Mohon penjelasan sikit admin, boleh tak admin jelaskan perbezaan antara pemancing rekreasi dengan pemancing biasa?
JAWAPAN:
Jika ditanya secara peribadi maka saya akan menjawab tiada apa-apa perbezaan pun antara pemancing rekreasi dan pemancing biasa kerana memancing itu sendiri adalah aktiviti rekreasi. Jadi secara logiknya tiada perbezaan antara keduanya.
Pemancing rekreasi atau pemancing biasa kedua-duanya adalah pemancing yang berekreasi.
Ads
Walaubagai mana pun jika ingin dibuat pecahan istilah, dalam konteks perikanan pada dasarnya boleh dikategorikan kepada tiga iaitu; pemancing rekreasi, pemancing sara diri dan pemancing komersial.
Pemancing rekreasi ini lebih menjurus kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti memancing untuk mencapai kepuasan hobi secara individu.
Kumpulan pemancing rekreasi ini pula biasanya juga digelar pemancing sukan (melakukan aktiviti sukan memancing) dan lebih dekat dengan konsep tangkap dan lepas, bag limit dan sebagainya.
Ads
Sementara pemancing sara diri pula ialah mereka yang melakukan aktiviti menangkap ikan atau hidupan marin sebagai makanan atau pendapatan keluarga.
Sebagai contoh seseorang yang memancing udang galah dan menjual hasil tangkapannya. Begitu juga dengan nelayan kolam yang menyara hidup dengan menjual hasil tangkapannya.
Kumpulan pemancing komersial pula ialah mereka yang membuat aktiviti perikanan dalam skala besar untuk mendapatkan pendapatan yang besar seperti pengusaha kolam akuakultur, kolam pancing dan nelayan bot besar.
Saya selalu berhadapan masalah untuk strike siakap. Maksud saya… apabila sudah strike, mata kail mudah terlucut. Boleh tak admin beri sedikit tips untuk mengatasi masalah ini?
JAWAPAN:
Melakukan sentapan balas selepas ikan membuat larian adalah praktikal. Kebiasaannya pemancing akan membenarkan umpan digonggong ikan seketika, kemudian apabila tali pancing menegang menandakan umpan mungkin mula ditelan ikan.
Mata kail terlucut kebiasaannya berpunca daripada beberapa sebab. Pertama, saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut ikan (siakap). Saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
Kedua, mata kail terlalu besar untuk mulut ikan. Kemungkinan kes ini adalah mustahil kerana saiz 2/0 memang muat untuk siakap sekecil 500 gram. Ketiga, mata kail kurang tajam.
Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
Keempat, terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan.
Kelima, teknik pasang umpan. Jika cangkok di bahagian ekor kurang menjadi cuba pasang mata dekat bahagian kepala udang. Jika menggunakan isi ikan, pastikan mata kail menembusi kulit isi ikan yang kadangkala mata kail gagal menembusi kulit isi ikan berkeadaan apabila disambar siakap.
Boleh tak admin buat senarai persediaan perlu untuk memancing di laut iaitu umpan, kekili, joran, saiz tali, ladung, perambut serta teknik dan waktu terbaik?
JAWAPAN:
Umpan
Jenis terbaik ialah bekalan ikan segar atau hidup yang diperoleh atau dipancing ketika perjalanan ke destinasi, membelinya di pasar atau di jeti. Umpan jenis ini adalah prasyarat utama kejayaan misi memancing kerana kesegaran dan keberkesanannya. Jenis umpan seperti ikan pelaling, ikan tongkol dan sotong pasar mencukupi untuk setiap trip.
Kekili
Lumrah kalau memancing laut dalam bukan saja pancing dasar menjadi tapi teknik hanyut, jigging, popping dan tundaan. Jadi, tiga set kekili adalah minimum dan kalau mampu bawa peralatan gantian untuk menghadapi sebarang kerosakan.
Joran
Untuk pancing dasar dan pancing tundaan sesuai kalau kita membawa panjang 2meter hingga 2.5 meter) dengan aksi berat 30/80 paun, 50/80 paun atau PE4-PE8. Jika meminati jigging, guna joran kekuatan PE3-PE5 panjang 2meter sangat sesuai untuk ikan seperti cupak, tenggiri dan gerepoh bawah 15kg. Kalau GT bersaiz XXXL elok gunakan joran berkekuatan sehingga PE8 dengan panjang yang sama atau 2 meter. Bagi popping, joran 2.5meter sangat efektif untuk lontaran jauh. Sedia satu joran selingan berkekuatan PE1 hingga PE3 untuk memancing apollo, anak ikan atau untuk digunakan sebagai pancing candat (bagi mendapatkan umpan sotong hidup).
Saiz tali
Ini ada hubungan dengan kapasiti atau had muatan kekili berserta kekuatan maksimum drag yang terbina di dalamnya. Lumrahnya tali utama untuk pancing dasar dan menunda ialah 80lb hingga 100lb untuk tali utama kalau menggunakan tali sulam atau 50lb hingga 80lb jika menggunakan tali tangsi. Bagi kekili yang digunakan aktiviti jigging dan popping pula perlu dipadankan dengan tali sulam 60lb hingga 80lb dan disambung dengan tangsi kekuatan 80lb hingga 100lb sepanjang tiga meter sebagai perambut serap kejutan (shock leader).
Batu ladung
Penggunaan batu ladung kalau dibandingkan antara Pantai Barat dan Pantai Timur sedikit berbeza. Kalau di Pantai Barat had maksimum saiz 32 (1.5kg) di Pantai Timur pula had maksimum saiz 24 (1kg). Ini berdasarkan arus di pantai barat lebih deras berbanding pantai timur kerana laluan yang sempit. Di Sabah dan Sarawak, arus laut lebih kurang seperti Pantai Timur Semenanjung kerana berada di kawasan yang sama.
Saya merupakan seorang pemancing yang dibesarkan di bandar dan baru tahu buah ara boleh dijadikan umpan. Bagaimana nak mengenali buah ara dan di mana boleh mendapatkannya?
JAWAPAN:
Buah ara adalah buah hutan. Biasanya pokok ara tumbuh meliar di tebing sungai di kawasan kampung. Memancing ketika musim pokok ara berbuah adalah menyeronokkan kerana buahnya menjadi kegemaran pelbagai spesies ikan terutama sungai-sungai di Perak dan Pahang.
Sementara ikan-ikan seperti kaloi, lampam, tongsan sisik kasar, patin, lawang dan kekadang baung turut menggemari buah ara. Oleh yang demikian ketika buah ara masak ranum masa adalah terbaik untuk memancing ikan-ikan sungai ini.
Ketika ini ikan mudah mabuk kerana memakan buah yang gugur dan pada masa yang sama pemancing boleh memanfaatkan peluang menggunakan buah ara untuk memancing dengan dengan meletakkan buah yang dicangkuk pada mata kail.
Selain itu. anda boleh membelah atau memotong buah ara yang masak ranum untuk mengeluarkan aromanya supaya senang dicangkuk satu persatu sampai panjang lebih kurang sejengkal pada perambut.
Teknik ini sangat sesuai digunakan di lubuk yang agak jauh dari pokok ara yang kebiasaannya banyak terdapat di tebing sungai sekitar daerah Perak Tengah. Musim buah ara masak antara empat dan lima kali setahun.
Setiap kali masak boleh tahan seminggu namun begitu tidak semua buah pokok ara menjadi kegilaan ikan sungai. Biasanya yang berbau wangi dan warna merah hati menjadi pilihan pemancing sekitar daerah Perak.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...