Menurut laporan Sinar Harian edisi Pahang kelmarin, dua lelaki yang sedang memancing di atas Jambatan Sungai Endau, di sini, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di kilometer (KM) 159.5 Jalan Kuantan – Johor Bahru sekitar jam 1.35 awal pagi (Ahad).
Pemancing malang dikenali sebagai Mohd Fadhlan Mohd Shahidi, 32, berasal dari Pekan dan Mohd Misran Mohd Daim, 44, berasal dari Mersing, Johor.
Ads
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 30 tahun itu dalam keadaan mabuk sebelum terbabas melanggar kedua-kedua mangsa ketika melalui lokasi kejadian.
Ads
“Pemandu telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk siasatan lanjut manakala mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat,” katanya.
Ads
Sementara itu melalui akaun Facebook Mohamad Hafidin Daim (adik kepada Allahyarham Mohd Misran Mohd Daim (Mees River) turut menyatakan kebenaran berita ini dan telah mengesahkan Allahyarham abangnya itu telah selamat dikebumikan di Felda Nita 1 selepas zuhur kelmarin.
Menurut para kenalan Mohd Misran, Allahyarham merupakan seorang pemancing udang galah yang sangat berpengalaman dan pemergian beliau adalah satu kehilangan yang sangat besar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Petikan video dan gambar ditunjukkan teman seperjuangan yang pernah ke sana mempengaruhi minat saya namun hanya tinggal hasrat sahaja kerana perancangan ke lokasi ini paling tidak mengambil masa 6 bulan.
Memandangkan ia memerlukan belanja yang tinggi untuk seorang pemancing, maka teman saya dari awal-awal lagi merancang tabung agar tidak begitu terasa bebanan kos pada saat akhir. Malah anggota ekspedisi sudah mencukupi ketika tempahan bot dilakukan sudah mula mengatur persiapan secukupnya kerana trip begini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan.
Dari semasa ke semasa saya hanya mengikuti perancangan mereka dari kejauhan. Sehari sebelum trip bermula saya menerima mesej `esok malam jom ke Sungai Sepia’. Biar betul notis hanya 24 jam untuk membuat persiapan. Ajakan diterima berikutan seorang dari anggota asal tidak dapat sertai kerana masalah keluarga yang perlu diselesaikan segera.
Untuk menggenapkan 3 orang pemancing bagi setiap bot, pemancing gantian diperlukan bagi mengurangkan sedikit bebanan kos. Maknanya esok banyak benda yang harus diselesaikan pada sebelah siang sebelum malam berangkat ke Kuala Tahan.
TEROKAI PERJALANAN JERAM
Awal pagi ekspedisi ke Sungai Sepia yang diketuai oleh Yusri Boatman memberi sedikit penerangan ringkas mengenai program memancing kelah selama 3 malam tersebut. Setelah urusan permit dan mendapat pelepasan daripada renjer bertugas seramai 9 orang pemancing bersama 3 orang jurumudi dan 3 pemandu bot meninggalkan jeti Kuala Tahan menuju ke Kampung Bantal.
Kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk tiba di Kampung Bantal pada tengah hari walaupun dalam keadaan air semakin surut. Penat dan kepanasan di sepanjang jalan mengharungi laluan sungai hilang sebaik sahaja kami berhenti menikmati makan tengah hari di tengah beting pasir di kuala pintu masuk Sungai Sepia.
Sementara itu kipas bot ditukar sesuai untuk kegunaan kawasan cetek dan berbatu di dasar. Di sinilah baru bermula perjalanan sebenar mengharungi cabaran untuk ke hulu sungai. Antara cabaran yang paling membebankan ialah Jeram Perahu dan Jeram Ular. Banyak masa dihabiskan untuk mengangkat 3 buah perahu merentasi jeram.
Pengalaman dan kudrat yang dimiliki jurupandu dan jurumudi bot boleh dipuji. Kerja berpasukan begitu utuh di kalangan mereka. Selepas dua jeram ini kami lebih banyak menghabiskan masa menolak perahu jalur di kawasan jeram cetek. Air gunung semakin terasa sejuk menjelang petang.
Setelah berbincang dengan jurumudi dan jurupandu, kami bersetuju dengan saranan untuk terus bergerak sehingga ke kem utama untuk bermalam tanpa mengira jam berapa akan sampai. Hampir 10 jam mengharungi perjalanan perahu masih lagi belum tiba ke destinasi.
Badan semakin menggigil, bukan kerana tak sabar untuk memancing kelah tapi menggigil kesejukan disamar malam. Akhirnya kami tiba di kem utama selepas jam 8.30 malam iaitu kira-kira 11 jam lebih perjalanan sungai berbatu diharungi. Tiada aktiviti memancing pada malam tersebut kerana masing-masing sudah berdengkur di lantai berpasir dalam keletihan.
CELIK MATA PANDANG LUBUK
Seawal pagi tekong aka jurumudi menyediakan sarapan berat kerana masing-masing akan memilih lubuk tersendiri seharian nanti. Ada juga yang memilih untuk memancing berhampiran kawasan kem sahaja. Dekat dengan tapak khemah dan mudah untuk melakukan pengawasan.
Banyak lubuk cantik di hilir dan hulu tapak khemah yang kami dirikan. Masing-masing mula berpecah untuk menduga nasib bagi memperbaharui lesen untuk sang raja sungai ini. Kawasan dan lubuk yang banyak pun susah hendak diputuskan mana satu yang hendak dituju.
Lubuk banyak, pilih je mana yang berkenan sebab waktu itu hanya grup kami sahaja yang berada di situ. Tempat tidak perlu berebut. Boatman yang dipilih kali ini adalah di antara yang terbaik dan tersohor di kalangan peminat kelah di Kuala Tahan. Yusri, Ajak dan Jefry bukan nama asing lagi bagi kaki pancing yang sering ke Keniam.
Mereka menjadi pilihan kerana pengetahuan dan kebolehan dalam aspek pemburuan kelah. Rajin dan peramah menjadi satu lagi faktor yang disukai pemancing. Awal pagi masing-masing sibuk memilih boatman untuk bergerak ke hulu sungai.
Perancangan kami memancing di bahagian hulu terlebih dahulu sebelum turun ke bawah pada hari berikutnya. Dengan persiapan yang secukupnya masing-masing bergerak ke hulu dengan bot untuk satu tujuan, lesen kelah terlebih dahulu.
POTONG TRIP
Walaupun perancangan asal mengikut tarikh yang diputuskan, kumpulan kami sepatutnya adalah yang paling awal masuk ke sini sebaik bermulanya musim memancing. Namun tahun ini awan membawa hujan berhenti lebih awal daripada jangkaan.
Cuaca kering bermula sebaik sahaja habis angin dingin yang melanda negara tempo hari. Bila cuaca kering maka sungai dan lubuk cepat surut, kaki pancing yang arif mengenai kelah pasti membuat perancangan jangka pendek. Trip mengejut. Sebab itu seminggu sebelum kami bertandang sudah ada satu lagi grup memotong tarikh seminggu lebih awal daripada kami.
Malah terdapat juga kesan-kesan orang kampung turut menjejaki kawasan ini sebelum berpusu-pusu kaki pancing bertandang. Kelah-kelah yang kami nampak sepanjang perjalanan di lubuk-lubuk popular menjadi takut, hanya kelibat beberapa detik ditunjukkan sebelum lesap berenang dalam kejernihan air gunung.
Bila ditanya pada boatman yang membawa kumpulan tersebut berapa banyak kelah mereka tawan?. Jawapannya pasti tidak mengejutkan kerana kumpulan ini kena pada waktu air sedikit keruh dan membuka selera kelah dengan sawit peram. Sungai ini tidak menjanjikan kelah yang besar dan gadang sebagaimana Sungai Keniam tetapi ia memiliki jumlah dan lubuk yang lebih dari Keniam.
Peluang memperolehi kelah di sini adalah lebih tinggi dan jumlah kaki pancing yang sanggup bertandang ke mari adalah sedikit kerana kos 3 kali lebih daripada kos memancing kelah di Sungai Keniam.
APA LAGI
Sekiranya anda seorang kaki pancing yang tidak begitu pentingkan saiz dan hasil, Sungai Sepia mampu menyediakan satu pengalaman seumur hidup menjejaki kelah dengan kudrat dan semangat tinggi menggunung. Ia turut menawarkan panorama, suasana nyaman, udara bebas dari pencemaran, tiada gangguan deringan telefon bimbit, bunyi ekzos kenderaan mahupun rempitan motor kapcai dan paling utama ketenangan ketika memancing.
Tidur bertilamkan jutaan pepasir sungai, beratapkan ribuan bintang di langit sambil diulit unggas dan desiran air nyaman sepanjang waktu. Malah penulis turut terkejut apabila disapa teman “nyenyaknya tidur sambil memancing sampai ular yang melintas di hadapan pun tidak perasan”.
Kalau perasan tentu penulis terlebih dahulu terjun sungai dari sang ular tersebut. Di sini kami bebas memilih untuk memancing di mana sahaja lubuk cetek mahu pun dalam. Petang bila masing-masing balik ke khemah sesi bergambar dengan hasil tangkapan seharian. Malam menikmati lauk kelah masak tempoyak dengan sepuasnya.
Penulis tak perlu huraikan secara menyeluruh aktiviti memancing di sini kerana gambar yang dipaparkan telah menceritakan segalanya.
Umpan tidak perlu dirisaukan kerana satu guni setiap bot disediakan untuk pemancing. Sediakan keperluan peribadi, bekalan ubat sekiranya perlu, dan peralatan memancing kelah dengan secukupnya.
Joran dengan kekuatan 8-17lb, tali tangsi maksima 20lb, ladung saiz 5 dan 6 serta mata kail tajam serta tidak terkangkang apabila disentap kelah. Raja sungai ikan sembat umpan tanpa ada signal.
Makan dan tempat tidur diuruskan oleh boatman dan jurupandu, anda hanya perlu memancing dan nikmati keindahan alam suasana sekeliling yang nyaman.
Teknik memancing, lubuk terbaik dan pemasangan umpan boleh dirujuk kepada boatman mahupun jurumudi kerana mereka ini adalah segelintir kelompok manusia yang sentiasa bergelumang dengan ikan pergunungan.
Banyak pengalaman yang mereka boleh kongsi dengan pemancing yang menggunakan khidmat mereka ini. Nikmati sepenuhnya pengembaraan selama 3 malam kerana selepas keluar dari hutan Taman Negara ini, masing-masing pasti sibuk melayan mesej, Facebook ataupun e-mel daripada majikan apabila keluar ke peradaban moden.
Suatu ketika dahulu, tatkala teknik pancingan jigging ringan atau light jigging mula menjadi satu fenomena dan kegilaan para pemancing tanah air, boleh dikatakan semua pemancing ingin turut mencubanya.
Sehinggakan, pemancing yang tidak pernah menaiki sampan atau bot sanggup berhadapan dengan mabuk laut semata-mata untuk turut sama dalam fenomena yang melanda industri memancing tanah air.
Buat seketika ikan sasaran jigging ringan terutamanya talang menjadi spesies ikan yang begitu popular. Maka ramailah pemancing berlumba-lumba memuat turun hasil jigging ringan di laman sosial seperti Facebook. Pendek kata, gambar ikan talang yang ditumpaskan pemancing bertaburan Facebook.
Begitu juga dengan pengusaha-pengusaha atau tekong-tekong yang menyediakan pakej memancing. Dalam masa yang singkat, pertambahan tekong jigging umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Trip jigging talang umpama pisang goreng panas. Secara tidak langsung ia meningkat dan merancakkan lagi industri memancing yang agak sepi dan statik.
Apabila pancingan jigging perlahan atau slow jigging mula menjadi teknik memancing paling digemari, buat seketika populariti spesies talang ini bertahan. Namun sedikit demi sedikit popularitinya merudum berikutan konsep utama jigging perlahan itu sendiri adalah mensasarkan spesies ikan demersel seperti jenahak, kerapu, merah dan ibu gelama yang sebelum ini hanya berjaya dijinakkan melalui teknik pancingan konvensional iaitu pancingan dasar menggunakan umpan.
Dalam masa singkat, terutamanya apabila teknik pancingan jigging perlahan menjadi fenomena dalam sukan memancing tanah air, talang tidak lagi menjadi spesies sasaran utama. Khususnya dalam teknik pancingan jigging perlahan ini.
Sebaliknya spesies demersal seperti jenahak dan kerapu pula yang menjadi trophi bagi setiap trip memancing (jigging). Dalam masa yang sama, trip pancingan light jigging turut berganti kepada trip slow jigging. Atau dalam erti kata lainnya, hampir tiada lagi trip memancing talang melainkan nama jenahak dan kerapu sahaja yang menjadi judul sesuatu trip.
Kemuncaknya, status populariti talang jatuh ke tahap paling bawah apabila ia seperti tidak diiktiraf sebagai hasil tangkapan dalam sesuatu trip jigging perlahan. Untuk bergambar dengan talang sekalipun ada pemancing yang tidak sudi. Bahkan trip itu dianggap gagal sekiranya hanya talang yang berjaya dibawa pulang.
Namun, mutakhir ini tatkala spesies pujaan seperti makin culas untuk membaham jig keramat dan khuatir trip berakhir dengan kegagalan mutlak, jauh di sudut hati kembali berharap agar spesies talang yang dipinggirkan ini sudi memberikan sedikit hiburan.
8 Julai bersamaan 14 Syawal, ketika kebanyakan orang lain sibuk menganjur atau menghadiri rumah terbuka sempena Aidilfitri, saya bersama sembilan lagi rakan yang berkongsi hobi sama, meraikan rumah terbuka dengan konsep yang berbeza.
Setelah menyuarakan perancangan dan mendapat sambutan menggalakkan dari rakan-rakan yang maka kami jayakan trip memancing dengan konsep hari raya.
Secara tidak langsung ia perjumpaan hari raya tanpa perlu bertandang ke rumah antara satu sama lain untuk berhari raya.
Sebagai yang dirancang saya, Junaidah, Fazila, Azimah, Shana, Hanim, Mastura, Anum, Ekin dan Ira bertemu di atas kelong kupang, di Sabak Bernam lengkap berpakaian hari raya.
Setelah bersalaman dan berbual sebagaimana laku kaum hawa bertemu di musim perayaan, kami segera melaksanakan matlamat utama ke kelong kupang ini, apa lagi kalau bukan memancing!
Hakikatnya bukan saya seorang, malah hampir semuanya tidak sabar-sabar lagi untuk menghayun joran dan mengayuh kekili setelah lama berehat panjang.
Tambahan pula ketika kami tiba di kelong ini air sedang pasang. Jadi kami tidak mahu melepaskan waktu memancing yang ideal ini begitu sahaja.
Berbekalkan udang hidup yang ditempah daripada tuan kelong dan udang mati yang dibawa sendiri, kami memulakan sesi memancing dengan penuh kegembiraan.
Tanpa perlu menunggu lama, umpan yang kami labuhkan tidak jauh dari kawasan kelong menerima getuan ikan.
Ikan-ikan lazim yang biasa ditemui di kawasan kelong seperti gelama, bulus, duri dan tetanda menjadi tangkapan awal yang diperoleh.
Boleh dikatakan semua joran ahli trip mengena. Walaupun ia bukanlah ikan sasaran utama namun ia tetap menggembirakan kami.
Kami tak kisah ikan apa yang nak makan umpan kami. Nama pun memancing di kawasan kelong yang sememangnya menjadi habitat ikan-ikan tersebut.
Jika ada rezeki dan bersabar, pasti akan muncul juga ikan-ikan idaman seperi pari, jenahak, senangin serta kerapu.
Sebelum lewat petang seekor sotong kurita memakan umpan dan tersangkut pada mata kail. Tanpa berlengah saya segara menjadikan sotong kurita itu sebagai umpan.
Setelah tiga puluh minit menanti tanpa sebarang sambaran, saya karau kembali pancing yang menggunakan umpan sotong kurita tersebut.
Kemudian saya lontar kembali sotong kurita yang sudah mati dan hanya tinggal badan dan kepala sahaja. Tanpa disangka-sangka lima belas minit kemudian joran saya melengkung dan tali pancing diseret keluar.
Pantas saya mencapai joran dan gigih berusaha menjinakkan ikan yang memakan umpan sotong kurita mati tersebut. Beberapa minit kemudian saya berjaya juga mendaratkan seekor ikan pari dalam anggaran tiga kilogram ke atas kelong.
Biarpun ikan pari tersebut merupakan tangkapan terbesar dalam trip ini namun saya belum berpuas hati kerana tangkapan rakan-rakan lain turut hebat.
Ada yang berjaya menaikkan senangin dan ada juga yang berjaya dapat jenahak. Justeru itu sejurus kembali ke daratan keesokan petangnya, saya bertekad untuk kembali lagi ke kelong kupang untuk mencari jenahak pula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...