Ikan pari memang cukup popular terutamanya bagi peminat pancingan pantai atau surfcasting. Bagi kaki pancing pantai, ikan pari merupakan lesen besar jika berjaya dinaikkan. Apatah lagi jika yang ditundukkan itu bersaiz mega iaitu kira-kira 10kg ke atas.
Antara lokasi yang cukup popular bagi kebanyakan peminat si ekor cemeti ini ialah Kuala Pahang, Pantai Chedoq, Pantai Sungai Lang, Pantai Acheh, Pantai Cahaya Bulan, Pantai Puteri, Pengkalan Balak dan lain-lain. Jika dilihat secara geografi, hampir kebanyakan pantai di Malaysia merupakan spot menarik dan mempunyai potensi untuk menaikkan ikan pari.
Ads
Sensasi tarikan ikan pari tentulah kerana kekuatannya. Kombinasi kekuatan tarikan, berat dan bentuk badan serta keupayaan untuk menekap di dasar air cukup untuk membuatkan pemancing mengerah keringat untuk menariknya ke gigi air.
Bagi mengesan kehadiran pari, pemancing perlu memantau lopak-lopak yang menjadi kediaman pari ketika air laut surut. Lazimnya apabila air pasang, pari akan kembali mendiami lopak tersebut dan di situlah umpan akan dilontarkan.
Berbanding dengan pancingan pari secara bersampan, alur laluan pari akan menjadi taruhan umpan apabila tibanya musim pari. Selain itu, pancingan pari juga memerlukan teknik yang tersendiri lebih-lebih lagi apabila sang pari memekap di dasar.
Ads
Sesetengah pemancing akan menjentik tali atau menggerakkan tali apabila ikan menekap ke dasar. Ada juga yang membiarkan dahulu atau mengendurkan tali jika ada tanda-tanda ikan menekap ke dasar. Apabila ada pergerakan, barulah tali dikarau semula dan cuba elakkan ikan menekap kembali.
Ads
Diet pemakanan ikan pari tertumpu kepada moluska, cecacing, krustasia, ikan, kerangan, ketam dan udang. Ikan pari mencari mangsanya yang bersembunyi dalam pasir atau lumpur dengan membalikkan pasir menggunakan sisinya atau sirip pektoral.
Sesetengah ikan pari menjadikan arus air yang kuat sebagai sumber makanan kerana arus kuat membawa pelbagai invertebrata bersamanya. Spesies ini menjadikan ikan, sotong dan juga obor-obor sebagai sumber makanannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing boleh menjadi antara aktiviti sukan yang paling mengujakan, namun boleh juga menjadi aktiviti yang paling mengecewakan kalau tak dapat walau seekor anak labi-labi! Antara sebab tak dapat ikan adalah kerana kesilapan yang dilakukan sebelum atau semasa memancing.
Mari tengok kesilapan dan cuba elakkan dari melakukan kesilapan-kesilapan yang boleh dielak ketika anda menyertai trip pancing.
Tali Pancing Mereput
Ramai yang tidak mengambil serius keadaan tali utama. Tali yang telah lama kebanyakan akan luka atau berbulu. Mungkin keadaan tali tidak mempengaruhi peratus strike, namun menjadi faktor utama kegagalan anda untuk mendaratkan ikan terutama bersaiz besar.
Mata Kail Tak Sesuai
Mata kail tidak diciptakan untuk semua keadaan pancingan. Terdapat mata kail yang berbeza bentuk, mata tunggal atau mata tiga dan saiz. Pastikan anda tahu spesies target anda dan pilih mata kail yang bersesuaian.
Set Pancing Tak Sepadan
Seperti mata kail, penggunaan padanan rod dan kekili juga haruslah bersesuaian. Setiap spesies pasti mempunyai set yang sesuai untuk memancing. Anda tentu tidak menggunakan set bangla untuk memancing puyu bukan?
Kapasiti Tali Tak Cukup
Kuantiti tali utama perlulah bersesuaian dengan keadaan pancing dan juga kekili. Setiap kekili biasanya mempunyai anggaran kiraan kuantiti tali yang sesuai untuk dimasukkan ke dalamnya. Selain itu, tali utama yang pendek atau tidak mencukupi juga sering kali membuatkan anda menepuk dahi setelah ikan terlepas.
Tali Tak Seimbang Dalam Spool
Pastikan susunan tali di dalam spool tidak bersilang atau bertindih dalam aturan yang tidak betul. Keadaan ini sering kali membuatkan anda berputih mata. Jika anda merasakan ada yang tidak kena ketika balingan, periksa kembali tali utama anda terutama bagi kaki casting.
Tali Terbenam Dalam Spool
Ramai yang masih tak menyedari pentingnya memasukkan tali ke dalam spool dengan betul-betul kemas dan ketat. Terutamanya pada reel BC, tali yang tidak padat ini akan menyebabkan ia akan terbenam dan bersilang sekaligus tersangkut apabila menarik beban yang besar.
Cara Pengendalian Tangkapan
Ikan yang tewas selepas pertarungan mungkin kelihatan lemah, namun ia masih mempunyai tenaga akhir untuk membuat pecutan ketika anda mahu membuang mata kail. Pengendalian tanpa sarung tangan bukan sahaja mampu membuat anda berputih mata, namun meninggalkan anda dengan kecederaan akibat sirip atau gigi yang tajam sebagai salam perkenalan.
Tak Percaya Pada Tekong
Ketika trip memancing, amat penting untuk mendengar saranan dan nasihat daripada tekong atau guide. Ini kerana, mereka lebih tahu dan berpengalaman dengan spot yang dibawa. Jangan terlalu ego dan nak tunjuk terer seolah-olah anda tahu segalanya atau seolah-olah anda telah memancing di situ setiap hari.
Banyak Buang Masa
Memancing memang aktiviti untuk baik untuk mengisi masa lapang. Namun jika anda pergi memancing sekadar untuk berborak, makan dan minum, itu membuang masa namanya. Walaupun bersantai, pastikan anda tahu objektif utama anda.
Asyik Tukar Gewang
Ya, anda mempunyai banyak koleksi gewang di dalam kotak gewang anda. Namun, ketika memancing, menukar gewang anda sepantas kilat dan terlalu kerap merupakan kerja sia-sia. Secara tidak langsung, terlalu sekejap gewang anda berada di dalam air dan membuatkan ikan target anda hilang minat.
Memancing merupakan kegiatan yang menyenangkan dan juga menyihatkan, ditambah lagi jika berhasil mendapatkan ikan sasaran. Tapi, harus diingat agar selalu menjaga kebersihan dan kelestarian dalam laut. Berikut beberapa cara pancingan di laut.
Teknik Bottom fishing
Teknik memancing ini merupakan teknik yang paling asas dan umum digunakan oleh para pemancing. Untuk memancing dengan teknik ini, hanya memerlukan kelengkapan pancingan dasar, kemudian umpan dipasang dan dilepaskan ke laut dan tunggu sehingga ada ikan yang menyambar.
Teknik pancingan ini boleh menggunakan joran dengan reel spinning atau overhead atau koyan. Memancing dengan teknik ini juga wajib menggunakan pemberat atau batu ladung yang membolehkan umpan berada di dasar untuk memburu ikan dasar.
Teknik Drifting
Teknik ini biasanya digunakan untuk memburu ikan yang berada di permukaan dan pertengahan air. Ia menggunakan ikan hidup sebagai umpannya. Selar, tamban, atau kembung biasanya dijadikan umpan untuk teknik ini.
Cara memancing menggunakan teknik ini adalah umpan hidup dibiarkan berenang menjauhi bot untuk menuju spot sambil menunggu ikan yang akan memangsanya. Belon biasanya diikat pada tali utama ini agar ikan tidak berenang jauh ke bawah. Batu ladung kecil digunakan sekiranya arus deras bagi mengelakkan umpan terapung di permukaan air.
Teknik Trolling
Teknik memancing ini umumnya digunakan ketika bot sedang berjalan dengan kelajuan 4-6 knot. Umpan yang digunakan oleh teknik ini adalah umpan tiruan untuk memancing ikan tenggiri dan wahoo dan lain-lain lagi.
Selain gewang berbentuk ikan, umpan lain yang digunakan adalah skirt menunda yang berbentuk seperti kepala sotong dengan warna terang. Biasanya jarak umpan dari bot mencapai 10 hingga 30meter tergantung kepada ukuran gewang tundaan. Selain itu, joran trolling juga biasanya jenis overhead iaitu reel yang posisinya berada pada sisi atas joran.
Teknik Casting
Memancing jenis ini menggunakan umpan tiruan atau lure untuk mendapatkan ikan. Lure boleh berbentuk ikan, serangga atau binatang laut lainnya. Caranya adalah dengan melemparkan lure menuju target menggunakan rod dan reel.
Perbuatan melemparkan dan menggulung lure merupakan kunci dari teknik ini, sehingga ada juga yang mempraktikkan teknik ini hanya dengan tangan kosong atau handline. Lure dilontar dan dikarau sebanyak kali yang mampu sehingga mendapat strike. Maka dari itu, teknik ini seringkali dikategorikan sebagai sportfishing atau sukan memancing.
Teknik Surfcasting
Teknik ini hampir sama dengan teknik casting, namun teknik ini dilakukan dengan joran yang lebih panjang sekitar 350—450 cm. Teknik asasnya pun sama dengan casting iaitu melemparkan umpan sejauh-jauhnya, tapi dalam surf casting, umpan yang dilemparkan akan dibiarkan mendarat seperti memancing dasaran. Maka dari itu, memancing dengan teknik ini pun memerlukan pemberat agar umpan tidak hanyut.
Perbezaan antara casting dan surfcasting juga terletak pada umpan yang digunakan. Jika casting menggunakan umpan tiruan, dalam surfcasting umpan yang digunakan bukanlah umpan buatan, melainkan ikan-ikan kecil, perumpun, udang ataupun kerang yang banyak ditemukan di pesisir pantai.
Waktu yang paling tepat untuk memancing menggunakan teknik ini adalah saat air bergerak pasang naik, kerana saat itulah ikan-ikan berenang mendekati pantai untuk mencari makan.
Teknik Jigging
Jigging dipercaya teknik memancing yang sudah ada sejak ribuan tahun lalu. Di mana saat itu nelayan mencuba untuk memancing ikan menggunakan umpan yang dibuat daripada timah atau logam lain yang kemudian dilemparkan ke dalam air dan kemudian ditarik dengan laju ke atas.
Biasanya teknik memancing seperti ini digunakan untuk memancing di kawasan terumbu karang dengan kedalaman 50-100 meter. Ketika memancing menggunakan teknik ini, jig tidak dihayunkan langsung ke spot yang disasarkan, melainkan dilemparkan dan dibiarkan meluncur hingga ke dasar laut secepat mungkin baru kemudian menggulung reel dengan cepat sambil disentak-sentakan. Ia dilakukan agar umpan tersebut bergerak seperti ikan yang menuju ke atas sehingga ikan sasaran mahu menyambarnya.
Berikutan kejadian samun yang turut menyebabkan kematian pemancing baru-baru ini, di sini kami terpanggil untuk berkongsi beberapa panduan atau tip bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku kepada anda.
Survey dulu
Jangan terus memancing apabila menemui sesebuah padang pancing yang belum pernah anda pancing sebelumnya. Apatah lagi jika di lokasi tersebut tidak kelihatan pemancing lain yang memancing di tempat tersebut.
Berteman
Seboleh-bolehnya jangan memancing secara bersendirian walaupun di lokasi yang biasa anda pancing dan dianggap kawasan selamat.
Kawasan terpencil
Elakkan dari memancing di kawasan terpencil atau terlindung dari pandangan orang walaupun di lokasi tersebut ada pemancing lain yang memancing, namun pemancing lain tidak dapat melihat kedudukan anda di kawasan tersebut.
Parkir
Jika boleh, pilihlah spot memancing yang tidak jauh dari tempat anda memarkir kenderaan. Dalam pada masa yang sama anda turut dapat memantau status keselamatan kenderaan juga.
Waktu malam
Elakkan memancing waktu-waktu sunyi seperti tengah malam atau terlalu awal pagi serta ketika tidak pemancing lain yang memancing pada waktu tersebut.
Berseorangan
Sebaiknya juga jangan memancing terlalu jauh dengan pemancing lain walaupun hanya memancing di kolam berbayar. Ini kerana kejadian samun turut berlaku di lokasi memancing seperti ini.
Senjata
Bawa senjata untuk mempertahankan diri terutamanya jika memancing di kawasan yang berisiko atau terdedah kepada sebarang aktiviti jenayah.
Pantau
Jangan terlalu fokus terhadap memancing dan mengabaikan sebarang aktiviti berhampiran terutamanya kehadiran seseorang yang mencurigakan. Apatah lagi seseorang yang tidak kelihatan seperti seorang pemancing.
Selekeh
Jangan kelihatan terlalu mewah ketika memancing kerana secara tidak langsung sebenarnya ia mengundang untuk disamun. Biarlah kelihatan selekeh kerana penampilan tersebut lebih selamat.
Dokumen
Bawa dokumen dan barangan yang penting sahaja ketika memancing. Jika perlu pisah-pisahkan barangan dan dokumen tersebut. Jangan simpan kesemuanya dalam dompet.
Ingat wajah
Sekiranya anda berhadapan dengan situasi samun, sebaiknya jangan melawan sekiranya anda tidak yakin mampu menewaskannya. Sebaiknya imbas rupa paras dan penampilan penjenayah tersebut supaya senang untuk membuat laporan polis.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...