
Untuk udang jantan muda, ia akan melawan secara konsisten dan berterusan manakala daya juangnya boleh tahan berpadanan dengan peralatan yang digunakan.
Bagi udang bertelur ia hanya kuat melawan di peringkat permulaan sahaja.
Manakala udang kecil sering menggegarkaqn hujung joran bertalu-talu setiap ia cuba mengeluarkan umpan dari mata kail.
Untuk itu, kekili kecil yang digunakan juga perlu dilaraskan sistem seretan (drag) supaya ia dapat menampung beban mengejut yang dikenakan seperti henjutan udang secara tiba-tiba.
Walaupun udang saiznya kecil tetapi teknik dan peralatan termasuk mata kail sesuai perlu dipadankan dengan kombinasi sesuai agar kepuasan serta kegagalan menjinakkan udang dapat dihindari.
Paling menarik ialah tahap kesabaran menaikkan udang yang berada di mata pancing adalah tinggi berbanding spesies lain. Pemancing perlu banyak berlembut dan sabar setiap kali udang menghenjut pancing.
Apa pendapat anda? Ayuh komen & share artikel ini. Terima kasih!
Jangan lupa like & see first Facebook Majalah Umpan.
Panduan Memancing Di Atas Jeti & Jambatan

Kawasan-kawasan perairan air masin berstuktur tiang seperti jambatan atau jeti memancing merupakan lubuk untuk memancing.
Lazimnya kawasan sebegini menjadi kediaman banyak spesies ikan air masin. Namun untuk menjinakkan ikan-ikan di kawasan ini perlulah mempraktikkan taktik dan teknik yang tepat.
PERALATAN
Joran
Joran aksi sederhana 7-10 kaki panjang. Tak perlu joran melebihi 10 kaki panjang kecuali terdapat lubuk-lubuk berjauhan yang berpotensi.
Kekili
Kekili siri 2000-5000 dengan tali sulam atau tangsi 20lb hingga 40lb. Pastikan kekili khusus untuk kegunaan air masin.
Perambut
Perambut batu hidup batu mati dipadankan dengan mata kail lingkar. Perambut Y atau cabang dan perambut apollo.
RADIUS PANCINGAN
Tidak perlu membuat lontaran umpan jauh dari kawasan struktur bertiang kerana lazimnya ikan-ikan sasaran berlegar di kawasan berstruktur untuk memburu makanan.
Memadai hanya lepaskan umpan ke bawah mengikut arus keluar dari bawah jambatan atau jeti. Kecuali terdapat kawasan berstruktur lain yang perlu membuat lontaran jauh.
KEADAAN AIR
Sebaiknya ketika air pasang kecil atau air bani. Atau dalam erti kata lain sewaktu arus tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan.
Jangan lepaskan peluang memancing ketika air mula bergerak pasang atau mula bergerak surut.
Warna air juga perlu dipantau. Elakkan dari memancing ketika air terlalu keruh atau terlalu jernih.
WAKTU SESUAI
Sebagaimana memancing di tengah laut atau sungai, waktu awal pagi sehingga matahari naik dan lewat petang sehingga matahari terbenam merupakan tempoh aktif ikan-ikan predator mencari makanan.
Sementara waktu malam pula sesuai untuk mencari ikan-ikan yang aktif mencari makan pada waktu malam.
UMPAN
Sebaiknya gunakan umpan yang terdapat di kawasan tersebut seperti udang, kurita, belanak atau tamban. Jika tak dapat umpan hidup, gunakan umpan yang masih segar.
Selain itu boleh juga guna umun-umpun atau perumpun. Umpan tiruan seperti gwang, soft plastic atau jig juga boleh digunakan untuk aktiviti casting.
PEKA KEADAAN SEKELILING
Amat penting untuk memantau sebarang aktiviti ikan di permukaan air. Jika terlihat kawanan ikan kecil-kecil atau aktiviti pemangsa membaham ikan-ikan kecil, cuba lontarkan umpan ke kawasan tersebut setepat mungkin.
TIP KESELAMATAN
Sebaiknya pacak atau ikat joran pada sesuatu objek yang pegun dan kukuh sekiranya tidak memegang joran.
Walaupun bertujuan memancing gelama menggunakan umpan perumpun namun tidak semestinya hanya gelama sahaja yang mengambil umpan tersebut.
Sebaiknya memancinglah secara berteman atau ketika ada pemancing lain di kawasan tersebut.
Selain ia dapat membantu sekiranya memporleh ikan bersaiz besar, ia turut dapat menjamin keselamatan sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.
Pakailah pakaian dan alas kaki yang bersesuaian dengan keadaan persekitaran bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan.
8 Spesies Ikan Berbahaya Untuk Dipancing!!

Goliath Tigerfish
Spesies goliath tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan. Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lb dan lebih 6kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat. Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
Ikan Muskellunge
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia. Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
Keli Wels
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lb dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan. Keli wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
Pari Air Tawar Gergasi
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lb. Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda merasa dasar sungai yang anda pijak bergerak!
Goonch Catfish
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan kenerak gergasi seberat 300lb. Ikan ini dikatakan menarik mangsa dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
Belut Elektrik
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini. Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
Bull Shark
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu bull shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain. Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lb, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky. Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, bull shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.
Cara Buat Umpan Terbaik Memancing Di Tasik Kenyir

Sekiranya anda mengikuti pakej melancong atau memancing ke Tasik Kenyir menggunakan perkhidmatan boathouse atau rumah bot, jangan lupa bawak apa-apa pelet makanan ikan untuk dijadikan umpan memancing.
Lazimnya, kebanyakan boathouse di Tasik Kenyir ada menyediakan buah sawit yang direndam di dalam sesuatu bekas atau tong. Sawit-sawit yang telah direndam sehingga lembut dan berbau ini sememangnya tidak menyenangkan pada hidung kita.
Tetapi ia cukup harum dan menyelerakan bagi ikan-ikan tasik seperti lampam, terbul, temperas serta baung. Malah, ketika suatu ketika dahulu tatkala populasi ikan kelah masih banyak, ia turut mengambil umpan sawit peram ini.
Air rendaman buah sawit yang berbau masam dan agak busuk ini tidak dijadikan umpan, sebaliknya dicurah di kawasan memancing bagi menarik perhatian ikan-ikan tasik.
Buah sawit yang lembut dan berminyak pula dibuang bijinya dan diramas bersama pelet makanan ikan yang turut direndam bagi melembutkannya.
Hasil ramasan sawit peram dan pelet ini akan dibentuk menjadi doh. Untuk mendapatkan doh yang sedikit liat (tidak mudah berderai), biasanya dicampurkan sedikit tepung gandum.
Kemudian doh adunan ini digentel kecil dan dilekatkan pada mata kail yang bersesuai dengan saiz mulut ikan yang banyak terdapat di dasar tasik.
Sesetengah tekong atau kru boathouse Tasik Kenyir menyediakan umpan pelet dan sawit rendam ini untuk kegunaan para pemancing yang menghabiskan masa di rumah bot.
Sekiranya umpan ini tidak disediakan, anda boleh membuatnya sendiri berpandukan perkongsian ini.