
SOALAN:
Apakah cara terbaik untuk menggunakan gewang jenis permukaan seperti popper atau pencil?
JAWAPAN:
Gewang permukaan seperti popper, pencil atau buzzbait merupakan salah satu jenis gewang permukaan yang cukup saya gemar kerana lebih memberikan kepuasan jika dapat mendaratkan ikan.
Selalunya penggunaan gewang jenis ini bergantung kepada spesies dan situasi pancingan. Sudah pasti spesies pemangsa menjadi spesies sasaran.
Gewang permukaan seperti popper dan propeller menjadikan bunyi dan riak air sebagai penarik kepada perhatian ikan manakala pencil pula menarik perhatian ikan dari segi pergerakannya di permukaan seolah-olah mangsa yang sedang berenang.
Waktu yang sesuai menggunakan gewang jenis permukaan sebaiknya pada waktu awal pagi dan lewat petang di mana keadaan permukaan air tidak berolak kuat atau dalam keadaan tenang.
Pada awal pagi dan lewat petang lazimnya permukaan air menjadi tenang tanpa olak kerana tiada tiupan angin.
Angin sebenarnya adalah musuh kepada pemainan top water ini. Dalam keadaan cuaca berangin maka elakkan dari menggunakan gewang permukaan.
Begitu juga ketika waktu tengah hari atau cuaca terlalu panas. Lazimnya pada waktu begini ikan berehat atau berlegar di kawasan hampir dengan permukaan dasar dan di kawasan yang lebih dalam.
Penggunaan gewang permukaan pada waktu ini lebih bergantung kepada nasib. Jika bernasib baik adalah hasil namun peratusan untuk merentung adalah lebih tinggi.
Kapten Laut Tegar @copy

Walaupun dari pangkalan yang berlainan, namun kami terus berhubung dan bertukar maklumat mengenai koordinat memancing antara satu sama lain. Sehinggalah pada suatu ketika, kami mula merancang untuk memancing bersama dalam satu sampan.
Pertemuan pertama di atas bot milik beliau pada hari yang dijanjikan. Ketika saya bersama rakan pancing lain tiba di pangkalannya, beliau sedang menyiapkan peralatan di sampan. Tanpa berbicara panjang bot yang siap terus dikemudikan menuju ke lokasi memancing setelah semua perkakas pancing dan umpan siap diuruskan.
Sampan beliau mudah dikenali kerana ia paling panjang yang berada di pangkalan, dipacu oleh enjin kembar 150 kuasa kuda jenis Big foot. Sampan 33 kaki ini dilengkapi dengan tandas tertutup ditempah dari Ibrahim Fibre yang beroperasi berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Sementa, Klang.
Sesuai dengan muatan 6 orang pemancing tapi kalau berempat lebih selesa. Sampan ini turut dilengkapi dengan tangki bekalan air tawar 200 liter untuk wuduk dan kegunaan perkumuhan. Kapten Hj Khairi Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten sahaja cukup peramah.
Beliau adalah kaki pancing hardcore, pernah beberapa kali mengemudi sampan fiber miliknya dari jeti Sementa ke Pulau Jarak. Perkara yang jarang-jarang dibuat oleh kaki pancing sekiranya mengemudikan sampan. Kalau bot kayu lain cerita.
Antara destinasi popular beliau ialah Rumah Api Permatang Sedepa dan lokasi yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sebelum ini beliau banyak kali menyertai Labuan IGFA Game Fish di bawah label Team BUDU.
JUMPA KAWAH
Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.
Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.
Yang diperolehi cuma ikan-ikan plata, umpan yang paling tidak digemari pemancing tetapi tidak buat kapten. Kemudian kami beralih arah ke tali sauh kapal dagang yang berlabuh sementara di sepanjang Pantai Kelanang.
Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.
Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.
GPS SATU KEPERLUAN
Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.
Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.
Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.
Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.
Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas. Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.
AWAS MASUK LUBANG
Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.
Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.
5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.
Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri.. Kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.
Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi. Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.
Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.
PETANG MERUDUM
Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.
Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.
Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.
Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.
Semasa karau umpan ke atas, tidak semena-mena satu lagi sambaran diterima. Talang penutup tirai memberi sedikit kelegaan sebelum kipas enjin sampan berputar ligat memacu sampan pulang ke tempat ia di parkir.
Korang Tanya Umpan Jawab – Toman Tak Makan Umpan!!

SOALAN:
Baru-baru ini saya memancing toman di Tasik Temenggor. Orang kata kalau jumpa mama toman bawa anak, gerenti dapat strike. Tapi mengapa toman yang saya jumpa ini langsung tak peduli pada gewang yang saya baling?
JAWAPAN:
Teori kalau jumpa toman bawa anak akan dapat strike bergantung kepada beberapa faktor. Salah satu ialah lokasi padang pancing.
Jika kejadian itu berlaku di lokasi liar yang belum terusik, saya sendiri akan beri jaminan toman tersebut menyambar apa saja gewang dilontar ke arah kumpulan anak atau ke arahnya.
Namun, lokasi padang pancing di mana anda memancing ialah lokasi popular. Apatah lagi jika konsep tangkap dan lepas diamalkan secara praktikal di padang pancing tersebut.
Dalam erti kata lain, toman-toman di padang pancing tersebut sudah memiliki sedikit `pengetahuan’ dalam survival hidup.
Seperkara yang perlu kita tahu ialah ikan juga memiliki sedikit memori jangka pendek tentang sesuatu. Khususnya ikan yang pernah dipancing dengan menggunakan gewang.
Jadi, ada kemungkinan toman bawa anak yang anda cuba pancing tersebut sudah dipancing dalam tempoh terdekat dan dilepaskan kembali. Atas sebab itulah toman tersebut tidak mempedulikan gewang yang anda lontarkan.
Pernah tak anda berhadapan dengan situasi toman yang berjaya strike tetapi lucut sebelum sempat didaratkan, adakah toman tersebut akan menyambar lagi gewang yang anda lontarkan ke arahnya?
Situasi begini sebenarnya adalah asam garam dalam pancingan toman, jadi anda tidak perlu terlalu kecewa atau bengang apabila berhadapan dengannya.
Cara terbaik, lupakan saja perkara itu dan cubalah pujuk toman yang lain pula.
Jelajah Pancing 2 Taman Negara

Walaupun sudah banyak tahun saya meninggalkan sahabat-sahabat di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), namun ikatan persahabatan kami masih kuat di atas nama satu minat dan hobi iaitu ‘berkemping’.
Saban tahun saya mengikuti trip Geng Bregol kerana kumpulan ini lebih gemar bersantai dan hanya menjadikan aktiviti memancing hanya perkara sampingan.
Saudara Bregol yang cukup aktif di usia muda meneroka seluruh pelosok gunung-ganang di Malaysia dan kini masih aktif berbasikal dan menjadikan trip ‘berkemping’ sebagai percutian untuk grup ini dua kali setahun menyasarkan Taman-Taman Negara yang ada di Malaysia seperti Royal Belum, Tasik Kenyir, Kuala Tahan dan Taman Negara Endau Rompin.
Taman Negara Endau Rompin
Setelah sekian lama berehat, Bregol menghubungi saya untuk mengatur trip ke Endau Rompin tatkala cuti panjang yang berturut pada hari pekerja. Urusan permit masuk ke Taman negeri telah diuruskan saya sendiri 2 minggu sebelum trip berlangsung.
Cuaca yang sering hujan pada sebelah petang seminggu sebelum trip menggusarkan perasaan saya, namun itulah cabaran yang sering kami hadapi apabila kita bermain dengan alam semula jadi. Dalam hati berkata juga kalau air keruh maka baung lah sasaran utama dan spesies kelah serta sebarau ditolak ke tepi.
Sesi mencari sawit ranum 3 hari sebelum trip dan membiarkan ia lebih ‘masak’ di dalam plastik sebagai persediaan sesi memburu kelah, tengas atau spesies yang memakan umpan ini. Saya yang lebih gemar memburu spesies sebarau hanya membawa set casting dengan peluru-peluru sesudu dan gewang yang sesuai dengan lokasi sungai yang berjeram.
Apabila hari yang ditunggu telah tiba Geng Bregol memulakan perjalanan dari Ampang terus ke Kuala Pilah dan terus ke Kuala Rompin yang mengambil masa 6 jam perjalanan. Disebabkan ini kali pertama kunjungan ke Taman Negeri Endau Rompin, maka perjalanan agak perlahan kerana perjalanan waktu malam memendekkan jarak penglihatan apatah lagi melalui banyak laluan berliku.
Usai menunaikan kewajipan di Pekan Rompin, kami singgah ke pasar membeli sedikit lagi bahan makanan basah. Tema kumpulan ini adalah ‘ makan biar lebih, cakap biar kurang’ membuatkan tukang masak telah tahu tugasannya. Abang Kamis memang tukang masak yang setia dan sentiasa memberikan yang terbaik. Jadual makan tepat pada masanya dan disediakan 5 kali sehari.
Sebenarnya bila difikirkan, jika terlalu banyak membawa makanan boleh menyebabkan pertambahan beban semasa trekking. Tapi dek kerana memikirkan perut dan tekak yang perlu merasai nikmatnya berada di hutan kami gagahkan jua. Sampaikan lesung batu pun tukang masak bawa!. Senang nak buat sambal belacan katanya.
Tiba di pondok kawalan Pejabat Hutan kami mendaftar nama pesertamanakala permit bagi memasuki Taman Negara telah diselesaikan awal-awal lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.30 pagi menandakan kami sebenarnya tersasar daripada jadual perjalanan asal untuk masuk jam 7 pagi.
Mengikut maklumat daripada renjer hutan, campsite di sebelah bawah masih kosong manakala bahagian ke hulu terdapat 3 kumpulan yang telah memulakan perjalanan seawal pagi. Setengah jam pertama memasuki hutan berpuluh ekor pacat hinggap di kaki sehinggakan darah tidak berhenti mengalir.
Ada di kalangan rakan trekking yang menggunakan selipar jenis terbuka sekali gus menyebabkan pacat dengan mudah menghidu darah manusia. Sampaikan bila terlalu banyak yang melekat pada kaki langsung tidak kami endahkan.
Setelah menyusuri denai hutan dan melalui 13 batang anak sungai yang penuh mencabar dan mengusung beg yang rata-rata seberat 30 kg, akhirnya kami tiba juga di tapak perkhemahan. Sesi gotong-royong memasang khemah dan menyediakan dapur untuk keselesaan tukang masak memang menjadi perkara yang diutamakan.
Apa yang menyebabkan saya seronok mengikuti kumpulan ini adalah, ada sahaja idea-idea baru yang kreatif membuat sesuatu untuk kemudahan di hutan. Para dapur yang selesa, tempat meletak pinggan mangkuk yang sesuai dan semua alat-alat yang dibuat daripada bahan hutan.
Acara memancing hanya sekitar kawasan jeram di tapak perkhemahan kerana cuaca kelihatan suram dan kebiasaannya hujan pada sebelah petang. Pada hari pertama hujan seketika namun warna air sungai berubah menjadi agak keruh. Dalam hati berkata alamatnya baung sajelah lauk kita.
Pada sebelah malam sesi pancingan dasar di tapak perkhemahan, rakan saya Jemer banyak mendaratkan spesies baung seperti yang dijangka. Walaunya saiz tidaklah sekasar mana namun kuantiti yang diperoleh cukup dijadikan untuk esok tengah hari.
Hanya 3 ekor sebarau yang berjaya didaratkan pada awal pagi hari kedua ketika warna air beransur pulih. Percubaan demi percubaan dilakukan tetapi misi untuk mencari spesies kelah dan sebarau bersaiz kasar gagal sehinggalah hari ketiga hujan lebat melanda dan air keruh sehingga membawa ke masa untuk pulang. Walaupun spesies sasaran ikan kelah tidak berjaya dijadikan santapan namun kami masih mempunyai impian untuk hadir ke sini lagi.
Galeri:
Taman Negara Royal Belum
Telah menjadi kebisaan Royal Belum menjadi salah satu lokasi perkhemahan sahabat MPAJ. Kali ini perjalanan menggunakan bot sehingga ke tapak perkhemahan memudahkan kami membawa kelengkapan lebih dari kebiasaan. Dengan tema yang sama ‘makan biar lebih’ bahan basah dibeli di pekan Grik pada awal pagi.
Dengan 2 buah bot kami terus memasuki Taman Neara selepas membuat pendaftaran di pondok kawalan Jabatan Perhutanan. Sesi pemasangan khemah dan juga penyediaan meja dapur dari bahan-bahan hutan disediakan secara rapi untuk keselesaan tukang masak kami. Sesi memancing dipecahkan kepada dua buah bot pemburu spesies toman dan manakala saya menyertai bot memburu spesies sebarau.
Suak demi suak kami masuki, namun pada hari pertama hanya 2 ekor sebarau yang sudi meligan gewang Rapala Shad Rap Goldfish manakala bot pemburu toman gagal mendaratkan spesies itu kerana semuanya berakhir dengan putus semasa bertarung.
Pada hari kedua sebelah pagi juga tiada hasil yang berjaya ditawan dan tiada spesies yang sudi bergambar dengan kami. Pada sebelah petang kami keluar dengan menggunakan speedboat pada pukul 4 petang dan tekong menemui satu suak di mana terdapat air dari anak sungai mengalir ke tasik.
Di sini kami berpesta apabila seekor demi seekor berjaya didaratkan dengan gewang yang berwarna terang. Hanya yang bersaiz dewasa dibawa pulang ke khemah untuk dijadikan santapan manakala yang bersaiz kecil dilepaskan semula.
Skill bagi penggunaan gewang di tasik agak berbeza dengan penggunaan gewang atau sesudu di kawasan sungai yang berjeram. Di sini kami lebih banyak menggunakan sesudu yang dilontar jauh hingga mencecah dasar dan di karau secara laju ataupun menggunakan gewang ‘sinking’.
Trip tahunan ini akan sentiasa berubah mengikut giliran bagi merasai kenikmatan berada di hutan belantara. Ahli tetap seramai 15 orang sudah cukup untuk memenuhkan kuota bagi sesuatu trip dan perancangan rapi daripada ketua misi, Lan Bregol adalah trip yang sentiasa saya nantikan.
Galeri:
(Oleh: Mohd Fadzil Adenan)