Malong ialah spesies ikan air masin yang licik, berbadan lendir dan sememangnya tidak mampu dikendalikan ketika ia masih hidup dengan tangan. Saya masih ingat apabila ingin merakamkan gambar malong tiada siapa yang berani ketika ia masih hidup kecuali mengunakan pemegang.
Jika disimpan di dalam bekas air yang sedikit kita akan dapati air tersebut akan menjadi pekat kerana lendir yang dikeluarkan dari badan malong. Ia juga tahan lasak walaupun dengan sedikit air. Selain itu malong sering didakwa menyerang pemancing apabila ia berada di daratan semata-mata usaha untuk mempertahankan diri.
Ia sebenarnya tidak ganas tetapi kes serangan melalui gigitan berpunca dari kelalaian pemancing ketika cuba mengendalikan ia dengan tangan kosong. Bermulut muncung dan bergigi tajam membuka dengan luas serta lincah terutama di dalam sampan kecil boleh mengerjakan betis dan lengan bagi mereka yang lalai.
Malong bermulut runcing memanjang dikuatkan pula dengan gigi atas dan bawah untuk mencengkam mangsa. Badan licin memanjang dan menirus hingga ke hujung ekor. Sirip dorsal lembut, kecil dan memanjang dari pangkal leher hingga hujung ekor. Badan berwarna kekuningan semakin cerah di sebelah bawah.
Ads
Tubuhnya membulat walaupun seakan leper jika pandang dari sisi. Barisan gigi sebelah atas berada pada kedudukan sebaris tengah rahang manakala gigi bawah di kiri dan kanan rahang. Jika dilihat barisan gigi malong, selain gigi tajam memanjang, ia turut dibarisi gigi-gigi tajam lecil tersembunyi di bahagian dalam mulut.
Hujung mulut sebelah atas seperti mengecil terbina sedemikian sesuai untuk membenarkan cengkaman kuat terhadap mangsa. Mangsa apabila dicengkam malong, ia jarang dapat melepaskan diri dengan mudah.
Malong banyak menghabiskan masa di dasar sungai atau muara serta didalam lubang perumahnya. Mendiami kawasan yang berdataran samada pepasir halus dan lumpur pada kedalaman dari 10meter hingga 100 meter. Lubang atau sarangnya menyediakan tempat pelindungan paling sesuai dari musuh.
Ads
Ia keluar memburu mangsa tidak kira siang dan malam yang terdiri dari anak ikan. Berlainan dengan spesies pengacau sesirat yang gemar menggumpal, menyimpul, melendirkan serta memintalkan tangsi, malong tidak bersifat demikian walaupun kedua-duanya berlendir dan memiliki ciri-ciri persamaan habitat dan pemakanan.
Nama umum: Daggertooth pike conger
Ads
Keluarga: Muraenesocidae
Ciri fizikal: Badan memanjang kekuningan seperti belut air tawar. Barisan gigi tajam adalah ciri-ciri yang paling di geruni pemancing
Diet: Ikan dan hidupan krutesia
Habitat: Mendiami lubang dikawasan dasar berlumpur
Taburan: Wilayah Indo-Malaysia, Filipina hingga Selatan Jepun, Indo-West Pasifik. Kebanyakannya di sekitar perairan Selat Melaka, Sarawak dan persisiran Sabah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sama ada untuk menyerang mangsa atau menyelamatkan diri dari pemangsa, haiwan-haiwan tertentu dibekalkan dengan kebolehan penyamaran yang begitu memukau.
#10 – Knobbly crab spider
Knobbly crab spider dianggap sebagai spesies yang agak pemalu dan kebanyakannya ditemui di Queensland, Australia.
Seperti namanya, labah-labah ini mempunyai kulit yang tidak sekata dan berbonjol-bonjol. Ia biasanya berselindung di bawah kulit pokok dan kayu untuk menyerang mangsa.
Kebiasaannya labah-labah ini agak mustahil untuk dilihat dengan mata kasar kerana berwarna kecoklatan dan ditambah pula dengan saiznya yang hanya berukuran antara 8mm hingga 10mm. Ia bergerak dengan sangat perlahan.
Semasa berehat di atas daun, ia akan melipat bahagian hujung daun untuk menyembunyikan diri daripada pemangsa.
#9 – Chameleon (Sesumpah)
Dari zaman sekolah, anda mungkin sudahpun mengetahui yang haiwan ini mampu menyamar dengan baik. Walaupun sesumpah mudah dilihat, ia sebenarnya agak berbeza dan boleh mencipta keajaiban sewaktu bertukar wajah.
Kulit sesumpah mengandungi kristal dan pigmen yang membantu menukar warna kulit mengikut persekitaran. Transformasi warna ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka bersentuhan dengan objek berlainan.
Kristal pada sesumpah boleh berfungsi sebagai penyerap cahaya yang membantu mereka mengubah warna mengikut keadaan.
#8 – Baron larva (beluncas baron)
Ulat bulu yang berasal dari India dan Asia Tenggara ini dianggap sebagai serangga yang boleh melakukan penjelmaan bentuk yang terhebat dalam dunia.
Semasa masih dalam peringkat larva, amat sukar untuk mengetahui kehadirannya kerana teknik penyamaran yang sangat ekstrem.
Tubuh ulat ini dijadikan sedemikian rupa sehingga benar-benar menyerupai urat daun. Ia berwarna hijau pada peringkat larva dan amat mudah bersembunyi di atas daun pokok mangga dan sebagainya.
Apabila matang, ia akan menjadi rama-rama cantik berwarna coklat atau hijau.
#7 – Pygmy seahorse
Kuda laut Pigmi yang bersaiz sekitar 2cm ini adalah pakar penyamaran yang sangat hebat.
Spesies ini hanya mula dijumpai sejak tahun 1969 disebabkan keupayaannya menggabungkan diri dengan persekitaran.
Sehingga kini, terdapat hanya enam lokasi di mana kuda laut ini boleh dijumpai iaitu di perairan tropika Asia Tenggara.
Ia gemar berselindung di antara terumbu karang dan menyamar dengan menghasilkan benjolan pada badan.
Kapsul-kapsul berbentuk tiub pada kulit dan tubuh kuda laut ini benar-benar menyerupai batu karang sehingga ia sukar dilihat, disebabkan itulah penemuannya oleh ahli biologi terjadi agak lewat.
#6 – Dead leaf butterfly
Rama-rama ini sentiasa kelihatan mengagumkan dengan sayap penyamaran yang hebat. Ia sering ditemui di kawasan tropika sekitar Asia, terutama sekali di India dan Jepun.
Bahagian lapisan luar sayapnya menyerupai daun yang kering.
Setiap perincian daun yang melayu ada pada sayap rama-rama ini, termasuklah bahagian tepi yang melengkung, lipatan dan urat daun.
Malah, ia juga mempunyai ‘lubang minit’ yang serupa dengan daun layu. Penyamarannya adalah bermusim, bergantung kepada keadaan persekitaran yang kering atau basah.
#5 – Camouflage crab (ketam penghias)
Ketam yang juga dikenali sebagai Ketam Penghias ini akan mengambil apa sahaja objek semula jadi yang berada berhampiran seperti tumbuhan dan batu laut untuk bersembunyi daripada pemangsa.
Jika anda cuba mencarinya, mungkin ia amat sukar dijumpai kerana cangkerangnya amat mirip dengan batu dan karang.
Ketam ini juga amat pintar kerana mampu mengoyak bahan yang dijumpai dan menggosok badannya untuk bersatu dengan persekitaran.
#4 – Cuttlefish (Sotong Katak)
Sotong ajaib ini mampu menyamar dan bergabung dengan batu karang, tumbuhan, rumpai laut dan tanah dengan mengubah warna kulitnya.
Selain itu, ia juga berupaya menukar tekstur dan bentuk fizikal mengikut keadaan sekeliling. Apabila sotong berlawanan jantina berada berdekatan, ia boleh membezakan diri dengan menukar kepada warna yang khusus untuk menarik perhatian.
#3 – Satanic leaf-tailed gecko
Satanic leaf-tailed gecko adalah ‘kembar’ sempurna kepada daun kering. Pada tahun 1880, ahli alamiah dari Belgium iaitu George Albert Boulenger mengatakan kewujudan haiwan ini
adalah sebuah mitos namun ia akhirnya diiktiraf dan diberikan nama sekitar 1990-an oleh Bill Love dari Glades Herp. Inc.
Spesies cicak yang hanya boleh didapati di Madagascar ini kurang dikenali berbanding keluarga cicak yang lain. Berukuran antara 2.5 hingga 6 inci panjang, teknik penyamaran
yang digunakan adalah agak luar biasa kerana anda tidak akan dapat membezakan cicak ini dengan dedaunan kering menggunakan mata kasar.
#2 – Burung Great Potoo
Burung Great potoo ialah burung yang paling hebat di kalangan spesies potoo. Burung yang bijak menyamar ini boleh ditemui di kawasan tropika Amerika.
Ia menyamar dengan bersepadu dengan dahan pokok untuk memerangkap serangga dan burung lain serta berlindung daripada haiwan pemangsa.
Apabila ingin menyamar, ia akan mendongak ke langit, memejamkan mata dan bertenggek dengan tegak tanpa bergerak walau seinci.
Disebabkan ia bersifat nokturnal, sememangnya amat sukar untuk mengenal pasti lokasinya dengan tepat apabila ia sedang bertenggek.
Makanan utama burung Great Potoo adalah kelawar dan serangga yang akan diburu pada malam hari. Tidak seperti haiwan lain, burung ini akan menerkam mangsa dan membawanya kembali ke tempat sama ia bertenggek.
#1 – Mimic octopus
Dilaporkan tidak ada haiwan lain di atas muka bumi yang boleh menyamai kebolehan menyamar sotong hebat ini.
Ia mampu menukar warna kulit dan tekstur badan untuk berasimilasi dengan persekitaran secara serta-merta.
Sotong kurita ini sebenarnya mengusik pemangsa dan menghalau mereka dengan bijak dengan mengubah diri supaya tidak menyerupai dirinya sendiri.
Jika kebanyakan haiwan lain hanya mampu mengubah warna kulit, sotong ini jauh lebih mengagumkan kerana berupaya mengubah bentuk badannya juga untuk menipu pemangsa.
Jigging mikro atau micro jigging merupakan satu cabang teknik memancing yang menggunakan kepingan besi (jig) sebagai umpannya.
Jig tersebut menyerupai bentuk ikan dan lazimnya kepingan micro jig bermula dari berat sekitar 7g hingga 20g.
Setup asas micro jigging
Rod
Joran yang digunakan adalah dari PE 0.3 hingga ke PE 1.5. Lazimya joran jigging mikro mempunyai blank yang halus serta sensitif paada bahagian hadapan.
Ia bertujuan memudahkan anda untuk menggayakan jig lebih gemalai dan semulajadi serta peka mengesan getuan ketika jig anda disentuh ikan.
Reel
Kekili mendatar adalah yang paling mudah digunakan, bermula dari siri 500 hingga 2500 dengan nisbah gear ratio 6:1 dan ke atas. Disarankan juga menggunakan kekili yang kalis air masin.
Kekili menegak atau baitcaster juga boleh digunakan dan sebenarnya ia lebih praktikal kerana lebih mudah mengesan jatuhan jig anda sampai ke dasar. Nisbah gear ratio juga sama seperti kekili mendatar.
Tali utama
Tali utama yang biasa digunakan adalah antara 6lb hingga 12lb. Tali sulam atau braided line adalah pilihan yang paling tepat kerana ia bersifat sifar regangan dan lebih kuat berbanding tali tangsi atau mono line.
Tahap sensitiviti terhadap getuan ikan yang lebih tinggi serta aksi jig akan lebih semulajadi kerana ia lebih kurang rintangan arus berbanding tali tangsi.
Shockleader
Perambut kejutan atau shockleader yang biasa digunakan adalah di antara 10lb hingga 15lb. Shockleader adalah wajib disambungkan kerana tali sulam yang bersifat sifar regangan serta ia mudah terhakis.
Oleh kerana itu shockleader bertindak menyerap segala regangan serta menjadi pelindung tali sulam dari terhakis ketika ikan cuba berenang ke struktur batu, kayu dan sebagainya.
Mata kail
Mata kail tunggal atau single hook dan assist hook lebih sesuai digunakan berbanding mata tiga (treble hook). Selain kadar sangkut yang rendah, tahap hook up juga lebih tinggi.
Ringkasan panduan
Joran khusus yang dicipta bagi teknik ini adalah lebih disarankan kerana ia lebih sensitif dan ringan.
Kekili berkelajuan tinggi adalah yang lebih praktikal kerana secara teknikal anda tidak perlu mengarau kekili dengan laju. Cukup sekadar karuan sederhana jig anda sudah pun beraksi pantas dan dengan karauan santai jig anda sudah pun beraksi natural.
Berbanding jika anda mengunakan kekili berkelajuan rendah, anda harus mengarau reel dengan laju secara teknikal (jika perlu) bagi mendapatkan kelajuan yang anda mahukan.
Semakin halus tali utama lebih berkesan kerana secara harfiahnya akan lebih ringan dan secara tidak langsung jig anda mudah tenggelam ke dasar.
Ia juga sensitif mengesan getuan ikan, aksi jig lebih semulajadi. Namun setting drag pada kekili anda haruslah menepati kekuatan yang sepatutnya, jika tidak ia akan mudah putus.
Jig yang berpemukaan berkilat serta lebar adalah lebih baik kerana pantulan cahaya lebih mudah menembusi penglihatan ikan ketika didalam air berbanding warna.
Memancing tanpa mata kail umpama memberi ikan makan. Memang tidak dinafikan mata kail merupakan keperluan penting walaupun ia bukanlah peralatan utama memancing.
Selain dari perlunya ada mata kail untuk memancing, anda juga seharusnya tahu bahagian-bahagian utama pada sebatang mata kail tersebut.
Cincin (eye hook)
Ia merupakan bahagian paling atas di mana ia menjadi bahagian utama untuk menghubungkannya dengan tali pancing dengan simpulan atau ikatan-ikatan mata kail. Namun tidak semua mata kail memiliki cincin, sesetengah mata kail bahagian cincin ini diratakan.
Batang teras (shank)
Bahagian yang menyambungkan mata ke bingkai mata kail. Setiap mata kail memiliki teras yang berlainan kepanjangannya dan bergantung kepada jenis aplikasi memancing. Sama ada terus panjang atau pendek, penghujungnya semakin cenderung untuk bengkok.
Lengkung (bend)
Lengkung atau selekoh di bahagian bawah mata kail yang terdiri daripada pelbagai gaya dan jurang. Bahagian ini adalah tulang belakang mata kail kerana jika diberi tekanan berlebihan akan melurus sekali gus bakal kehilangan ikan yang dipancing.
Jurang (gap)
Ia adalah jarak antara hujung bilah mata kail dan teras yang tercipta dari hasil panjangnya lengkung. Jarak jurang itu ditentukan berdasar pada umpan yang digunakan dan lebar rahang spesies sasaran. Untuk lebih jelas, untuk cangkokan sempurna ikan jenis berahang luas memerlukan jurang mata kail yang lebih luas.
Mata jarum (point)
Boleh dikatakan ia bahagian paling penting pada mata kail. Mata jarum yang kuat dan tajam adalah kritikal kerana ia adalah titik pertama di mana ia berhubung dengan ikan. Sekiranya ia gagal menembusi mulut ikan maka ia adalah kegagalan mutlak. Jadi, pastikan mata jarum ini sentiasa tajam.
Duri pandan (barbed)
Bahagian ini direka untuk memegang ikan yang dipancing apabila mata kail menembusi bahagian mulutnya. Bahagian ini juga menjadi bahagian paling ditakuti oleh pemancing sekiranya mata kail tertancap pada anggota badan sendiri.
Justeru bagi pengamal sukan memancing sejati, mereka akan mematahkan duri pandan atau menggunakan mata kail tanpa duri pandan kerana ia bersifat lebih adil dan mesra kepada pemancing dan juga ikan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...