
Soalan:
Saya baru berjinak-jinak dalam dunia pancingan ini dan ingin tahu apakah umpan terbaik untuk memancing ikan haruan selain katak?
Jawapan:
Tidak dinafikan katak adalah umpan paling sinonim untuk memancing haruan. Malah katak dikatakan umpan paling efektif untuk menjerat spesies snakehead ini.
Namun, selain katak, haruan juga boleh dipancing dengan menggunakan kaedah umpan hidup yang lain seperti cicak, belalang, anak ikan, udang dan cacing.
Bagi pemancing yang gemarkan kaedah casting, katak adalah umpan terbaik dan paling sesuai untuk kaedah baling tarik atau casting.
Bagi teknik yang sama, cicak boleh digunakan bagi menggantikan katak. Begitu juga dengan anak ikan hidup atau segar.
Tetapi haruan sebenarnya boleh juga ditipu dan dipancing dengan menggunakan umpan tiruan, sama ada gewang berbentuk ikan, katak plastik, soft plastic, spinner atau janggut.
Di pasaran ketika ini, alat ini boleh diperolehi dengan mudah. Cuma terdapat beberapa kekangan seperti gewang tidak boleh digunakan di kawasan berumput kerana mata kailnya akan tersangkut.
Begitu juga dengan janggut kerana kipas pemutarnya tidak boleh berpusing. Adalah terbaik jika anda gunakan katak plastik yang memiliki mata kail tersorok (kalis sangkut) di dalam badannya.
Selain ia berbentuk lebih mirip katak sebenar ia juga sesuai di baling di kawasan yang memiliki rumpai yang tebal.
Tetapi sebagai persediaan, anda boleh bolehlah memiliki semua jenis umpan tiruan seperti yang disebutkan tadi kerana lain tempat, berbeza umpan dan potensinya.
Trip Trobek – Komplot Semah & Sebarau Tasik Bakun!!

Kami memulakan perjalanan dari bandar Mukah setelah kesemua ahli komplot berkumpul. Setelah menikmati teh tarik di Open Air Mukah sekitar jam 10 malam, maka perjalanan ke Tasik Bakun sejauh lebih kurang 400 km bermula.
Saya bersama rakan-rakan yang memandu secara bergilir sepanjang 6 jam perjalanan. Kami berhenti di beberapa lokasi tempat rehat sepanjang perjalanan bagi meneguk secawan kopi pahit untuk menyegarkan mata.
Sekitar jam 4.20 pagi, kenderaan 4×4 kami sampai di Simpang Sungai Asap iaitu tempat pertemuan dengan guide, Richard Kiin yang juga rakan pancingan kami bertanggungjawab mengepalai sesi pancingan selama 2 hari 1 malam nanti.
Sebelum trip lagi saya telah dimaklumkan oleh Richard Kiin bahawa paras air di Tasik Bakun mengalami penurunan hampir 20 kaki dari paras normal. Cuaca panas dan kurangnya hujan menyumbang kepada penurunan paras air yang amat drastik.
Sesungguhnya keadaan ini amat tidak menyenangkan Richard Kiin. Ujarnya, kebanyakan spot pancingan terbaik banyak yang telah terjejas dek kerana paras air yang rendah. Namun atas minat serta keghairahan untuk menjerat penghuni tasik, semah (kelah/pelian/tengas) trip ini tetap kami teruskan juga.
Sesampai saja di pangkalan utama Tasik Bakun, barang-barang segera dimasukkan ke dalam bot sebelum kami menyambung semula perjalanan ke rumah tumpangan iaitu boathouse milik keluarga Richard Kiin.
Perjalanan memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit. Sampai saja di boathouse, Richard Kiin terus menyediakan sedikit sarapan sebelum kami memulakan sesi pancingan pada hari pertama tersebut.
Lubuk pertama
Perjalanan ke lubuk pertama yang merupakan aliran keluar air dari sebuah bukit cuma memakan masa sekitar 10 minit dari boathouse. Ternyata paras air yang rendah telah banyak menjejaskan spot-spot pancingan kerana kebanyakan reba yang berpotensi telah berada di luar kawasan air.
Percubaan kami spot pertama kurang memberangsangkan. Cuma beberapa kejadian miss call berlaku. Setelah mencuba dalam masa lebih kurang 20 minit, yang dicari tetap enggan memunculkan diri. Kami sepakat untuk mencuba lubuk yang seterusnya pula.
Kali ini spot yang dipilih betul-betul di sebuah kuala sungai dan dipagari kayu mati, kira-kira 20 minit perjalanan dari spot pertama. Richard Kiin sempat `menabur racun pekat’ kepada kami dengan mengatakan spot itu memang sukar dijangka. Pernah beberapa kali gewangnya dilesapkan oleh penghuni reba yang rata-rata bersaiz lingkungan 2kg dan ke atas.
Kata-katanya telah membuatkan kami ghairah untuk menjerat penghuni lubuk tersebut. Setelah beberapa balingan dibuat, namun penghuni reba serta lubuk belum memberikan respon. Disebabkan lubuk di situ agak dalam, kami menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala TDD 9cm, Max Rap Fat Minnow 9cm serta Shad Rap yang mampu menyelam ke kedalaman 3-6 meter.
Saya yang menggunakan Rapala Max Rap Minnow 9cm warna Flake Ayu telah memecah kesunyian apabila seekor sebarau satu belang melarikan gewang dengan rakus. Semua tumpuan terarah ke arah saya seketika kerana tangkapan itu adalah yang pertama untuk pagi tersebut.
Setelah melayan seketika dengan setup yang disasarkan untuk bertempur dengan sang monster Tasik Bakun, Rapala Shadow 10-20lb yang bergandingan dengan kekili Daiwa Ryoga 1016HL, bertali utama Sufix 832 20lb serta perambut fluorocarbon Hi Seas 30lb, sang sebarau 1 belang rempit tersebut dengan mudah didaratkan.
Rupa-rupanya tangkapan tersebut adalah petanda yang kami akan berpesta sebarau dan diselang-selikan dengan semah ataupun kelah untuk sesi pagi tersebut. Belum pun sampai seminit selepas tangkapan pertama saya, Cikgu Iqbal juga berjaya mendaratkan seekor sebarau rempit tidak jauh dari spot yang pertama tadi.
Kemudian giliran Richard Kiin pula menerima sambaran padu. Melihat pecutan dan larian yang dipamerkan, kami menjangka ia adalah angkara seekor sebarau. Kami bersorak gembira seekor sebarau bersaiz kasar berjaya didaratkan. Sebarau satu belang itu dalam anggaran lebih kurang 1.2kg. Setelah mengambil gambar, sebarau tersebut juga dilepaskan kembali ke habitat asalnya dengan segera.
Seorang lagi rakan iaitu Felix turut mendapat tangkapan sebarau satu belang juvenil tidak lama kemudian. Disebabkan ia lesen sebarau pertamanya, Felix amat gembira sehingga beberapa kali dia mengambil gambar pose istimewanya.
Keadaan dalam bot bagaikan tak keruan apabila selepas itu kami terus menerus mendaratkan pelbagai saiz sang sebarau. Double hooked up sering kali terjadi tatkala matahari semakin meninggi. Tuan Majid yang pertama kali menyertai trip 100% casting air tawar turut tidak terkecuali mendapat trofi sebarau pertama pada pagi tersebut.
Pesta tengah hari
Untuk trip mengilat pada hari pertama saja, kami betul-betul lost count angkara amukan sang sebarau dan semah yang pelbagai saiz. Namun kesemua tangkapan tidak mengira saiz kami lepaskan semula ke habitat asalnya dengan harapan supaya stok ikan di tasik ini akan terus terjaga dan mapan.
Pada hari kedua, kami menyasarkan spesimen yang lebih besar, namun badong yang kami cari tidak juga memunculkan diri. Yang ada saiznya lebih kurang sama seperti hari pertama. Kadangkala ada juga haruan yang menyambar rakus gewang. Kelibat kaloi besar berlegar-legar di bawah bot, siap berpasangan lagi. Namun ikan berkenaan langsung tidak bernafsu dengan gewang yang kami lontarkan. Cuma ikut saja!
Selama 2H1M kunjungan saya ke Tasik Bakun ini, boleh dianggap berjaya walaupun casting pada paras air tidak berapa cun. Namun kerana keramahan penghuninya menghentam gewang membuatkan saya jatuh cinta. Saya tidak dapat bayangkan jika saya bertandang ke tasik ini lagi sewaktu musim monsun sebagaimana syoknya rakan di semenanjung memancing sebarau pada musim monsun di Tasik Kenyir.
Korang Tanya Umpan Jawab -S9S5- Umpan terbaik untuk siakap merah?

SOALAN:
Umpan apa yang sesuai untuk memikat MJ (siakap merah), adakah umpan hidup atau pun gewang? Mohon pencerahan ya sipoo.
JAWAPAN:
Jika kesesuaian umpan yang menjadi indikator bagi memikat MJ, maka sudah tentulah apa sahaja yang menjadi makanan atau menyerupai makanan MJ adalah sesuai.
Tetapi jika persoalannya umpan apakah yang paling berkesan untuk memikat MJ, sama ada umpan hidup atau gewang, sudah tentulah umpan hidup yang lebih berkesan.
Seperkara pemancing yang perlu ingat tentang gewang ini ialah ia direkacipta dengan meniru hampir seratus peratus bentuk rupa dan aksi renangan ikan yang menjadi mangsa kepada ikan pemangsa.
Ia direkacipta bagi menggantikan umpan sebenar tetapi tidak berfungsi dengan sendirinya sebagaimana umpan sebenar.
Atau dalam erti kata lain, gewang tidak boleh sekadar dicampak ke lubuk sebagaimana merendam umpan hidup.
Jika ditanya yang manakah lebih seronok sama ada menggunakan umpan hidup atau gewang maka tentu sajalah penggunaan gewang lebih menyeronokkan.
Penggunaan gewang juga dianggap lebih sportfishing. Cuma, jika anda memancing MJ untuk dijadikan sumber pendapatan atau sebagai keperluan makanan, maka disarankan gunalah umpan hidup.
Trip Retro: Eging mengabang lepas berbuka

Semuanya bermula bulan pada bulan Ramadan yang lalu. Bagi mengisi waktu luang selepas bekerja sementara menanti waktu berbuka dan selepas terawih, Shahrul Amri yang
sudah lebih dua tahun berhijrah ke Kota Kinabalu, Sabah atas urusan kerja mengisi waktu tersebut dengan aktiviti memancing yang lebih ringan dan santai.
Hanya dengan melihat sekali sahaja rakan-rakan memancing sotong mengabang melalui teknik mengilat (casting) atau eging, Shahrul Amri tidak bertangguh lagi untuk turut serta.
Apatah lagi bila melihat saiz sotong mengabang yang didaratkan oleh rakan besar-besar belaka.
Walaupun mengilat sotong mengabang eging merupakan aktiviti memancing yang agak baharu bagi Shahrul Amri, namun ia bukanlah satu cabang teknik memancing yang sukar untuk digayakan.
Begitu juga dengan peralatan memancing. Biar pun ada peralatan khusus untuk aktiviti eging ini namun sekiranya sudah memiliki spek peralatan ultra light casting, ia sudah memadai untuk digunakan.
Boleh dikatakan spek pancingan ultra ringan tidak jauh beza dengan spek peralatan mengilat sotong atau eging.
Cukup sekadar memiliki kekili 1000 siri, joran kekuatan2-6 lb atau 4-10 lb, 6.5 kaki atau 7 kaki panjang, tali sulam berdiameter kecil 8-15 lb dan perambut fluorocarbon 10-15lb.
Dengan spek peralatan tersebut ia berupaya untuk melontar candat udang (squid jig atau egi) ukuran berat 1.8 gm hingga 2.5 gm dengan sempurna.
Manakala teknik untuk menggayakan candat udang juga agak bebas dan santai berikutan kebanyakan candat udang ini diambil oleh sotong mengabang ketika ia sedang jatuh.
Namun lazimnya ia digayakan dengan cara karauan perlahan diselang-seli dengan henjutan joran (jerk).
Menurut Shahrul Amri lagi, setelah terjebak dengan aktiviti eging ini beliau seperti disuntik dengan dadah yang menyebabkan timbul rasa ketagih.
Dan beliau agak bernasib baik kerana premis dan kediamannya tidak jauh dengan lokasi berpotensi tinggi untuk aktiviti eging iaitu di Sutera Harbour dan Jeti UMS.
Lazimnya pada waktu siang Shahrul Amri akan mencuba nasib bersama rakan-rakan di kawasan Sutera Harbour manakala pada malam harinya pula di Jeti UMS.
Berikutan candat udang atau squid jig yang bagus dari jenama tersohor agak tinggi harganya di Kota Kinabalu, justeru apabila pulang ke semenanjung sempena cuti hari raya
yang lalu beliau memanfaatkannya dengan memborong candat-candat udang berjenama ini hingga mencecah seribu ringgit.
Dan apabila kembali ke Kota Kinabalu, acara mengilat sotong mengabang atau eging ini menjadi rutin harian sejurus tamat waktu bekerja.