahawa kami merupakan pemancing Malaysia dan orang luar pertama yang pernah tiba di pulau ini.
Layanan istimewa penduduk Pulau Midai tidak terhenti di situ sahaja. Beberapa orang rakan tidak melepaskan peluang dibawa mengelilingi pulau menggunakan motosikal mereka. Selepas beberapa jam menanti, akhirnya proses kebenaran memancing di Pulau Midai telah diluluskan. Ini bermakna ekspedisi memancing kami akan bermula.
Suatu ketika sekitar 20 tahun dahulu, setiap malam pada hari tertentu selama berminggu-minggu saya sanggup membatalkan segala urusan sekiranya bertembung dengan waktu penayangan sebuah drama bersiri persilatan Melayu.
Saya bukan sekadar menonton malah siap merakam dalam bentuk VCR lakonan aktor kegemaran saya, Eman Manan dalam drama siri Pendekar Kundur.
Justeru, apabila berdiri di hadapan Pengkalan Pantai Kundur, secara spontan saya terimbau babak-babak lakonan pencak silat para pendekar di tepian pantai.
Bezanya, saya hadir di Pantai Kundur bukanlah untuk berpencak silat di tepian pantai, sebaliknya berpencak di atas sampan bersama beberapa ‘pendekar joran’ di perairan Selat Melaka yang terbentang luas dari Pengkalan Pantai Kundur.
Selama dua hari berturut saya dan beberapa orang ‘pendekar joran’ turun memancing di perairan Selat Melaka menggunakan khidmat tekong tersohor, Nadzri di Pengkalan Pantai Kundur, Melaka.
Hari pertama saya turun bersama dua pendekar handalan dalam persilatan jigging perlahan, Shahrul Nizam dan Johannas.
Sementara dua orang lagi adalah muka baru dalam arena jigging perlahan namun Akashah dan Muttaqin dari EBSF Tackles ini bukanlah nama baru dunia hanyir.
Jika dalam dunia persilatan, mereka berdua sudah boleh diangkat sebagai mahaguru.
Gaya permainan jigging perlahan di perairan di perairan Pantai Kundur ini tidak banyak bezanya dengan padang permainan lain seperti zeezone Port Klang, Port Dickson atau Muar.
Berat jig yang harus digunakan bergantung kepada kedalaman air, kederasan arus dan kelajuan bot berhanyut ditolak angin. Namun warna jig yang digunakan sangat mempengaruhi hasil jigging di perairan ini.
Menurut Nadzri, jig berwarna merah jambu sangat efektif ketika arus lemah. Sementara ketika arus bergerak laju jig berwarna jingga atau oren pula menjadi pilihan.
Tak ubah Hang Ishak dalam Pendekar Kundur, Nadzri membuktikan tip yang beliau nyatakan bukan omong kosong apabila berjaya menewaskan seekor spesies tompok hitam bersepuh emas dengan skala berat enam kilogram lebih.
Sekaligus merupakan jenahak terberat yang pernah didaratkan di perairan tersebut. Selepas jenahak bantal itu berjaya didaratkan, menyusul pula tangkapan berikutnya hanya berselang kurang dari setengah jam.
Sehingga jam tiga petang dan sebelum angin barat mula bertiup, dua ekor jenahak, seekor talang dan seekor kaci berjaya ditempatkan ke dalam tong penyimpanan ikan.
Hari kedua kami turun tanpa Akashah dan Muttaqin. Parman dan Sham pula menjadi pengganti. Namun cuaca pada hari kedua begitu berbeza berbanding hari pertama.
Seawal pagi lagi hujan turun lebat di tengah laut. Menjelang tengahari, angin barat pula membadai. Ekoran cuaca yang agak buruk, demi keselesaan dan keselamatan kami mengambil keputusan untuk kembali ke jeti sahaja.
Ternyata keputusan amat tepat kerana cuaca semakin teruk menjelang waktu petang malah hampir sepanjang perairan Selat Melaka dilanda angin barat hari itu.
Dalam pencarian spot belida, penelitian yang tinggi amat diperlukan. Cara kuakan air perlu diperhatikan betul-betul untuk memastikan ikan yang menguak itu tadi merupakan spesies yang diburu.
Saya mengenal kuakkan ini berdasarkan dari tunjuk ajar arwah ayah saya semasa pergi memancing dengan arwah beberapa tahun lepas.
Bunyi yang kuat sahaja belum cukup untuk memastikan ikan yang menguak itu ialah belida. Tapi, kita juga perlu melihat libasan ekornya yang kelihatan di permukaan air. Spot pertama dikesan oleh saya ialah di sepanjang Sungai Tambun Tulang, Perlis, semasa dalam perjalanan pulang ke UiTM Arau.
Melihat banyak kuakan-kuakan besar di sepanjang sungai tersebut, hujung minggu tiada kuliah, saya menuju ke spot berkenaan. Berbekalkan umpan udang paya dan anak ikan seluang, saya menjengah spot berkenaan. Lima belas minit kemudian, kelihatan lenturan joran saya terhasil.
Mengingatkan pesanan arwah ayah saya, biarkan joran melentur lebih lama agar ikan belida berkenaan betul-betul menelan umpan tersebut. Setelah menunggu lenturan ketiga, saya menyentap joran berkenaan. Ternyata teknik yang saya gunakan amat berkesan.
Pertarungan bermula dengan ikan belida membenam ke dasar sambil ia bergelut menerjah ke permukaan air untuk melepaskan diri. Waktu itu, debaran kian terasa apabila ikan berkenaan menggelupur di atas permukaan air.
Mujurlah drag mesin telah dibuka sedikit agar memudahkan tali joran mengikut gerakan ikan tersebut. Hampir sepuluh minit melayannya, akhirnya ikan berkenaan berjaya didaratkan. Walaupun tidak terlalu besar,sudah cukup memuaskan hati saya kerana buruan pertama membuahkan hasil.
Memancing belida sini memberikan kepuasan yang tinggi kepada saya. Jumlah tangkapan yang terhasil amat memuaskan setiap kali misi pemburuan dilakukan. Dalam tempoh dua jam sahaja, saya berjaya menumpaskan empat ekor belida. Walaupun spesies berkenaan hanyalah anggaran satu kilogram ke atas, tapi pertarungan yang diberikan begitu sengit.
Peristiwa yang paling sukar dilupakan apabila saya terlepas spesimen yang paling besar yang pernah saya lihat. Anggaran berat ikan belida tersebut ialah melebihi 6 kilogram.
Pertarungan selama 30 minit berjaya meletihkan ikan tersebut. Oleh kerana tebing sungai berkenaan terlalu tinggi,saya terpaksa meminta tolong seorang remaja berdekatan untuk membantu saya mengangkat ikan tersebut.
Dengan menggunakan tangguk,saya mengarahkan remaja berkenaan untuk memasukkan ikan tersebut di dalam tangguk tersebut.
Akibat mengambil masa terlalu lama, ikan tersebut kembali pulih. Dengan membuat satu libasan kuat, tali perambut saya putus Terasa ingin terjun sahaja pada ketika itu. Melihatkan tebing yang tinggi dan tanah yang berlumpur,saya mematikan hajat tersebut.
Walaupun hal tersebut sukar dilupakan, saya berpuas hati kerana dalam tempoh dua bulan, saya berjaya mendaratkan 26 ekor ikan belida di sepanjang sungai berkenaan sehinggakan digelar ‘Raja Belida’ oleh sahabat-sahabat kaki pancing saya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...