Dikenali sebagai Portuguese Man-Of-War. Ia tergolong dalam keluarga obor-obor yang mempunyai sesungut dan mempunyai sebanyak 30 kaki.
Ads
Sebenarnya, haiwan ini amat berbahaya sehingga boleh mengundang maut! Ia lebih berbahaya daripada obor-obor. Sudah banyak tanda-tanda amaran yang telah diletakkan di pantai untuk mengelakkan anda daripada memegang mahupun memijak haiwan ini.
Walaupun haiwan ini cantik, bersinar dan lembut, jika anda terkena sengatan Man-Of-War ini, ia boleh menyebabkan badan anda mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan akhir sekali menjurus kepada kematian.
Ads
Sekiranya anda telah disengat oleh haiwan ini, jangan buang air di kawasan pantai berkenaan kerana ia akan membuat keadaan anda lebih teruk. Anda dinasihati supaya bergegas ke klinik atau dapatkan rawatan secepat mungkin sejurus terkena sengatan haiwan ini.
Ads
Maklumkan juga pada keluarga dan rakan sekiranya mereka melihat gelembung ungu mahupun biru terapung di perairan laut semasa mereka berada di pantai kerana ia adalah haiwan yang sama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sebelum menuju spot-spot berpotensi untuk pancingan dasar, unjam-unjam laut di luar kawasan taman laut Pulau Tenggol menjadi persinggahan kami bagi mencari umpan hidup seperti tamban, selar atau kembung.
Namun keterujaan penulis pada hari pertama terhadap potensi pancingan di Pulau Tenggol mula mengendur ekoran untuk mendapatkan seekor umpan hidup sekali begitu sukar. Hasil daripada umpan hidup yang diperolehi, berjayalah juga seekor belitong. Sementara hasil daripada pancingan dasar boleh dikatakan hampir sifar.
Setelah seharian berhanyut memancing kerisi pada hari kedua, menjelang petang kami kembali lagi ke unjam-unjam ini untuk mencari umpan. Sejurus tiba di kawasan unjam, gewang yang dikarau kembali setelah melakukan tundaan secara tiba-tiba disambar secara kasar dan tidak menunggu si belitong atau dorado mempamerkan aksi akrobatik di udara.
Ekoran bateri yang digunakan kehabisan kuasa maka ‘bangla’ terpaksa digunakan secara manual bagi menaikkan dorado tersebut. Setelah menanggalkan gewang dari mulut dorado, bagi tujuan keselamatan penulis mencampakkan kembali gewang tersebut ke air tanpa menyedari spool ‘bangla’ tersebut dalam keadaan free dan bot pula sedang berhanyut.
Perkara itu hanya disedari apabila tali pancing meluru keluar dari ‘bangla’ ekoran gewang dilepaskan hanyut itu disambar seekor dorado lain pula. Selepas beberapa ekor dorado dinaikkan hasil dari gewang yang sama dan hasil dari Apollo turut sama di cukai sang dorado, penulis tidak melepaskan peluang untuk menjeratnya dengan teknik jigging pula.
Mali jig 18 gm dilontar ke arah unjam dan di karau laju. Hanya sekali balingan saja, sudah mengena namun rabut. Balingan kedua berjaya dan seekor dorado berjaya didaratkan. Balingan seterusnya pula giliran sang pemangsa pula yang berjaya memutuskan perambut sekali gus meleburkan seketul jig.
Tidak sampai lima kali lontaran, jig yang dimainkan secara jigging casting segera disambut. Sebelum mata matahari tenggelam, 3 ekor dorado berjaya penulis daratkan daripada hasil 7 kali sambaran. Sementara rakan-rakan lain yang turut sama berjigging berjaya menaikkan beberapa ekor tongkol dan alu-alu di samping dorado yang mendominasi tangkapan.
Tanpa umpan hidup atau umpan segar dari unjam, aktiviti pancingan malam diteruskan ke spot pilihan tekong. Menggunakan saki baki umpan pasar, spot pilihan tekong ternyata didiami ikan-ikan berstatus mega.
Biar pun hanya seekor mayong bersaiz kasar berjaya dinaikkan, kejadian mata kail 4X yang berjaya diluruskan ikan, tali sulam 80lb dan perambut 100lb yang berjaya diputuskan membukti masih ada monster yang gagal didaratkan di spot tersebut.
Penulis yang lebih banyak berehat ekoran tidak membawa peralatan pancingan dasar tidak mengendahkan sangat kejadian tersebut. Sebaliknya lebih memberikan perhatian terhadap aktiviti bot pukat tunda yang seolah-olah mahu menunda sama bot yang kami naiki yang mengarah ke kawasan taman laut Pulau Tenggol.
Sebelum pulang ke jeti Kuala Dungun keesokan harinya, kami sempat singgah di unjam yang sama. Namun gerombolan dorado yang mendominasi kawasan unjam petang semalam sudah lesap entah ke mana. Ikan-ikan umpan juga menyepi begitu saja. Seolah-olah kawasan tersebut telah dijarah hasil perutnya.
Andaian penulis kawasan tersebut telah dijarah oleh bot-bot nelayan pukat tunda terbukti benar ekoran laporan daripada maklumat rakan pemancing yang kembali ke kawasan tersebut beberapa jam kemudian menyatakan bukan saja ikan sudah tiada, malah buluh-buluh serta pelampung unjam turut sama telah lesap ditelan pukat tunda!
Tasik Kenyir, sememangnya lokasi memancing tahunan wajib buat saya & rakan-rakan kaki pancing yang lain khusus di tempat kerja. Dalam setahun, ada kalanya dua tiga kali kami mengatur trip ke sana, mengikut ikan target.
Sebelum tibanya musim monsun tak lama dulu, saya, Wan, Zul, Nasir (Puyu), Milo dan Sopi (Bomoh) dan beberapa orang rakan lain mengatur trip 3 hari 3 malam ke sini. Berlainan dari biasa, kali ini kami memilih untuk trekking dengan misi mencari kelah.
Lokasinya Hulu Berdengung dan kami menggunakan khidmat Tekong Karim membawa kami ke lokasi yang mengambil masa sekitar 6-8 jam berjalan kaki untuk sampai.
Persiapan rapi telah diatur dan selepas, entah berapa puluh kali berhenti, akhirnya kami tiba juga ke lokasi ini yang disifatkan tekong sebagai tempat ‘jin bertendang’. Terlalu sedikit orang yang pernah sampai ke sini.
Lokasinya hanyalah sungai kecil, berarus deras, ada dalam dan cetek. Tetapi yang paling mengujakan saya dan rakan-rakan yang lain adalah, sebaik sahaja spoon dilemparkan ke
kawasan jeram kecil dan kawasan cegar yang airnya berarus laju, berbondong-bondong kumpulan tengas berebut menyambar spoon.
Ini sudah bagus! Asal kami melontarkan spoon sahaja, paling tidak dalam lima kali lontar, pasti bersambut.
Hairannya gewang tak laku di sini. Bahkan tengasnya juga tidak takut melihat kelibat kami, hingga berani mengejar spoon yang hanya beberapa kaki jaraknya dari kami sebelum berpatah balik.
Betullah kata tekong, tempat ni, jarang dikunjungi orang. Sebab itulah tengas di sini, tidak takut dan menyambar spoon yang dilontarkan. Boleh dikatakan bermacam-macam saiz tengas yang kami naikkan. Yang kecil, semuanya kami lepaskan semula.
Walaupun lokasinya berpotensi didiami kelah, masih tidak ada tanda-tanda kelah yang sudi menyambar spoon yang kami lontarkan.
Begitu juga dengan kaedah bottom pada sebelah malamnya berumpankan sawit. Mungkin kelah sudah berhijrah ke tempat lain agaknya kata tekong kami.
Walaupun agak ralat tiada kelah, tetapi dek kerana rakus tengas menyambar gewang, kekecewaan kami sebenarnya cukup terubat.
Ujar rakan saya Zul, memang inilah syurga tengas, berbaloi kita jalan jauh. Tiba hari dijanjikan kami pulang semula ke boathouse. Kata sepakat akhirnya diambil kami akan berkunjung lagi ke sini.
Kesempatan berhari raya di rumah kakak yang paling sulung atau kak long yang menetap di Kampung Banting, Sabak Bernam saya manfaat sepenuhnya bagi mengisi salah satu hobi yang agak sekian lama terpaksa saya pendamkan berikutan kekangan masa. Saya sememangnya gemar memancing namun jarang berpeluang untuk melaksanakannya. Justeru, apabila beraya di rumah kakak pada hari raya ketiga, saya berpakat dengan kakak nombor dua atau kak ngah dan suaminya untuk beraya di tepi muara yang tidak jauh dari rumah kak long.
Perjalanan ke lokasi atau spot memancing haruslah meredah sedikit lorong jalan tanah merah yang berbatu dan sedikit sempit yang ditumbuhi pokok renek meliar yang mampu mencalar-balarkan kenderaan. Sampai sahaja di lokasi memancing, tanpa berlengah saya persiapkan kelengkapan memancing dan segera melontar umpan udang segar ke tali arus muara. Ketika itu arus sedang bergerak surut dengan agak laju juga. Tidak sampai lima minit menunggu, seekor ikan gelama bersaiz kecil berjaya saya naikkan. Tidak lama kemudian seekor ikan belukang dengan saiz yang kecil turut sama berjaya dinaikkan. Kira-kira lima belas minit kemudian, secara tiba-tiba joran direntap kasar. Adrenalina dan keghairahan saya meluap-luap kerana sudah sekian merindui permainan sorong tarik dengan ikan ini. Hasilnya saya muncul sebagai pemenang dan berjaya mendaratkan seekor belukang yang agak kasar dalam anggaran berat satu kilogram.
Melihat pada arus yang semakin surut dan para air yang semakin cetek menjauhi tebing, saya berasa kesal pula tidak datang lebih awal. Sementara hasil pancingan pula terus didominasi ikan-ikan yang bersaiz kecil. Hampir satu jam selepas mendaratkan belukang kasar itu, sekali lagi umpan udang segar yang digunakan direntap ganas. Daya tarikan atau daya juang mangsa yang terperangkap pada mata kail juga lebih padu. Namun saya berjaya mengawal joran dan mengatasi kuasa mangsa dan akhirnya seekor lagi belukang yang lebih besar saiznya berjaya saya tundukkan.
Walaupun hajat sebenar saya ialah untuk memancing ikan sembilang atau gemang tidak kesampaian, namun ia sedikit pun tidak mengecewakan saya. Setelah hampir dua jam kami memancing setidak-tidaknya berjaya juga kami daratkan dua ekor ikan belukang bersaiz kasar, sepuluh ekor belukang saiz kecil, empat ekor ikan duri, tiga ekor ikan gerut-gerut dan lima ekor ikan gelama yang juga bersaiz kecil.
Setelah pulang, semua hasil tangkapan walaupun bukan ikan gred tinggi dijadikan lauk-pauk. Ikan-ikan yang kecil digoreng rangup. Ikan belukang bersaiz kasar dimasak asam pedas dan kari. Rasanya sangat fresh dan langsung tidak hanyir. Dan bonusnya kami dapat menikmati telur ikan belukang yang amat lazat rasanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...