Kolagen merupakan jenis protein tubuh yang sangat penting dan diperlukan oleh tubuh. Kolagen banyak ditemukan pada produk kecantikan, kerana salah satu fungsi kolagen ialah untuk menjaga kesihatan kulit wajah.
Kolagen juga berfungsi menjaga daya tahan tubuh, membentuk beberapa organ tubuh dan bahagian tubuh di antaranya tulang, sendi, otot dan gigi.
Kandungan kolagen normal pada tubuh ialah 30% dari jumlah keseluruhan protein dalam tubuh.
Gelembung ikan memiliki fungsi untuk meningkatkan metabolisme pada tubuh. Peningkatan metabolisme pada tubuh akan menambak baik bagi kesihatan tubuh.
Dengan metabolisme yang baik, maka pembakaran kalori dalam tubuh juga baik. Maka tubuh akan menjadi lebih cergas, bertenaga dan berat badan juga akan terkawal.
Beberapa manfaat lain apabila metabolisme tubuh baik diantaranya; memperbaiki kerosakan pada tubuh, mengeluarkan racun dari dalam tubuh, menyerap nutrisi dari
Ads
makanan yang masuk ke dalam sistem pencernaan, pembakaran kalori yang baik, tenaga dalam tubuh juga baik.
Di China, banyak wanita mengambil gelembung ikan untuk mendapatkan kesuburan dan cepat untuk memiliki keturunan.
Hampir seluruh wanita yang ada di China, terutamanya yang sudah mendirikan rumah tangga, mengambil gelembung ikan dalam diet mereka dengan tujuan cepat mendapatkan anak.
Ads
Gelembung ikan tidak hanya membantu meningkatkan kesuburan, akan tetapi juga bermanfaat untuk menjaga kecerdasan otak janin di dalam rahim sang Ibu.
Ibu hamil yang mengambil gelembung ikan sama dengan memberikan makanan berupa nutrisi yang baik untuk janin di dalam rahimnya.
Kandungan dalam gelembung ikan dapat membantu otak janin menjadi lebih cerdas sejak dalam kandungan.
Ads
Gelembung ikan memiliki harga jual yang tinggi, bahkan mencapai RM60K per kilogram!
“Celaka punya ikan…!” Halim menyumpah. Joran Shimano Bassterra second yang dia beli bulan lepas melendut-lendut diasak pemangsa. Tali sulam 15 lb berdesit-desit keluar. Apakah gerangan pemangsa yang membaham gewang Rapala Shad Rap yang dia suakan. Apakah ‘monster’ sungai yang handal sangat ini.
“Jaga kau.. kau naik nanti aku panggang kau. Liat betul kau ya..” Tidak habis-habis Halim menyumpah.
Seekor sebarau tidak lebih dari 2 kg berjaya didaratkan. Halim hairan. Ikan yang tidak sebesar mana tetapi cukup menguji kesabarannya.
Biasanya ikan sebarau, tentangan pertamanya memang kuat, tetapi selepas 2-3 minit dia akan lemah. Setelah mengeluarkan mata tiga gewang yang tertancap di bibir sebarau berkenaan, Halim menjinjing sebarau tersebut ke tapak perkhemahan.
Halim bangga. Hanya dia seorang sahaja yang berjaya mendapat hasil lewat petang itu. Rakan-rakan pancing yang lain pulang dengan ‘tangan kosong’.
“Hari ini aku champion. Orang pro macam aku mana boleh lawan… he… he…” Halim ketawa sambil tersengih. Walaupun geram dengan perbuatannya, tetapi rakan-rakan Halim yang lain sebenarnya sudah masak benar dengan perangainya yang suka cakap besar.
Makan malam mereka berlaukkan sardin cap Ayam digandingkan dengan sayur kubis goreng.
Berdekah-dekah mereka ketawa. Dek kerana sedapnya makan dalam hutan, mereka semua terlupa kepada sebarau yang dipanggang Halim. Zamri berlari pantas menuju ke hujung khemah untuk mengambil ikan tersebut.
“Geng… tak ada la ikan tu, kau bakar kat sini tadi kan Halim?”. Mereka saling berpandangan sesama sendiri. Memang di situlah Halim panggang sebarau yang dia dapat petang tadi. Ke mana hilangnya ikan itu.
“Binatang hutan kot yang curi ikan tu,” Fuad cuba menenangkan keadaan.
Setelah selesai makan, mereka berbual seketika sebelum masuk ke khemah masing-masing.
Dinihari Halim terjaga kerana terasa hendak buang air kecil, lantas mencapai lampu suluh dan bergegas ke belakang khemah.
Sewaktu hendak memasuki khemah dia terdengar suara orang sedang berbual. Suara itu datang dari arah tebing sungai. Memang dia ternampak di bawah samar cahaya bulan, ada orang duduk di atas batu besar. Halim berjalan ke arah mereka.
“Oh…kau rupanya Zali, Amri. Tak tidur lagi ke?” Halim menyapa sambil kakinya melangkah ke atas batu.
“Mata tak mahu lelap, jadi kami lepak atas batu ni.. sembang-sembang. Kami masak mee segera tadi, banyak lagi lebih ni.. makanlah,” Zali mempelawa. Perut Halim memang terasa lapar.
Maklumlah di dalam hutan, lebih-lebih lagi di tepi sungai. Cuaca sejuk menyebabkan perut cepat lapar. Halim makan dengan penuh berselera walaupun hanya sekadar mee segera kosong yang sudah kembang, tanpa kuah. Hinggakan tidak sedar bila dia masuk ke khemah semula dan terlelap.
“Zali… kau dengan Amri malam tadi masuk tidur pukul berapa?” terpacul soalan dari mulut Halim ketika mereka duduk untuk bersarapan.
Zali agak kehairanan. Mengapa pula Halim bertanyakan soalan tersebut.
Mereka semua tidur awal kerana keletihan. Lantas Halim menceritakan apa yang terjadi waktu dinihari tadi. Zali dan Amri menafikan yang mereka bersembang di atas batu.
“Habis tu malam tadi… siapa?” Halim bersuara cemas sambil berlari ke arah batu besar.
Sebaik tiba di atas batu tersebut, alangkah terperanjatnya dia melihat banyaknya cacing tanah yang merayap-rayap. Tekak terasa mual. Perutnya memulas tiba-tiba. Angin naik ke kepala dan terus termuntah.
Rakan-rakan yang mengekori terkejut melihat cacing-cacing yang keluar dari mulut Halim. Badannya mulai lemah dan terpaksa dipapah ke khemah. Trip 3 hari 2 malam terbantut. Mereka segera berkemas pada pagi itu dan pulang.
“Ini air tanah liat putih. Saya sudah bacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan doa. Bagi dia minum,” kata Ustaz Salahuddin kepada Zali.
Menurut Ustaz, ikan yang dipancing Halim ‘ada tuan’ dan membalasnya dengan hidangan ‘mee segera semula jadi’. Ustaz memberitahu Zali cerita lama sekitar tahun 50-an, di mana tiga orang pemburu yang tersesat menemui pulut kuning di dalam talam tembaga di atas batu besar di jeram tersebut. Itulah sebabnya jeram tersebut dinamakan jeram pulut. Zali mengangguk-anggukkan kepala.
Sewaktu Zali melangkah kaki ke kereta, sempat Ustaz Salahuddin berpesan “Adat bertandang ke tempat orang, jaga tutur kata, pelihara tatasusila…” Sejak daripada itu, Halim serik untuk bertandang ke lokasi memancing terutama sungai-sungai di dalam hutan.
Hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini, bahawa pemancing suka berpuak-puak dan tidak bersatu. Tidak seperti zaman dahulu.
Benarkah dakwaan ini?
Bila ditanya pada rakan-rakan pemancing, ada yang kata benar, ada yang kata tidak. Malah, ada yang kata ini hanyalah isu remeh yang tidak perlu dibesarkan. Benar atau pun tidak, penulis menyerahkan kepada penilain tuan-tuan dan puan-puan yang sangat dihormati sekalian.
Cuma, kita boleh cuba mengenal pasti apakah ‘faktor’ atau ‘punca’ dakwaan ini, berdasarkan kajian saintis terkenal dunia, berkaitan psikologi dan sosiologi pemancing. Antaranya:
A: Pengkhususan rekreasi (recreation specialization) = Merupakan tahap pengkhususan seseorang dalam aktiviti memancing.
Contohnya: Pemancing ikan toman, boleh dikategorikan kepada: 1)pemancing biasa, 2)pemancing sekali-sekala, 3)pemancing mahir teknik, dan 4)pemancing mahir teknik dan lokasi. Ini berdasarkan kemahiran (skill) dan peralatan (equipment) yang digunakan untuk memburu toman.
Ini bermakna, lain pemancing lain tahap mereka. Walaupun pemancing biasa (kategori 1) mereka tetap juga pemancing toman. Begitu juga dengan spesies lain, dan teknik memancing yang lain.
‘Pengkhususan rekreasi’ pemancing perlu difahami, agar kita tahu, apa kelebihan dan kekurangan rakan pemancing kita.
B: Pembahagian pemancing (angler segmentation) = Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan atau segmen tertentu, berdasarkan ‘sikap’ dan ‘tingkah laku’ mereka.
Contohnya: ‘Sikap menangkap ikan’ (catch attitude). Pemancing boleh dibahagikan kepada mereka yang suka: 1)menangkap ikan besar, 2)menangkap banyak ikan, 3)membawa balik ikan ke rumah, atau 4)tidak mengapa jika tidak mendapat ikan.
Betul, tidak dapat ikan pun dikira sebagai segmen memancing. Ada yang ‘kumpau’ tetapi masih gembira dengan trip memancing mereka.
Akan tetapi C&R bergantung kepada spesies, saiz, jumlah ikan yang ditangkap, lokasi, serta dengan siapa mereka memancing. Setiap pemancing mempunyai pendapat tersendiri tentang C&R.
Perbezaan dalam ‘pembahagian pemancing’ sangat perlu dihormati, kerana ianya boleh menjadi ‘sensitif’ bagi sesetengah individu.
C: Kontinum pemancing (angler continuum) = Merupakan ‘julat’ atau ‘lingkungan’ di kalangan pemancing.
Contoh lain: Pengelibatan memancing atau kekerapan pergi memancing, boleh dibahagikan kepada: 1)kurang penglibatan (cth: setahun sekali), 2)sederhana penglibatan, 3)tinggi penglibatan (cth: mereka yang memancing hampir setiap hari).
Ia boleh merangkumi pelbagai aspek, seperti kemahiran melempar gewang, kemahiran menyelenggara kekili, malah mengikat mata kail pun, boleh mempunyai kontinum tersendiri. Jadi, tanggapan bahawa orang yang tidak pandai mengikat mata kail, bukan pemancing, adalah kurang tepat.
Justeru, penting untuk kita menghormati pemancing lain, terutama mereka yang berada dalam kontinum yang berbeza dengan kita.
D: Kumpulan pemancing dan sub-kumpulan pemancing (angler groups and angler sub-groups) = Ini merupakan perkara biasa yang kita dengar, iaitu pemancing mempunyai kumpulan tersendiri.
Kumpulan ini bergantung kepada faktor seperti teknik (bottom vs casting vs jigging vs fly), lokasi (kolam vs sungai vs tasik vs pesisir pantai vs laut dalam), spesies (toman vs sebarau vs kelah vs sepat vs lampam), kolam (kolam air masin vs kolam air tawar vs kolam udang), menyertai pertandingan (suka pertandingan vs tidak suka pertandingan), dan banyak lagi kumpulan yang lain.
Selain faktor latar belakang seperti jantina, umur, tahap pendidikan, pekerjaan, dan pendapatan, juga boleh dijadikan kumpulan pemancing.
Kumpulan-kumpulan yang wujud menunjukkan diversiti atau kepelbagaian dalam dunia memancing. Sudah tentu, kita dididik agar meraikan kepelbagaian dalam hidup kita.
E: Motif tersembunyi memancing (fishingunderlyingmotives) = Motif, motivasi, atau tujuan, bermaksud mengapa pemancing keluar memancing. Pemancing boleh dibahagikan kepada kumpulan tertentu, berdasarkan motif memancing mereka.
Contohnya: Pemancing yang keluar bersama keluarga, mempunyai motif berbeza dengan pemancing yang ingin menangkap banyak ikan. Teknik, pendekatan, dan usaha (effort) mereka akan jadi berbeza.
Contoh lain: Pemancing yang motifnya mahu kesunyian dan bersendirian, tidak mungkin boleh bersama dengan pemancing yang mahu bersama rakan untuk bersembang. Ini boleh menimbulkan konflik.
Begitu juga dengan motif lain seperti untuk mendapatkan rekreasi, untuk menikmati alam sekitar, untuk berseronok, dan lain-lain lagi.
Motif memancing sangat penting untuk difahami, agar kita tahu apa tujuan pemancing, selain untuk mendapatkan ‘strike’.
Hakikatnya
Ramai sahaja pemancing yang ‘cool’ dan ‘chill’ dengan rakan-rakan pemancing, walaupun terdapat perbezaan pendapat, latar belakang, kumpulan, sikap, serta kemahiran.
Ramai sahaja yang ‘okay’ dengan rakan-rakan baharu, walaupun mereka telah mencapai tahap tertinggi (otai, masta, sifu, mahaguru). Malah ada yang sudi menurunkan ilmu dan kemahiran, seikhlas hati.
Mungkin, ada seorang-dua yang agak ekstrim dan agak menonjol, yang boleh menjejaskan keakraban rakan-rakan pemancing lain. Saya kata, mungkin…
Penting
Adakah penting untuk memahami kepelbagaian serta perbezaan kumpulan pemancing?
Ya, penting. Kerana kita akan lebih mengenali siapa mereka ini, dan apa yang mereka mahukan.
Justeru, kepuasan memancing, selain dari ‘strike’ dapat dipenuhi. Serta, pembangunan perikanan rekreasi di Malaysia dapat diperbaiki.
Berdasarkan komen dan maklumbalas dari pelbagai kumpulan, segmen, dan motif yang wujud.
Terbaik
Perkara terbaik adalah pemancing harus bijak dalam menilai sesuatu isu atau perkara yang dibangkitkan, agar keharmonian sesama pemancing dikekalkan.
Toleransi, saling menghormati, dan berlapang dada, merupakan elemen pendamai, yang perlu ada dalam setiap diri pemancing. Sekaligus, dakwaan pemancing suka berpuak-puak dapat ditangkis sepenuhnya.
Dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Fadzli dan Rosdan tiba di Temerloh. Azhar yang menunggu mereka di stesen minyak Simpang Songsang mengajak mereka berdua singgah dahulu di sebuah warung untuk minum sambil berbincang tentang trip memancing pada sebelah malam nanti.
Lebih kurang jam 10.00 malam mereka turun memancing. Bot fiber biru muda yang dipadankan dengan enjin sangkut 15 kuasa kuda dipacu sederhana laju oleh Azhar.
Melihat keadaan air sungai yang surut dan tidak berapa keruh, membuak-buak semangat Fadli dan Rosdan untuk menewaskan spesies ‘ori’ yang selama ini diidamkan.
Tidak sabar rasanya mereka berdua hendak menaikkan kerai, patin, baung, temoleh, lampam, begahak dan tidak terkecuali udang galah.
Sepuluh minit perjalanan, mereka sampai di Lubuk Rakit. Azhar memperlahankan enjin bot. Setelah sauh dilabuh tanpa berlengah Fadli mencangkuk cacing air ke mata kail.
Menurut Azhar cacing air merupakan umpan power untuk penghuni Sungai Pahang. Rosdan pula memilih seluang janggut sebagai umpan sulung trip ini.
Sebaik sahaja umpan menyentuh dasar, hujung joran bergetar perlahan di getu anak-anak ikan. Tidak lama menunggu, joran tiba-tiba melengkung dan sepantas kilat Fadli menyentap dan mengepam tali ke dalam kekili. Seekor ikan pari sebesar pinggan berjaya disauk ke dalam bot.
“Fuh… tak sangka dapat pari. Kuat juga dia melawan, pari sungai” Fadli bersorak gembira dan sangat teruja dengan pari air tawar pertama buat dirinya.
Rosdan pula berjaya menaikkan seekor begahak sebesar betis.
“Jaga sikit Rosdan… guna playar. Gigi ikan tu kau tengoklah macam dinosaur!” Pesan Azhar yang pernah luka kerana gigitan ketika mahu mengeluarkan mata kail dari rahang begahak.
Bukan main ceria lagi mereka berdua. Azhar selaku tekong tumpang gembira dengan hasil sulung mereka berdua. Tidak sia-sia dia menjemput dua sahabat yang dikenali melalui forum pemancing datang menduga di sungai terpanjang di semenanjung Malaysia ini.
Semakin larut malam semakin galak ikan meragut umpan. Bekal jemput pisang dan kopi ‘o’ panas yang dibancuh isteri Azhar tidak sempat dijamah.
Asal taruk sahaja umpan tanpa menunggu lama pasti bersambut. Beberapa ekor udang galah juga berjaya dipancing.
“Betullah bang… Meriah betul lubuk ni” Azhar tersenyum dengan kata-kata Fadli. Lubuk Rakit adalah antara lokasi yang sering dikunjungi Azhar untuk menghanyutkan jaring atau memancing.
Di lubuk ini dia pernah bertarung dengan temoleh belasan kilogram. Patin buah juga banyak dia perolehi di sini.
Fadli melihat jam tangannya. Sudahpukul 2.15 pagi tetapi mata tidak mengantuk. Waktu dirasakan begitu pantas berlalu.
Walaupun cuaca semakin sejuk kerana embun mula turun menitis namun tidak diendahkan mereka bertiga. Keasyikan menaikkan ikan mengatasi segala-galanya.
Rosdan menerima satu strike. Nampaknya habuan yang besar kali ini. Hujung joran menunduk hampir mencecah air. Rosdan berdiri mengemas kekuda.
Manik-manik peluh mula membasahi dahi. Beberapa minit bertarung, Rosdan bersuara
“Bang, tolong bang… sangkut ke ni. Uhh.. beratnya” dengus Rosdan sambil menunggu Azhar mengambil alih perlawanan.
Azhar melangkah ke depan bot. Memang terasa berat. Azhar cuba mengarau tali tetapi tidak dapat memusing tombol pada kekili. Tangsi ditarik menggunakan tangan.
Jari terasa pedih kerana berat bebanan yang ditarik. Tambahan pula rintangan arus sungai.
Sedikit demi sedikit tangsi dihela ke dalam bot. Kelihatan berbalam-balam di dalam air sesuatu yang agak besar.
Terdetik di hati Azhar apakah gerangan penghuni lubuk yang semakin menimbul. Kalau ikan sudah tentu ada henjutan atau perlawanan tapi ini mengikit sahaja.
Suasana di dalam bot menjadi kelam-kabut. Dapat dilihat dengan jelas mayat askar Jepun yang berbelit tali tangsi. Dengan tangan mengeletar Rosdan menghulur parang.
Azhar tergesa-gesa memotong tangsi. Mayat tersebut masih terapung. Beberapa kali tali penghidup enjin sangkut disentap. Dalam suasana cemas dan tergopoh-gapah akhirnya enjin dapat dihidupkan. Tali sauh dipotong dan Azhar terus memecut laju.
Di tengah perjalanan Fadli berteriak “Mayat..mayat!” Jari telunjuknya menuding ke dalam air sebelah kiri bot. Mayat askar Jepun mengekori bot mereka.
Semakin laju Azhar memecut semakin pantas mayat tersebut meluncur, tenggelam-timbul berhampiran bot. Tiba-tiba Rosdan mengangkat kedua-dua tangannya dan dirapatkan ke telinga.
“Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Rosdan melaungkan azan sekuat hatinya. Sedikit demi sedikit mayat askar Jepun tenggelam ke dalam air dan lenyap dari pandangan.
Mereka berdua yang bermalam di rumah Azhar tidak dapat melelapkan mata. Wajah mayat askar Jepun masih terbayang-bayang. Apabila hari sudah siang barulah kedua-dua mereka boleh tidur.
“Bang… lain kali kalau kami datang ke sini, kami tak mahu dah ke lubuk tu. Patut lah banyak ikan.. ada hantu!”
Sempat Fadli berseloroh ketika berjabat tangan sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur. “Ok..lah, abang bawa ke pulau penanggal pulak nanti..” balas Azhar tersenyum sambil tangan dilambai kepada dua sahabatnya.
*Ketika Perang Dunia Kedua, satu batalion tentera Jepun yang sampai ke daerah Temerloh telah memakan bubur yang dimasak penduduk kampung.
Bubur tersebut telah di campur dengan ubi gadung yang beracun dan boleh membawa maut. Mayat-mayat tentera Jepun bergelimpangan mati dan yang jatuh ke dalam sungai, timbul umpama rakit yang memenuhi teluk di kawasan Lubuk Rakit.
Sehingga ke hari ini masih berlaku kejadian mistik dan gangguan ‘menghantui’ lubuk tersebut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...