
SOALAN:
Salam admin, ada dua solan nak tanya. Satu, selain ikan sembilang, duri, belukang dan ketuka apakah spesies lain mempunyai sengat di kawasan muara?
Kedua, betul ke air pasang besar dan arus laju ikan tidak makan umpan?
JAWAPAN:
Banyak lagi spesies muara yang bersengat ikan depu, baji, dengkis, kitang, dengkis dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan semilang, duri, belukang atau jahan memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan.
Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada juga spesies pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya.
Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor.
Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik.
Sengat yang berbisa ini tersembunyi merbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul.
Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Bagi soalan kedua pula, kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus.
Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan.
Di kawasan terdapat alun atau ombak (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.
Komplot Santai Pembuka Tirai 2018

Acara memancing secara berkumpulan atau lebih popular sebagai `komplot’ di kalangan kaki pancing merupakan aktiviti dalam sukan memancing yang kian mendapat tempat masa kini.
Sedikit berbeza dengan pertandingan memancing yang menawarkan ganjaran wang tunai, kelab atau pihak yang menganjurkan komplot memancing lazimnya turut menyediakan hadiah dan kebiasaannya hadiah yang disediakan berupa barangan peralatan memancing.
Walau bagaimana pun hadiah yang ditawarkan hanyalah sekadar untuk memeriahkan sesuatu komplot memancing yang dilangsungkan dan bukannya objektif utama para pemancing yang menyertai komplot.
Pada kebiasaannya juga komplot memancing ini dianjurkan oleh sesebuah kelab atau grup pemancing. Amat jarang dilangsungkan oleh seseorang secara individu. Apatah lagi jika individu tersebut hanyalah seorang pemancing biasa, bukannya pengusaha umpan atau peniaga peralatan memancing.
Namun, demi mengerat tali persahabatan yang berkongsi minat yang sama, Nezeri Mat atau lebih dikenali dengan nama Naz Damaidsft di laman sosial Facebook, sanggup bersusah payah berusaha untuk menjayakan komplot pemancing kolam air tawar, Komplot Santai Pembuka Tirai 2018.
Menurut Naz Damaidsft yang ditemui di lokasi komplot memancing, Kolam Pancing D’Kali, beliau sama sekali tidak menjangka komplot yang beliau anjurkan tersebut menerima sambutan luar biasa daripada rakan-rakan. Terutamanya kehadiran pemancing dari Negeri Sembilan seramai enam orang dan tujuh orang daripada Kedah.
Walaupun tidak menawarkan sebarang ganjaran wang tunai, seramai 86 orang pemancing seluruh pelosok tanah air sanggup turun ke lokasi komplot di Batang Kali, Selangor.
“Tanpa sokongan dan kerjasama dari rakan-rakan lain mustahil komplot ini akan berlangsung dengan meriah. Justeru saya amat berterima kasih terutamanya kepada para sahabat yang turut bertungkus lumut, pengusaha-pengusaha umpan yang menaja hadiah seperti Umpan Cedok, Umpan Terbang, Umpan Lentik, Umpan Segamat, Ikan Darat dari Rod Custom Studio serta kerjasama yang luar biasa dari pengurusan Kolam Pancing D’Kali.” Ujar Naz Damaidsft lagi.
GALERI
Korang Tanya Umpan Jawab – Warna Jig Yang Sepadan Dengan Kedalaman Lubuk??

SOALAN: Boleh tak admin buat huraian sedikit tentang warna-warna jig dengan kedalaman yang sepadan dengan warna jig tersebut. Terima kasih admin!
JAWAPAN:
Jigging merupakan salah satu teknik yang cukup digemari oleh kaki pancing masa kini. Antara sebabnya ialah besi jig mudah untuk dibawa dan penggunaannya terbukti berkesan.
Jig direka dengan kepelbagaian bentuk, aksi dan mempunyai tarikan warna yang memukau. Jig tidak diberikan sentuhan warna hanya untuk merambang mata pemancing untuk memilihnya.
Dewasa ini, pemancing gemar menggunakan teknik jigging kerana besi jig mempunyai daya ketahanan yang unggul selagi tidak lebur disebabkan perambut dipotong atau tersangkut.
Tetapi, jika anda menggunakan besi jig, salah satu faktor kejayaan anda mungkin terletak pada pemilihan warna.
Perlu diingat warna pada badan jig berbeza di dalam air berdasarkan bagaimana penetrasi cahaya ke dalam air pada masa itu.
Faktor warna jig memainkan peranan penting ketika unjunan untuk menarik perhatian ikan.
Pemilihan warna jig sangat kritikal bergantung kepada kedalaman air.
Jadual ini mungkin membantu anda dan memberikan alternatif pilihan untuk memilih warna jig yang sesuai mengikut kedalaman kawasan pancingan anda.
Warna Kesan Optimum Untuk Kedalaman
MERAH (Red) – 0 – 30 kaki
JINGGA (Orange) – 0 – 45 kaki
KUNING (Yellow) – 0 – 60 kaki
HIJAU (Green) – 0 – 80 kaki
BIRU (Blue) – 0 – 100 kaki
UNGU (Purple) – 0 – 120 kaki
Perak (Silver) – 0 – 120 kaki dan ke atas
Bercahaya (Luminous) – Waktu Malam Atau Lebih 120 kaki
Warna jig di atas berdasarkan penetrasi cahaya pada kedalaman tertentu. Namun tidak salah untuk kaki pancing memilih warna-warna berbeza dari warna berkenaan.
Selalulah bertanyakan kepada yang arif dan juga tekong sebelum anda turun jigging.
baca juga tip jigging pulau jarak
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Mencari Giri Kemaman

(Oleh: Azrin Aliman)
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.