Pastikan keadaan kesihatan anda berada di tahap terbaik untuk trekking. Jika tidak berada di tahap 90% sebaiknya batalkan saja kerana ia bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri malah juga rakan-rakan trip yang lain.
Makanan, air, energy bar dan sebagainya harus disiapkan secukupnya untuk sepanjang tempoh trip. Tak mengapa jika lebih sedikit tetapi jangan berkurangan.
Amalkan memancing di dalam kumpulan dan jangan sesekali trekking seorang diri di dalam hutan atau di sungai pergunungan.
Ads
Pastikan ahli keluarga atau rakan terdekat mengetahui anda keluar memancing, lokasi pancingan dan tempoh trip tersebut. Ia penting bagi melakukan tindakan lanjut sekiranya anda tidak pulang pada tarikh sepatutnya. Jika mampu, beli dan bawa telefon satelit itu lebih baik.
Ads
Pakailah pakaian lengkap termasuk kasut yang sesuai dan selesa untuk trekking. Sebaiknya juga pakailah pakaian yang kontra dengan alam semulajadi.
Waspada akan ancaman binatang berbisa dan buas. Elakkan melalui tempat yang ada jejak binatang buas seperti harimau, gajah dan sebagainya.
Ads
Waspada ketika mengharung air. Jangan terlalu berani mengharung air jika anda kurang yakin terutama di kawasan berarus deras. Juga perlu sentiasa berwaspada dengan kejadian kepala air.
Jika gewang yang anda gunakan tersangkut pada reba-reba kayu atau batu,jangan membahayakan diri berenang untuk menyelamatkan gewang tersebut. Ingat gewang tersangkut boleh dibeli, hilang nyawa tiada gantinya.
Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis.
Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.
Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain.
Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Orang kata memancing di muara atau kuala sungai ni kurang syok! Iyelah, ikan yang biasa jadi sasaran pun dari saiz yang kecik-kecik, katanya la. Tapi itu hanyalah tanggapan orang yang tidak pernah mencuba sendiri.
Tahukah anda, ada masanya memancing di kuala sungai ini kadang-kadang syoknya lebih dari memancing di laut dalam mahupun kolam. Trip saya ke Kuala Lukut ini telah membuktikannya.
Perkenalan saya dengan Angah (tekong)di laman media sosial menjadi titik tolak kepada trip saya ke Kuala Lukut ini. Tiba saja tarikh yang dijanjikan, saya bersama dua lagi rakan terus menuju ke destinasi yang ditetapkan.
Pangkalan Nelayan Kampung Jimah Lama menjadi lokasi pertemuan kami dengan Angah dan kami terus sahaja menaiki bot yang dikemudikan Angah untuk menuju ke lokasi memancing di sekitar Sungai Jimah Lama dan Kuala Lukut.
Terus-terang saya katakan pada awalnya saya tidaklah begitu teruja memancing di kuala sungai ini. Mungkin kerana saya juga termakan kata-kata orang yang mengatakan memancing di Kuala Sungai Lukut ni tak best dan susah nak dapat ikan, tidak macam dulu.
Tapi itu semua berubah bila kami tiba sahaja di lokasi pertama untuk memancing. Entah mengapa bila melihat tekong Angah menjadi pembuka tirai menaikkan sembilang membuatkan keterujaan itu datang secara tiba-tiba. Iyelah, belum sampai seminit umpan dihulurkan sudah ada sambutan!
Selesai sahaja menyiapkan kelengkapan memancing kami pun terus melabuhkan umpan. Ya, memang benar! Begitu cepat untuk ikan di sini tertarik dengan umpun ruat dan sarang yang kami hidangkan. Satu demi satu sembilang bersaiz lengan budak kami naikkan sewaktu air mula menyusur surut.
Paez secara tiba-tiba menjadi pembakar semangat kami semua yang mulai hangat dipanah sang mentari apabila lenturan kuat joran yang diletakkan di hadapan bot berhasil menaikkan seekor gemang berskala sekilogram.
Tidak lama selepas itu, giliran Paez lagi menaikkan gemang yang kedua. Alamak, terbakar juga melihat aksi Paez yang berjaya memujuk 2 ekor sembilang bersaiz lengan budak sedangkan kami hanya puas melayan sembilang bersaiz lengan bayi.
Sesekali, ada juga kelibat sang blues-gang atau ikan belukang yang cukup gemar mencuri umpan yang kami hulurkan. Tiba sahaja kawanan blues-gang ini memang spesies ini saja yang kami naikkan. Melihat sahaja kawanan belukang bermaharajalela, tekong Angah terus mengarahkan kami semua menggulung tali untuk berpindah lubuk.
Apa yang menariknya turun memancing bersama tekong Angah ini, beliau begitu rajin berpindah lubuk jika suasana menjadi sepi. 15 minit menunggu, jika tiada sebarang getuan atau majoriti ikan pengacau yang membedal umpan, dia akan memberi isyarat akan berpindah.
Bagi kaki pancing, perkara sebeginilah yang disukai, rajin dan sentiasa berusaha mencari lubuk terbaik untuk pelanggan.
Apabila air mulai surut dan arus laju, ikan mulai kurang aktif menyambar umpan. Hanya ikan-ikan kecil seperti gerut-gerut dan mengkerong yang rajin mengintai umpan kami. Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari dan berehat seketika di Jeti.
Sewaktu berehat ini dapat juga saya berbual panjang dengan tekong Angah mengenai ikan di Kuala Lukut ini. Menurutnya, ikan yang ada di sini memang tiada musim. Terutamanya sembilang, sentiasa sahaja ada. Cuma kena pandai sahaja mencari lubuk-lubuk permainannya. Jika kena pada lubuk, memang tak menang tangan.
Pengalaman dan kehandalan tekong Angah di Kuala Lukut ini memang tidak boleh disangkal lagi. Apa tidaknya, sejak kecil lagi beliau telah didedahkan dengan lubuk-lubuk yang ada di sini. Cuma apa yang merisaukan beliau ialah apabila melihat semakin banyak kawasan paya bakau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disebabkan itu, lubuk-lubuk permainan ikan di sini semakin berkurangan dan ini menjadikan hasil yang diperoleh juga semakin berkurangan jika hendak dibandingkan beberapa tahun dahulu.
Setelah berehat dan menjamah makanan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti pancingan kami. Kali ini, kami cadangkan kepada tekong Angah, mencari spesies ikan sisik pula setelah puas memperoleh sembilang dan gemang pagi tadi. Untuk memburu ikan sisik, tekong Angah membawa kami ke kawasan berhampiran muka pantai yang dikatakan menjadi lubuk gerut-gerut.
Di lokasi ini, banyak kali juga joran kami digetu, tetapi kebanyakan dari gerut-gerut bersaiz kecil. Hanya Paez sahaja yang bertuah menaikkan seekor tetanda bersaiz tapak tangan. Melihat keadaan kurang memberangsangkan, kami berpindah lubuk lagi. Kali ini, kami masuk ke dalam kuala semula dan menuju ke lubuk kegemaran tekong Angah.
Sedang kami asyik bersembang, joran milik Basil tidak semena-mena di getu dan dengan pantasnya ikan membawa lari tali kailnya melawan arus.
“Sah ikan besar!”, kata Tekong Angah. Basil terus menyentap joran dan terus bergasak dengan spesies yang belum diketahui lagi.
Sayangnya, kesilapan kecil Basil untuk mengunci drag telah memberikan peluang kepada ikan tersebut melarikan diri ke reba di dalam sungai. Hampa juga kami melihatnya.
Menjelang petang, apabila air mulai pasang, kami menuju lagi ke lubuk kegemaran tekong Angah yang lain pula. Di sini, Basil yang hampa akibat rabut ikan besar tadi menjadi pemecah suasana apabila berjaya menaikkan tetanda bersaiz kasar.
Tidak lama selepas itu kami bersilih ganti melayan kawanan blues-gang yang semakin galak keluar mencari makanan sewaktu air jalan naik. Jadi stress juga dibuatnya! Tapi itu semua sementara sahaja apabila melihat joran Paez kembali diasak.
Kami menyangka ia datang daripada belukang bersaiz kasar, tetapi ia ternyata meleset apabila melihat kilauan perak di dalam air. Senangin! Dengan segera ikan tersebut dinaikkan ke dalam bot. Jelas terpancar kegembiraan di wajah Paez kerana beliau menjadi orang yang paling ong pada hari itu.
Menjelang lewat petang, sembilang kembali mendominasi tangkapan kami. Tapi sayangnya, sedang galak ikan makan, umpan kami pula kehabisan. Nak tak nak, kami terus menuju pulang ke jeti dan seterusnya kembali semula ke ibu kota untuk menghadapi realiti.
Tahun lalu sebanyak 1.8 tan ikan pelbagai spesies berjaya dituai. Namun tahun ini ia sedikit berkurang tetapi tetap melebihi 1 tan hasilnya dan ia berlangsung dengan penuh meriah.
Lebih 400 penduduk menyertai Pesta Mongoi Bombon atau ‘menuai ikan Tagal’ dalam bahasa Dusun di Kampung Poturidong, Kiulu, kelmarin.
Ia merupakan acara tahunan yang amat dinanti-nantikan penduduk menjelang musim kemarau.
Uniknya, aktiviti menangkap ikan Tagal hanya diadakan apabila Sungai Kiulu menjadi cetek dan tenang.
Menurut Ketua Kampung Poturidong yang juga Pengerusi Persatuan Tagal, Juara Gidal, 73, selain berkongsi hasil tangkapan, acara itu juga bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan.
Katanya, penduduk kampung sudah bersetuju untuk menuruti semangat Tagal supaya tidak menangkap ikan pada hari-hari biasa.
“Kami menetapkan peraturan, sesiapa yang didapati menangkap ikan akan dikenakan denda seekor kerbau untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua, pesalah akan dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri kerana tidak menghormati semangat Tagal,” katanya ketika ditemui di sini.
Pesta itu bukan sahaja disertai saudara-mara penduduk, malah rakan dari luar daerah turut berpeluang menikmati pengalaman menangkap ikan secara tradisional.
Antara ikan yang ada di sungai berkenaan ialah ikan Barob, Pelian, Sarawi dan Lampam Sungai atau lebih dikenali sebagai Gayomato.
Pesta yang mula diadakan sejak 1986 itu tidak pernah menghampakan penduduk kerana hasil yang diperoleh setiap tahun mencecah 1.2 tan ikan air tawar.
Lebih menarik, selepas berjaya ‘mendaratkan’ ikan air tawar, penduduk, terutama wanita akan memasak juadah hasil ikan tangkapan untuk dimakan semua penduduk yang menghadiri pesta.
Juara berkata, kawasan ikan Tagal ini dibahagikan kepada beberapa kawasan untuk tujuan pembiakan, pemuliharaan dan tarikan pelancongan.
Katanya, ini bagi memastikan spesies ikan air tawar sentiasa terjaga dan tidak merosakkan ekosistem air sungai yang menjadi kebanggaan penduduk Kiulu.
Penduduk, Rushdi Lusi, 42, berkata setiap kali pesta berlangsung, mereka tidak akan hampa kerana penduduk mampu menaikkan ikan besar sehingga mencecah 4.6 kilogram.
Katanya, pengalaman menangkap ikan secara tradisional yang dipelajari daripada orang tua menjadi panduan berguna untuknya setiap kali menyertai pesta.
Pengunjung luar daerah, Faznie Baili, 37, berkata dia menemani rakannya datang ke sini untuk merasai sendiri pengalaman menangkap ikan secara tradisional.
Katanya, kemeriahan menangkap ikan, selain kerjasama erat sesama penduduk kampung menyebabkan dia ingin kembali pada tahun depan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...