Bung Pla Buk merupakan kolam pancing air tawar komersial bersaiz sederhana kira-kira tiga jam perjalanan atau 230km dari Pattaya. Ia terletak kira-kira 20 km ke barat ibu kota wilayah bersejarah Ayutthaya dan lebih kurang satu jam perjalanan dari Bangkok.
Bung pla buk atau bung senna mengikut sebutan masyarakat tempatan ini mempunyai banyak ikan patin terutamanya patin Mekong. Kami diberitahu oleh pihak kolam bahawa kolam ini mempunyai lebih daripada 200 ekor ikan patin Mekong bersaiz 80 kg atas. Ikan di sini kebanyakannya memakan sekam padi atau hong, dicampurkan dengan roti hancur.
Pada akhir Julai lalu kami bersama team Weebass Malaysia dan Thailand dan juga team Burn International meluangkan masa selama dua hari di sini. Kumpulan kami seramai 18 orang dari seluruh Malaysia ke sini untuk mencuba peralatan baru dari Weebass dan Burn International. Selain itu, misi kami untuk dua hari ini adalah untuk memberi peluang kepada lady anglers dalam kumpulan kami menarik ikan patin Mekong mega.
Pada hari pertama, cuaca pada waktu pagi agak mendung. Ini menyebabkan ikan tidak begitu aktif. Walau bagaimanapun, kami dapat juga menaikkan lebih daripada 10 ekor ikan sebelum tengah hari. Haiza turut menaikkan seekor patin Mekong bersaiz 30 kg. Sebelah petang sekitar jam tiga, hujan turun pula turun lebih kurang 30 minit.
Ads
lady anglers sedang beraksi
Selepas hujan cuaca bertukar panas dan kembali aftif. Kami menaikkan banyak ikan berlainan saiz. Sebelum senja, beberapa ekor ikan bersaiz mega berjaya dinaikkan. Salah satu daripadanya dinaikkan oleh tester Weebass Thailand dengan anggaran berat sekitar 80kg.
Ads
Pada hari kedua, cuaca juga agak mendung dan tiupan angin agak kuat berbanding kelmarin. Ini menyebabkan kami tidak dapat memancing dengan teknik apungan. Kami dipaksa memancing teknik dasar menggunakan umpan roti sahaja.
Walau bagaimanapun selepas beberapa jam, hasrat kami tercapai juga apabila kesemua lady anglers berjaya bertarung dan menaikkan patin Mekong masing-masing.
Ads
Hujan lebat yang melanda pada sebelah petang menyebabkan kami terpaksa menamatkan sesi memancing lebih awal. Selepas meluangkan dua hari di kolam, kami amat gembira kerana misi kami tercapai. Haiza selaku ketua lady anglers turut gembira kerana dapat menimba pengalaman baharu yang begitu menyeronokkan.
Meskipun sesi memancing di sini agak mencabar, kami akan membuat perancangan untuk kembali lagi pada musim panas nanti. Kami percaya cabaran yang bakal kami tempohi nanti lebih mencabar dan penuh keseronokan!
GALERI LADY ANGLERS
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang. Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya. Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Kelang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini. Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak. Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut. Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan. Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat. Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail.
Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1. Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya. Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan. Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan. Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka. Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan. Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan. Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Seperti mana tasik-tasik lain, kewujudan Tasik Beris telah menjadi tumpuan kaki-kaki casting khususnya sebelah utara untuk memburu spesies sebarau dan toman.
Walaupun ia kurang menjadi sebutan berbanding tasik lain di Malaysia, tasik ini tetap berada dalam kelas tersendiri.
Tasik Beris juga turut menyimpan siakap air tawar yang khabarnya dilepaskan oleh Jabatan Perikanan atas tujuan kajian.
Rekod menunjukkan siakap ini masih lagi ada dan membesar hingga puluhan kilogram! Pun begitu bukan mudah untuk bertemu dan menewaskan siakap air tawar di Tasik Beris ini, lantaran ia sarat dengan tumbuhan samai.
Terima undangan
Untuk trip singkat ini, sebanyak 6 buah bot telah ditempah oleh mereka daripada Pak Su Razak Beris, seorang pengusaha bot sewa memancing.
Selain itu turut disediakan sewaan rumah istirehat keluarga Paksu Razak selama 2 hari 2 malam di pinggir tasik berkenaan sebagai tempat penginapan.
Sementara menantikan ahli komplot berkumpul sepenuhnya, saya bersama rakan New Kids Angler (NKA) yang tiba lebih awal berkesempatan mencuba casting dari tebing hingga ke lewat petang sebelum dihentikan awal gara-gara hujan beserta kilat.
Malam tersebut aktiviti dipenuhi dengan salam perkenalan, sembang santai sambil merancang perjalanan trip esok.
Esoknya, seawal jam 7.15 pagi kami sudah terpacak di dalam bot masingmasing. Tiga orang setiap gabungan bot fiber dan polisterine buatan sendiri Pak Su Razak ini cukup selesa.
Cuma yang kurang selesanya bagi penulis adalah hampir semua bot di Tasik Beris menggunakan enjin ekor biawak.
Ketika hujan renyai turun, enam buah bot berpecah mencari spot masing-masing. Penulis bersama Fitri menaiki bot yang dikemudikan oleh Yares.
Bermula di kawasan tidak jauh dari ladang anggur, kami kemudiannya meneroka kawasan tuas (ceracak pokok buluh mati yang tenggelam).
Di spot ini, hanya seekor sebarau bersaiz juvenil berjaya diperolehi. Pencarian di kawasan ini sedikit terbatas kerana kawasan permukaan tasik hampir dipenuhi samai dan amat sukar untuk kami menggayakan gewang lain selain gewang jenis permukaan.
Menurut Yares, inilah cabarannya jika casting di Tasik Beris, sebaraunya sukar dijejaki terutama bersaiz besar kerana ia berselindung di bawah samai.
Jadi dek kerana kesukaran inilah, amat bertuah buat mereka yang berjaya menaikkan sebarau bersaiz 1 kg ke atas.
Atas sebab ini juga, kata Yares mengapa trip ini dinamakan ‘Cabaran Sebarau dan Toman Tasik Beris’.
Tambahnya lagi, dek kerana samai-samai inilah, punca mengapa enjin ekor biawak menjadi pilihan kebanyakan pemilik bot di sini.
Walaupun ia bukan enjin yang praktikal untuk tujuan casting (kerana bunyi bising), tetapi ia menjalankan tugas yang baik kerana mampu melalui permukaan tasik yang dipenuhi dengan rumput tebal dan samai.
Menginjak tengah hari, kami mencuba di kawasan yang lebih terbuka untuk menjejaki sang toman.
Namun disebabkan rintik hujan dan mendung yang berterusan membantutkan usaha mencari sang toman sebelum kami berangkat pulang semula ke jeti Pak Su Razak untuk berehat dan makan tengahhari.
Semasa berehat, masing-masing menceritakan kesukaran mendaratkan spesies sasaran. Faktor air yang dalam, samai memang menyukarkan.
Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat geng NKA yang rata-ratanya baru berjinak dengan teknik casting.
Beberapa orang berjaya memperoleh sebarau dan toman bujang. Tiada lagi kelibat badong mahupun mama toman pada sebelah pagi.
Sesi petang
Sesi petang diteruskan kembali dengan masing-masing mencuba spot yang berlainan. Sebelah petang, cabaran untuk mencari spesies sasaran lebih mencabar, kerana faktor angin yang mulai bertiup kuat.
Di satu hujung tanjung, ketika baru sahaja Yares memberhentikan bot, terlihat kelibat toman timbul mengambil udara tidak jauh di belakang bot.
Terus sahaja kami melontarkan gewang yang ada dan berapa kali karauan, sang toman terus menyambar rakus gewang permukaan milik Yares.
“Yes! Fish On,” katanya.
Lewat petang, hari kelihatan semakin mendung. Angin juga mulai semakin kuat bertiup. Nun di puncak bukit bukau yang melatari pemandangan indah Tasik Beris, kelihatan awan hitam sedang berarah menuju ke arah kami.
Harapan untuk menduga spot ‘Raja Sakti’ akhirnya tidak kesampaian apabila rintik hujan mulai semakin kasar dan seterusnya hujan berserta angin ribut diiringi kilat dan petir menimpa kami.
Mujur bot yang dinaiki saya sempat berlindung di wakaf tidak jauh dari hentian R&R Tasik Beris.
Sambil bertanyakan kepada rakan bot lain, akhirnya kami diberitahu sebuah bot mengalami kerosakan enjin dan berlindung agak jauh daripada bot kami.
Selesai hujan reda, kami menjejaki mereka. Mujur juga di Tasik Beris ini, liputan talian telefon amat baik.
Kalau kejadian ini berlaku di Tasik Kenyir atau di Royal Belum, macam mana agaknya untuk mendapatkan bantuan.
Sekitar jam 9 malam, bot yang dinaiki saya selamat sampai ke jeti Pak Su Razak Beris bersama bot yang ditunda.
Sesi sebelah malamnya, kami berkumpul sambil mendengar cerita bot yang lain. Masing-masing menunjukkan hasil yang tidak seberapa.
Melihat kepada beberapa faktor seperti cuaca yang tidak menentu, samai yang tebal, ramainya penduduk kampung memasang jaring dan rawai serta air tasik yang tinggi, memang harapan untuk menduga dua spesies ini sememangnya sukar ketika ini.
Empat orang pemancing menyusuri kuala sungai cetek memulakan coretan dan pengalaman rutin memancing di kawasan paloh kapal.
Dari pengkalan Sementa, Klang kami menuju ke arah matahari terbenam sebaik sahaja keluar dari muara pulau pintu gedung.
Sudah lumrah menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat kerana arus dan arah angin bertentangan.
Alun semakin reda apabila mula memasuki tengah selat yang sibuk dalam di kawasan laluan kapal dagang.
Menyedari kekurangan umpan yang kami bawa, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Klang merupakan persinggahan sementara untuk apollo anak ikan.
Bila musim sotong kurita sukar, apollo ikan adalah kemestian mencari umpan alternatif.
Bila dah lenguh tangan mengarau pancing dalam sesi mencari umpan, barulah perkataan `jom umpan dah cukup’, keluar dari mulut.
Sampan yang dinaiki milik Kapten Khairi mudah membelah alun menuju ke lubang yang kami jumpai dalam trip pertama sebelumnya.
Perjalanan memakan masa 20 minit pada kelajuan 26 knots dari arah koordinat boya merah. Kedudukannya agak selamat dari laluan utama kapal dagang.
Kali ini mengulangi episod sebelum ia diketahui oleh pemancing lain. Lumrahnya bila ada lubuk potensi ramai yang mengintai untuk diterjah saban minggu.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan membaca pergerakan arus, kemudian sampan akan digerakan di hadapan selari dengan kedudukan lubuk yang di tandakan.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki, kapal kontena dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Kapten Khairi memilih untuk berhanyut di sebelah atas lubang mengikuti arus yang ketika itu sedang surut. Beliau akan memberi signal apabila kami mula memasuki kawasan dasar berlopak tersebut. Perlahan atau cepat memasuki zon strike bergantung kepada halaju sampan berhanyut.
Yang penting ialah umpan dipastikan sentiasa berada hampir dengan dasar ketika berhanyut, jangan gantung ladung terlalu tinggi.
Ketika arus laju, ikan biasanya mendiami kawasan berlopak dan lubuk untuk berlindung daripada pergerakan arus.
Bayangkan jika mula berhanyut pada kedalaman 100 kaki kemudian masuk lopak ikan sedalam 160 kaki, pemancing yang leka tidak menyedari umpannya tergantung 60 kaki
dari dasar, sebab itu ada pemancing yang memperoleh GT, talang dan aruan tasik ketika berhanyut. Ada juga spesies ini menjamah umpan yang terseret pada dasar selat.
Dalam masa 20 minit umpan ikan yang diperoleh di boya merah semuanya laku kecuali anak ikan pelata sahaja yang masih bertahan berenang di dalam petak umpan.
Tiga jenis umpan yang kami gunakan hari itu, iaitu kurita oleh Sarjan Omar Dan Sarjan Leman, pelata hidup oleh Kapten Khairi dan penulis sendiri memilih menggunakan tamban apollo yang dah kaku.
Empat joran dilabuhkan ke dasar mengikut turutan agar tali pancing tidak bertindih antara satu dengan lain. Selesai proses menurunkan pancing kami semua dalam mood bersedia.
Sambil pada itu Kapten Khairi turut melepaskan umpan pelata hidup hanyut di belakang sampan.
Ketika berhanyut Kapten Khairi akan bertindak seperti kapten kapal terbang, sering memberitahu kedudukan dan kedalaman semasa supaya kami tidak terleka membiarkan umpan tergantung.
Bila semakin hampir dengan spot yang di tandakan, lebih kuat suara kapten memberitahu supaya bersiap sedia… dah nak terjah lubuk katanya.
Tabiat ikan berkait dengan hala tuju arus, ada masa ia makan ketika betul-betul masuk lubuk dalam, ada masa ia makan di tubir lubuk dan kadang kala ia makan sewaktu umpan mula melepasi lubuk.
Sukar juga untuk membaca perangai ikan di dasar. Tak kisah kat mana ia merembat umpan yang penting ialah tahu di kawasan mana ia berada.
Bila mula memasuki lubuk merah, kami masing-masing hulurkan tali berterusan sehingga ladung mencecah dasar. Sedetik ia mula menuruni lopak dari 100 kaki ke 150 kaki, terasa umpan penulis disergah ikan.
Biarkan saja seketika sambil terus memberi tali agar ikan terus terleka umpan di mulutnya. Terhenti hulur tali mula menegang kembali, serentak itu baru joran melentur.
Buka satu, tapi tiga serentak. Dua kali balas dan belum sempat karau tali sudah muntah keluar. Usaha memujuk ikan mengikut berhasil apabila merah pertama muncul di permukaan dan diikuti ikan merah kedua dan ketiga.
Melepasi lubuk pertama, kapten berpatah balik mengulangi laluan yang sama. Pusingan kedua pula kami mengena dua strike tapi ikan nampaknya lebih bernasib baik di mana perambut putus dan satu lagi terlucut. Pantang terlepas, ikan terus hilang ketika kami membuat pusingan ketiga.
Lama juga menanti strike berikutnya selepas hilang merah di lopak pertama. Kami terus berhanyut santai menanti umpan menerjah ke lopak-lopak berikutnya.
Semuanya sunyi, kemudian joran kapten berumpan pelata hidup hanyutkan mengena pula. Jadilah tiada bawah atas pula memberi kepuasan.
Kemudian kami beredar menuju satu lagi boya di tengah Paloh 3 mencari umpan hidup berikutan umpan hidup sudah kehabisan.
Yang tinggal hanyalah umpan kaku dan pudar kilauan sisiknya. Semasa berlabuh di boya sempat lagi kami memancing ikan talang menggunakan ikan anak selar yang kami apollo.
Puas juga melayan talang memandangkan umpan yang dilabuhkan di dasar tidak menerima sambutan.
Sebelah petang banyak masa kami habiskan menjajah lubuk-lubuk lama yang tiada penghuni. Kalau dah saban minggu dikunjungi tentu lubuk berkenaan sudah diangkut penghuninya oleh pemancing-pemancing yang bertali arus.
Cuma harapan ikan yang baru sahaja yang akan bertandang mendiami lubuk yang sepi. Persoalannya bila dan waktunya siapa pun tidak tahu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...