Peralatan yang sesuai seperti di bawah bagi melengkapkan lagi trip light jigging yang dirancang.
Rod
Terdapat pelbagai jenis rod untuk setup light jigging. Baik dari harga ekonomi atau mahal, ada di jual di pasaran. Rod Evergreen Poseidon Spin Jerker 603L ini misalnya, antara rod yang bagus untuk aplikasi light jigging.
Reel
Kekili Shimano Twin Power C3000 sememangnya cukup gah untuk light jigging bagi kategori spinning di Malaysia. Kayuhan yang lancar dan ‘soft’ serta drag yang cukup kuat menjadi antara sebab mengapa ia kerap menjadi idaman ligt jigger. Pun begitu, dalam pancingan ini tidak kisah jenama kekili yang ingin gunakan. Asalkan anda selesa dan paling penting tidak membebankan poket anda.
Jig
Ima Gun antara jig favourite dan sepatutnya memang ada dalam kotak pancing kaki light jigging. Keberkesanannya juga telah lama terbukti. Terdapat banyak skim warna yang anda pilih. Berat: 12, 20, 30, 40, 50 & 60 gram.
Coltsniper, antara jig ringan Shimano yang boleh anda cuba untuk menjerat spesies ebek, kerapu dan pelbagai spesies lain. Berat: 28, 42 & 60 gram.
Shimano Soare, jig ringan terbaru daripada Shimano. Diperbuat daripada tungsten membolehkan jig padu ini cepat jatuh ke dasar. Berat: 24 & 32 gram.
Kevlar
Banyak jenis kevlar dijual di pasaran. Ada yang ekonomi dan juga mahal. Terpulang pada kemampuan anda.
Leader
Sebaiknya, pilihlah tali jenis fluorocarbon yang mampu menyerap tekanan dan tahan lebih lama bila bergesel dengan batu karang.
Tali sulam
Tali sulam biasa atau warna? Kedua-duanya boleh digunakan untuk dipadankan ke dalam kekili anda.
Mata kail
Terdapat pelbagai jenis mata kail di pasaran. Owner Cultiva, antara jenis mata kail yang sering jadi pilihan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bandaraya Alor Setar yang berkedudukan di pinggir Selat Melaka dan dikelilingi sistem sungai seperti Sungai Kedah, Sungai Langgar, Sungai Tajar, dan Sungai Anak Bukit menjelaskan lagi pancingan air masin menjadi pilihan utama.
Apabila laut tidak mesra pemancing, kolam air masin akan menjadi galang ganti sebagai pengubat rindu. Maka tidak hairanlah banyak kolam pancing komersial air masin beroperasi di Alor Setar umpama `koq’ di dalam kolam. Dan salah satu daripada kolam-kolam tersebut adalah kolam Kuala Kedah Sport Fishing.
Kolam Kuala Kedah Sport Fishing yang terletak di Kampung Keluncur, Mukim Kubang Rotan, Alor Star ini mula beroperasi pada Mac 2013 yang lalu oleh anak tempatan yang juga seorang kaki pancing tegar air masin.
Ir. Zainal Alam Hj Bakar, 58 tahun, memanfaatkan kawasan bakau bersebelahan dengan kuala Sungai Kedah ini dengan mengusahakan sebuah kolam memancing air masin bagi memenuhi minat penduduk setempat. Kolam berukuran 100 kaki X 50 kaki mendapat bekalan air masin secara terus dari kuala sungai bersebelahan kolam.
Seminggu sekali, penggantian air kolam akan dilakukan dengan mengepam keluar air kolam ke sungai ketika air sungai surut dan menyedut kembali air sungai ke kolam ketika air pasang.
Kolam berkedalaman 11 kaki dan menampung air sehingga 8 kaki dalam ini menempatkan ikan-ikan yang diternak di dalam sangkar khususnya dari Sungai Merbok dan ikan-ikan laut lepas.
Jika tiada permasalahan stok dengan pembekal, pemancing akan berpeluang memancing siakap, siakap merah, bawal angsa, kerapu, jenahak, merah, aruan tasik serta gerepoh pada satu masa. Dengan kebanyakan ikan diperolehi daripada pembekal sangkar ternakan dan laut lepas, ia menjanjikan ikan-ikan di kolam Kuala Kedah Sport Fishing bukan saja seronok ditentang malah turut lazat untuk dijadikan juadah.
Beroperasi dari 9 pagi hingga 1 pagi setiap hari, dengan yuran memancing RM 50 bagi tempoh 4 jam pertama, RM 10 per jam untuk tempoh berikutnya, pemancing boleh membawa balik ikan yang berjaya dipancing dan dibenarkan untuk menyambung waktu memancing bila-bila masa saja jika gagal menghabiskan tempoh memancing untuk 4 jam pertama.
Ia merupakan satu keistimewaan berbanding kolam-kolam pancing air masin lainnya yang tidak membenarkan pemancing menyambung pancingan pada waktu-waktu lain sekiranya gagal menghabiskan tempoh memancing 4 jam pertama.
Selain dari kelebihan itu, kolam Kuala Kedah Sport Fishing turut mengadakan sistem ranking dan sistem pecah jackpot tanpa mengutip wang daripada pemancing. Dalam erti kata lainnya, sistem pertandingan yang disediakan adalah bebas dari unsur-unsur perjudian. Bahkan pihak kolam turut memberi bonus berupa 4 jam memancing percuma bagi pemancing yang telah 10 kali memancing.
Ikan-ikan yang dilepaskan lazimnya bersaiz yang hampir sama. Purata siakap bersaiz hingga 4 kg seekor, jenahak dari 1.5kg hingga 3kg. Siakap merah 1.5 hingga 2kg. Merah juga sekitar saiz 1.5 kg hingga 2 kg. Sementara kerapu pula, jika dibekalkan saiz-saiz kasar sehingga 10 kg, ia akan dijadikan ikan target pertandingan pecah jackpot.
Dan semua ikan-ikan ini boleh dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup yang dibekalkan dengan harga serendah 70 sen seekor atau umpan ikan mati. Umpan anak ikan hidup sama sekali tidak dibenarkan penggunaannya di kolam ini.
Kolam Kuala Kedah Sport Fishing ini juga dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas sebagaimana kolam lainnya. Dan sejurus team Majalah Umpan mengunjungi kolam ini, ia akan ditutup bagi tempoh 2 minggu bagi proses penyelenggaraan.
Khususnya bagi penyusunan semula ‘koq’ atau kolong di dasar kolam bagi kejadian ikan berkumpul pada sesuatu tempat sahaja dan menguntungkan beberapa pihak pemancing sahaja.
Saya baru belajar memancing di tepi pantai… saya ingin tahu saiz mata kail, batu ladung, tali dan umpan yang sesuai?
JAWAPAN:
Sebelum anda menentukan saiz mata kail, terlebih dahulu anda perlu mengetahui spesies ikan apakah yang mendiami kawasan pancingan berkenaan.
Jika tiada info bolehlah rujuk kepada penduduk setempat atau pemancing yang sudah biasa memancing di kawasan sekitarnya.
Namun begitu anda masih boleh terjah saja walaupun tiada info berkenaan. Ini kerana secara umumnya boleh dikatakan hampir kebanyakan pantai dihuni oleh ikan seperti
gelama, duri, bebolos, pari, gerut-gerut, talang, kerapu, senangin, kurau, dan ada sesetengah pantai yang dihimpit ebek dan gerong belang.
Lazimnya saya lebih gemar menggunakan mata kail saiz kecil jenis berteras panjang saiz 11 atau lebih kecil lagi 16 hingga 18.
Perlu ingat mata kail masih lagi boleh mengena ikan saiz kasar manakala, umpan di mata kail saiz besar sudah tentulah hanya menjadi bahan getuan spesies ikan bermulut kecil begitu sahaja.
Namun, mata kail tersebut mestilah kuat dan tidak kangkang apabila digasak ikan.
Batu ladung jenis mati paling sesuai digunakan kerana ketika balingan dibuat, batu ladung yang berat akan bergerak terlebih dahulu dari umpan bagi mengelakkan umpan tercabut dari mata kail.
Jika memancing di kawasan pantai landai, eloklah mengunakan joran pantai (surcasting rod dalam lingkungan 10 hingga 15 kaki dengan kekili mendatar sesuai untuk pemancing baru.
Contoh pengunaan umpan, mata kail dimasukkan dalam badan udang sepenuhnya. Jika boleh dapat bilis segar adalah terbaik sebagai umpan dasar.
Anda juga boleh menggunakan umpan lain perumpun, hirisan sotong, hirisan ikan kerang-kerangan.
Adakah bahaya jika memancing sewaktu hujan lebat dan sejauh manakah kebenaran sumber yang mengatakan ikan kurang aktif memakan umpan sewaktu hujan lebat?
JAWAPAN:
Memancing semasa hujan lebat sememangnya berisiko. Risikonya terdiri daripada beberapa aspek, antaranya:
Pertama, Joran yang digunakan diperbuat dari graphite yang mampu menarik sambaran kilat oleh itu kita perlulah turunkan joran dan simpan di bawah sekiranya terdapat petir.
Jika tiada petir sekali pun sebaiknya lakukan langkah keselamatan kerana kita tidak dapat menjangka kejadian ribut petir.
Kedua, apabila kita berada di tengah laut, tasik atau di tebing sungai di mana tiada terdapat pokok atau objek yang lebih tinggi daripada kita maka kemungkinan disambar petir adalah amat tinggi.
Ketiga, bahaya dari kepala air, terutamanya apabila kita memancing di muara sungai dan sungai-sungai di pergunungan atau hutan serta peningkatan air secara mendadak di sebabkan pengaliran air yang banyak dari hulu.
Jadi segera keluar atau naik ke lokasi yang lebih tinggi kerana kepala air akan meranapkan apa sahaja di hadapannya.
Keempat, bahaya perubahan suhu. Ia boleh menyebabkan suhu badan kita turun dengan mendadak yang mendorong berlakunya demam. Lebih-lebih lagi kejadian hujan panas.
Sebenarnya, Ikan amat aktif makan selepas hujan lebat terutama sekali di kawasan muara sungai sebab terdapat banyak serangga dan makanan yang di hanyutkan air semasa hujan lebat.
Bagi kawasan laut pula ikan amat aktif sebelum hujan. Sebabnya saya masih mengkaji tetapi pengalaman menunjukkan ini selalu berlaku semasa saya memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...