SOALAN:

Saya mula berminat memancing udang galah sejak beberapa bulan lepas. Namun, kerap kali gagal membawa pulang hasil, kalau ada pun seekor dua sahaja.

Set pancing sama dengan orang lain, umpan pun sama tapi hasilnya tak sama. Apa lagi yang perlu saya buat untuk dapatkan udang galah terutamanya yang bersaiz jenggo (besar)?

 

JAWAPAN:

Memancing udang galah memang sedikit berbeza dengan pancingan ikan. Apa pun, thrill atau karen jenggo memang mencakup.

Selain set pancing dan umpan yang sesuai, amat penting untuk kita tahu perlakuan udang itu sendiri, yang pastinya berbeza dengan ikan, selebihnya itu dinamakan rezeki.

 

Dalam pancingan udang galah, tiada musim tertentu, bahkan sesetengah tempat boleh dikatakan sepanjang tahun ada udang.

Begitu pun, waktu terbaik ialah musim kering dan bagi kawasan sungai berhampiran muara pula sebaiknya selepas hujan di kawasan hulu kerana air akan menjadi lebih payau, yang merupakan habitat udang.

 

Dalam memilih lubuk pula, cari spot yang sedikit berarus yang mempunyai struktur seperti kayu besar, batang pokok atau akar.

Ini kerana udang galah merupakan krustasia yang merayap mengikut arus. Itu antara perkara yang mungkin anda perlu titik beratkan untuk mencari spot yang sesuai.

Untuk lebih mudah, ringankan mulut untuk bertanya kepada rakan-rakan yang telah biasa turun di lubuk tertentu.

 

Seperkara yang penting lagi adalah, kena selalu pindah tempat sekiranya di satu-satu tempat tidak ada getuan.

Umpan juga perlu sentiasa periksa paling tidak setiap 5 minit sekali. Ingat tiada udang yang nak makan besi.

 

Untuk memperoleh udang galah bersaiz jenggo sebenarnya lebih kepada nasib. Walaupun ada pendapat mengatakan jenggo berada di kawasan yang lebih dalam, namun kerapkali juga saiz-saiz jenggo ini diperoleh di kawasan tebing sungai.

Apa yang lebih penting sebenarnya adalah berusaha untuk memperoleh strike… saiz jenggo itu bonus!

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI