Tasik Kenyir, sememangnya lokasi memancing tahunan wajib buat saya & rakan-rakan kaki pancing yang lain khusus di tempat kerja. Dalam setahun, ada kalanya dua tiga kali kami mengatur trip ke sana, mengikut ikan target.
Sebelum tibanya musim monsun tak lama dulu, saya, Wan, Zul, Nasir (Puyu), Milo dan Sopi (Bomoh) dan beberapa orang rakan lain mengatur trip 3 hari 3 malam ke sini. Berlainan dari biasa, kali ini kami memilih untuk trekking dengan misi mencari kelah.
Lokasinya Hulu Berdengung dan kami menggunakan khidmat Tekong Karim membawa kami ke lokasi yang mengambil masa sekitar 6-8 jam berjalan kaki untuk sampai.
Ads
Persiapan rapi telah diatur dan selepas, entah berapa puluh kali berhenti, akhirnya kami tiba juga ke lokasi ini yang disifatkan tekong sebagai tempat ‘jin bertendang’. Terlalu sedikit orang yang pernah sampai ke sini.
Lokasinya hanyalah sungai kecil, berarus deras, ada dalam dan cetek. Tetapi yang paling mengujakan saya dan rakan-rakan yang lain adalah, sebaik sahaja spoon dilemparkan ke
kawasan jeram kecil dan kawasan cegar yang airnya berarus laju, berbondong-bondong kumpulan tengas berebut menyambar spoon.
Ads
Ini sudah bagus! Asal kami melontarkan spoon sahaja, paling tidak dalam lima kali lontar, pasti bersambut.
Hairannya gewang tak laku di sini. Bahkan tengasnya juga tidak takut melihat kelibat kami, hingga berani mengejar spoon yang hanya beberapa kaki jaraknya dari kami sebelum berpatah balik.
Betullah kata tekong, tempat ni, jarang dikunjungi orang. Sebab itulah tengas di sini, tidak takut dan menyambar spoon yang dilontarkan. Boleh dikatakan bermacam-macam saiz tengas yang kami naikkan. Yang kecil, semuanya kami lepaskan semula.
Ads
Walaupun lokasinya berpotensi didiami kelah, masih tidak ada tanda-tanda kelah yang sudi menyambar spoon yang kami lontarkan.
Begitu juga dengan kaedah bottom pada sebelah malamnya berumpankan sawit. Mungkin kelah sudah berhijrah ke tempat lain agaknya kata tekong kami.
Walaupun agak ralat tiada kelah, tetapi dek kerana rakus tengas menyambar gewang, kekecewaan kami sebenarnya cukup terubat.
Ujar rakan saya Zul, memang inilah syurga tengas, berbaloi kita jalan jauh. Tiba hari dijanjikan kami pulang semula ke boathouse. Kata sepakat akhirnya diambil kami akan berkunjung lagi ke sini.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kedatangan kami kali ini di Pulau Bidan dan Pulau Telor yang terletak di daerah Yan, Kedah didukung dengan keazaman yang tinggi untuk menjinakkan barracuda.
Teknik pancingan barracuda atau turut dikenali sebagai ikan alu-alu bukanlah seperti yang selalu dibayangkan iaitu melepaskan gewang di belakang bot, sambil bot bergerak dan tunggu sehingga isyarat dari kekili.
Pemerhatian terhadap jarak dan kedudukan gewang perlu diteliti bagi keberkesanan maksima ketika melakukan pancingan trolling. Walaupun ketibaan kami agak awal, kami terpaksa menunggu air surut untuk memulakan trip.
Panas terik yang mencecah 37 darjah celcius pada sebelah tengah hari tidak merencatkan kami memburu barracuda.
Malah, situasi ini ada kalanya seakan bonus buat kami kerana keadaan air yang jernih sedikit sebanyak membantu pemilihan warna gewang terbaik untuk diaplikasikan di sini.
Pertembungan Epik
Setelah hampir 15 minit menunggu strike yang pertama, gewang Strike Pro Titan yang ditunda akhirnya disambar rakus spesies yang turut terkenal dengan bergigi tajam ini.
Sebaik sahaja ia mengena, Samson Khor berjaya mengawal karauan kekili dengan baik dan selang beberapa minit, barracuda pertama akhirnya terkulai di tepi bot.
Tundaan kemudiannya diteruskan di lokasi yang sama, kerana dipercayai terdapat kawanan spesies ini sedang berkeliaran.
Ternyata telahan kami tepat, apabila selang beberapa minit seekor lagi barracuda bersaiz gadang berjaya diperdaya.
Kali ini boleh dikatakan agak memenatkan kerana terpaksa melayan corak agresif ikan ini sehinggalah ia naik ke permukaan air.
Bonus! Tangkapan kerapu Ketika kami sedang trolling, tiba-tiba kami dikejutkan dengan sergapan kuat. Paling mengejutkan adalah gewang berkenaan terkena ikan kerapu besar.
Berkemungkinan ketika kami sedang menunda berhampiran pulau yang airnya tidak terlalu dalam, gewang berkenaan melalui rumah sang kerapu. Ia memang satu bonus kerapu diperdayakan dengan teknik trolling.
Tiada Lagi Barracuda
Pada sebelah lewat petang, kami sedikit hampa kerana tiada lagi barracuda yang berjaya diperdaya oleh kami meskipun banyak kali tundaan dilakukan di lokasi yang berbeza.
Lantas, kami sebulat hati untuk mencuba casting dan mikro jigging di sekitar pulau-pulau di sini.
Khabarnya, pada lewat petang terdapat GT yang mencari makan di kawasan kami di antara Pulau Bidan dan Pulau Telor.
Menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama untuk mencuba, akhirnya tidak memerlukan durasi masa yang panjang untuk menjumpai saiz GT sederhana yang terjerat dengan mikro jig Bakau.
Memanglah seronok sekali, apabila tertancap sahaja mata kail pada gewang di mulut GT. Larian yang tajam dan kencang memberi sedikit sebanyak perasaan keterujaan lebih-lebih jika kekili yang digunakan berkategori sederhana ringan di antara 3000 hingga 3500.
Cuba-Cuba Apollo
Menuju penghujung trip, kami sempat mencuba-cuba memancing teknik pancing apollo. Menyedari potensi pancingan appollo di kawasan ini agak tinggi dengan tidaklah berhadapan kesukaran begitu ketara.
Kami dihadiahkan dengan saat-saat pancingan yang indah sekali apabila selang beberapa minit mencuba akhirnya beberapa ikan sasaran yang kami hajati naik ke permukaan. Kami akui pancingan teknik apollo tidak membosankan jika mencubanya.
Durasi masa yang hendak ditunggu untuk ikan sasaran menjelma ke permukaan tidaklah begitu lama.
Walau bagaimanapun, bergantung pada keadaan air laut dan cuaca, jika segalanya baik dan air tidaklah begitu bergelora pastinya pancingan appolo hasilnya lebih baik di sini.
Kesimpulan Trip
Apa yang boleh kami simpulkansepanjang trip di Pulau Telor dan Pulau Bidan untuk trolling boleh disifatkan memberangsangkan. Walaupun pada mulanya, kami berhasrat untuk melihat beberapa lagi strike dari barracuda yang bersaiz gadang tidak kesampaian.
Namun begitu, kepuasan apabila setiap kali tancapannya paling bakal kami tagih jika berkesempatan datang ke sini semula. Melihatkan pemilihan warna gewang juga memainkan peranan yang besar.
Berdasarkan pengamatan sepanjang trip, kami melihat spesies bergigi tajam seperti barracuda ini cukup lasak ketika menyambar gewang.
Kami juga beranggapan, udang hidup tidaklah begitu bersesuaian untuk aktiviti pancingan trolling kerana berkemungkinan besar udang hidup ini tidak mampu kekal lama ketika melawan arus ombak yang kuat.
Perancangan mengadakan trip dalam tempoh kurang dari 3 bulan bukanlah tugas mudah untuk mencari satu pasukan untuk melengkapkan kuota bagi meringankan bebanan kos. Ini adalah sedikit coretan perjalanan trip terbaru selama 4 malam di Laut China Selatan ini.
Pertama kali melihat pelantar minyak dari dekat pada malam pertama mengujakan buat sesetengah individu. Bagi kaki pancing tiada apa yang dimimpikan selain sentuhan ikan ketika joran berada dalam genggaman. Tapi apakan daya… alun dan angin menggila.
Walaupun bot dapat berlabuh di tepian limpahan cahaya lampu pelantar dalam suasana terumbang ambing, ia bukanlah kedudukan yang sesuai. Walaupun belakang bot menghala ke pelantar tetapi arusnya ke arah tali sauh.
Dalam suasana sedemikian, digagahi juga menurunkan kepingan jig yang menjadi kegemaran cupak. Waktu ini, kena berhati-hati, tersilap langkah boleh terhumban ke laut ketika berjigging pada tahap cuaca kategori ribut. Manakala yang kaki layan dasar tetap bersemangat hulur umpan tanpa mengira alam sekeliling.
Hujan atau ribut soal kedua, hajat dan misi mesti dipenuhi. Beberapa kaki jig mula memperlahankan rentak, hilang satu persatu apabila aksi jig di belakang arus tidak mendapat sambutan.Banyak jig yang dibeli sebelumnya langsung tidak terusik. Dalam suasana terumbang ambing, sekor aruan tasik bersaiz gadang menambahkan lagi perit dan derita pemancing.
Khayalan untuk berpesta di malam hari dengan pelbagai aksi masih belum ditemukan malah bak seperti cuaca ia berterusan menjadi mimpi buruk untuk 3 malam yang berikutnya. Percaturan alam bukan hak milik pemancing, atas dasar tersebut ramai tetap menggagahi semangat untuk memancing.
Bermula dari sepanjang malam yang boleh dihitung dengan jari hasil yang berjaya di pancing, siangnya pula lebih banyak ‘membangau’ di celah riak ombak berirama sayu. Setiap kali berpindah banyak masa terbuang menanti sentapan seekor ikan. Dengan jumlah lebih dari 20 jenis umpan yang terhulur ke dasar, kadar ragutan pula adalah kurang dari 10%.
Dalam 5 kali pindah barulah ketemu dengan seekor dua kerapu dan merah yang menjadi sasaran pemancing di atas bot. Tidak seperti dahulu apabila satu lubuk yang diziarah boleh dapat berbakul hasil. Kali ini satu lubuk gerenti dapat lepak dan santai sepuasnya sehingga tekong membunyikan hon “karau” pindah kira-kira 30 minit hingga 2 jam ke lubuk baru.
Jemu menanti teknik apollo berumpan hirisan sotong pun jadi sebagai selingan adegan geli-geli. Tatkala ramai mengharapkan ikan yang bersaiz berkilo-kilo, tekong pula lebih menumpukan kumpulan ikan cermin dibawa pulang. Pun begitu jumlah ikan cermin yang biasanya mudah dipikat dengan apollo 3 mata terus merudum jika di banding dalam trip sebelumnya.
Di spot yang berlainan pula mengena pula dua ekor kerapu juga serentak untuk joran yang berlainan pemilik. Yang aneh, tiada lagi apa-apa strike selepasnya. Semua yang berada di atas bot termasuk tekong berusaha keras selaras dengan peranan tugas masing- masing.
Terkadang kala pemancing disergah tekong apabila tidak menurut kata dan usul yang disarankan olehnya. Banyak persoalan yang timbul di benak penulis, cuma malas nak diajukan pada tekong kerana bimbang masalah lain akan timbul.
Mengalah kerana beliau saban minggu menakluki kawasan sekitar dan lebih banyak pengetahuan dari kami pemancing semua. Namun begitu tekong juga perlu mengambil kira kemahuan pemancing mahupun pelanggan untuk meredakan gian menggila sebelum trip.
Perundingan muafakat perlu diatur bagi mengelakkan kepincangan program serta dapat mesrakan lagi suasana. Akur ketentuan Illahi Sepanjang 120 jam masa yang dihabiskan di dalam bot, hanya 30 minit sahaja kami menemui sentuhan jackpot. Tak menang tangan dibuatnya.
Cecah umpan di dasar terus diragut merah saiz purata 2kg, dua ekor serentak satu perambut. Taruk makan taruk makan sehinggalah ia senyap dan hilang tidak lama selepasnya. Dalam waktu tersebut hasil yang diperoleh lebih dari 80% dari hasil keseluruhan sepanjang trip.
Pada hari hujung minggu awal bulan yang lalu, satu komplot untuk mencari tenggiri telah dilaksanakan dengan jayanya.
Komplot diuruskan oleh kenalan saya di Pekan, Pahang yang mana segala urusan sewaan bot, makan dan minum dan termasuk makan malam diuruskan oleh dia.
Bagi saya, hobi memancing ini untuk mendapatkan hasil buruan adalah perkara kedua. Perkara pertama ialah apabila berjaya pergi keluar memancing.
Ini kerana perlu membahagikan masa antara kerja, hobi dan kawan-kawan menjadikan satu cabaran untuk memenuhi komplot memancing itu.
Walaupun jeti kami di Cenderawasih, Kuantan kami perlu tiba di Kuantan dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi bagi memenuhi selera makan ikan tenggiri yang makan pada awal pagi.
Ini juga bagi menampung waktu masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi unjam yang berada di Kemaman, Terengganu mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Sesuatu yang sangat mengujakan kerana jarang sekali kami perlu berlepas dari jeti seawal 5 pagi.
Bot sewaan kami berlepas tepat jam 5.30 pagi. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan untuk tidur bagi memberi tenaga sewaktu tiba di lokasi unjam.
Saya diberi kelebihan untuk tidur atas `tilam’ di bot memandangkan saya memandu di sepanjang perjalanan.
Ikan tenggiri yang terdiri dalam keluarga Scomberomorus disukai oleh rata-rata pemancing di Malaysia kerana kekuatannya mencuri tali keluar dari kekili hingga menyebabkan kekili berdesing. Deringan inilah yang amat dirindui oleh rata-rata pemancing.
Saya sebelum ini didedahkan dengan teknik pancingan berhanyut menggunakan ikan tamban bagi memikat sang tenggiri.
Lain pula pada kali ini teknik yang digunakan kali ini 100 peratus menggunakan gewang besi yang digelar speed jig.
Tiba di lokasi unjam kami bersemangat tinggi melempar gewang dan menggunakan teknik karau laju bagi meniru aksi anak ikan yang berenang bebas.
Tekong menghanyutkan bot berdekatan kawasan unjam bagi memikat tenggiri.
Boleh dilihat, kumpulan ikan tongkol meloncat-loncat kegembiraan di tepi bot kami tapi memandang ia bukan ikan sasaran kami hanya melihat dengan tenang tetapi geram.
Hampir lenguh tangan kami mengarau laju jig tetapi tenggiri tidak berjaya dipikat. Tekong memberitahu kami yang karauan kami tidak cukup laju.
Sampai bergegar-gegar bahu kami barulah tekong luluskan tahap kelajuan itu.
Tidak memerlukan masa yang lama seekor tenggiri bersaiz lengan budak umur 1 tahun berjaya dipikat oleh ahli komplot.
Selang beberapa minit seeokor lagi tenggiri juga bersaiz lengan budak menyambar jig. Tiada pertarungan hebat berlaku kerana tenggiri agak kecil.
Seekor haruan tasik juga menyambar jig ahli komplot lain yang memberikan tarungan yang agak mendebarkan.
Agak tertekan melihat ahli komplot dah dapat melayan ikan saya mengambil keputusan untuk tidur. Tidak dinafikan teknik karau laju gewang ini memenatkan saya.
Saya dikejutkan dengan jeritan ‘dorado! Dorado!’. Rupa-rupanya satu pertarungan antara tekong dan seekor ikan dorado yang bersaiz kasar.
Saya teruja kerana ituada lah antara ikan ikan idaman saya yang juga menjadi buruan. Tanpa berlengah-lengah lagi saya melempar jig dan mengarau selaju mungkin bagi memikatnya.
Tidak semena-mena satu henjutan dirasakan. Tanpa membuang masa saya menyentak joran bagi mengemas kedudukan mata kail pada mulut ikan.
Kedengaran bunyi kekili berdesing yang mengubat rindu. Tekong menjerit `tenggiri tu!’.
Saya memastikan sewaktu ikan berenang patah balik ke bot tali sentiasa tegang bagi mengelakkan dipotong oleh gigimya yang tajam seumpama pisau.
Selepas beberapa minit ikan keletihan dan tekong berjaya membantunya naik ke atas bot.
Kami bersyukur kerana perairan di Kemaman banyak mempunyai unjam yang masih banyak menyimpan berbagai bagai jenis spesies.
Walaupun hujan lebat kami masih memburu ikan target kami bagi mengumpul sebanyak mungkin ikan sasaran kami.
Sepanjang waktu memancing hampir tidak dapat dihitung berapa ketul jig kami dicukai atau sangkut pada unjam.
Demi hobi dan keseronokan apalah sangat nak dibandingkan dengan perkara itu, bukan? Kami hadap situasi itu dengan sempurna bagi mengelak kemurungan.
Selepas bot berlabuh di jeti dan menurunkan barang kami membahagikan ikan sama rata. Dan saya bersiap untuk keseronokan seterusnya iaitu acara makan.
Perkara wajib selepas memancing ialah makan beramai-ramai ikan segar terus dari lautan.
Restoran Cina yang diyakini halal menjadi pilihan kami untuk memasak hidangan menjamu selera.
Jelas terpancar kepuasan di mata setiap ahli sungguh pun tangan kami dah terasa besar sebelah akibat teknik karau laju.
Selesai makan kami berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Satu rekod bersejarah kerana sepanjang memancing saya tidak pernah terlalu penat begini.
Bayangkan dari Kuantan untuk ke Kuala Lumpur mengambil masa 4 jam akibat sering berhenti dan tidur bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Sampai di hadapan rumah saya pun kami sambung tidur dalam kereta sampai Subuh. Nak angkat jari pun dah tak larat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...