Biar betul ada ikan bawal air tawar?! Sebetulnya memang tak ada tetapi itulah panggilan kebanyakan orang bagi ikan pacu.

Perkataan pacu (pa’ku dalam sebutan Portugis) adalah merujuk kepada nama umum spesies ikan air tawar bersifat omnivor di Amerika Selatan. Pacu atau nama saintifiknya Colossoma macropomum merupakan spesies dari keluarga Serrasalmidae ini bersaudara dengan spesies ikan yang menggerunkan iaitu piranha.

 

Spesies pacu boleh ditemui di kawasan natif mereka iaitu di Amerika Selatan. Spesies yang lebih dikenali dengan nama tambaqui di sana boleh ditemui di kebanyakan Lembah Amazon dan Lembah Orinoco. Kedua-dua lembah atau lembangan ini merangkumi negara seperti Colombia, Brazil, Peru dan Bolivia.

 

Begitu pun, hari ini spesies ini boleh ditemui di beberapa buah benua lain dengan status ikan alien yang mana spesies ini dibawa masuk dan diperkenalkan sama ada sengaja atau tidak sengaja di kawasan perairan lain terutama di negara Asia dan Asia Tenggara.

 

Bagi morfologi spesies pacu, bentuk am spesies ini hampir menyerupai spesies ikan piranha malahan kadangkala sering kali disalah anggap sebagai spesies karnivor itu. Bagi seekor ikan pacu, kebanyakannya lebih tinggi jika diukur badannya berbanding piranha selain mempunyai badan yang lebih menipis dan mampat secara lateralnya.

IKLAN

Bahagian matanya pula agak besar selain mempunyai bentuk yang sedikit melengkung sudutnya di bahagian belakang berbanding piranha.

 

Warna badannya pula biasanya berwarna kelabu hingga hitam bermula daripada bahagian atasnya dan beransur pudar apabila menghampiri kawasan bawah perut dan kepalanya menjadi warna putih atau merah.

 

Spesies ini juga mempunyai sirip adipos dan kesemua sirip berwarna hitam selain sirip pektoral yang agak kecil. Pacu mempunyai set gigi yang agak unik berlainan daripada ikan lain. Set gigi pacu agak besar dan lebih menyerupai set gigi geraham milik manusia.

IKLAN

 

Bagi C. macropomum, secara biologi spesies ini lebih gemar bergerak secara solo. Habitat utama bagi pacu ialah alur sungai utama, kawasan tadahan banjir, empangan serta kawasan tasik.

 

Jika musim banjir, spesies ini akan bergerak ke kawasan yang mempunyai tumbuhan terutama bagi juvenil kerana kawasan ini lebih selamat daripada pemangsa serta mempunyai sumber makanan yang banyak.

 

IKLAN

Jadi, spesies ini cenderung untuk memilih kawasan habitat yang tak terlalu dalam, berarus perlahan dengan banyak tumbuhan akuatik di sekitarnya. Pacu merupakan spesies ikan air tawar dan tidak toleran kepada saliniti yang tinggi. Saliniti melebihi 10ppt akan mengakibatkan ketidakseimbangan parameter hematologi seperti

kadar pertukaran makanan, berat dan kadar tumbesaran. Jika terdedah kepada salitini lebih 10ppt, kemungkinan besar spesies ini akan mati.

 

Begitu pun, pacu mempunyai kadar survival air tawar yang agak kuat selain mempunyai daya resistan yang tinggi terhadap penyakit. Jika dalam persekitaran air yang mempunyai oksigen terlarut yang rendah, pacu mampu mengambil udara secara terus di permukaan.

 

Pacu merupakan spesies ikan maserba yang memakan apa sahaja. Namun, dalam ekologi semula jadi, pacu akan menjadikan zooplankton, serangga, siput dan tumbuhan akuatik yang mereput atau mati sebagai diet utama.

Pacu juga menjadikan buah-buahan dan biji benih daripada tumbuhan berdekatan sebagai dietnya.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI