
Status dan beza ikan tilapia?
SOALAN:
Saya ingin bertanya, apakah status ikan tilapia di Malaysia? Adakah tilapia ikan tempatan atau bukan?
Satu lagi adakah ikan tilapia biasa dengan tilapia air masin spesies yang sama atau bukan?
JAWAPAN:
Tilapia merupakan ikan jenis cichlid yang memang antara ikan popular dan mudah ditemui di Malaysia.
Begitu pun spesies ini bukanlah spesies ikan tempatan atau ikan asal. Ikan ini berasal dari benua Afrika.
Status ikan tilapia di Malaysia ialah ‘introduced species’. Spesies ini asalnya diperkenalkan di Malaysia dalam sektor akukultur untuk diternak dalam skala yang besar sebagai salah satu sumber makanan.
Disebabkan tilapia mudah membesar dan dapat dibiakkan secara aruhan, maka spesies ini antara spesies penting dalam sektor akuakultur.
Ia kemudian terus berkembang biak memasuki negara-negara beriklim tropika dan keupayaan mendiami perairan air masin melebihi air tawar.
Ia mempunyai kadar tumbesaran yang cepat, mudah dan cepat membiak, berketahanan melawan penyakit, bijak menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Ekoran daripada itulah ia turut boleh ditemui di kawasan kuala sungai dan air payau.
Dalam erti kata lainnya, ikan tilapia biasa dan tilapia air masin yang dimaksudkan itu adalah dari spesies yang sama.
Hanya gelaran ikan tilapia air masin itu muncul kerana berkait dengan lokasi di mana ia ditemui. Sekiranya ia ditemui di lombong, maka ia akan dipanggil tilapia lombong.
Trip Retro: Sedili Awal Musim – Bahagian 1

Ketika kunjungan kami ke perairan Sedili sebelum trip, keadaan lautnya masih beralun dan angin juga agak kuat. Sedikit sebanyak ia merisaukan kami.
Setiap hari tekong dihubungi untuk mendapatkan maklumat terkini. Walaupun hati sudah tidak sabar untuk turun ke laut, tetapi faktor keselamatan perlu dititikberatkan.
Tiba harinya, kami memutuskan untuk ‘on’ trip ini. Kami terlebih dahulu singgah di Bandar Sri Saujana, Kota Tinggi untuk membeli umpan udang hidup.
Lokasinya ialah di ‘Kedai Kopi Mawaddah’ iaitu terdapat kolah udang terletak di bahagian belakang kedai kopi tersebut. Sekilogram (+/- 100 ekor) dijual dengan harga RM60.
Satu lagi kedai yang menjual umpan udang hidup adalah Kedai Umpan Ah Wei yang terletak Jalan Mawai, Kota Tinggi.
Di sini anda tidak perlu membawa bekas polisterin atau pam. Semuanya ada dijual disini. Cuma perlu bawa duit sahaja. Yang penting, harus menelefon dahulu untuk membuat tempahan.
Misi Bermula
Sampainya kami di jeti, Tekong Abang Mat memberitahu yang kami perlu keluar awal untuk mengelakkan air surut. Berada sahaja di atas bot, kami sedikit terperanjat dengan bahagian belakang dan ruang tempat tidur yang berwajah baru.
Tempat simpanan umpan hidup juga telah dinaiktarafkan. Tidak seperti kunjungan sebelum ini. Ha… ini sudah bagus.
Menurut Abang Mat, semua ini adalah idea dari pemancing-pemancing yang menggunakan perkhidmatannya. Kadangkala pengusaha bot pancing mungkin tidak tahu apa keperluan atau kehendak pemancing yang menggunakan khidmatnya.
Seperti biasa kami merebahkan badan kerana perjalanan ke lubuk pertama yang mengambil masa 3-4 jam. Ketika kami sampai ke unjam darat, keadaan masih lagi gelap. Tanpa membuang masa, kami terus menurunkan apollo. Langsung tiada hasil.
Abang Mat memberitahu perlu menunggu sehingga matahari keluar barulah ikan unjam akan menjadi galak. Memang betul seperti apa yang dikata.
Keluar sahaja matahari, barulah apollo yang diturunkan mendapat sambutan. Agak besar juga selar yang dinaikkan. Terasa sayang pula untuk dibuat umpan.
Selepas puas mengunjun apollo, kami menukar taktik dengan pancingan dasar. Seperti biasa, kerapu dan kerisi mendominasi hasil tangkapan.
Yang lebih mengejutkan, ikan merah yang sebelum ini agak kurang diperoleh kali ini agak ‘frenzy’. Asal umpan dijatuhkan sahaja, pasti diragutnya.
Walaupun saiz tidaklah sebesar mana, tetapi mendapat ikan gred A ini amat menggembirakan. Silih berganti merah, kerapu dan kerisi dinaikkan.
Tegak matahari di atas kepala, kami berhenti untuk makan apabila arus pun mulai tiada sambil berbincang dengan tekong lokasi berikutnya.
Penghuni Unjam Terbiar
Abang Mat kemudiannya membawa kami ke satu lokasi unjam terbiar. Agak sukar juga tekong hendak parking botnya di atas unjam kerana tiada langsung tanda pelampung unjam. Hanya berdasarkan pengalaman dan sonar sahaja.
Nasib kami baik barangkali kerana sekali lagi merah begitu ‘frenzy’. Mungkin kerana unjam itu jarang dikunjungi membuatkan penghuninya tidak culas dengan perambut dan mata pancing.
Abang Ram yang sibuk di dapur sekali-sekali sempat melayan apollo dengan memakai koyan. Mencari cencaru katanya untuk keluarga di rumah.
Ramli yang leka bersembang tiba-tiba terkejut apabila rodnya mendapat sentapan kasar. Agak kalut beliau kerana ikan yang meragut umpannya begitu kuat membenam ke bawah. Pada awalnya dijangkakan aruan tasik.
Setelah hampir 10 minit aksi tarik menarik, tiba-tiba ‘tusssss’ tali utama putus. Sedikit kecewa Ramli. Serentak itu juga koyan tekong yang di sebelah kiri bot mendapat ragutan.
Apabila ditarik, rupanya tali dari pancing Ramli yang terputus tadi terbelit dengan tali mono koyan milik tekong. Hasilnya sekor jahan yang boleh tahan saiznya. Kalau sudah rezeki tidak ke mana.
Pemancing yang berada di belakang bot juga tak menang tangan melayan kerenah penghuni dasar.
Abang Man, Abang Long dan Adi tak henti-henti menaikkan kerisi dan kerapu. Sebelum kami berpindah lokasi, Abang Man berjaya menaikkan seekor kerapu yang agak besar saiznya.
…bersambung
Siri Akhir Variasi Ikan Pancingan Yang Direkodkan!!

Seekor aruan tasik gergasi (cobia) seberat 73 lb 10 oz berjaya ditewaskan oleh seorang pemancing bernama Robert Cunningham Jr. Kejayaan ini berlangsung pada 23 April 1999 di perairan Gulf of Mexico, Alabama.
Selepas bertarung selama 45 minit, David Deuel berjaya menewaskan ikan red drum seberat 94.2lb di perairan Avon, North Carolina. Catatan ini dilakukan pada 7 November 1984.

Juga tanpa catatan waktu kejadian, George Hogan Jr berjaya menumbangkan seekor Atlantic snook gergasi seberat 41.8lb di perairan Jupiter, Florida. Beliau hanya mengambil masa selama 16 minit saja untuk menewaskannya.
Dengan menggunakan fly buatan sendiri dan bertarung selama 25 minit, Fouad Sahiaoui akhirnya berjaya menewaskan swordfish (ikan pedang) seberat 89 lb 15 oz di perairan Watamu, Kenya.
Pada 12 November 1989, James Orthwein berjaya mendaratkan seekor bonefish seberat 12 lb di perairan Bimini, Bahamas, AS.
Pada 4 Ogos 2011, Gregory Myerson berjaya menewaskan seekor striped bass seberat 81 lb 14 oz di Westbrook, Connecticut.
Pada 18 Ogos 1988, selepas bertarung selepas 65 minit, Genes Grimes berjaya menewaskan spesimen gergasi Pacific halibut seberat 244 lb.
Pada 4 January 2007, Gary Carter berjaya mengalahkan dolphin seberat 58 pound, 3 ounce di perairan Panama.
Pada 13 Mac 1986, selepas bertarung lebih dari satu jam Del Brown akhirnya berjaya mendaratkan permit (pompano atau bawal pinang) seberat 41.5 pound. Pertarungan mendebarkan itu berlangsung di perairan Key West, Florida.
Korang Tanya Umpan Jawab -S10S14- Jigging tak dapat ikan!@

SOALAN:
Saya mula berminat memancing dengan teknik jigging sejak melihat video di Youtube dan TV. Tapi tak pernah dapat ikan dengan teknik itu.
Banyak barang untuk jigging saya beli dan mempraktikkan di laut, tapi tiada hasil. Saya kerap turun memancing di tempat saya di Kuantan.
Sedangkan bila menggunakan teknik bottom banyak ikan yang saya perolehi. Boleh bagi sedikit tunjuk ajar bagaimana nak mendapatkan ikan dengan teknik jigging.
JAWAPAN:
Teknik jigging merupakan teknik memancing yang biasa dilakukan di kedalaman sekitar 20 – 150 meter (kini menerusi teknik jigging perlahan sudah menjangkau kedalaman sehingga 400 meter).
Teknik jigging merupakan teknik memancing yang menggunakan metal jig yang dihulurkan ke dalam air dan mengerakkan nya secara vertikal di mana jig tersebut menyerupai ikan
yang sakit atau umpan yang berenang untuk menarik perhatian ikan predator untuk memakan nya.
Pemilihan jenis jig serta pergerakan amatlah penting sekiranya kita nak ikan menyambar jig kita, saya syorkan saudara menggunakan jig seberat 30 hingga 80 gram sekiranya memancing di kawasan perairan Kuantan.
Cuba menggunakan jig berbentuk ikan atau sotong dan sekiranya memancing pada waktu malam cuba cari jig yang lut sinar (luminous).
Pergerakan anda memainkan peranan yang penting, jig dengan pantas atau perlahan akan terpulang pada keadaan. Cuba dua cara iaitu cara pantas dan perlahan.
Apa yang penting adalah ketepatan Tekong bot melabuhkan bot di atas gerombolan ikan. Jangan putus asa kerana bukan senang untuk menipu ikan untuk makan umpan besi.
Untuk tip jigging selanjutnya anda boleh layari portal memancing di www.umpan.com.my