Ikan terubuk atau nama umumnya toli shad, juga disebut sebagai hering Cina adalah ikan yang menguni perairan estuarin yang ditangkap secara meluas kerana daging dan telurnya.
Ia adalah satu spesies ikan shad yang tersebar di barat Lautan Hindi dan Teluk Bengal ke Laut Jawa dan Laut China Selatan.
Ia dipercayai turut ditemui di Mautritius dan Mekong Kemboja berhampiran sempadan Vietnam.
Ads
Di Thailand, spesies T. toli dipanggil Pla talumpuk atau Pla lumpuk, namanya berasal dari Laem Talumphuk (Cape Talumphuk) di Amphoe Pak Phanang, Nakhon Si Thammarat, kerana pada masa lalu, tempat ini terdapat begitu banyak spesies ini.
Di Bangladesh, di mana ia dikenali sebagai Ilisha Chandana, secara komersial kurang penting berbanding spesies T. Ilisha. Ia dikenali sebagai daungdana di Myanmar, trey palung di Kemboja, bhing di Maharashtra, palwa di Gujarat, dan seriya di Sri Lanka.
Di Malaysia, ikan terubuk bukanlah spesies yang popular di kalangan pemancing kerana ia sukar untuk dijerat dengan penggunaan kekili dan joran.
Ads
Sebaliknya ia dikagumi di kalangan rakyat Malaysia kerana isi dan telurnya. Siapa yang tidak terangkat selera apabila dihidangkan dengan terubuk bakar atau terubuk masin.
Penangkapan ikan yang berlebihan telah mengurangkan populasi ke tahap yang membimbangkan di Asia Tenggara, dengan pantai Sarawak yang tinggal menjadi habitat terakhir.
Ikan terubuk mendiami muara keruh berarus deras dan perairan bersebelahan pantai. Mereka akan memasuki sungai untuk membiak pada sepanjang tahun.
Spesies yang mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun sahaja ini akan mencapai kematangan pada ukuran 29 cm.
Ia mampu membesar panjang sehingga 60 cm namun purata spesimen yang ditemui sekitar 40 cm sahaja.
Ikan yang mempunyai sifat hermafrodit proandri ini pada tahun pertama kehidupannya akan dilalui sebagai jantan pada tahun kedua akan berganti kelamin menjadi betina.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Cuti sekolah baru-baru ini, saya dan Apit sudah bercadang mahu mencuba lubuk baru yang lebih mengancam dan mendebarkan. Kali ini kami memilih sebuah lubuk yang mula menjadi sebutan di kalangan kaki pancing.
Lubuk ini terletak dalam hutan simpan yang masih dara dan belum sangat diteroka. Lokasinya di sebuah kawasan pedalaman di negeri Kedah. Selain saya dan Apit, Nasha dan Iwan juga menawarkan diri untuk pergi. Kami bercadang untuk bermalam sehari di kawasan ini.
Perjalanan dengan kereta Wira kesayangan saya mengambil masa hampir dua jam ke hutan simpan ini. Setelah meletakkan kereta di kawasan yang disediakan, kami terpaksa berjalan kaki meredah belukar setinggi pinggang hingga sampai di satu kawasan perkampungan orang asli.
Dari situ perjalanan diteruskan dengan melalui celah bongkah batu yang besar. Aliran air yang mengalir di celah-celah batu sangat jernih dan segar hingga kami minum begitu sahaja. Inilah air mineral yang paling sejuk dan jernih yang pernah saya jumpa. Setelah berjalan hampir dua jam, akhirnya kami tiba di satu kawasan lapang yang boleh memuatkan tiga buah khemah. Inilah tempatnya. Di hadapan kami terbentuk sebuah lubuk dalam yang airnya berwarna kehijauan.
Suasananya sejuk dan nyaman. Pokok hutan sebesar dua pemeluk seolah-olah memayungi kawasan ini agar redup. Sesekali saya dapat melihat kocakan ikan di dalam lubuk seolah-olah menyambut mesra kedatangan kami ke situ. Tanpa membuang masa, saya dan Apit terus mendirikan khemah ringkas berbentuk A. Nasha dan Iwan pula sudah bersiap dengan joran dan umpan masing-masing. Misi kami untuk mencari lauk yang bakal dijadikan hidangan makan tengah hari.
Maklumlah perut sudah berkeroncong untuk diisi. Dengan berbekalkan umpan yang dibuat daripada isi kelapa sawit dan beberapa ramuan rahsia, Nasha terus melabuhkan jorannya di tengah lubuk yang airnya sangat tenang dengan riak kecil di atas permukaannya. Tidak sampai dua minit, seekor ikan baung sebesar lengan budak dua tahun melontar lemah di hujung kail.
Iwan pula berjaya memperolehi ikan tengas seberat hampir setengah kilogram dan dua ekor ikan baung. Saya terus membakar ikan-ikan itu setelah dibersihkan isi perutnya manakala Apit pula membuat bahan cicah yang berupa kicap yang dicampur dengan hirisan bawang besar dan cili api.
Setelah menikmati makan tengah hari, kami berempat berlumba-lumba melabuhkan joran. Menjelang jam 6 petang, ikan seperti beransur kurang dan saya mendapat ikan sebarau seberat setengah kilogram sebagai mangsa terakhir. Sedang asyik menaikkan ikan, Apit memberi isyarat dengan tangannya menunjuk ke satu arah.
Jelas pada pandangan saya seperti satu barisan panjang pelbagai jenis bunga-bungaan seperti mawar merah, kenanga, cempaka, melur dan beberapa jenis lagi hanyut dengan tenang di hadapan kami. Terdapat juga limau purut yang dipotong dua.
Haruman limau segar jelas menusuk hidung. Sebaik sahaja kami terlihat bunga-bungaan ini (seperti ada orang yang mandi bunga di hulu sungai) saya dan kawan-kawan melompat naik ke darat. Malam itu, perasaan kami sedikit berdebar.
Kami berempat seperti terkelu. Berlaku lagi satu peristiwa yang agak menyeramkan pada malam itu. Pada jam 11 malam, saya terdengar sekumpulan anak kecil sedang riuh bermain di tepi khemah yang saya diami bersama Apit. Saya menyuluh keluar, namun tiada satu apa pun yang kelihatan.
Entah mengapa tergerak hati saya untuk menyuluh ke atas pokok dan ketika itu terasa jantung mahu gugur apabila melihat beberapa kepala tergantung tanpa badan dan kaki, mata merah merenung saya dalam keadaan marah. Walaupun merasa gementar dan takut, saya tidak pula memberitahu kawan-kawan tentang perkara itu saya hanya mendiamkan diri dan tidur sehingga pagi.
Keesokan harinya, saya mengajak kawan-kawan pulang kerana tidak sedap hati dengan situasi yang dialami. Nasya meminta rancangan pulang ditangguhkan ke tengah hari supaya kami dapat memancing lagi. Namun, sebaik sahaja kami melihat seekor biawak sebesar anak buaya keluar daripada belukar berhampiran merangkak perlahan, menuju ke gigi air hasrat Nasya itu kami tolak mentah-mentah.
Kami mengemas segala peralatan khemah dan joran lalu bergerak keluar meninggalkan kawasan itu pada jam 8.30 pagi. Di pertengahan jalan, kami berjumpa dengan Tok Batin orang asli yang dikenali dengan nama Tok Maneh. Kami terus menceritakan kejadian aneh yang kami alami kepada Tok Maneh.
Orang tua itu hanya tersenyum dan berkata kami bernasib baik kerana tidak diganggu oleh puaka hutan yang memang biasa mengganggu pemancing yang baru berkunjung ke situ. Tok Maneh juga telah menunjukkan kami satu lokasi terbaik untuk memancing ikan. Di sini kami telah berjaya memperolehi lapan ekor sebarau yang sederhana saiznya, baung, lampam, tengas dan juga temperas.
Walaupun telah menempuh pengalaman aneh dan misteri namun saya dan kawan-kawan tidak merasa serik untuk berkunjung ke sini lagi. Saya percaya walau di bumi mana kita berada kita tetap berkongsi dunia dengan makhluk Allah yang lain. Wallahualam.
Apa yang kita ada pada hari ini, amatlah wajar kita hargai dan pastikan ia terus kekal untuk tatapan generasi akan datang. Janganlah kerana kerakusan kita memancing hingga habis limit, anak cucu kita tidak lagi kenal rupa bentuk ikan yang ada di perairan kita.
Adalah sesuatu yang amat malang, jika suatu hari nanti, seluruh perairan kita dipenuhi ikan pendatang, lantaran kepupusan ikan asal dek kerana kerakusan kaki pancing yang tidak beretika!
Ancaman ikan pendatang
Beberapa tahun yang kebelakangan ini, kita telah dapati banyak spesies pendatang yang telah memasuki perairan kita. Kebanyakannya adalah berasal dari aktiviti akuarium atau akuakultur.
Belum ada kajian yang cukup lengkap tentang kesan negatif dari kehadiran spesies-spesies ini, tetapi pada mata kasar pemancing-pemancing dan juga hasil kajian di negara lain, spesies pendatang memang telah menjejaskan habitat dan tumbesaran spesies asli kita.
Ada spesies pendatang yang membiak dengan amat pantas, memakan telur spesies ikan Malaysia dan juga merosakkan habitat air. Kesannya, ada ikan tempatan yang terbantut saiznya dan semakin berkurangan.
Kita tidak boleh menunggu hingga kajian lengkap dibuat mengenai isu ini. Kita perlu bertindak sekarang juga. Jika anda terpancing spesies pendatang di perairan yang semulajadi (tasik, sungai dan sebagainya), JANGAN LEPASKAN ia balik ke air. Makanlah atau sedekahkan kepada sesiapa saja yang memerlukannya sebagai makanan.
Amat menyedihkan hari ini apabila melihat ada segelintir pemancing yang pemancing yang begitu megah mengamalkan konsep tangkap & lepas spesies pendatang tetapi pada masa yang sama mempraktikkan tangkap & tapau spesies tempatan.
Antara spesies ikan pendatang
Semua ikan jenis Cichlid: Flower horn, peacock bass, jaguar cichlid, semua jenis tilapia.
Ikan-ikan Kap: Kap rumput, leekoh, kap kepala besar, kap putih, rohu, katla
Ikan Keli: Keli Afrika, keli Rusia, baung ekor merah
Lain-lain spesies: Pacu, lampam jawa, ikan bandaraya, ikan buaya, patin Chaophraya
Ikan tengas atau kejor atau kelah hijau adalah ikan yang digemari sesetengah penduduk tempatan; namun, tengas masih belum mencapai tahap komersial seperti patin, haruan, kelah merah dan sebagainya. Dengan itu, artikel ini menerangkan potensi pasaran tengas di Malaysia.
Potensi pasaran
Potensi pertama adalah tengas boleh dijadikan ikan makanan yang komersial. Selama ini, tengas telah menjadi hidangan untuk sesetengah masyarakat di Malaysia. Bukan begitu sahaja, cara masakan tengas juga berbeza mengikut kaum. Contohnya, kaum bumiputera suka menghidangkan tengas dengan masak lemak, goreng dan bakar; kaum cina pula, suka mengukus tengas dengan kicap soya.
Sesetengah responden juga menyatakan bahawa rasa kelah hijau daripada sumber air yang berkualiti dan kelah merah tidak jauh berbeza. Ini telah membuktikan bahawa tengas boleh diterima sebagai makanan untuk sesetengah penduduk di Malaysia.
Tambahan pula, jika pengusaha restoran boleh menyediakan tengas dalam beberapa jenis masakan yang menarik, ini akan mendorong ramai pengguna menikmati tengas. Lagi pun, terdapat beberapa jenis produk perikanan yang kini laris di pasaran juga dipromosikan melalui pengusaha restoran. Contohnya, udang lipan (mantis shrimp) bukan makanan yang komersial pada 3 dekad yang lepas dan diproses sebagai makanan untuk ternakan.
Selepas pengusaha restoran berjaya memperkenalkan beberapa masakan udang lipan yang menarik, kini ia adalah salah satu produk perikanan yang mahal di pasaran Malaysia dan negara-negara lain. Selain itu, tengas juga berpotensi untuk dijadikan ikan hiasan. Oleh sebab tengas adalah bersinar dan mirip dengan kelah, ramai pengguna suka membela tengas untuk penghiasan.
Kini benih tengas (lebih kurang 3 inci) berharga dalam lingkungan RM10 seekor dan boleh didapati di kedai akuarium. Ramai pengusaha restoran juga suka membela tengas di dalam restoran mereka untuk meningkatkan imej dan menambah baik suasana.
Potensi ketiga adalah dijadikan daya tarikan untuk rekreasi. Ini kerana terdapat ramai kaki pancing sanggup mengunjungi jarak yang jauh untuk mendapatkan ikan tengas yang saiz besar. Jika populasi tengas liar dipelihara dan kawasan berkenaan dijadikan sebagai santuari ikan, ini mungkin boleh menarik ramai pemancing dan keluarga untuk menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.
Ini juga boleh merangsang ekonomi setempat kerana ini mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk penduduk tempatan. Contohnya, mereka boleh menjual makanan dan peralatan, dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan sebagainya kepada para pengunjung.
Cabaran
Menurut para responden, hampir kesemua tengas yang diperolehi adalah daripada sumber semula jadi, seperti sungai, tasik, kolam dan empangan.
Jika bekalan tengas daripada sumber semula jadi berterusan, populasi tengas berkemungkinan akan menjadi seperti kelah, patin, dan banyak spesies ikan air tawar yang mahal pada masa kini, iaitu terancam dan kian berkurangan. Tambahan pula, terdapat beberapa responden memaklumkan bahawa saiz dan bilangan tengas di sesetengah lokasi didapati kian kecil dan berkurangan.
Mereka percaya bahawa punca utama adalah daripada aktiviti pembalakan di kawasan sekitaran dan juga penangkapan tengas yang berterusan. Gejala ini telah memberi kita satu amaran bahawa tengas di Malaysia mungkin sudah terancam oleh kegiatan manusia.
Jika usahawan ingin membangunkan pasaran tengas, mereka harus bergantung kepada sumber yang lestari. Teknologi penternakan tengas juga perlu dijayakan oleh pakar-pakar perikanan; ini kerana buat masa sekarang masih tiada teknologi yang bersesuaian untuk menternak tengas.
Dengan memperkenalkan teknologi penternakan tengas yang lestari, para usahawan boleh menghasilkan tengas dengan kos yang minimum, berskala besar dan konsisten. Seterusnya, produk tengas yang dihasilkan adalah mampu ditanggung oleh para pengguna tempatan. Oleh itu, kajian ikan tengas dalam aspek pemasaran dan biologi adalah penting sebelum ini dikomersialkan.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, tengas berpotensi dijadikan makanan, ikan hiasan, dan daya tarikan untuk aktiviti rekreasi. Namun begitu, bekalan ikan tengas yang konsisten, berterusan, tidak mengancamkan sumber kehidupan asli, dan kos beroperasi yang minimum adalah persoalan utama.
Kajian pemasaran dan biologi yang lebih mendalam juga memang penting untuk menjayakan usaha ini. Jikalau tengas berjaya dikomersialkan di Malaysia, ini pasti boleh membawa pelbagai manfaat di pasaran.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...