
SOALAN:
Boleh tak admin terangkan ‘line capacity’ yang biasanya tertera pada spesifikasi produk reel atau kekili?
JAWAPAN:
Line Capacity – Istilah ini merujuk kepada panjang tali pancing (mono atau braided) yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili (spool). Kebanyakan reel terdahulu hanya
menyatakan kekuatan (lbs) dan panjang (yard/meter) yang boleh dimuatkan dalam spool berpandukan tali tangsi (mono).
Kini, semakin banyak pula menyatakan berapa panjang tali yang boleh dimuatkan berdasarkan ukur lilit atau diameter tali tersebut, yang merujuk kepada penggunaan tali sulam atau braided.
Semakin halus diameter, maka semakin banyaklah muatan tali yang boleh disimpan di dalam gelendung.
Terdapat beberapa jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili atau kotak kekili iaitu lb/yd, lb/m atau dia/m.
Untuk ib/yd (pound/yard) ia membawa makna kekuatan tangsi dalam pound dan panjang yang boleh diisi dalam yard atau ela.
Tali yang dimaksudkan di sini ialah tali mono, bukannya tali sulam kerana lazimnya tali mono mempunyai diameter yang sama. Sebagai contoh, 10/110 membawa maksud tali mono 10lb dapat dimuatkan sebanyak 110 yard/ela di dalam spool.
Begitu juga dengan kiraan lb/m. Sebagai contoh 10/100, tali mono 10lb boleh dimuatkan sebanyak 100meter di dalam spool.
Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tali (mono atau braided, lazimnya lebih merujuk kepada tali braided) yang boleh dimuatkan dalam meter.
Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tali berdimater 0.5mm boleh diisi sepanjang 200meter di dalam spool kekili.
Trip Retro – Menjulang Tenggiri Kuala Dulang

Dari semasa ke semasa tukun dan unjam ditambah bagi memastikan populasi ikan berterusan di lokasi unjam kepunyaan beliau.
Walaupun kerja dan penambahan terpaksa ditanggung dengan kos sendiri, demi pulangan untuk jangka masa panjang ia tetap dilaksanakan.
Unjam di pertengahan air dan tukun di bahagian dasar mampu menjadi rumah buat kumpulan ikan pelagik dan kemudiannya turut sama didatangi oleh ikan-ikan predator.
Unjam buluh dengan ranting daun kayu sebagai tempat bermain anak ikan manakala tukun yang sebelah bawah dihuni ikan demersal.
Tukun-tukun yang terdiri daripada gelung konkrit, rangka kereta terbuang, kayu dan bangkai tongkang pula pasti menarik perhatian ikan untuk membuat tapak perumah kekal.
Kehadiran tukun ini boleh dijadikan perisai dan kubu kuat dan perlindungan kepada sebarang ancaman termasuk pemancing sendiri.
Lebih banyak tukun dan unjam di serata kawasan sebenarnya dapat menjaga pemulihan ekosistem laut tempatan dan mampu menyekat kehadiran bot pukat tunda yang bertugas menggondolkan dasar laut.
Kawasan laut yang dipenuhi unjam milik nelayan tempatan memberi banyak ruang kepada anak ikan bermain dan yang menambah aroma ialah kehadiran tenggiri di kawasan ini boleh dikatakan tidak bermusim tetap sepanjang tahun.

Kalau di Rompin terkenal kerana ikan Layaran, Kuala Dulang boleh dianggap satu lagi destinasi untuk merasai larian tenggiri.
Saban hari, saban minggu ia dikunjungi pemancing untuk menikmati tenggiri dengan teknik casting seharian.
Yang penting memancing di sini ialah cuaca yang perlu menyebelahi pemancing. Kawasan lautnya adalah terbuka dan terdedah kepada segala arah angin.
Beberapa tapak pilihan dikenal pasti sebagai tempat pembuangan unjam yang terletak di pertengahan antara Pulau Payar Langkawi dan Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jarak perjalanan dari jeti ke tukun memakan masa kurang dari sejam menggunakan bot berkelajuan lebih dari 15 knots.
Banyak bot di Kuala Dulang ini menggunakan jentera enjin lori yang berkuasa kuda tinggi untuk mempercepatkan masa bergerak ke lokasi menjadikan ia digemari ramai pemancing.
Sentiasa peka
Bila ikan bermusim tidak menentu, sukar untuk membuat perancangan tepat bila kumpulan ikan tenggiri galak.
Beberapa kali selepas mendapat info daripada tekong ikan sedang galak, bila bertandang sentapan ikan tidak seperti yang diperolehi sebagaimana tekong membuat perkhabaran.
Begitu juga dengan faktor cuaca, sebelum pergi ramalan memberitahu cuaca adalah baik, tapi bila masa hendak berdiri di atas bot pun susah, macam mana nak casting!
Namun sebenarnya pemancing perlu rajin bertandang kerana pasti lambat laun akan jumpa masanya pantang lontar umpan sama ada bulu itik mahupun pelaling mati terus diterkam kumpulan tenggiri.
Jangan sekali datang hasil tidak memberangsangkan terus membuat keputusan negatif tak akan memancing lagi di Kuala Dulang ini.
Ada juga beritahu info tekong tidak betul, katanya ada banyak tenggiri, bila memancing haram sekor kelibat tenggiri tidak kelihatan.
Sebenarnya banyak perkara yang terlindung di sebalik kejayaan atau kegagalan untuk memikat tenggiri. Ramai pemancing bertanggapan bila casting umpan ada tenggiri pasti diterkamnya.
Yang ramai malas nak tahu ialah teknik mengayakan umpan, persembahan umpan, jenis-jenis umpan yang ‘killer’ masa tersebut, jenis dan saiz tali, waktu dan cuaca laut persekitaran turut memberi kesan dan peranan terhadap jaya atau gagal trip tersebut.
Sehebat mana kita memancing di serata pelosok ceruk, tekong tempatan perlu dirujuk kerana mereka lebih arif daripada kita dan lebih masak laut tempat mereka mencari sesuap nasi.
Dua dalam satu
Kali ini misi dua dalam satu apabila tekong memilih hari untuk kami bertandang. Sebelum ini hanya tertumpu kepada sasaran tenggiri, kini tukun konkrit dan tongkang sudah dikesan banyak penghuninya.
Rekod kerapu 18 kg masih belum dipecahkan di tukun berkenaan dan rekod tenggiri seberat 18.5kg juga masih terus kekal catatannya. Satu cari ikan di atas air dan satu lagi mengendap ikan yang di dasar air.
Dua set peralatan berbeza digunakan. Memancing sebenarnya berhajat nak yang besar je baru ada cabaran.
Hajat untuk mencari dan melihat bapak kerapu yang menghuni tukun berkenaan di teruskan dengan membawa bekalan sotong mengabang hidup hampir 20 ekor.
Bot Tekong Wan Dulang dilengkapi dengan sistem ‘livebait’ yang besar memberi ruang untuk sotong berenang sepanjang tempoh memancing.
Bekalan umpan pelaling mati satu kemestian kerana unjam milik tekong Wan amat sukar untuk mendapatkan anak ikan kembung kerana terlalu banyak kumpulan ikan besar yang berkeliaran.
Anak ikan menjadi takut untuk menghampiri unjam berkenaan. Faktor air pasang surut memaksa kami bergerak dari jeti seawal jam 3 pagi dan jam 4 pagi kami sudah berada di tukun milik Wan.
Beliau berlabuh begitu hampir dengan tukun tongkang yang dibuang setahun lalu.
Beberapa kali kerapu berskala 10 kg tewas di tangan beliau dan kali ini hajat tentunya mahu melihat saiz yang berjaya memperdayakan beliau dalam trip terdahulu.
Sementara bulan masih bercahaya, kami tertumpu kepada pancing dasar sambil mengharapkan kerapu keluar daripada persembunyian mencari mangsa.
Melihat saiz sotong mengabang, kami tidak berani menggunakan joran kelas menengah, lantas melihat sahaja tekong memasang dua ekor sotong mengabang hidup menggunakan set koyan berkekuatan 200 lb.
Hirisan dan kepala sotong pula digunakan pada set joran yang dibawa. Ada di antara kami yang mengambil tempat beradu sementara menanti langit bercahaya sambil menanti sistem penggera berteriak memanggil pemancing apabila sambaran mengena.
Sotong terus segar sehingga menjelang fajar sehingga kelihatan beberapa ekor pelaling terhempas ke air menandakan aktiviti casting tenggiri bermula.
Geng di belakang bot adalah ruang untuk aktiviti memancing tenggiri dan yang di hadapan bot menyiapkan peralatan gempur untuk ikan demersal.
Tukar umpan silih ganti
Umpan untuk memikat tenggiri sering ditukar dari masa ke semasa dan penggunaannya pula bergantung kepada tahap sambaran.
Jika hasil banyak mengena kepada umpan ikan mati, maka ia menjadi pilihan seketika dan sambil itu sotong plastik, bulu itik dan kepingan jig turut di lontar untuk melihat potensinya.
4 ekor tenggiri awal pagi memilih pelaling mati manakala sotong plastik dua kali terlucut hasilnya. Umpan pelaling dipasang 3 mata kail manakala sotong plastik hanya 1 mata kail sebab itu kadar hook up jauh berbeza.
Pagi itu juga kami dikejutkan apabila sistem penggera botol mineral berbunyi, sesuatu telah menarik tali 200 lb.
Saya yang kebetulan berada berdekatan terus mencapai tali dan menarik tali ke atas. Macam tarik kerbau, tanpa henti sementara ikan seperti mengikut sahaja. Di pertengahan air ikan mula meronta, dua kali dihenjut ke bawah perambut putus…..
Kemudian joran pula mengena, sesuai dengan saiz umpan yang digunakan hanya kerapu berskala 3 kg sahaja menelan kepala sotong mengabang.
Dua ekor kerapu dengan saiz hampir sama sedikit sebanyak mengurangkan rasa kecewa apabila sasaran utama terlepas.
Matahari semakin dan aktiviti casting tenggiri semakin memperlahankan rentaknya. Sotong mengabang dipasang menjadikan dua koyan sebagai pertaruhan pusingan kedua nanti.
Pusingan akhir
Masuk petang semua tertumpu ke aktiviti casting tenggiri dalam keadaan cuaca yang sedikit beralun.
Letih lontar dan tarik sotong plastik sekali lagi kami dikejutkan dengan bunyi yang pernah dengar sebelum ini.
Botol air mineral penyek menandakan sotong mengabang dibaham sesuatu. Kali ini Wan pula yang tampil menangani koyan tersebut.
Dua kali karau tali dah tersekat, tak boleh tarik ke atas lagi. Kedudukan bot yang hampir dengan tukun membantu ikan berkenaan melawan tali 200 lb.
Bunyi yang tak ingin kami dengan berulang kembali. Seperti yang saya khabarkan sebelum ini kehadiran tukun konkrit badan kereta dan struktur binaan terpakai menghasilkan perumah kepada karang dan teritip.

Ia adalah perlindungan yang diperlukan sang ikan sekiranya terancam. Bila ia masuk dalam rangka kereta yang pasti tali tentu akan bergesel dengan teritip atau besi kenderaan.
Tali yang kasar mana sekalipun akan putus jika bergesel berulang kali. Dua kosong kena hari itu.
Harapan untuk memecah rekod nampaknya tergendala dan perlu diteruskan dalam trip akan mendatang. Baru ada kesinambungan dalam aktiviti memancing. Kami beredar tidak lama selepas itu apabila awan gelap semakin menghampiri kedudukan bot kami.
Rumusan
Saranan agar nilai pelancongan ekosistem yang dimiliki oleh Kuala Dulang perlu dibangunkan dengan lebih pesat lagi oleh kerajaan negeri dan bantuan daripada pihak
swasta agar permasalahan yang dihadapi tekong-tekong di Kuala Dulang dapat diatasi segera.
Bila terdapat keselesaan sebegini penduduk setempat akan mendapat impak ekonomi kerana kehadiran ramai pelancong dan pemancing.
Laut sekitar Pulau Payar (taman Laut) hingga sekitar gugusan Pulau Bidan perlu dibangunkan dengan menambahkan lagi tukun konkrit yang besar agar dapat mengekang kemasukan bot pukat tunda di pesisir pantai.
Korang Tanya Umpan Jawab -(S7S12)- Tip memancing dengan boathouse?

SOALAN:
Saya berminat untuk memancing di atas boathouse yang banyak terdapat di Tasik Kenyir, Terengganu. Boleh tak admin berikan tip memancing di atas boathouse itu?
JAWAPAN:
Trip memancing menggunakan boathouse atau rumah bot sememangnya popular di Tasik Kenyir.
Bagi yang belum pernah mencubanya, eloklah ketahui serba sedikit tip sebelum menempah mana-mana boathouse.
➡ Pertama sekali perlu pastikan jumlah ahli trip biar sepadan dengan kapasiti boathouse yang ingin ditempah.
Sebaiknya jumlah ahli trip sepadan dengan kapasiti boathouse tersebut.
➡ Ketahui pakej harga yang ditawarkan oleh pengusaha boathouse. Purata pakej sekitar sekitar RM 1500 – RM 2000 per malam. Bukan dalam kiraan hari.
Jika pakej harga tidak sepadan dengan kapasiti pemancing bagi sesebuah boathouse, tentu ada sesuatu yang tidak kena.
➡ Jika tidak tahu, sebaiknya tanya servis atau kemudahan yang disediakan dalam pakej tersebut.
Jika ada menyatakan jumlah tandas, katil atau bot fiber dan umpan disediakan, pastikan ia sememangnya ada dan boleh digunakan.
➡ Tetapkan lokasi memancing yang ingin ditujui kerana tidak semua sungai di dalam kawasan tasik boleh dimasuki secara percuma.
Dan pastikan tekong boathouse tersebut membawa anda ke lokasi tersebut, bukannya lokasi pilihan beliau.
➡ Bagi memastikan trip berjalan dengan sempurna sebagaimana yang dirancang, bayaran penuh sewa boathouse elok diselesai setelah tamat trip, bukannya sebelum memulakan trip.
➡ Walaupun setiap boathouse menyediakan dapur dan kelengkapan memasak namun makan dan minum tidak termasuk dalam pakej tersebut.
Jadi, anda wajib bawa barang-barang makan dan masak sendiri jika tidak mahu kebuluran.
➡ Kelengkapan pancing perlulah dibawa sendiri. Sekiranya ingin memancing dengan menggunakan bot laju, bolehlah meminta tekong aturkan urusan sewaan atau guide bot tersebut.
Trip Retro – Mencari Strike Tasik Temenggor

Kami sekali lagi mencari strike di Tasik Temenggor, Perak. Spesies sebarau dan toman menjadi ikan sasaran yang wajib dicari.
Dalam erti kata Lain memperbaharui rekod tangkapan trip terdahulu. Cuma, kunjungan kali ini air di Tasik Temenggor sedikit berbeza dari kerana paras air yang sedikit cetek.
Kami memilih untuk menginap di boathouse sepanjang tempoh 3 hari 2 malam di Tasik Banding.
Lazimnya, jika lakukan aktiviti mengilat di Tasik Temenggor, lebih baik rasanya lakukan trip yang lebih panjang kerana dapatlah mengintai spesies sebarau seawal sebelum jam 7 pagi!
Kami juga menguji keberkesanan gewang dari Taiwan, Strike Pro Flap Jack iaitu salah satu gewang jenis separa tenggelam yang boleh diguna pakai untuk pelbagai takat kedalaman terutamanya di lokasi yang dipercayai didiami oleh ikan sasaran iaitu sebarau.
Sebaik tiba di Tasik Banding, kami terus sahaja menerjah ke spot tumpuan yang menjadi lokasi permainan sang sebarau dan toman.
Mengaplikasikan gewang jenis separa tenggelam memerlukan konsistensi yang tinggi ketika mengarau.
Jika berhenti karauannya, gewang pasti tenggelam ke dasar. Kami bersepakat memilih saiz panjang badan gewang 4 cm hingga 7.5 cm berwarna oren kemerahan dan biru bagi menarik perhatian sebarau.
Bagi menghambat selera spesies yang juga digelar serigala air tawar ini, sesi pagi bermula seawal 7 pagi hingga 10 pagi manakala 4 petang hingga 7.30 malam untuk sesi petang.
Memandangkan kunjungan kami waktu itu paras air tasik sedang surut, pencarian sebarau memerlukan banyak kerajinan.
Agak berbeza apabila sebarau lebih mudah ditemui ketika musim tengkujuh. Jadi, kali ini kami perlu sentiasa rajin mencari spot mainan sang sebarau berada.
Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama atau berdekatan dengan pohon yang rendang dan celah-celah akar pokok atau pokok tumbang.
TEKNIK BALINGAN & GEWANG TIRUAN
Keutamaan kami adalah di kawasan berakar, pokok berdahan besar dan pokok-pokok tinggal yang tumbang ke dalam air.
Kami memilih membuat lontaran gewang ke posisi atau spot yang sama berulang kali. Selain menggunakan gewang separa selaman, kami turut menggunakan gewang jenis permukaan.
Kedua-dua jenis gewang ini bersesuaian untuk mencari sebarau di spot yang mencabar dan dipenuhi dahan ataupun ranting pokok.
Selain itu, kami turut menggunakan sesudu, dengan cara lontar dan biarkan ia tenggelam seketika sebelum dikarau laju.
SAMBARAN YANG PERTAMA
Ketika casting di kawasan pokok tumbang sekitar jam 1.15 tengah hari, kami telah dihidangkan strike dari sebarau, namun mangsa berjaya menyembunyikan diri di bawah
dahan besar pokok yang tumbang. Selepas menghenjut tali beberapa kali, akhirnya sebarau dalam skala 1.3 kg berjaya dihela keluar.
Selepas itu, kami berjaya mendaratkan beberapa ekor lagi spesies sebarau. Tidak kurang sang toman yang besar dan juga bersaiz bujang.
Kami turut bertemu toman jalur yang pelahap menyambar gewang kecil. Toman jalur ini, biasanya sudah berpisah dari ibunya, namun masih bergerak berkumpulan.
Ada kalanya toman jalur ini menjadi penghibur ketika pencarian toman bersaiz besar. Jika terkena saiz jalur, wajib bagi kami melepaskannya semula.
Ketika bot berlegar-legar mencari toman timbul menyedut udara di permukaan di satu suak yang sunyi sepi, tiba-tiba kami terserempak pula dengan anak toman yang masih merah timbul di permukaan.
Dengan merasakan ada mamanya, lantas gewang dilontarkan ke kawanan anak toman berkenaan.
Tidak sangka pula, gewang jenis versatil seperti Strike Pro Flap Jack yang kami bawa ini mampu bangkitkan nafsu pada toman.
Dalam beberapa kali karauan yang dilakukan, tiba-tiba sahaja terasa satu henjutan kuat, menandakan sang toman rakus membaham sebagai tanda amarah kami mengacau kumpulan anaknya.
Keadaan dasar Tasik Banding yang sedikit berlumut tebal memberi kelebihan toman menyusup.
Namun, dengan berinsuran perambut kejutan berkuatan 30 paun dan dipadankan dengan tali sulam 20 paun pertembungan yang didambakan oleh semua kaki casting mengambil masa lebih kurang 11 minit.
Selepas dinaikkan ke atas bot dan sesi bergambar, akhirnya toman berkenaan di lepaskan semula kembali ke pangkuan anaknya. Terima kasih di atas perlawanan ini.
Tidak lama kemudian, seekor lagi sang toman berjaya diperoleh. Dengan bersusah payah kami berusaha menaikkan toman bersaiz gadang.
KESIMPULAN
Walaupun trip ini agak singkat dan impaknya tidaklah sebesar trip terdahulu, lapangan di Tasik Banding masih sarat dengan spesies ikan air tawar.
Sememangnya, Tasik Banding adalah lokasi pencarian terbaik dua spesies yang begitu dipuja oleh ramai kaki casting.
Nasihat kami, jika datang ke sini, kawasan yang selalu didiami spesies ini ialah seperti di rekahan dinding berbatu, suak, kawasan bertebing berciri berbukit, kawasan tunggul kayu dan kawasan yang ada pokok tumbang.
Bawalah bersama gewang berwarna seakan menyala dan cerah seperti oren, jingga, hijau, merah, merah jambu dan hijau.
Saiz gewang paling ideal bersaiz 8-12 cm dari pelbagai bentuk dan jenis selaman bermula dari 2-4 kaki bergantung pada kedalaman lapangan tempat memancing.
(Oleh: Muhammad Safuwan)
baca juga Royal Belum : Lubuk Memancing Asli
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan