Pertandingan mengilat atau casting spesies ikan berkepala ular (snakehead) yang berpusat di Tasik Kenyir, Kenyir Snakehead Battle kini semakin mendapat tempat di hati pengilat tanah air dan juga luar negara. Pertandingan mengilat yang dianjurkan secara dwi tahunan atau dua kali setahun ini kini turut disertai oleh pemancing dari negara Thailand dan Singapura.
wakil peserta dari Singapura
Hujung minggu lalu, pada tanggal 19 dan 20 Ogos, berpusat di Jeti Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir seramai 150 orang peserta mengambil bahagian dan masing-masing telah mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam pertandingan mengilat dengan menggunakan bot gentian kaca ini hampir 50 ekor toman berjaya ditewaskan dan 35 ekor layak untuk dipertandingkan.
kelisa yang menyambar gewang khusus untuk toman
Ketika para peserta sibuk mencari lubuk dan menduga spesies snakehead ini, seorang peserta dari Pahang membuat kejutan dengan tangkapan seekor ikan kelisa dengan anggaran 4 kg yang menyambar gewang besar yang dikhaskan untuk toman. Saiz spesimen tersebut boleh dikatakan amat sukar untuk ditemui ketika ini di Tasik Kenyir.
toman yang menobatkan pemancingnya sebagai juara
Dalam pertandingan anjuran MHMH Sport Fishing ini, Shahrim dari pasukan atau kumpulan KLUQKLEQ CREW muncul sebagai juara apabila mengungguli carta dengan tangkapan seekor ikan toman seberat 6.22 kilogram. Manakala pemenang di tangga kedua dan ketiga pula didominasi oleh ahli kumpulan KB ANGLERS & AQUATIC-ID WORLD.
pemenang bagi kategori tangkapan terpantas
Sementara bagi kategori tangkapan toman terbanyak pula dimenangi oleh pasukan LOKOH setelah berjaya mendaratkan lima ekor ikan toman, dan pemenang di tempat kedua pula menjadi milik pasukan SYSIK HUNTER dengan jumlah tangkapan sebanyak empat ekor toman. Dan kategori tangkapan terpantas pula dimenangi oleh peserta daripada kumpulan JERTEH CASTER CREW, Kamal berjaya mendaratkan seekor ikan dibawa ke rumah bot urus setia pada jam 9.25 pagi, hari pertama pertandingan.
Ads
Kumpulan LOKOH yang menjuarai kategori tangkapan terbanyak
Pihak penganjur sangat berbesar hati dengan kejayaan pertandingan ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat. Terutamanya kepada pihak-pihak penaja yang menyumbangkan pelbagai hadiah bagi memeriahkan lagi Kenyir Snakehead Battle edisi kelima ini. Sekiranya tiada halangan, pertandingan atau battle seterusnya akan dilangsungkan pada bulan Februari 2018.
Bertempat di Kolam Pancing Paroi, Seremban, kami dari Group Kampung Sentosa A Paroi (Mahfah) telah bermuafakat untuk mengadakan satu komplot memancing Santai Anak Mahfaz dengan tema `Moh Jagho Lopak Kito’.
Program hasil inisatif belia dan pemuda Mahfaz ini dianjurkan oleh Mohd Firdaus Badzali yang merupakan Setiausaha Program Persatuan Belia, Kg Sentosa Bersatu (BKSB) merangkap YDP GPMS Rembau & Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Zaini Md Radzali atau dikenali dengan nama Ujang Like selaku juru cakap Santai Anak Mahfaz, program ini diadakan bagi mengeratkan silaturahim di antara individu, komuniti setempat dan generasi muda Kg Sentosa. Selain tu ia turut menjadi aktiviti riadah (memancing) di kalangan anak-anak muda Mahfah pada masa lapang.
Dalam pada masa yang sama Ia juga dapat merangka pelan tindakan kendiri dan hala tuju yang bersesuaian dalam membentuk kualiti kehidupan masyarakat kampung pada masa akan datang. Memupuk semangat kerjasama di kalangan mereka dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
“Program ini juga dapat membentuk perpaduan di kalangan masyarakat sama ada generasi kanak-kanak, remaja, belia serta warga tua dengan lebih berkesan dalam menangani isu-isu semasa yang banyak berlaku sekarang ini.”
“Yang paling penting ia mengembalikan keseronokan berkumpul sesama sahabat kampung yang kebanyakannya bekerja di luar sekali gus mengeratkan kekeluargaan semua penduduk Mahfaz,” tambah Ujang Like lagi.
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini disertai hampir 60 anak Mahfaz. Kehadiran peserta yang ramai dan di luar jangkaan itu ternyata memeriahkan suasana. Suasana yang sedia meriah bertambah kemeriahannya apabila seorang demi seorang peserta berjaya mendaratkan ikan yang terdiri daripada spesies siakap putih dan siakap merah.
Keputusan pertandingan santai ini menyaksikan peserta yang mendaratkan ikan siakap putih seberat 3.7 kilogram muncul sebagai juara.
Bukan sekali malah tiga kali trip yang pada asal fokus kepada candat sotong terencat dan terpaksa tukar strategi. Ini kerana jumlah tangkapan hanya sekadar cukup untuk umpan semalaman.
Paparan kali ini membawa bersama sekumpulan otai Delta Klang yang sudah penuh kerantung mereka pengalaman memancing ikan. Memancing sotong hanya setahun sekali itu pun kalau terpengaruh desakan menyatakan sekarang musim sotong pantang hulur candat.
Percaturan dibuat lebih kepada persediaan mencandat sambil beralih angin seketika. Tapi bila dah jemu menunggu sotong yang kadang-kadang muncul, kadang-kadang menyepi barulah desakan tukar tajuk sotong ke tajuk ikan pula. Namun bila dah tengah waktu dah nak gelincir pagi memang susah sedikit untuk ajak tekong berpindah.
Justeru kaki pancing sedaya upaya bertahan sambil berusaha mendapat sedikit sotong sebagai umpan memancing ikan. Manakala untuk umpan tekak memang tak lepas. 3 ekor seorang untuk dibawa pulang amat memeritkan. Begitu pun tekong kami cukup faham apabila terpancar kekecewaan di wajah pemancing separuh abad. Malah tekong sendiri turut berkerut dahi apabila melihat hasil sotong di luar jangkaan.
Kekili paling top di kalangan otai Port Klang ialah Banax SX5000 dimuatkan dengan tali mono 60lb. Jadi kapasiti muatan hanya sekitar 100 meter lebih. Banyak kekili tersadai apabila digunakan di kawasan yang berkedalam lebih 200 kaki. Panjang tali boleh cecah ke dasar tetapi tali boleh tidak mampu membelah air dengan baik dan sering tersasar jauh untuk memastikan batu ladung mencecah dasar.
Begitu juga dengan sensitiviti peralatan tidak begitu sensitif mengesan getuan kecil pada hujung joran. Memang peralatan pancing ini cukup popular pada waktu dahulu. Bila sudah menjadi kebiasaan menggunakan set pancing begini, mereka tidak berminat menggunakan tali sulam mahupun joran masa kini yang berteraskan grafit.
Masih setia dengan `lb’ berbanding `PE’. Begitu pun hal ini tidak begitu menjadi masalah utama jika bijak menangani sesuatu situasi dengan baik. Malah hal ini tidak diambil pedulu oleh kaki pancing otai Port Klang asalkan boleh layan dengan apa jua set peralatan yang digunakan. Kecanggihan bukan soal pokok kerana kepuasan terletak macam mana individu itu menghayati aktiviti memancing.
Banyak kelebihan menggunakan sotong candat sebagai umpan berbanding sotong pasar. Walaupun terpaksa berkorban sotong yang dihajati untuk umpan tekak, ikan yang berjaya ditawan menjadi pengubat pula. Kalau dipasangkan sebelah menyebelah dengan peralatan yang serupa keduanya, antara umpan sotong candat dengan sotong pasar, kita akan tahu jawapannya.
Kalau setakat beberapa ekor dicandat memang tak ada baki lagi. Kalau yang bijak mereka akan sorok beberapa ekor sotong yang gadang untuk ditunjukkan kepada isteri bila balik nanti. Takut nanti bini tak percata suaminya pergi memancing kalau tiada bukti yang dibawa pulang atau bimbang akan ditertawakan kalau pergi mencandat tapi tak bawa balik hasil. Besar atau kecil sotong dibalun untuk dijadikan umpan.
Tak perlu sayang-sayang kalau nak memancing dan mendapat hasil yang baik. Kalau kecil pasang sekor-sekor, kalau besar bahagian kepala dahulu yang hilang ditibai kerana kepala sotong amat cepat menerima ragutan berbanding menggunakan badan.
Mata sotong yang bersinar serta sesungut yang mengambai-ngambai seolah-olah membuatkan ikan tidak dapat menahan nafsu makannya.
Kata orang tua-tua, ikan kalau terserempak sahaja umpan kepala sotong bersinar di tengah kegelapan malam memang tak bagi change lagi. Siaplah jaga joran tu jangan sampai habis tali dilarikan atau lebih naya kalau joran terjun laut bila tak beringat!
Sebab itu bila guna umpan mujarab, duduk dan tunggu joran tu kerana waktu ikan menyembat joran tanpa waktu yang kita sangka. Tiada tanda dan banyak terjadi sekelip mata. Malah di depan mata ketika pemancing belum sempat buat apa-apa.
Seperkara yang lain pula kita tentu tidak menyediakan peti ikan besar kerana untuk sotong memadai bawa 48qt Coleman. Alih-alih bila sotong tak menjadi, ikan pula saiz tidak muat peti. Tarik ikan berskala besar memang seronok, puas melayan namun ia memeningkan apabila tiba di jeti.
Kena pula ikan yang tidak begitu bernilai di kaca mata tekong, maka terpaksa pemancing menguruskan ikan untuk dibawa pulang. Tidak berbaloi untuk dijual. Jadi terpaksa jadi pakar bedah, tukang kerat hasil mengikut jumlah ahli trip. Sekor dua mudah cerita, tapi kalau dah banyak tambah lagi sakit tulang belakang.
Di mana saja rata-rata pemancing tentunya ingin mengena ikan yang berskala `sakit tulang belakang’ tidak kira tua atau muda kerana ia adalah lumrah di kalangan pemancing. Dalam trip ini penulis terjumpa dengan pemancing yang enggan ikan besar meragut umpannya. Bimbang susah nak dikendalikan serta buat sakit badan katanya lagi.
Khabar perihal sahabat saya ingin menduga spesies raja muara menarik minat saya untuk menduga spesies yang memang sudah lama tidak saya merasa tarikannya ini.
Tambahan pula lokasinya berdekatan dengan kampung halaman saya, jadi rugi kalau tidak bersama. Spot yang terletak di sebelah utara semenanjung ini sememangnya agak terkenal dengan siakapnya.
Zubir dan Asan, dua orang pemancing dari Kampar dan Gopeng memang berhajat besar untuk menarik spesies ini.
Mungkin kerana kampung halaman mereka yang agak jauh dari laut mengehadkan aktiviti mereka untuk menduga spesies muara ini. Saya pula yang bekerja di sektor swasta di Selangor, bergerak awal pagi terus ke lokasi ini.
Kami tiba awal pagi dan terus ke jeti dan memunggah senjata yang ada. Maklumlah hati sudah tidak sabar. Bagi saya dan Asan, acara casting tentulah menjadi acara wajib. Zubir pula lebih selesa dengan pancingan dasar. Zubir juga menjadi tekong bot kami pada trip kali ini.
Bot sepanjang 13 kaki menjadi sewaan kami memang cukup selesa untuk tiga orang pemancing. Setelah semua keperluan penting siap, Zubir selaku tekong terus memacu bot fiber yang disewa ke spot pilihan.
Tidak perlu menunggu lama, penggayaan sinking pencil Ofmer Wander saya disambut ikan sumpit-sumpit. Nampaknya ikan mula aktif. Air bunga pasang yang dikejar sedang berlaku.
Tidak lama kemudian kumpulan ikan bulan mula menerpa. Strike demi strike saya perolehi dan ikan dapat didaratkan.
Saya menggunakan gewang keluaran Ofmer Wander 50 berwarna pelangi. Memang cukup berkesan gewang ini hinggakan saya tidak mahu menukar gewang lain.
Selepas acara memanaskan badan dengan si bulan, saya berehat sebentar sambil melihat Asan terus menerus dengan acara casting. Lontaran dibuat ke arah tebing yang mempunyai bangkar kayu mati ke arah bot.
Setelah beberapa kali lontaran dilakukan, tiba-tiba satu sedutan yang menghasilkan bunyi ‘BOFF’ agak kuat berlaku ketika popper menghampiri bot.
Asan menjerit gembira bila sang siakap mula menghambur ke udara beberapa ketika selepas merasa dirinya terjerat. Faktor sambaran yang berlaku hampir kepada bot memberi kelebihan kepada Asan untuk mengawal keadaan dengan lebih mudah.
Rezeki akhirnya berpihak kepada kami dengan terdaratnya siakap liar pertama untuk trip kali ini. Dengan berat menghampiri 2 kg, Asan mampu tersenyum lebar.
Zubir terus sabar menggunakan teknik pelampung menggunakan umpan hidup. Apa lagi kalau bukan umpan killer iaitu udang hidup. Lontaran umpan menggunakan pelampung hanya beberapa meter dari bot kami.
Namun, Zubir juga tidak perlu menunggu lama. Teknik hanyutan pelampungnya cepat disapa siakap. Menyedari pelampungnya hilang, rod terus dicapai dan jeritan spool spinning memecah sebentar kesunyian.
Mangsa membuat larian padu setelah mulutnya tercangkuk kail. Zubir melayan karenah ikannya dengan cukup berhati-hati. Maklumlah set ringan dengan tali mono atau tangsi yang digunakan hanya berkekuatan 6 lb.
Memang berani betul untuk melayan siakap liar dengan setting sebegini. Sedang mangsa di hela menuju bot, tiba-tiba ikan ini membuat lonjakan dan gelengan terakhir dan berjaya meluahkan mata kail keluar. Kami semua hanya mampu melihat, tiada rezeki untuk Zubir.
Saya yang masih lagi belum merasai strike, menukar gewang, kali ini Ofmer Original Shad saya pertaruhkan. Air yang cantik tanpa keruh yang kuat ditambah terik matahari pasti menyerlahkan lagi aksi gewang ini.
Lontaran saya lakukan ke sudut tengah muara namun tiada sambutan. Saya berubah posisi dan lontaran dilakukan ke sebelah tebing menghala ke bot. Lontaran ke kawasan bangkar kayu turut dibuat oleh Asan.
Hanya sebelah menyebelah gewang kami beraksi. Maklumlah masing-masing ingin menghanyirkan gewang selaman dalam kami.
Beberapa kali lontaran dibuat sebelum tiba-tiba terasa seperti gewang berlanggar bangkar di dasar muara dan sangkut! Sembatan sederhana saya lakukan dan yes! Akhirnya sambutan berlaku ke atas gelekan gewang selaman dalam saya.
Larian kencang ‘penyamun’ pantas melarikan gewang. Siakap bisik hati saya walaupun belum kelihatan kelibat sang pemangsa muara ini. Tetapi gaya henjutannya menunjukkan angkara sebenar pelaku yang menghentam gewang selaman saya ini sehinggalah satu lonjakan padu ke udara berlaku.
Akrobatik yang berlaku sambil ikan ini membuat gelengan kepala untuk membuang gewang sungguh mempesonakan kami. Namun usaha sang raja sia-sia kerana treble hook tetap tertancap kemas di bibirnya dan di bawah mulut.
Saya melayan ikan ini berhati-hati. Saiz yang agak sedap dilayan ini dikawal sebaik mungkin menggunakan rod Abu Garcia Millenium 2000 sepanjang lapan kaki setengah ini. Seperti aksi melayan rod fly pula rasanya.
Lenturan rod ini agak lembut dan panjangnya membuat tenaga ikan dipindahkan sepenuhnya di tangan saya. Memang mengujakan. Saya dikerah bertahan apabila ikan mula membuat henjutan berkali-kali sehingga ke bawah bot. Kali ini tali sauh menjadi sasaran untuk perisai terakhir.
Rod Abu Millenium meliuk ke tahap ‘L’ menahan asakan bertali arus. Mujur Asan yang berada di hadapan bot pantas bertindak dengan bersedia dengan tangguk.
Sang raja akhirnya berjaya ditangguk setelah penat dipujuk. Alhamdulillah, siakap liar berjaya juga saya modelkan. Rezeki anak isteri, bisik hati saya.
Selain siakap putih yang kami cari, kami juga memasang hasrat untuk cuba menaikkan panglima muara di sini. Siapa lagi kalau bukan ikan siakap merah.
Info yang saya dapati daripada pengusaha-pengusaha bot sewa di sini mengatakan memang terdapat spesies ini namun agak sukar mendapatkannya. Mungkin belum rezeki saya atau ilmu yang belum cukup untuk mendapatkannya.
Saya juga biasa ternampak kelibat anak-anak siakap merah ni bermain-main ketika air pasang berlaku. Maklumlah rumah saya tidak jauh dari muara sungai.
Tetapi telahan beberapa pihak mengatakan yang spesies ini tidak ada di spot yang saya kunjungi ini menaikkan lagi semangat saya untuk mendapatkannya. Mungkin trip selepas ini saya akan menjadikan spesies ini sasaran utama saya pula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...