Termenung sekejap dibuatnya apabila menerima undangan memancing dari tekong tersohor Port Klang, Pok Mud’s. Esok petang nak turun test joran, lewat malam baru nak ajak! Kalau orang lain yang ajak, tanpa fikir panjang saya akan jawab terima kasih sajalah. Beberapa minit kemudian saya reply mesej dan taip ON!

 

Sebelum on, terpaksalah saya menyiapkan dan scheduled posting sekurang-kurangnya 10 artikel bagi tempoh dua hari. Untuk esok dan juga lusa.  Walaupun trip dijangka bermula jam 8.00 malam keesokan hari dan berakhir awal pagi hari berikutnya, saya tidak berani ambil risiko untuk tidak menyiapkan posting artikel pada hari tersebut.

Lazimnya, kalau cakap habis trip awal… matahari dah terpacak atas kepala pun masih di laut lagi.

 

Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Pangkalan Pengail

 

Memandangkan objektif trip adalah untuk menguji tahap lenturan dan kepaduan joran `Dropin’, joran custom light bottom keluaran seorang rakan dan juga pemilik Fish & Friend Pro Shop, yang mana turut mendapat sentuhan dari Pok Mud sendiri sebagai rod crafter.

 

Setelah bertungkus sepanjang hari menyiapkan tugasan, saya bergegas ke Tanjung Harapan dan tiba di jeti Pengail jam 8 malam, dengan hanya membawa satu set jigging yang hanya main capai dan sumbat ke dalam tackle box sebelum bergerak ke pejabat pada awal pagi.

 

Jangkaan saya yang akan menyertai trip ini selain Pok Mud sebagai tekong ialah pemilik joran Dropin dan seorang rakannya yang lain. Namun mereka tidak dapat hadir dan diganti oleh dua tester lain. Seorangnya memangnya saya kenal dengan nama gelaran Pak Tam.

 

IKLAN
Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Joran Dropin

 

Seorang pengamal teknik popping yang mula berpaling tadah ke arena light bottom fishing. Seorang lagi ialah rakannya, Awe. Kedua-dua mereka menggunakan joran DROPIN sementara saya dan Pok Mud’s menggunakan joran custom air tangan Pok Mud’s juga.

 

Tarikh 24 hari bulan Hijrah sememangnya tarikh yang dicari-cari oleh kaki bottom. Masalahnya, minggu itu (lebih tepat lagi malam Khamis minggu lalu) banyak trip memancing terpaksa dibatalkan ekoran angin selatan yang kuat membadai. Dalam perjalanan keluar dari Selat Klang sekali pun kami sudah merasai kesannya yang belum mereda.

 

Sekitar jam 11.00 malam kami melabuhkan sauh di lubuk pertama. Perancangan saya untuk jigging sambil menunggu umpan bottom disambar spesies bersisik, terpaksa dipendam ekoran keadaan di atas dek lebih sesuai untuk duduk diam daripada berdiri.

Memburukkan lagi keadaan, awan hitam di kaki langit dan bunyi guruh hanya menunggu masa untuk mencetuskan ribut.

 

Berikutan hasil yang agak perlahan di spot pertama, memaksa Pok Mud berpindah ke spot berdekatan. Spot kedua ternyata lebih baik apabila saya dan Pok Mud berjaya mendaratkan spesimen yang lebih bersaiz. Tidak lama kemudian giliran penguji joran DROPIN pula di barisan belakang pula.

IKLAN

 

Sejurus saya mendaratkan spesimen jenahak terbesar trip, apa yang kami tidak ingini muncul juga. Ribut muncul juga sekitar jam 3 pagi. Ikan-ikan yang mula galak mengerjakan umpan udang lipan dan sotong kurita menghilang dengan kedatangan lubuk.

 

Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Antara hasil Awe

 

Selepas Subuh apabila cuaca mula ramah, kami berpindah ke spot yang lebih jauh ke tengah. Kami agak lama juga di spot kegemaran Pok Mud yang belum pernah mengecewakannya. Tapi tidak pagi itu.

Kemunculan ikan mengkerong yang banyak mengerjakan umpan memaksa kami kembali ke spot yang memberangsangkan sebelum dibadai ribut.

 

Kami berjaya lari dari serangan mengkerong tetapi ikan lain juga turut lari dari spot berkenaan. Hampir satu jam yang sepi, kami berpindah lagi hampir satu batu nautika. Memandangkan saya perlu kembali ke darat jam 1 tengah hari dan jam menghampiri 11 pagi, ia mungkin menjadi spot terakhir kami. Dan parti pun bermula!

IKLAN

 

Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Senyum lebar Pak Tam bila berjaya menjinakkan tebal pipi

 

Tidak menunggu lama satu persatu kekili elektrik berdesing. Tatkala joran DROPIN barisan belakang menjalankan tugasnya dengan sempurna, saya ambil kesempatan menurunkan jig slow pitch jigging yang tidak berkesempatan diuji.

 

Sebaik saja jig menyentuh dasar tepat di bawah bot, pitch yang pertama ia sudah disambar dengan rakus. Sayangnya tali sulam 20lb yang digunakan tidak mampu bertahan dek sergapan tersebut.

 

Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Pok Mud, tekong & rod crafter tersohor

 

Saya risau juga bakal menjadi punca ikan-ikan lari berikutan kejadian mainline putu situ tetapi nyata ia sama sekali tidak mempengaruhinya. Tambah menarik, hampir semua spesies bersisik idaman berjaya didaratkan. Jenahak, kerapu, siakap merah, gerut-gerut malah tebal pipi bersaiz kasar berjaya dijinakkan oleh joran DROPIN yang terbukti sangat sensitif terhadap getuan kecil dan `tak buang ikan’. Langsung tiada kejadian rabut yang berlaku.

 

Trip Trobek – Trip Mengejut Test Joran
Hasil

 

Menghampiri jam 1 tengah hari kami melabuhkan umpan dan akhir bergerak pulang selewat-lewatnya jam 1.30 tengah hari. Namun 15 minit kemudian kami bergegas berkemas berikutan awan hitam yang membawa hujan semakin menghampiri. Sekaligus menamatkan trip ujian lapangan DROPIN yang membakar keterujaan saya untuk kembali in membottom!

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI