Spesies Megalops atlanticus atau nama umumnya Atlantic tarpon boleh ditemui di pantai barat Atlantik dari Virginia ke Brazil, di seluruh pantai Teluk Mexico, dan di seluruh Caribbean. Ia juga dijumpai di sepanjang pantai timur Atlantik dari Senegal ke Angola Selatan.
Sementara spesies Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon pula boleh didapati di sepanjang pantai timur Afrika, di seluruh Asia Tenggara, Jepun, Tahiti, dan Australia. Kedua-dua spesies ini terdapat di kedua-dua habitat air masin dan air tawar namun apa yang membezakan hanyalah saiz.
Atlantic tarpon merupakan spesies ikan besar manakala Indo-Pacific tarpon pula adalah spesies sederhana besar. Spesies dengan nama binomial Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon yang turut digelar herring atau oxeye yang terdapat di Malaysia lebih dikenali sebagai ikan bulan.
Daripada aspek morfologi, ikan bulan memiliki warna hijau zaitun di bahagian atas dan perak di sisi badan. Memiliki mulut yang besar dan bukaan luas, rahang bawah mengandungi plat nipis dan keras yang memanjang. Filamen terakhir sirip dorsalnya lebih panjang daripada sirip-sirip lain yang mencapai hampir ke ekor.
Ikan bulan mampu mengisi pundi renang atau swim bladder dengan udara dan menyerap oksigen daripadanya. Spesimen yang tinggal di air tawar cenderung lebih kecil daripada spesimen yang tinggal di air masin atau laut.
Lazimnya spesimen di air tawar mampu membesar panjang sekitar 50 cm manakala contoh yang direkodkan di air masin mampu membesar melebihi satu meter. Namun mereka mampu hidup sehingga 44 tahun dan akan mencapai tempoh matang dalam masa dua tahun.
Dari sudut diet pemakanan, ikan bulan merupakan spesies yang oportunis. Sama ada spesimen di air tawar atau air masin tiada perbezaan yang signifikan dalam tabiat pemakanan mereka. Mereka memakan ikan-ikan kecil, krustasea, dan juga tumbuhan akuatik yang unik.
Tarpon Indo-Pasifik bermigrasi di antara laut terbuka dan sungai pedalaman. Seperti semua spesies dalam Order Elopiformes, ia membiak terutamanya di luar pesisir. Spesies juvenil akan tinggal di estuari dan berhijrah ke kawasan pesisir sementara matang untuk bertelur. Biasanya, mereka bertelur dua kali setahun.
Berbeza dengan ikan siakap atau barramundi, ikan bulan mampu membiak sama ada di air masin mahupun air tawar. Spesies Megalops cyprinoides boleh ditemui di perairan sehingga kedalaman 50 meter tetapi biasanya lebih mudah ditemui di permukaan perairan cetek. Mereka mendiami terumbu karang, bakau, rawa, sungai, tasik, takungan, dataran banjir, dan terusan.
Dalam aspek perdagangan dan penggunaan ikan bulan bukanlah spesies yang bernilai tinggi di pasaran malah hampir tidak dikomersialkan. Justeru ia tidak tergolong dalam ancaman kepupusan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Jika orang Jepun terkenal dengan shasimi, orang kita pun ada menu sendiri untuk menikmati ikan segar tanpa perlu dimasak di atas api. Umai namanya.
Umai sememangnya terkenal di Sarawak. Admin berpeluang menikmati umai ikan aya sirip kuning ketika memancing di Lucornia.
Memandangkan umai ini disediakan oleh awak-awak berbangsa Filipina maka ia dinamakan umai ala Filipina.
Bahan-Bahan:
Sekeping aya sirip kuning segar
5 biji limau nipis
1 biji bawang besar
1 batang timun
1 ketul halia
5 ketul cili api
Cuka masakan
Gula
Cara penyediaan:
Langkah 1
Potong dan cuci ikan dengan bersih. Kemudian ambil sebahagian dari isinya dan dipotong kecil berbentuk kiub. Masukkan isi ikan ke dalam mangkuk atau pinggan.
Langkah 2
Kupas dan potong bawang besar berbentuk kiub juga.
Langkah 3
Belah kesemua limau nipis dan perah ke atas kiub ikan tadi.
Langkah 4
Hiris kasar kesemua cili api dan taburkan ke atas ikan.
Langkah 5
Kupas sebatang timun dan potong mengikut kemahuan anda. Kemudian campurkan ke dalam pinggan berisi ikan tadi.
Langkah 6
Kupas pula seketul halia dan potong kecil-kecil seperti bentuk kiub. Lagi bagus jika menggunakan halia muda.
Langkah 7
Taburkan lebih kurang satu sudu besar gula pasir ke atas bahan-bahan tadi.
Langkah 8
Curahkan cuka ke atas kesemua bahan. Jumlah cuka bergantung kepada jumlah ikan yang digunakan.
Langkah 9
Gaul kesemua bahan. Jika jumlah perahan limau dan cuka mencukupi, warna isi ikan akan bertukar menjadi putih cerah menandakan ia telah `masak’.
Untuk kenikmatan yang padu, terus saja menikmatinya sebaik saja ia siap untuk dihidangkan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Orang ni kita kasi karen dia pulak dah berapa banyak tempat memancing dah habis dikerjakan dia orang!”
– Rosli Mat Salleh
“Rosak benih-benih ikan macam ni. Induk-induk yang terlepas selepas kena karen pakat mandul habis…! Takkan ada generasi baru lagi mcm ni. Contoh ikan sturgeon kat empangan hidro luar negara… mana ada generasi baru. Semua generasi lama sebab hidup dalam kawasan berelektrik.”
– Awang Spanar
“Biasanya mereka yang buat benda ni bukan dalam kategori angler… mereka ni lebih kepada mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk akibat perbuatan tersebut.”
– Muhaidi Dee
“Orang sepatutnya kena diambil tindakan undang-undang. Kalau jaring or jala kira ok lagi tapi kalau tahap karen or bom ikan itu dah melampau. Kesannya habis anak-anak ikan mati… macam mana tak pupus ikan… macam mana pulak untuk generasi akan datang…”
– Ahmad Yusry
“Karan… ikan yang tak boleh kat depa… yang kecik mati. Yang besar… terencat! Kepala besar badan kecil. Bom… kecik besar semua mati. Lubuk-lubuk baik punya habis. Tuba… sepanjang sungai… ikan habis mati!”
– Rosdi GTPB
“Bagus dapat orang-orang yang buat job ni kita shotkan balik kalau dia shot ikan, kalau dia tuba ikan kita bagi dia minum tuba tu pulak. Kalau kaki bom ikan kita bagi dia kunyah bom ikan tu pulak. Buat susah pada orang yang nak cari rezeki.”
– Nashima Nan
“Pada pandangan saya golongan ini adalah golongan yang sangat tidak bertanggungjawab. Hanya memikirkan jalan mudah tanpa memikirkan apa kesannya pada masa akan datang. Golongan ini juga yang akan menyebabkan anak cucu kita hanya mengenali spesies akuatik yang berharga hanya dalam buku ataupun artikel. Kasihanilah anak cucu kita.”
– Farid Rosman
“Orang yang suka menuba ni biasanya otak letak kat kepala lutut sebab nak senang dapat ikan cepat tapi tak fikir untuk masa depan bila mana ikan di sungai tersebut boleh pupus.”
– Mohd Nor Hasan
“Selfish! Biasa terdiri dari orang yang cetek pengetahuan dan bodoh sombong. Tindakan undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan.”
– Mohd Nor Fadzuan
“Isu mengkaren dan bom ikan ni perlu dibincang selalu supaya orang yang terlibat / lakukan perkara ni tau betapa kesan negatif pada alam sekitar terutama pada spesies ikan… sekaligus mengundang kepupusan ikan di kawasan itu. Kesimpulannya masih ada tiada kesedaran dan sikap tamak pentingkan diri masih berlaku.”
– Shamsul Adha
“Kerajaan mesti bertindak tegas dengan gejala menuba ikan atau mengaren ikan ini… akibat dengan cara ini tak mustahil anak-anak ikan tempatan akan musnah dan generasi baru tak lagi mengenali ikan-ikan tempatan selepas ini.”
– Harul GMK
“Saya penah ikut kawan karen ikan guna bateri di Batu Kurau dulu… pada pendapat saya karen ikan ni tak la mengancam nyawa ikan sangat berbanding dengan menuba atau meracun ikan sebab karen ikan ni hanya pada jarak renjatan berhampiran dengan ikan berbanding dengan menuba… apa pun saya kurang bersetuju dengan cara karen, menuba atau menjaring ikan.”
– Syamsul KM
“Pandangan bang chik… kelompok yang bersikap penting diri sendiri… tamak bila mana nafsu serakah menguasai diri. Tidak memikirkan apa yang akan terjadi untuk generasi mendatang… natijahnya akan berlakulah hobi memancing menjadi sepi.”
– Yares Yunus
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
BERIKUT DISENARAIKAN 16 SPESIES IKAN SUKAN (GAMEFISH) AIR MASIN YANG POPULAR YANG TERDAPAT DI PERAIRAN NEGARA KITA.
IA DISENARAIKAN SECARA RAWAK TANPA MENGAMBIL KIRA KEKUATAN ATAU KEPOPULARANNYA.
9. TENGGIRI
Nama saintifik : Scomberomorus commerson Nama umum : Barred Spanish mackerel, Narrow-barred Spanish mackerel Nama tempatan : Tenggiri, Tenggiri batang
Persekitaran biasa bagi spesies tenggiri ialah pelagik-neritik iaitu zon perairan berhampiran pantai dengan kedalaman tidak melebihi 200M. Dengan bentuknya seakan torpedo, ia mempunyai daya pecutan yang tinggi dan merupakan pemangsa yang ganas.
Tenggiri merupakan ikan yang bermigrasi antara lautan atau oceanodromous.
Tenggiri akan berlegar di kawasan perairan dengan tahap saliniti rendah dan keadaan air yang agak keruh. Spesies ini biasanya bergerak solo ketika memburu ikan-ikan kecil di perairan cetek dan bercerun. Diet utamanya ialah ikan kecil, udang dan sotong.
10. AJI-AJI
Nama saintifik : Seriola dumerili Nama umum : Greater amberjack Nama tempatan : Aji-aji, Aji-aji jalur kuning
Aji-aji merupakan antara spesies yang terkenal di kalangan pemancing ikan sukan kerana ketangkasan dan kekuatannya. Spesies ini mendiami kawasan perairan yang mempunyai terumbu karang.
Ia juga ikan yang bermigrasi dan bersifat oceanodromous. Warna badannya perang kebiruan dan berwarna perak keputihan pada bahagian bawah.
Biasanya aji-aji berlegar di kawasan karang yang dalam dan jarang berada dekat dengan kawasan pesisir.
Spesies aji-aji juvenil sentiasa berlegar pada tumbuhan akuatik dan biasanya berenang berkumpulan. Pun begitu, terdapat juga yang berenang secara solo.
11. EBEK
Nama saintifik : Alectis ciliaris Nama umum : African pompano, Threadfin trevally, Pennantfish Nama tempatan : Ebek, Rambai ebek, Cermin
Spesies ebek gemar berlegar di kawasan terumbu dan biasanya dijumpai di kawasan dengan kedalaman 60-100M. Badannya nipis dan berwarna perak bercahaya kebiruan serta kehadiran bintik hitam pada operkulumnya.
Bagi ebek juvenil pula terdapat unjuran filamen yang panjang.
Mendiami kawasan pelagik-neritik dan ebek dewasa juga kadang-kadang berlegar di bahagian dasar. Diet utamanya pula terdiri daripada krustasia bergerak perlahan namun ikan kecil dan ketam juga menjadi buruannya.
12. TALANG
Nama saintifik : Scomberoides commersonnianus Nama umum : Queenfish, Talang Queenfish, Leatherskin Nama tempatan : Talang, Talang lima jari, Bekalang
Tergolong dalam keluarga Carangidae iaitu bagi jenis Jack dan pompanos, ikan talang juga antara spesies ikan sukan yang ada di Malaysia.
Talang biasanya bergerak dalam kumpulan kecil dan mendiami kawasan pantai berhampiran terumbu dan pesisir kepulauan. Diet utamanya terdiri daripada ikan kecil organisma di kawasan terumbu.
Talang berwarna kehijauan gelap di bahagian dorsal dan perak di bawah. Talang bersifat amphidromous, iaitu bermigrasi dari laut ke sungai namun bukan untuk mengawan tetapi berlaku pada fasa tertentu kitaran hidupnya.
13. SAGAI
Nama saintifik : Ulua mentalis Nama umum : Longrakered trevally, Cale-cale trevally Nama tempatan : Sagai, Cermin, Sagai mulut hitam
Sagai hidup di perairan iklim tropika di mana kawasan marin yang mempunyai terumbu karang. Warna badan atasnya agak hijau kebiruan manakala bahagian bawahnya pula berwarna perak bercahaya.
Ukuran panjang sagai biasanya sekitar 60 cm dari kepala ke ekor, namun ia mampu mencecah sehingga 100 cm.
Sagai biasanya boleh dijumpai di kawasan perairan pantai. Bagi anak atau juvenil spesies sagai, biasanya menjadikan krustasia bentik atau dasar sebagai dietnya manakala bagi sagai dewasa, ikan kecil serta krustasia menjadi hidangan utamanya ketika memburu.
14. SUSU
Nama saintifik : Chanos chanos Nama umum : Milkfish, Bangus Nama tempatan : Susu, Nenen
Ikan susu biasanya mendiami persekitaran benthopelagic, iaitu di kawasan pertengahan hingga ke dasar. Ianya juga mempunyai kadar toleransi saliniti yang tinggi dan mampu hidup di air payau.
Spesies mempunyai bentuk badan memanjang, bermulut kecil dan tidak bergigi. Juvenil akan membesar di sungai dan kembali ke laut setelah dewasa.
Ikan susu bergerak berkumpulan di kawasan terumbu dan diet utama ikan ini ialah cyanobacteria, alga, invertebrata bentik serta telur dan larva ikan pelagik. Ikan susu terkenal sebagai ikan sukan terutama di kalangan penggiat fly-fishing.
15. SIAKAP
Nama saintifik : Lates calcarifer Nama umum : Barramundi, Asian seabass Nama tempatan : Siakap, Kakap, Kakap/Siakap putih
Siakap atau nama saintifiknya Lates calcarifer merupakan antara spesies yang popular di kalangan pemancing serata dunia. Siakap merupakan spesies catadromous iaitu kebanyakan masanya mendiami kawasan sungai namun berhijrah ke kawasan laut untuk mengawan.
Spesies ini biasanya mendiami kawasan air payau terutama kuala-kuala sungai. Bersifat pemangsa, siakap gemar menyerang anak-anak ikan dan udang yang merupakan diet utamanya.
Kuasa tentangannya pula tidak mengecewakan dan ia dikatakan agak bijak untuk dijerat di samping berupaya memutuskan perambut dan tali utama menggunakan operculum di pipinya yang tajam.
16. BULAN
Nama saintifik : Megalops cyprinoides Nama umum : Indo-Pacific tarpon, Tarpon, The Silver King Nama tempatan : Bulan, Bulan-bulan
Spesies Megalops cyprinoides ini mampu hidup dalam keadaan perairan air payau disebabkan kadar toleransi salinitinya yang tinggi. Spesies ini hidup di bahagian benthopelagic dan bersifat amphidromous.
Bulan dewasa biasanya ditemui di lautan manakala juvenil pula membesar di muara atau sungai berbakau.
Ikan ini berwarna perak bercahaya. Spesies ini menjadikan krustasia dan ikan kecil sebagai diet utamanya.
Bulan mempunyai sisik dan rahang yang kuat dan gemar membuat aksi lompatan akrobatik ketika bertarung untuk melepaskan dirinya daripada tancapan mata kail. Ia juga merupakan antara spesies ikan sukan yang popular.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...