
SOALAN:
Setahu saya ikan adalah haiwan akuatik yang boleh bernafas dalam air. Jadi, bila saya dengar ada orang kata ikan mati dalam air sebab lemas, macam kelakar la pulak. Apa pendapat admin?
JAWAPAN:
Kelakar? Jangan nak gelak sangat okey. Hehehe… bunyi macam pelik tapi itulah kebenarannya. Ya, sama seperti manusia, ikan juga memerlukan oksigen untuk hidup. Ikan tanpa air boleh menyebabkan ia kehilangan elemen utama untuk hidup.
Seekor ikan biasanya datang lengkap bersama sepasang insang yang digunakan untuk bernafas di dalam air. Insang ini digunakan untuk mengekstrak oksigen daripada hidrogen dalam molekul air yang bertujuan untuk mengawal jumlah pengambilan oksigen.
Proses ini dapat mengekalkan keseimbangan yang diperlukan oleh kedua-dua komponen air bagi membolehkan ikan bertahan hidup.
Namun, apabila ikan dikeluarkan dari air, ia akan terdedah hanya kepada udara dan tidak kepada oksigen dan hidrogen yang terkandung di dalam air. Ini akan menyebabkan insang tidak dapat mengawal pengambilan oksigen seperti biasa.
Disebabkan itu, proses keseimbangan tidak dapat dikekalkan kerana insang telah menyedut oksigen secara berlebihan di udara. Jadi, pada dasarnya, inilah yang dimaksudkan dengan ikan boleh lemas!
Soal Jawab Mancing – Apa Fungsi Tali Pancing Berwarna-Warni?

SOALAN:
Sudah sekian lama memancing saya guna tali tangsi (mono) warna clear. Saya jarang guna warna lain tapi tetapi adakah warna tali mempunyai fungsi berbeza? Dan apakah warna sesuai untuk memancing di muara?
JAWAPAN:
Menurut pengamatan saya, ramai pemancing inginkan warna tali pancing yang terang dan mudah dilihat lebih-lebih lagi di malam hari. Sesetengah pemancing suka warna yang cantik dipadankan dengan kekili dan joran. Ada juga yang suka warna gelap atau jenis halimunan kerana dikatakan tidak mudah dilihat ikan.
Bagi saya warna tali utama tidak begitu mendatangkan kesan pada tangkapan. Apa yang lebih penting untuk ikan adalah persembahan umpan (umpan biasa atau tiruan) yang boleh menarik minatnya untuk diterkam.
Namun yang perlu dititik beratkan ialah warna perambut biarlah sesuai dengan warna air atau persekitaran dan mudah memperdayakan ikan. Jangan terlalu terang atau jelas di dalam air kerana sesetengah ikan begitu peka pada persekitaran dan ada juga yang fobia dengan tangsi (mungkin profilnya seperti tangsi pukat).
Memancing di muara yang airnya tidak dalam saya syorkan menggunakan tangsi berbanding tali sulam. Ini akan menambah keseronokan dan kepuasan ketika membalas sentapan. Tangsi akan menghasilkan sedikit anjakan dan suntikan balas yang menyeronokkan.
Jika air keruh lebih elok guna tali warna gelap kerana tali warna cerah akan pudar disebabkan pengaruh air. Tali sulam jika kehabisan salutan lilin akan menyebabkan air dapat meresap dan air yang keruh boleh menukar warna tali menjadi kotor.
Untuk tali utama apa-apa warna tidak begitu mendatangkan masalah asalkan sesuai dengan warna persekitaran. Jika masih berminat menggunakan tali sulam untuk memancing muara, gunakan perambut tangsi yang panjang.
Soal Jawab Mancing – Apa Risiko Jika Enjin Bot Mudah Cepat Panas… Boleh Terbakar ke?

SOALAN
Saya menggunakan enjin Mariner 15hp. Enjinnya sudah lama tidak digunakan, namun ia telah pun diservis dan telah digunakan. Sebelum ini air penyejuk enjin keluar tidak lancar dan saya telah menukar propeller penyedut air kepada yang baru kerana yang lama telah keras.
Tetapi masalahnya apabila bot dibawa laju enjin akan menjadi panas dan mati walaupun air penyejuk enjin keluar. Cuma saya perasan yang air penyejuk enjin itu keluar macam ada bubble dah tersekat.
Boleh terangkan apakah punca biasa yang menyebabkan keadaan sedemikian? Mungkinkan ada laluan air dalam blok enjin yang tersumbat?
JAWAPAN:
Dunia enjin bot memang satu perkara yang jarang diambil kisah oleh kaki pancing, kecuali kaki pancing itu sendiri memiliki sebuah enjin dan boat fiber. Selebihnya hanya bergantung pada tekong bot untuk membawa bot apabila keluar memancing.
Apa kata mulai sekarang silalah berjinak-jinak dengan dunia enjin bot terutamanya enjin bersaiz kecil. Saya percaya jika anda sudah tahu membawa dan mengendalikan bot dan kenal dengan enjin berkenaan, hobi memancing anda pasti akan lebih meriah.
Berikut beberapa soalan yang diutarakan kepada saya berkaitan dunia enjin dan bot.
Enjin sangkut yang telah lama tidak digunakan akan menyebabkan terjadinya masalah kepada peralatan pada semua sistem penggerak enjin.
Apatah lagi cara penyimpanan yang tidak betul boleh menyebabkan piston menjadi jammed dan bahagian-bahagian tertentu berkarat.
Enjin yang tersimpan sekian lama dan tidak digunakan akan menyebabkan implikasi kepada beberapa bahagian.
Pertama, sekiranya enjin sangkut 2 lejang lama tersimpan bahagian karburetor perlu diservis dan ‘repairkit’ perlu diganti agar karburetor dapat menyedut minyak dari tangki.
Ini kerana enjin sangkut menggunakan tangki luar dan kebiasaannya kedudukan tangki lebih rendah daripada enjin. Karburetor enjin sangkut mempunyai pump untuk sentiasa menyalurkan minyak kepada bahagian yang diperlukan.
Kedua, pastikan salur sistem penyejuk enjin ditutup dengan kain atau apa jua yang boleh menghalang binatang kecil seperti semut, angkut-angkut dan serangga lain membuat sarang di laluan keluar dan masuk salur tersebut.
Bagi enjin yang telah lama disimpan, rubber impeller perlu ditukar dan salur ini perlu dibersihkan agas bebas daripada halangan kerana walau hanya sekecil pasir sekalipun ia mampu mengganggu keseluruhan sistem enjin.
Ketiga, bahagian elektronik yang lama tidak digunakan boleh menjadi punca pada pergerakan enjin dan ia tidak mampu menyalurkan kuasa kepada plug untuk terus berfungsi. Sebaiknya periksa bahagian ini sebelum turun memancing.
Korang Tanya Umpan Jawab -S9S19- Serba serbi pasal pari??

SOALAN:
Adakah ikan pari hanya boleh dipancing di kawasan pesisiran pantai atau menebing? Apakah umpan dan waktu terbaik untuk menjerat ikan pari?
JAWAPAN:
Ikan pari boleh dijumpai di laut, muara sungai ataupun di sesetengah kawasan sungai air tawar.
Ia biasanya ditemui di kawasan berpasir, kawasan berlumpur atau kawasan campuran lumpur dan pasir, dan ia amat suka mencari makanan di dasar.
Dalam erti kata lain, pari boleh dipancing di sepanjang perairan.
Jenis Ikan pari yang biasa makan umpan ialah pari karang, pari beting, pari harimau, pari minyak, pari lalat, pari pasir, pari nyonya, pari daun, pari kulim, pari tanjung, pari lang dan ketuka.
Pada pengalaman saya waktu sesuai untuk memancing ikan pari adalah ketika arus tidak terlalu laju dan waktu di antara berlakunya perubahan pasang surut air.
Umpan yang biasa saya gunakan untuk memancing ikan pari adalah udang , sotong cumit, sotong jarum, sotong kurita, sotong katak kecil, ikan belanak, ikan kembung, selayang,
selar kuning yang dipotong dua, anak ikan bebolos, anak gelama, pumpun, ikan tamban dan ikan beliak mata walau bagaimana pun umpan kegemaran saya adalah belacak minyak yang dihiris isinya.
Penggunaan umpan mungkin berbeza mengikut tempat dan lokasi pancing. Adalah lebih baik sekiranya kita rujuk dengan penduduk setempat jika ingin kepastian.
Pari boleh di pancing tidak kira masa, sama ada pagi, petang atau malam.