Permainan menentang pari biasa berlegar keliling bot atau kiri kanan jika di pantai. Tambahan pula jika piring terbang ini melekap, bertambahlah perit untuk mengepam joran. Tentang bab ini, ramai pemancing putus asa atau mula boring menunggu ia terbang semula lebih-lebih lagi jika berat melebihi 15 kg ke atas.
Macam-macam petua yang saya dengar seperti jatuhkan pemberat di bahagian kepala, letak joran di celah kangkang, guna tempurung jantan, bermain tali gitar, mencampakkan batu ladung bersama-sama dengan kain reja yang dicelup petrol dan macam-macam lagi.
Ads
Pendapat saya setengah dari pendapat tadi kurang logik dan sukar diterima terutama menggunakan petrol yang boleh mencemarkan air. Cara terbaik sabar sebab banyak orang kata pemancing adalah jenis manusia yang bersabar. Campak pancing dan sabar menunggu umpan disentap. Jadi buktikanlah pada orang ramai yang pendapat ini tak salah.
Bila pari melekap, air bukannya cetek untuk dicampakan batu ladung di bahagian badan pari dan kita tak pasti posisi pari tersebut. Main gitar (memetik tali pancing); gegaran tali tak begitu ketara di penghujung tangsi.
Sabar di sini bukan bermakna kita perlu tunggu sampai pari mengangkat bendera putih, pari adalah benda hidup dan ia pasti akan bergerak.
Ads
Jadi semasa ia melekap, pastikan drag pada tahap yang sesuai, bagi sedikit tekanan dengan menarik tangsi supaya ia merasa kesakitan atau biarkan seketika dan kemudian buat henjutan ringan untuk memeranjatkan pari, lama kelamaan nescaya ia akan terbang jua.
Kaedah terbaik ia jangan biarkan ia melekap di dasar semasa permulaan pertarungan, gunakan peralatan terutama joran dengan bijak untuk memujuk pari naik ke atas.
Ads
Joran yang sesuai ialah kelas menengah ke atas (medium action) 15Ib hingga 30Ib memadai. Perambut yang sesuai dari 40Ib ke atas tanpa perambut dawai pun boleh.
Kalau tak yakin anda boleh gunakan tangsi yang lebih kasar. Saya pernah menaikan pari 10 kg dengan tali 15Ib dan joran aksi ringan (light action). Tapi kena juga setengah jam bertarung sebelum berjaya mendaratkan spesies bertulang lembut ini. Sahabat saya pernah putih mata apabila seekor pari melarikan umpannya.
Malangnya joran dan kekili yang digunakan hanya sesuai untuk pancing gelama tidak dapat menahan larian pari hingga terbenam joran ke permukaan air. Tali berkekuatan 12Ib putus sekelip mata.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Antara umpan yang popular dan digemari oleh kaki pancing ialah umpan hidup.
Namun kadangkala terdengar rungutan kaki pancing apabila umpan ikan atau udang yang dibawa tidak kuat tatkala mahu dicangkukkan pada mata kail.
Air sudah ada, alat pengudaraan atau aerator dah dipasang, apa lagi yang tidak kena?
Memahami konsep pam udara
1. Apabila kuantiti umpan ikan atau udang hidup kita banyak, ianya memerlukan kawasan atau bekas simpanan yang lebih luas.
Macam kita juga, 20-30 orang bersesak-sesak dalam satu bilik kecil, tak sanggup rasanya.
2. Pam udara atau aerator sebenarnya tidak membekalkan oksigen.
Ia hanya memberikan tekanan udara untuk membalikkan air agar berkocak dan apabila pergerakan air berlaku,di situlah terhasilnya oksigen terlarut bagi hidupan akuatik.
3. Jadi, apabila keluasan bekas simpanan semakin besar, anda memerlukan pam udara yang lebih besar atau boleh juga gunakan lebih dari satu pam udara yang bersaiz kecil.
Perhatikan pergerakan gelembung udara
Tips yang penting ialah dengan melihat pergerakan gelembung udara dan pergerakan air.
Pam udara yang terlalu kuat di tambah dengan keluasan kawasan yang kecil tidak membantu umpan anda.
Ini kerana arus yang kuat dari pam udara anda memaksa umpan untuk melawan arus dan memerlukan tenaga yang banyak.
Anda patut biarkan pam udara anda mengepam udara dengan lebih lembut dan umpan anda mampu bergerak secara kawanan.
Ini membantu umpan seperti ikan menghasilkan pergerakan arus lembut merentasi insang mereka bagi membekalkan oksigen.
Perhatikan saiz gelembung udara Perhatikan saat gelembung udara anda bergerak ke permukaan air. Lihat berapa lama ia mengambil masa untuk sampai ke permukaan air.
Dengan memerhatikan gelembung udara ini, anda mampu mengubah keadaan umpan anda untuk 24 jam yang akan datang.
Satu teori untuk pam udara anda berkaitan gelembung udara ialah, semakin kecil gelembung udara, semakin lambat ia sampai ke permukaan air.
Ini akan memberikan lebih masa bagi gelembung air itu untuk larut di dalam air bagi melarutkan oksigen.
Saiz bekas simpanan anda
Saiz bekas simpanan umpan hidup anda harus bersesuaian dengan kepadatan dan kuantitinya.
Semakin tinggi kepadatannya, maka ia memerlukan keluasan yang lebih besar bagi mengelakkan umpan anda stress.
Stress boleh menyebabkan umpan anda mati dalam jangka waktu yang singkat.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Ikan talang boleh dipancing dengan pelbagai kaedah. Salah satu cara yang amat berkesan dan popular dipraktikkan ialah melalui teknik jigging. Begitu juga dengan teknik casting. Sekiranya korang berminat memancing talang dengan teknik jigging dan casting, tip yang disediakan ini boleh dipraktikkan.
Jika inginkan sambaran dari talang dengan kaedah jigging, jig perlu dimainkan secara laju. Ia adalah yang paling praktikal. Manakala setting peralatan pula biarlah gunakan set yang ringan tetapi mampu bertahan supaya tidak letih jigging sepanjang hari.
Gunakan jig yang berat di bahagian bawah kerana ia lebih stabil apabila henjutan laju dilakukan. Jika jig tidak cukup laju, talang hanya akan mengekorinya sahaja hingga ke tepian bot. Memang sakit hati dibuatnya apabila melihat kelibat talang ini hingga ke permukaan air.
Jika menggunakan gewang permukaan pula, aksi popper yang dihenjut secara perlahan lebih digemari talang. Ini adalah kerana karauan yang laju akan menyebabkan ia selalu tersasar dari menyambar popper.
Teknik popping dan casting ini sangat berkesan ketika talang frenzy mengerjakan anak-anak ikan. Sekiranya bertemu talang sedang frenzy, baling gewang setepat yang mungkin dalam kawanan talang yang sedang frenzy.
Mata kail yang tajam juga hendaklah digunakan kerana talang sering melompat apabila sudah terkena pancing. Lompatannya sering menyebabkan gewang terlepas kecuali mata yang berteras halus dan lebih tajam digunakan.
Gewang dan jig paling digemari talang yang pernah saya daratkan ialah Fina Jig (28gm,42gm dan 56gm), Jig O-Pass 28gm, Jig White Rabbit MJ5000, Rapala Troll to Minnow 15, X-rap Subsurface Walk-the-Dog 9 cm, Siam Spoon 16gm.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...