Saya masih tak faham bagaimana mata tiga gewang boleh lurus bila terkena ikan. Orang kata, kalau kena ikan besar barulah mata tiga boleh lurus. Tapi saya pernah dapat ikan haruan lebih kurang sekilo saja, bila tengok salah satu mata tiga dah lurus. Tali tak pulak putus. Kalau tali yang putus tu saya fahamlah sebab tali tidaklah sekuat mata tiga.
JAWAPAN:
Ads
Saya andaikan maksud kuat (tali tidaklah sekuat mata tiga) adalah sifat fizikalnya. Sudah tentulah mata kail yang diperbuat daripada logam lebih kuat berbanding tali pancing yang diperbuat daripada nylon atau fabrik. Jika hiris dengan pisau sudah pasti tali akan putus tetapi mata kail tidak terjejas langsung.
Ads
Dalam pertarungan antara peralatan memancing memancing dengan ikan (ikan bersaiz besar khususnya), point yang lemah itulah yang akan tewas. Jika peralatan memancing kuat, maka ikan akan tewas tetapi jika ikan lebih kuat makan peralatan pancing yang tewas dulu.
Ads
Peralatan pancing itu pula terbahagi kepada beberapa bahagian seperti kekili, joran, tali, kili dan mata kail. Jika kekuatan peralatan ini tidak seimbang maka salah satu daripadanya akan tewas ketika bertarung.
Dalam kes saudara ini terbukti mata tiga itulah titik yang paling lemah. Justeru itulah ia melurus. Namun saudara masih beruntung kerana hanya mata kail yang melurus dan ikan pun berjaya didaratkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Saya belum dapat keyakinan untuk memancing menggunakan umpan tiruan seperti gewang ikan atau udang. Boleh tak admin beri perangsang kepada saya?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa faktor yang membuatkan ikan menyambar umpan tiruan seperti gewang. Pertamanya, oleh kerana ikan direka cipta tanpa anggota tangan dan kaki, maka ia menggunakan mulut atau anggota lain untuk menyambar, menyerang atau memeriksa gewang tersebut. Atau erti kata lainnya, ikan menyambar gewang bukanlah kerana satu sebab sahaja.
Antara faktornya ialah kerana lapar, sifat kewilayahan, tindakan pelindung, marah atau sifat cemburu. Tidak dinafikan kebanyakan ikan pemangsa menyambar gewang kerana menyangkakan gewang tersebut adalah makanannya. Oleh kerana itulah gewang direka cipta menyamai sifat-sifat ikan, udang, katak atau serangga lain yang menyerupai diet permakanan ikan pemangsa.
Faktor mempertahankan kawasan atau kewilayahan akan menyebabkan ikan bertindak dengan serangan sama ada dengan menggigit, memukul dengan kepala atau memukul ekor terhadap gewang. Justeru itu banyak terdapat kes gewang mengenai badan pemangsa dan bukan kesemuanya berada di dalam mulut.
Selain itu ikan pemangsa bertindak terhadap gewang kerana menyangka gewang tersebut adalah pemangsa yang akan memakan anak-anak jagaannya. Selebihnya adalah kerana sifat ingin tahu atau curiga. Dalam tindakan menyiasat dengan menggunakan mulut atau anggota badan yang lain itulah mata kail yang ada pada gewang menyebabkan statusnya sebagai pemangsa bertukar menjadi mangsa.
Boleh tak admin beritau sikit tips bagaimana hendak memastikan kekuatan aksi pada setiap joran? Saya masih baru lagi dalam dunia memancing ni… takut nanti terbeli joran yang tak sepadan dengan ikan yang nak pancing.
JAWAPAN:
Kekuatan sesebatang joran boleh diketahui daripada label yang dicetak pada joran. Biasanya label ini tertulis pada pangkal joran.
Daripada nombor kekuatan yang diberikan, kita boleh mengagak jenis aksi joran terbabit. Contoh, jika joran memaparkan kekuatan 20Ib-30Ib maknanya kekuatan joran adalah dari 20lb pada bahagian hujung (tip) hingga maksimum 30lb pada pangkal joran.
Kalau perbezaan kekuatan tidak ketara antara 20lb hingga 30lb, joran ini adalah joran aksi perlahan dengan lenturan parabolik.
Sebaliknya, jika kekuatan dipaparkan ialah 8Ib – 30Ib maknanya joran ini adalah aksi cepat dengan lenturan tertumpu pada bahagian hujung terlebih dulu.
Semakin besar jurang perbezaan kekuatan yang dipamerkan pada sebatang joran bermakna joran berkenaan memiliki aksi cepat dan sebaliknya.
Aksi ‘ultra light’ pula merujuk kepada joran kecil seperti joran udang yang kekuatannya daripada 2lb hingga 6lb. Status ‘heavy action’ pula merujuk kepada joran berkekuatan melebihi 80lb atau minimum aksi hujung dengan 50lb.
Boleh tak admin bagi petua bagaimana untuk menggunakan umpun-umpun supaya tahan lebih lama. Selalunya umpun-umpun yang digunakan cepat je busuk dan mati.
JAWAPAN:
➡ Tidak kira apa jenis umpun-umpun, perumpun atau ruat… ia perlu disimpan di dalam bekas dan di tempat yang lembap dan jauh dari cahaya terus matahari.
➡ Lebih bagus sekiranya dapat diletakkan selut asal (tanah dari habitat asal umpun-umpun) sebagai tempat umpun-umpun berlindung. Dan pastikan selut itu sentiasa lembab atau basah.
➡ Umpun-umpun mudah mati apabila kepanasan melampau dan tidak disimpan dalam air yang tidak ditukar ganti. Air yang terlalu lama akan menjadi berasid.
➡ Bekas perumpun seboleh-bolehnya lebar dan dapat memberi ruang oksigen yang secukupnya. Jika rajin, ketika sepertiga perjalanan perlu ditukar air dengan air laut yang baru (dalam bekas berasingan).
➡ Untuk perumpun sarang, lebih baik jangan keluarkan dari sarangnya sehingga waktu hendak digunakan. Sentiasa lembapkan sarang dengan air laut yang baru.
➡ Potong bahagian ekor terlebih dulu kerana bahagian kepala mampu bertahan lebih dari 3 hari jika kelembapan dikekalkan.
➡ Selain itu asingkan umpun-umpun yang telah mati dengan yang hidup.
➡ Gunakan kertas surat khabar lembap dengan air laut sebagai pilihan. Tukar surat khabar selalu untuk kesegaran perumpun.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...