Di sebalik kegembiraan memiliki aset penting aspek penjagaan keselamatan perlu dititik beratkan. Justeru, bagi kaki pancing dan nelayan pesisir pantai perlulah peka terhadap aset yang dibeli, jangan sampai kena curi.
Bagi pengguna bot topper dan memiliki enjin bersaiz kecil yang mudah disimpan mungkin banyak kelebihan ketika simpanan apabila tidak digunakan. Bot boleh diangkat ke atas bumbung kereta pacuan empat roda ataupun kereta Datsun ‘tonggek’ lama. Enjinnya pula boleh dipikul di atas bahu. (Merujuk kepada bot bersaiz 13 kaki dan enjin 15 kuasa yang masih disimpankan ke darat).
Ads
Begitu juga dengan bot-bot yang mempunyai kemudahan trailer yang hanya diturunkan ke air sewaktu hendak digunakan. Kaedah menurunkan dan menaikkan bot dari air lebih mudah dan cara simpanan lebih selamat jika aspek keselamatan ditingkatkan. Namun tidak semua jeti di negara kita mempunyai kemudahan tempat menurunkan bot seperti luar negara.
Negara kita perlu mengiktiraf memancing sebagai sukan profesional dan menambah baik jeti supaya kemudahan untuk menurunkan dan menaikkan bot dibuat di semua lokasi memancing dibina. Tetapi bagi jeti yang tiada kemudahan menurunkan bot, penyimpanan di jeti adalah langkah terakhir.
Ads
Tetapi aspek keselamatan merangkumi kesemua perlu dititikberatkan contohnya jeti yang kukuh, kawasan jeti yang tidak berada di laut terbuka dan berombak. Jika tiang jeti diperbuat daripada kayu, ia hendaklah sentiasa dibuat penyelenggaraan berjadual untuk ketahanan jeti bagi jangka masa panjang sekiranya dibuat daripada kayu.
Kebiasaannya pengusaha-pengusaha jeti mempunyai persatuan dan ada juga yang tiada. Terdapat jeti yang dibina oleh kerajaan yang diberikan kepada nelayan namun tiada persatuan yang mengawal dan juga menjaga kebersihan persekitaran jeti. Ini memperlihatkan kelonggaran dari segi keselamatan bot-bot yang di letakkan di kawasan jeti.
Ads
Sebaiknya ditubuhkan satu persatuan bagi menjaga keselamatan bot. Ada jeti yang berpagar dan berkunci dan ada juga jeti yang tidak berpagar. Jika tidak berpagar, pemasangan lampu yang terang di sekitar jeti juga mampu mengelakkan kes kecurian.
Malah ada di kalangan pemancing dan juga nelayan mengajikan pekerja yang biasanya rakyat asing untuk menjaga kawasan jeti dan bot yang parking di jeti berkenaan. Walaupun ada pekerja, aspek keselamatan yang asas seperti memasang rantai keselamatan pada enjin bot dan mangga pada kunci pagar jeti mampu meningkatkan keselamatan bot atau enjin daripada dicuri.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Dialog dengan rakan-rakan berkenaan hasil pancingan hari pertama itu, kami merumuskan bahawa sesudu merupakan gewang yang paling berkesan untuk menerima strike. Namun untuk memperoleh spesimen yang lebih kasar, penggunaan gewang permukaan terutamanya pencil jauh lebih berkesan berbanding popper.
Oleh yang demikian, pada hari kedua yang juga merupakan hari terakhir kami lupakan terus penggunaan gewang minnow, crank atau popper yang langsung tidak disentuh pada sesi hari pertama. Selain itu kami turut berkongsi lubuk-lubuk yang mana spesimen kasar berjaya dicungkil.
Jam 7.00 pagi waktu tempatan (6.00 pagi waktu Malaysia), majoriti ahli trip sudah bangkit dan bersiap sedia untuk meneruskan aksi pada hari terakhir. Sekadar mengalas perut dengan bubur nasi (walaupun cuma bubur nasi tapi tetap sedap), kami kesemua meninggalkan rumah bot sekitar jam 8.00 pagi.
Walaupun kami keluar casting sedikit lewat namun berpeluang juga menemui aksi sebarau frenzy. Justeru kami meminta tekong menuju terus ke arah beberapa kelompok sebarau mengerjakan anak ikan di permukaan air.
Bila berhadapan dengan aksi boiling sebegitu tiada gewang paling efektif selain sesudu 12 gm atau lebih yang mampu tenggelam dengan pantas. Percaturan saya mengena apabila menjadi pembuka tirai tangkapan. Sebelum kumpulan sebarau mula menyepi, Anhar sempat juga mendaratkan seekor lagi sebarau.
Seterusnya kami ke lubuk-lubuk perkongsian bersama hasil hari pertama. Selain dari kebanyakannya sudah dihadiri oleh rakan lain, ia juga seperti tidak berpenghuni. Matahari yang memancar terik tidak sebagaimana hari kelmarin juga mungkin mempengaruhi suasana.
Masih enggan pulang ke rumah bot untuk makan tengah hari, kami mengambil keputusan untuk berehat dan sempat melelapkan mata sektika di sebuah rumah usang yang ditinggalkan.
Jam 2.00 petang kami menyambung kembali pencari di tebing berbatu yang mana sebelum rehat tengah hari, Anhar berjaya menjinakkan seekor sebarau bersaiz sederhana dengan penggunaan gewang pencil. Ia sekaligus menamatkan teori kami bahawa hanya seberau bersaiz besar saja yang membaham gewang pencil.
Setelah tekong beroleh lesen beliau di sini, kami beralih pula ke suatu tanjung berbatu yang belum diterokai.
Di tanjung ini kami bersilih ganti strike dan mendaratkan sebarau. Kali ini kami hanya menggunakan sesudu dan berjaya membuktikan juga bukan sebarau bersaiz kecil saja yang mengambil sesudu. Sekurang-kurangnya sepuluh ekor juga kami berjaya daratkan sebarau pelbagai saiz di sini.
Biarpun kami sudah berpuas hati dan ingin kembali ke rumah bot lebih awal, tekong pula seperti keberatan.
Sebelum menamatkan trip pada jam 6.00 petang, kami sempat singgah ke spot ‘lubang pokok’ yang banyak membuahkan hasil pada hari kelmarin. Mungkin waktu masih awal, tidak banyak reaksi ikan pulang ke sarang yang kelihatan. Namun kami berjaya juga mendaratkan dua ekor lagi sebarau di sini.
Jam 6.00 petang kami semua sepakat untuk kembali ke rumah boat bagi persiapan untuk berangkat pulang sebelum pintu sempadan tutup pada jam 10.00 malam. Sesi hari kedua ini menyaksikan kesemua ahli trip berjaya memperoleh lesen dan jumlah tangkapan juga mengatasi hari sebelumnya.
Hazren muncul ahli paling cemerlang setelah berjaya mendaratkan spesimen terbesar seberat 1.8kg. Menurut Neo selaku ketua rombongan, walaupun hasil keseluruhan tidak mencapai sasaran 100 ekor sebagaimana trip yang dianjurkan beliau sebelum ini, namun kami berjaya mencungkil banyak spesimen bersaiz kasar.
Setiap kali ada kelapangan, pasti saya dan rakan-rakan dari Pulau Pinang akan turun ke port biasa kami, iaitu tasik bersia di Gerik, Perak. Lapangan pancing ini merupakan port biasa kami ‘melampiaskan nafsu serakah’ memancing.
Selalunya kami akan bertolak dari kediaman masing-masing selepas waktu Isyak dan rakan-rakan dari pulau pinang akan menjemput saya di Kuala Ketil, Kedah. Sesudah memuatkan barang keperluan Ke dalam kereta,kami akan meneruskan perjalanan ke gerik melalui Lebuhraya Kulim-Baling-Gerik.
Perjalanan melalui lebuhraya ini menyingkatkan waktu perjalanan selama hampir satu jam berbanding jika melalui jalan lama Baling – Pengkalan Hulu – Gerik . Tiba di bandar Gerik, kami akan bermalam di hotel Great Wall dengan kadar bayaran yang berpatutan.
Kami semua bangun pada awal pagi, dan sesudah menunaikan solat subuh, kami Langsung menuju ke Pasar Gerik bagi membeli keperluan makanan sepanjang memancing nanti, selalunya nasi lemak bersebelahan stesen Petronas yang akan kami tapau, kerana rasanya yang sedap dan tahan lama.
Setelah selesai urusan membeli makanan, kami terus menuju ke Kampung Bersia, di mana tauke bot, saudara Izan sudah menunggu. Beliau mengusahakan servis sewaan bot tanpa enjin dengan kadar harga RM50 bagi seharian memancing. Bagi kami kos ini amat berpatutan, namun yang lecehnya terpaksa bawa enjin sendiri.
Telah diketahui bahawa Bersia merupakan lubuk toman gadang yang termasyhur di utara, dengan rekod tangkapan ikan toman mencecah belasan kilogram di sini.
Walaupun Bersia adalah sebuah tasik jaringan sungai utama yang kecil, yang terbina dari Sungai Perak yang tenggelam akibat pembinaan Empangan Hidroelektrik Bersia. Stok ikan sebaraunya juga masih mewah dan tomannya pula masih tidak culas membaham gewang.
Kami akan memulakan pancingan pada awal pagi lagi kerana mengejar waktu ‘makan’ sebarau. Tabiat sebarau yang aktif waktu pagi dan petang membuatkan kami terkejar-kejar masa keemasan ini. Namun sebaliknya pada tengah hari lah waktu paling sesuai menjinakkan ‘gangster’ Bersia ini iaitu sang toman.
Toman di sini amat diketahui tinggi daya juangnya jika terkena gewang, sehinggakan banyak gewang terpaksa disedekahkan kerana perambut putus atau split ring terkangkang. Inilah cabaran yang dilalui ketika bergasak dengan samseng ini.
Saiz toman yang sering ditewaskan adalah Sekitar 3-6 kilogram. Bergasak dengan samseng, merupakan satu kepuasan yang maksimum.
Pancingan ikan siakap merah (mangrove jack atau digelar MJ), bukanlah aktiviti pancingan biasa dan sama dengan pancingan ikan-ikan lain.
Ia membabitkan sebuah kredibiliti tinggi seorang yang digelar pemancing tegar untuk mendaratkannya.
Ini kerana, spot siakap merah liar terutama di kawasan muara dan kuala sungai adalah kubu terbaik untuk ikan ini meloloskan diri.
Bagi kami sendiri, siakap merah yang kami gelarkan si ‘penyamun merah’ ini, bukanlah spesies yang mudah untuk ditewaskan.
Kehebatannya persis seorang atlet pecut 100 meter berlari yakni sifat semula jadinya yang licik dan pantas.
Malah, bagaimana cara pemangsa licik muara ini menarik mahupun mencuri gewang semasa casting di celahan reba juga dikagumi oleh kami.
Ia bersembunyi di celahan reba sambil mengintai dan menunggu mangsa yang lalu berhampiran tempat persembunyian.
Sebab itulah juga, bila sahaja strike dan kaki pancing terlewat beberapa saat menahan asakannya, pasti akan berputih mata. Sama ada mata gewang tersangkutdi celahan reba ataupun mata kail terkangkang.
Bagi kaki casting, mengaplikasikan tali dan mata kail yang bersesuaian perlulah diambil kira dalam usaha mencari ikan ini.
Jika tidak, siakap merah ini mudah melepaskan diri daripada kawalan pemancing dan kemudiannya memboloskan dirinya begitu sahaja setelah bersusah payah mencuba mengaraunya naik ke permukaan.
Lubuk Rahsia
Menyedari masih ramai lagi pemancing yang tidak mengamalkan pancingan tangkap dan lepas, kami bersepakat merahsiakan lubuk yang kami lawati kali ini.
Memadailah sekiranya berkongsi gambar bersama pembaca melihat ‘kepuasan’ yang kami sama-sama rasai.
Umpan Hidup atau Gewang Tiruan?
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan.
Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan.
Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit slim. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jenjulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk diaplikasikan.
Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting.
Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya lakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing.
Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi.
Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Sudah Rezeki Kami
Dalam usaha mencari spesies ini, kami turut memperoleh strike dari ikan lain seperti bulan atau tarpon dan juga alu-alau.
Elvi Ching sempat melayan alu-alu ini yang turut meronda di kawasan pencarian kami mendapatkan siakap merah.
Berderau juga Elvi Ching apabila lontaran gewang yang disangka siakap merah, direntap rakus oleh alu-alu yang turut mendiami di kawasan spot ini.
Walaupun akhirnya agak mudah untuk mengekangnya daripada melepaskan diri, tapi semangatnya untuk mencuba melepaskan diri menambah keseronokan bertarung dengan spesies gigi tajam ini.
Pada masa yang sama, kami turut melayan ikan bulan yang kebetulan boiling di permukaan air.
Lompatan demi lompatan bulan yang cuba melepaskan diri apabila mula menghampiri bot kami amat mengasyikkan.
Jangkaan kami pertembungan dengannya agak mudah, ternyata meleset kerana banyak ekor juga yang `miss`, apabila lompatan akrobatiknya berjaya melepaskan mulutnya dari mata gewang.
Suasana di atas bot menjadi riuh rendah seketika apabila berlaku strike serentak. Detik Menarik!
Kami kemudiannya meneruskan pemburuan siakap merah dan apabila bot memasuki satu anak sungai, Elvi Ching melontarkan gewangnya di satu spot tidak jauh dari tebing.
Tiba-tiba sahaja satu sergapan kuat diterima oleh Elvi dan sepantas kilat, dia melakukan hook-up dan strike!
Elvi terus sahaja menahan asakan sambil menahan asakan dan akhirnya selepas beberapa minit kemudian, si ‘penyamun merah’ ini akhirnya berjaya didaratkan.
Tuah buat Elvi yang berjayamemperoleh siakap merah bersaiz dewasa dan matang. Sudah tentulah, saat ketika strike, ia momen yang amat didambakan oleh kaki-kaki casting.
Sergahan rakus ia menyambar gewang dan terus melarikan gewang merupakan suatu detik yang tidak akan dilupakan oleh mana sahaja kaki casting tegar.
Lewat petang, beberapa lagi strike diterima sebelum kami menamatkan pencarian spesies tersebut.
2 ekor yang diperolehi Lim Kim Peng adalah bersaiz kecil dari tapak tangan dan kami telah lepaskan semula.
Walaupun secara keseluruhannya tidak lumayan hasilnya, kami pasti tidak akan serik untuk bertandang ke sini lagi.
Jadi, kepada pemancing di luar sana yang belum ada lagi lesen ikan ini, silalah berbuat demikian, kerana si penyamun merah ada karannya yang tersendiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...