
SOALAN:
Salam min… nak tanya sikit min. Saya tak pandai sangat nak jigging tapi teringin nak dapat lessen ebek.
Jadi, ada tak teknik lain selain jigging untuk pancing ebek?
JAWAPAN:
Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan.
Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya sekali gus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas.
Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang.
Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun.
Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensyional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig.
Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krustasia bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup.
Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Dan untuk pengetahuan anda, jigging merupakan teknik pancingan moden. Sebelum adanya teknik jigging, ebek diburu dengan teknik pancingan bottom khususnya berumpankan udang.
Dan ia masih banyak diamalkan sehingga kini walaupun dalam trip jigging.
Trip Jigger VS Bottomer

Seketul jig dihulurkan menerima sambaran awal walaupun ia dilabuhkan agak lewat dari rakan jigging yang lain. Pemiliknya menerima sambaran ketika kepingan jig baru mencecah sepertiga dari kedalaman air. Manakala jig yang dilabuhkan lebih awal terus menjunam ke dasar sebelum di unjun ke atas.
Pada kedalaman air 120 meter, masing-masing menumpukan pemangsa dasar dan pertengahan air. Menyedari ikan ketika itu banyak berlegar pada kedalaman 30 meter hingga 50 meter, barulah yang lain turut menyertai. Keriuhan di tengah kepekatan malam menyemarakkan suasana. Bukan satu, dua malah ada masa hingga semua jig yang diunjun disambar ikan.
Kami ketika itu berada di bawah sekumpulan ‘baby’ aya budak anggaran purata bawah 3 kilo setiap ekor. Walaupun kecil tetapi sifat ganas yang dimiliki oleh aya bergigi tajam rakus membedal kepingan jig. Malah jig yang hampir sama panjang dengan saiz ikan aya ini tidak dihiraukan. Di sini keputusan jig yang paling digemari ketika itu dapat diukur.
Jig lutsinar lebih cepat disambar ikan berbanding jig biasa. Jenis yang paling digemari ikan kayu panggilan orang Sabah ini ialah yang jenis berbelang yang kemudiannya kami gelarkan nama ‘jig banduan’.
Apa sahaja jenis dan jenama jig digunakan waktu itu boleh dikatakan hampir semuanya menerima sambaran. Yang menentukan cepat dan lambat sambaran bergantung pula kepada teknik karauan dan bijak meneka ‘strike zone’.
Kawanan aya budak ini hampir sebaya, kelas tadika sahaja. Tapi jangan diperlekeh kekuatan aya ini kerana saiz 3 kg mudah sahaja boleh memuntahkan tali 40lb yang dipadankan dengan pelbagai set kekili Shimano Stella, Twinpower, Daiwa Saltiga, Daiwa Catalina dan Accurate. Inilah set yang digemari kaki jigging bila membuat trip sebegini. Alatan pancing tak boleh kalah.
Di kala geng jigging bergasak, geng pancing dasar hanya memandang sahaja ketika itu kerana buruan ikan dasar amat sepi ketika itu. Berbagai-bagai jenis umpan di gunakan kebiasaan seperti sotong termasuk sotong kurita, selayang dan aya tidak membuka selera mana-mana pemangsa dasar. Malah beberapa ekor aya hidup yang terkena jig terus dijadikan umpan hidup mencari pemangsa dasar tidak mendapat sebarang sambutan.
Beberapa ekor kembung segar dihanyutkan di belakang bot turut disambar gerombolan aya ini. Tiada tenggiri seperti yang diharapkan. Getuan sekali sekala hanya diterima kaki pancing dasar mengundang beberapa ekor ikan ‘durian’ dan ‘ping pong’. Hampir sepanjang malam ramai yang menyertai kaki jigging bergasak dengan ikan aya. 100% yang menyambar jig adalah aya budak.
Dari mula kami tiba hingga saat menjelang fajar ikan tidak henti-henti menyambar jig. Tidak lama kemudian, aksi menyeronokkan menjadi haru biru apabila kumpulan yu tukul pula tiba. Umpan pemancing dasar yang dilabuhkan ketika itu disambar ikan yu tukul. Kumpulan aya berkurangan ketika pemancing dasar bertungkus lumus menaikkan yu tukul sebelum tali perambut dipotong apabila tiba di permukaan air.
Pencarian Sang Ruby
Tekong kemudiannya memberi isyarat tali pancing berpindah ke lubuk untuk memancing sebelah siang pula. Hampir dua jam kemudian, isyarat kedua dinantikan oleh kaki pancing dasar pula. Lubuk sedalam 160 meter kurang sesuai untuk kaki jigging yang masih beradu keletihan.
Misi utama trip ini ialah mencari ikan ruby snapper, namun tekong memberi pandangan jangan terlalu berharap pada spesies ini di kawasan air cetek. Ruby snapper semakin hari semakin berkurangan di kawasan air kurang dari 200 meter. Ada, tapi tak begitu besar menurut kata tekong lagi.
Hulur sahaja umpan sambar berharap yang terbaik sahaja ketika itu. Sudah menjadi kebiasaan pemancing yang pertama melabuhkan umpan biasanya menerima sambaran terlebih dahulu. Labuk, pemancing tegar dari Sabah mendahului sambaran pagi tersebut. Set kekili manual yang baki beberapa meter sahaja tali dalam gelendong kekilinya cukup bertenaga mengarau pancing.
Seekor kerapu perang 5 kg bermata besar muncul sebelum penulis menyusuli hasil tangkapan dengan seekor ruby snapper hampir sama saiz. Melihat hasil Labuk naikkan, ia memberi semangat ahli lain untuk turut sama memancing berumpan hirisan aya pasar.
Sambil yang lain menunggu joran melentur, Sham diam-diam menaikkan seekor lagi ruby dengan teknik jigging. Inilah hasil bagi orang memiliki kudrat luar biasa jigging dan sentiasa bersemangat berbanding pemancing lain Kemudiannya hasil sepi banyak masa dihabiskan pada siang hari kedua dengan menunggu sambaran sambil bersembang kosong.
Bila senja menghimpit malam, bot bergerak menuju ke lokasi berikutnya, atas pilihan ramai tempat yang boleh layan jigging diusulkan kepada tekong yang menurut sahaja permintaan ramai. Kali ini sasaran dialihkan pula untuk ikan aji-aji. Bila bot memperlahankan kelajuan, kaki jigging mula mempersiapkan kelengkapan dengan macam-macam saiz dan warna jig.
Dapat sahaja isyarat ‘on’ dari tekong, 7 hingga 10 keping jig dihulurkan serentak. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk yang berjigging sahaja, jadi tempat cukup lapang dan selesa bagi kaki jigging. Biasalah bila dah lebih dari 5 kali turun naik jig, keletihan membahangi keringat yang pudar. Kerana tiada sambutan sama sekali.
Dari 10 turun ke angka 8, akhirnya yang masih bertenaga meneruskan usaha mencari sambaran setelah yang lain mengundurkan diri. Bila angka kosong buat kaki jigging, kaki pancing dasar mempersiapkan diri pula untuk mengambil alih kedudukan mengumpan ikan pada kedalaman 120 meter.
Bila dah penat hilang, usaha jigging tetap diteruskan dengan harapan ikan aji-aji akan bertandang ke kawasan limpahan lampu dari enjin generator bot kami. Usaha boleh dibanggakan, tapi hasil mengecewakan. Tumpuan kemudian beralih kepada joran Hidayyad yang mengena ikan.
Kekili Command ATS digunakan sesekali terhenti sesekali apabila mangsa di bawah begitu kuat melawan. Nampaknya aji-aji tidak berminat dengan kepingan yang dihulurkan, tetapi memilih umpan sotong pasar malam itu. Bila muncul aji-aji di hujung perambut, kaki jigging tiba-tiba menjadi semangat. Adrenalin darah mengalir memberi kembali semangat yang pudar sebelumnya.
Berduyun kepingan jig kembali terjun ke dasar. Naik-turun berkali-kali kepingan jig, keputusan tetap sifar. Begitu juga dengan yang masih menunggu umpan pasar yang dihulurkan. Mungkin kerana sebelah malam arus begitu lemah menjadikan ikan tidak tergoda dengan umpan yang dihulurkan. Bila tiada, usul dikeluarkan untuk kembali ke lokasi malam sebelumnya.
Soal Jawab Mancing – Waktu Bila Tenggiri Sambar Jig?

SOALAN:
Saya ada satu perkara nak tanya pendapat admin. Betul ke tenggiri hanya menyambar gewang atau jig yang dikarau laju sahaja? Jika betul, kenapa teknik slow jigging yang mengarau jig secara perlahan pun boleh dapat tenggiri? Mohon admin jelaskan kekeliruan ini.
JAWAPAN:
Saya tidak menafikan malah bersetuju dengan apa yang saudara kemukakan iaitu tenggiri menyambar gewang atau jig yang dikarau laju, dan slow jigging juga boleh dapat tenggiri. Dalam erti kata lain, tenggiri akan menyambar gewang atau jig sama ada dikayuh laju ataupun perlahan. Ia jelas menunjukkan bahawa tenggiri menyambar umpan yang bergerak, bukannya umpan yang pegun.
Selain menyambar ketika gewang sedang dikarau, tenggiri turut menyambar gewang yang sedang jatuh di dalam air. Tentu saja gerakan gewang atau jig yang menjatuh adalah jauh lebih perlahan berbanding gerakan menaik.
Faktor inilah yang kebanyakannya berlaku dalam teknik jigging perlahan. Boleh dikatakan kebanyakan jig disambar ketika ia sedang membuai jatuh ke dasar. Perkara yang sama turut berlaku dalam teknik speed jigging. Yang pastinya tenggiri boleh diperoleh sama ada melalui teknik jigging perlahan atau laju.
Apa saja yang berbentuk atau menyerupai diet makanan yang memasuki kawasan atau lalu di hadapan mata pasti akan disambar tanpa mengira tahap kelajuannya. Hanya hasil dari jenis karauan itu saja yang berbeza. Jika gewang dikarau lebih laju dari renangan ikan maka sambarannya akan kesasar dan singgah tepat pada gewang.
Jika dikarau perlahan dan renangannya lebih laju maka hasilnya tali perambut akan menjadi sasaran gigi tajamnya.
Kelong Mancing Retro!!

Ketika mula menjinakkan kaki ke arena pancingan kelong lebih 10 tahun yang lalu, penulis hanya mampu memasang impian untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise.
Atau kelong batu sebagaimana yang selesa disebut oleh rakan yang bertanggungjawab mengheret penulis memancing ke kelong-kelong.
Ada beberapa faktor yang membuatkan penulis hanya sekadar mampu memasang angan-angan untuk memancing di Kelong Paradise ketika itu. Pertama, kos pakej memancingnya yang mahal.
Maklum sajalah kos memancing di kelong-kelong biasa cuma sekadar RM30-RM40 seorang, sedangkan kos pakej di Kelong Paradise RM180. Itu belum campur kos-kos lain lagi.
Gedebak-gedebuk mahu cecah RM300 seorang. Dengan kos perbelanjaan sebanyak itu sudah pasti lebih afdal ke kelong biasa saja berulang kali.
Seperkara lainnya, penulis merasakan kelengkapan pancing yang ada ketika itu tidak menepati piawaian untuk memancing di Kelong Paradise yang terkenal dengan ikan-ikan berstatus monster.
Lebih kurang 8 tahun yang lalu, akhirnya penulis berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Kelong Paradise atas tiket media apabila ada sebuah universiti mengadakan program di kelong tersebut.
Tentu saja penulis tidak lepaskan peluang tersebut kerana tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dan sudah memiliki kelengkapan pancing yang sepadan untuk bertarung dengan monster di Kelong Paradise.
Tapi bila berbual bicara dan melihat peralatan pancing seorang regular customer di kelong tersebut, terasa balik diri sebenarnya masih belum bersedia untuk menduga Kelong Paradise.
2 hari 1 malam tanpa sebarang hasil (hanya seekor ketuka) membuatkan penulis seperti berpatah arang untuk kembali ke kelong bercat merah kuning ini.
Tapi untuk bersikap adil, penulis tidak boleh nak cop kelong ini sudah takde ikan atau takde ikan kerana sepanjang tempoh itu ada juga pemancing yang berjaya menaikkan kerapu dan senangin bersaiz kasar.
Sembilang pun ada naik di tiang-tiang kelong tertentu. Cuma pari yang menjadi sasaran utama tidak muncul.
Beberapa tahun kemudian, apabila salah seorang rakan yang suatu ketika dulu cukup kerap memancing dalam masa yang sama mempromosi kelong tersebut tiba-tiba mengadakan komplot kecil-kecilan ke kelong itu, muncul balik keterujaan penulis yang hampir padam.
Berdasarkan pengalaman kali pertama dahulu penulis percaya trip kedua kali akan membuahkan hasil. Keyakinan rakan akan menaikkan pari gergasi sedikit sebanyak menyuntik semangat pada penulis.
Namun semangat yang meluap segera padam apabila bertemu dengan rakan tersebut di jeti sebelum menaiki bot ke kelong. Menyedari hari tersebut air pasang besar atau pasang ‘keling’, penulis bertanya sama ada ia sesuai atau tidak untuk memancing di kelong.
Jawapan rakan penulis cukup mudah, beliau tidak pernah ambil tahu pun pasal air pasang surut. Semuanya bergantung pada kelapangan masa. Nampaknya bayangan kumpau mula mengekori penulis ke Kelong Paradise.
Dengan arus yang laju sememangnya tidak sesuai untuk memancing di luar kawasan kelong. Dan walaupun tiada ikan luar yang masuk ke kawasan kelong, struktur konkrit kelong yang dibina sebenarnya menjadi tukun khusus untuk pembiakan senangin.
Tatkala sukar mendapatkan ikan lain, senangin masih boleh dipancing dengan teknik dan umpan yang betul. Ketika itu bilis yang banyak berteduh di kawasan kelong menjadi diet utama senangin.
Malangnya tiada seorang daripada ahli komplot yang bawa apollo bersaiz kecil untuk memancing bilis. Udang hidup yang beratus ekor dibawa bersama langsung tidak dilayan.
Dengan situasi tersebut rasanya sesiapa saja boleh mengagak keputusan trip penulis kali kedua atau mungkin juga kali terakhir ini.
Info pakej
Orang dewasa RM188 (tambang bot pergi balik,makan dan minum).
Kanak-kanak bawah 4 tahun ke bawah percuma. 4-10 separuh harga dan 10 ke atas harga biasa.
Bilik untuk 5 orang RM450
Bilik untuk 3 orang RM350
Bilik untuk 4 orang RM250 (katil double decker)
Dorm 1 orang RM50
Untuk tempahan sekurang-kurangnya 4 orang
Deposit perlu bayar 50% dan 50% selebihnya dibayar di jeti kelong.
• Maklumat penuh bolehlah hubungi pihak pengurusan kelong