
Cara terbaik memancing ketarap ialah dengan memegang joran. Ini kerana kita akan cepat merasa getuan dan bersedia untuk melakukan hook up bagi menghela ketarap jauh daripada lubangnya.
Pada permulaannya, ketarap akan memberi tekanan yang paling maksimum, jelas kelihatan joran akan membengkok. Kita tidak perlu merasa panik dan tunggu saja, di mana tidak perlu terburu-buru membuat karauan.
Sekejap saja tekanan semakin kendur dan mulalah mengarau kekili anda, pasti akan merasa seakan menarik seketul batu yang besar.
Daya juang ketarap memang kuat sebaik saja meragut umpan, tetapi sekejap saja ia akan mengangkat bendera putih. Tetapi yang penting, kita dapat mengawalnya daripada menyelinap ke dalam lubang atau struktur berbatu dan karang.
Sekiranya ikan terlebih dahulu menyelinap ke dalam struktur berbatu, lupakan niat anda ingin bergambar dengan spesies cantik berwarna-warni ini.
Perambut kasar 80lb atau lebih disarankan. Ini bukan kerana gigi kapak yang tajam, tetapi untuk mengelakkan perambut mudah putus sebaik saja bergesel dasar berbatu dan berteritip.
Panjang perambut cukuplah sedepa, paling elok sekiranya anda dapat meletakkan umpan anda betul-betul di atas struktur berkarang, dengan batu ladung diangkat sedikit ke atas.
Drag hendaklah dikunci mati, di mana kita tidak boleh bermain tarik tali dengannya. Memancing ketarap disarankan menggunakan joran yang agak keras dengan kekili berkualiti tinggi, agar sistem tegangan berfungsi dengan baik.
Pernah sebelum ini seorang pemancing menggunakan kekili murah. Sebaik saja dihentam ketarap, tali masih lagi keluar dari spool, walaupun sistem tegangan sudah di tahap paling
maksimum. Mungkin ketarap besar sudah membaham umpannya. Ia satu kerugian yang amat dikesali.
Ketahui Jenis & Maha Pentingnya Jaket Keselamatan!!

Jaket keselamatan merupakan peralatan keselamatan yang paling penting ketika kita berada dalam air mahupun ketika melakukan aktiviti air. Untuk mengelakkan risiko berlakunya perkara yang tidak diingini, maka penggunaan jaket keselamatan wajar diwajibkan!
Jaket keselamatan merupakan salah satu daripada bahan bantuan apungan atau disebut PFD (personal floatation devices). PFD ini terbahagi kepada beberapa kategori antaranya jaket keselamatan (life jacket), buoyancy AID (BA) dan pelampung (ring rescue).
Namun apa yang ingin difokuskan di sini ialah jaket keselamatan dan BA kerana ia amat penting kepada pemancing dan sentiasa melekat pada badan pemancing berbanding pelampung. Kedua-dua peralatan ini mempunyai fungsi yang sama.
Namun, secara penggunaan dan prestasinya adalah berbeza. Oleh itu sebagai pemancing perlu bijak memilih PFD ini sebelum keluar melakukan aktiviti air.
BA berbentuk seperti vest dan dilengkapi tali pinggang. BA kebiasaannya dihasilkan getah kalis air yang lembut. Ia akan membuatkan kita terapung secara menegak ketika berada dalam air. Perlu diberi perhatian, BA ini hanya boleh bertahan dalam jangka masa yang pendek mengikut kualiti buatannya seperti 48, 24, 12 jam atau kurang daripada itu.
Apabila foam telah dipenuhi air, ia tidak lagi bertindak sebagai bahan apungan dan akan terus tenggelam. Sebab itulah BA hanya sesuai untuk aktiiti air yang tidak melibatkan masa yang lama.
Life jacket pula membantu kita mengapungkan diri dalam jangka masa yang lama seperti terapung akibat kapal tenggelam, jatuh kapal terbang dan sebagainya. Bahan gas perlu diisi semula selepas digunakan dengan kos tertentu.
Jangka hayat ketahanan gas pula bergantung kepada saiz orang yang memakainya. Kebiasaannya ia akan berfungsi apabila berlaku hentakan atau tekanan yang kuat contohnya akibat terjatuh ke dalam air dan ia akan mengembang secara automatik.
Terdapat yang sejenis lagi hanya akan mengembang apabila ia dimasukkan angin melalui tiupan atau tarikan pada tali yang disediakan.
Oleh itu, jangan sesekali mengambil mudah apabila anda turun memancing atau melakukan aktiviti air. Pastikan bot yang dinaiki mempunyai kemudahan PFD ini atau paling kita bawalah sendiri.
Ikon: Personaliti – Edi Isa Masta Distance casting

Siapa sangka tohmahan yang mengatakan wakil Asia tidak mampu mencapai jarak lontaran melebihi 200 meter berjaya dipatahkan oleh anak jati negara ini.
Dengan jarak 231 meter yang dilakukan pada tahun 2015 menjadikan nama Edi Isa melonjak sebagai pemegang rekod distance castig Asia Tenggara sekali gus berjaya
mendiamkan suara-suara sumbang yang sering meragui kehebatan wakil Asia di dalam arena sportcast ini.
Edi Isa atau nama sebenarnya Eri Edizamrius Bin Isa bukanlah nama kecil di negara ini. Minatnya yang mendalam di dalam arena memancing dan distance casting ternyata melonjakkan reputasi beliau di Malaysia.
Malah boleh dikatakan hampir semua pertandingan distance casting yang diadakan di negara ini dijuarai beliau.
Mula menceburi arena memancing pada tahun 1999 yang mana pada waktu lebih kepada pancingan suka-suka untuk mencari lauk menjadi titik tolak kepada penglibatan beliau di dalam arena sportcast di Malaysia.
Mengetahui tentang arena sportcast ini apabila melihat artikel yang disiarkan di dalam sebuah majalah pada waktu itu dan seterusnya pada tahun 2005 beliau berkenalan dengan
sifu sportcast beliau iaitu arwah Syed Badrulhisyam yang menjadi orang pertama menggalakkan penglibatan beliau untuk serius di dalam arena ini.
Pecah Rekod
Akhirnya, sewaktu lingkungan usia 25 tahun iaitu sekitar Mac 2005 beliau mula memberanikan diri untuk menyertai pertandingan distance casting.
Boleh dikatakan penglibatan pertama beliau agak tidak menyerlah apabila langsung tiada rekod berjaya dicatatkan.
Catatan terbaiknya pada waktu itu hanyalah sekitar 162 meter sahaja. Namun semua ini langsung tidak mematahkan semangatnya.
Pada penghujung tahun 2005, beliau kembali menyertai kejohanan distance casting yang bertempat di Lembaga Getah Malaysia.
Siapa sangka selepas malu teruk sewaktu kejohanan pertama beliau berjaya memecahkan rekod Malaysia di kejohanan kedua yang beliau sertai dengan jarak lontaran 220.6 meter.
Selepas sahaja kejayaan ini beliau terus membuktikan kehebatan beliau sebagai salah seorang distance caster yang terbaik di Asia Tenggara.
Bila ditanyakan apakah faktor yang menjadikan beliau meminati arena distance casting ini, beliau lantas menjawab;
“Arena sportcast ini bolehlah dianggap sebagai salah satu sukan yang baik untuk kaki pancing.
Saya meminati arena ini apabila mampu mencapai jarak lontaran melebihi 200 meter yang dikatakan agak sukar dicapai oleh caster dari Asia. Pada masa yang sama, saya juga
meminati arena ini apabila teruja melihat World Record Distance Casting yang dipegang oleh Danny Moeskop dari Belgium pada waktu itu dengan lontaran sejauh 272 meter”.
Namun, kejayaan yang dicapai beliau sudah pasti ada pasang surutnya. Beliau pernah hampir kecewa pada suatu ketika apabila di antara rakan sendiri yang tidak berpuas hati dengan kejayaan yang di kecapi beliau.
Malah, lebih buruk lagi terdapat banyak suara-suara sumbang yang mempertikaikan minat beliau di dalam distance casting ini dan menyifatkan aktiviti ini tidak membawa sebarang hasil untuk kaki pancing.
Walau bagaimanapun, meskipun dikecam dalam pelbagai cara, beliau tetap menjadikan perkara itu sebagai asam garam kehidupan.
Beliau tidak sama sekali mengambil kira perkara-perkara negatif yang cuba menjatuhkan beliau terus komited untuk membuktikan lagi anak Malaysia mampu untuk berdiri setanding sportcaster dari Eropah.
Custom Rod
Selain bergiat aktif di dalam arena sportcast, Edi juga mempunyai bakat dalam menghasilkan custom rod.
Beliau mula bergiat aktif di dalam penghasilan custom rod sejak tahun 1999 lagi apabila mendapat inspirasi setelah kebanyakan rod yang dibeli pada waktu itu sering patah dan tidak tahan lama.
Dari situ beliau belajar untuk membuat rod sendiri daripada blank kosong dan ternyata ramai kaki pancing yang sering menggunakan khidmat beliau untuk custom rod mereka kerana servis yang ditawarkan begitu memuaskan dengan harga yang sangat berpatutan.
Antara khidmat custom yang boleh dilakukan beliau ialah cat dan label semula rod, klon rod dan bermacam-macam lagi. Pemancing juga boleh menggunakan khidmat beliau untuk “turbo tuning” kekili Baitcaster atau BC.
Harapan
Di akhir perbualan penulis dengan ikon distance casting Malaysia ini beliau turut menyatakan harapan beliau untuk arena ini.
Beliau amat mengharapkan agar lebih ramai untuk mencuba dan menceburkan diri di dalam arena distance casting di Malaysia.
Dengan cara ini beliau mengharapkan agar ada lebih banyak pelapis untuk memperbaharui rekod distance casting yang sedia ada di Malaysia mahupun dunia.
Beliau juga turut menyeru agar lebih ramai kaki pancing yang untuk mencuba sendiri field casting atau distance casting ini dan mendapatkan jarak sebenar lontaran anda.
Adalah lebih baik untuk hentikan cakap-cakap mulut tentang jarak lontaran anda dan buktikan sendiri kebolehan anda di sini. Dalam erti kata lain, “biarkan padang bercakap!”
Aplikasi Micro Jigging Port Sangkar!!

Teknik jigging kini semakin tempat di kalangan kaki pancing Malaysia. Ada pelbagai teknik yang sering digunakan seperti jig cast, slow pitch jigging dan micro jigging. Meskipun teknik ini biasanya diaplikasikan di atas bot, tetapi tahukah anda teknik seperti micro jigging boleh juga diaplikasikan di rumah rakit atau kelong?
Micro jig merupakan teknik yang menggunakan kepingan besi yang mempunyai renangan seperti ikan di dalam air. Kepingan besi itu biasanya bersaiz 3-30gram sebab itulah ia digelar micro jig.
Untuk mengaplikasikan teknik micro jig ini padanan joran dan kekili juga haruslah seimbang. Joran dari P.E 0.6 hinggalah 1.0/1.5 dengan hujungnya yang sensitif adalah yang terbaik untuk digunakan. Kekili pula yang biasa digunakan ialah bersaiz 1000 – 2500 yang dipadankan dengan tali braided 0.6 – 10lb.
Untuk menggunakan teknik ini, pemancing harus tahu menggayakan micro jig anda. Saiz jig yang perlu digunakan haruslah bergantung kepada arus pada waktu itu. Jika arus agak laju, gunakanlah jig yang lebih berat dan begitulah sebaliknya.
Untuk teknik micro jig di rumah rakit / kelong, pemancing haruslah mengetahui kawasan yang berpotensi (karang atau tukun) untuk menurunkan jig anda. Caranya mudah saja, dengan hanya melepaskan jig hingga ke dasar, dan unjun jig tersebut beberapa kali (2-3 kali).
Dan kemudian gulung sedikit dan mainkan kembali jig itu. Selepas beberapa gulungan, jika tiada sambaran, lepaskan kembali jig itu ke dasar dan ulang semula permainan jig berkenaan.
Jika kena pada tempat dan waktunya, pasti ada sambaran yang anda dapat. Selamat mencuba!!!